Anda di halaman 1dari 4

Sultan Muhammad Al-Fateh

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:


“…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan
tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya
adalah sebaik-baik tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang
dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang
dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu
kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu
Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di
atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau
menjawab, “Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai
sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel”. Begitulah teguhnya iman seorang
sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh,
khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga
disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” dalam hadis tersebut?
Biodata Ringkas
Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan
Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800
tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi.
Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan
Konstantinopel.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481).
Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25
kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah
berpendapat baginda mangkat diracun.
Pendidikan
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya
adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang
kuda oleh panglima-panglima tentera.
Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih
bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam
bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi
bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan
Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
Keperibadian
Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka
baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa
ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat
menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan
mereka mengenai permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam
bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-
kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi
yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak
bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih
kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina
bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan
Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus.
Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan
Konstantinopel apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar
semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda
mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000
tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah
kesunyian alam.
Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta
beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada
19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah
dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu
Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut
setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera.
Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada
Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah
kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda
mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden
Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan(warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh
para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang
kota.
Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan
Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan
memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW
dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba
merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang
syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah
hari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan
dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap
menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa
yang mahu syahid ikutlah aku”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30
tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ.
Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera
Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah
Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada
Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda
dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa
inilah Baginda diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang bermaksud “pembuka” atau “penakluk” lantaran
kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam.
Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di
antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!”
Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan
solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat
sunat rawatib, sila duduk!” Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah
meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!” Kali ini semuanya duduk, kecuali
Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat
rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh
Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan
Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali.
Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha
menakluk kota hebat Konstantinopel.

Anda mungkin juga menyukai