Anda di halaman 1dari 2

KASIH IBU

Berikut diceritakan sebuah kisah yang begitu mengharukan mengenai dilema seorang ibu. Si
ibu yang baru melahirkan seorang bayi lelaki terkejut melihat bayinya yang dilahirkan tidak
mempunyai cuping telinga. Bernasib baik, sistem pendengaran si bayi masih berfungsi dengan
sempurna. Tidak ada apa yang mampu dilakukan oleh kedua ibu bapa ini selain menerima apa
yang telah ditakdirkan oleh Allah Subhaanahu Wata'ala. Ya, itulah hakikat yang harus mereka
telan, bayi mereka tidak mempunyai cuping telinga.

Waktu terus berlalu, anak itu semakin membesar dan semakin bijak bergaul dengan teman-
teman sebayanya. Dia juga tidak mempunyai masalah dalah soal pembelajaran di sekolah.
Namun perkara yang mengganggunya ialah sindiran dari rakan sebayanya yang mengatakan
dia adalah makhluk asing atas kecacatannya. Ada yang mengatakan dia adalah anak dewa
langit kerana tidak bercuping telinga. Tidak kurang yang menyuruhnya bekerja di Star
Trek apabila dia besar nanti. Dengan sindiran dan ejekan sebegitu, siapa yang tidak berasa hati
dan tertekan. Maka tidak jaranglah si anak pulang ke rumah sambil menangis lalu mencari dan
memeluk ibunya. Dengan ketabahan yang luar biasa, si ibu terus memberikan kata-kata positif
untuk mengembalikan semangat dan potensi si anak agar berhasil meraih kejayaan gemilang
sehingga mampu berada ditahap yang tinggi pada masa depan.

Seorang doktor yang dikenali mengatakan anak itu sudah boleh menjalani pembedahan bagi
menerima cuping telinga pindahan. Berita baiknya, cuping telinga ini sudah pun berada dalam
simpanan, yang diterima daripada seorang penderma. Gembiranya hati si anak tidak terkira
walaupun hatinya sering tertanya-tanya siapakah penderma yang terlalu murah hatinya itu.
Pembedahan pemindahan cuping telinga tersebut akhirnya berjaya. Si anak mulai berasa
perubahan dalam penampilannya di samping keyakinan yang semakin meningkat, seiring
dengan kejayaan-kejayaan yang diraihnya. Perkara ini sekaligus membolehkan dia
menamatkan pelajaran dan mendapat kerja dengan cepat.

Bekerja sebagai seorang diplomat, telah berkahwin dan dikurniakan dengan dua orang anak,
sehingga kini dia masih tertanya-tanya tentang si penderma cuping telinga itu. Selalu juga dia
bertanya kepada bapanya dan setiap kali, jawapan itulah yang akan diberikan oleh si bapa.
"Suatu hari kamu tentu tahu juga, nak!"

Hari tidak selalunya menggembirakan, saat yang paling menyedihkan menimpa keluarga ini. Ibu
tersayang meninggal dunia kerana jatuh sakit. Rasa kehilangan yang tidak terhingga oleh anak
tunggal begitu perit untuk menerima hakikat. Masih terbayang di matanya ketika diejek oleh
rakan-rakannya, ibulah yang memberi kekuatan ke atas dirinya. Ibulah pendorong agar dirinya
sentiasa membuat yang terbaik dan supaya tidak lupa berkongsi dengan orang lain serta
sentiasa bergantung kepada yang Maha Kuasa. Namun sekarang itu semua tinggal kenangan,
si ibu tercinta pergi buat selama-lamanya. Ketika memberi ciuman terakhir pada jasad si ibu, dia
terkejut kerana apabila menyelak rambut ibunya dia mendapati ibunya tidak mempunya cuping
telinga! Persoalan yang selama ini bermain di kepalanya akhirnya terjawab juga. Patulah sejak
beberapa tahun lepas, ibunya selalu berkata yang dia lebih suka membiarkan rambutnya
panjang. Rupa-rupanya dia tidak mahu si anak tahu penderma cuping telinga itu adalah ibunya
sendiri.

Kesimpulannya, itulah kasih seorang ibu terhadap anak-anaknya. Tidak pernah terbatas pada
sesuatu pun. Tidak hairanlah sekiranya penghormatan bagi seorang ibu melebihi penghormatan
seorang bapa.

Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: "Saya tanya kepada Rasulullah s.a.w.:
"Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Kemudian
siapakah? tanya saya lagi. Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ibumu." Saya bertanya sekali lagi dan
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa?" tanya saya lagi." Rasulullah s.a.w.
menjawab: "Ayahmu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat."

Lihatlah wanita yang memainkan beberapa peranan dalah hidupnya iaitu seorang isteri, suri
rumah dan wanita yang berkerjaya. Mereka mempunyai kemampuan membahagikan masa
yang unik supaya segala tanggungjawab sama ada di rumah atau di pejabat dapat
dilaksanakan dengan baik. Begitu juga wanita yang mempunyai status ibu tunggal, mereka turut
memiliki cara tersendiri dalam mengharungi kehidupan ini.

Sungguh besar pengorbanan ibu dalam mengembangkan mental dan kerohanian anak-anak.
Berikut nasihat berguna daripada Dorothy Law Nolte yang patut kita jadikan iktibar:

"Sekiranya seorang anak hidup dalam kritikan, dia akan belajar menghukum. sekiranya seorang
anak hidup dengan permusuhan, dia akan belajar kekerasan. Sekiranya seorang anak hidup
dengan ejekan, dia akan belajar menjadi malu. Sekiranya seoorang anak hidup dengan
perasaan malu, dia belajar berasa bersalah. Sekiranya seorang anak belajar hidup dengan
dorongan, dia belajar mempercayai dirinya. Sekiranya seorang anak hidup dengan keadilan, dia
belajar menjalankan keadilan. Sekiranya seorang anak hidup dalam ketenteraman, dia belajar
mengenai keimanan, sekiranya anak hidup dengan sokongan, dia belajar menyukai dirinya
sendiri dan sekiranya seseorang anak hidup dengan penerimaan serta persahabatan, dia
belajar untuk mencintai dunia."

Anda mungkin juga menyukai