Anda di halaman 1dari 5

Tiada yang lebih bahagia dalam kehidupan kita daripada dikelilingi oleh mereka yang disayangi dan

menyayangi, tidak terlepas jua aku.

Pada tiga tahun lalu, ayahku telah dijemput ilahi kerana diserang penyakit angin ahmar. Kedua abang
lelaki ku, Along dan Angah menggantikan sosok ayah untuk keluarga. Mereka menguruskan ladang yang
ditinggalkan ayah untuk mereka.

Aku melangkah ke dapur. Kelihatan ibuku, wanita separuh abad sedang menggoreng mi untuk sarapan
kami sekeluarga.

“Hari ini kertas apa?”, tanya ibu di sebalik tirai dapur.

“Hari ini kertas geografi, Ibu doakan Iman ya”, kataku sambil merangkul kemas tubuh ibuku.

“Tiada yang terbaik dari seorang ibu selain mendoakan yang terbaik untuk anak-anak”, sahut ibu sambil
mencium syahdu dahiku.

Aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan tenang sambil membaca surah serta doa yang ibu
sentiasa titipkan setiap kali aku mengulangkaji pelajaran.

Walaupun ibuku tidak bersekolah tinggi, namun dia mahukan anak-anaknya mendapat pendidikan
setinggi yang boleh kerana dengan ilmu kita akan memperolehi kehidupan yang terjamin. Masih
terbenam di benakku kata-kata seorang pakar motivasi yang memberikan kata-kata akhir ketika kami
mengikuti kem motivasi tempoh hari.

“Ingat anak-anak, kemiskinan bukan untuk diwarisi. Kamulah yang harus meruntuhkan tembok
kemiskinan yang pernah dilalui oleh kedua ibu bapamu. Bagaimana harus dilakukan? Dengan
pendidikanlah kamu boleh mengubah segalanya”.

Aku pejamkan mataku, kuletakkan tapak tanganku di dada yang terletaknya jantungku sambil
menanamkan secebis harapanku dan azam untuk mengubh kehidupan keluargaku. Membahagiakan
mereka yang terlalu istimewa buatku.

Sejak akhir-akhir ini, ibu kerap mengalami batuk. Mungkin terlalu penat bekerja. Kasihan kulihat
keadaannya yang bertungkus lumus membanting tulang membesarkan kami enam beradik.

“Ibu, Iman rasa batuk ibu ni makin teruk. Jom kita pergi klinik”.

“Ibu dah makan ubat. Nanti baiklah”, pintas ibu bagi menghilangkan kegundahan hatiku.

Hari berlalu begitu pantas, esok adalah hari yang dinantikan oleh semua calon Sijil Pelajaran Malaysia
yang lebih mesra dikenali SPM. Slip keputusan yang diterima esok merupakan penentu masa hadapan
yang diidami selama ini.

Setibanya di perkarangan sekolah. Kelihatan semua guru sekolah memasang wajah gembira.
Terpampang wajahku di atas pentas dengan perkataan, Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2004, 11 A+.

Akukah itu, benarkah? Aku masih terdiam di tempatku.


“Awak hebat, kami bangga”, ucapan yang bertali arus buatku. Tapi aku sedih, ayah tiada, ibu juga tidak
bersama untuk meraikannya. Ibu bekerja. Iman memahami ibunya.

Ucapan demi ucapan berlalu. Aku seakan tiada dalam dewan itu. Aku ingin segera pulang, ingin
mencium kedua tangan ibuku yang membanting tulang siang dan malam untuk kami. Biodataku dibaca
satu persatu, kedengaran juruacara majlis mengumumkan…

“Dengan ini pihak majlis menjemput Puan Suhaila untuk naik ke atas pentas bersama anaknya”.

Aku terpaku apabila nama insan yang terlalu aku mahukan berada bersama dipanggil naik ke pentas.
Rupanya mereka memberikan aku sebuah kejutan yang tidak terduga. Cikgu Nadhirah, guru kelasku
merancang segalanya bagi memenuhi impianku supaya ibu berada di pentas jika aku menjadi pelajar
cemerlang SPM. Tak dapat aku gambarkan kegembiraanku, bukan kejayaanku tetapi ibuku bersamaku.

Kupeluk ibuku, kucium tangannya. Suasana di dalam dewan penuh hiba. Kugenggam erat kedua-dua
tangan ibuku, menerima sijil, plak dan juga sampul berisi wang tunai. Puan Siti Zaharah iaitu pengetua
sekolah menyerahkan sejambak bunga padaku. Kuterima lantas berikan buat insan yang selayaknya
menerima pengiktirafan tersebut. Tanpanya, aku mungkin tidak berada di atas pentas ini. Terima kasih
ibu.

Dalam kegamatan kejayaanku, kekhuatiran masih berbekas. Kesihatan ibu semakin merosot saban hari.
Ya Allah berikanlah aku kesempatan untuk membahagiakan ibuku. Kau sembuhkanlah penyakitnya,
doaku.

Aku memilih untuk melanjutkan pengajian di bidang perguruan bagi merealisasikan impian ayah.
Sebelum aku menguruskan pengajian, aku sempat bekerja sebagai guru ganti di Taman Bimbingan
Kanak-Kanak, TABIKA. Bagai mengantuk disorongkan bantal, kuterima kesempatan tersebut. Dapatlah
menimba pengalaman sebagai guru. Bekalan apabila aku melangkah ke maktab atau universitu nanti.

Kuketuk pintu kamar ibu yang sememangnya terbuka. Telah terasuh dijiwa kami iaitu meminta izin
masuk walau bilik sesiapapun. Alhamdulillah, ajaran ibu tersemat erat di jiwa kami semua.

“Ibu masih belum tidur?”

“Belum, sekejap lagi. Ibu nak siapkan baju kamu ni”, balasnya tanpa memandangku.

Kelihatan dua lagi baju kurung berwarna merah jambu dan kuning tergantung di pintu almari. Ibu
berkata aku mestilah memakai baju yang baharu untuk menyemangatiku. Aku sempat menolak tetapi
ibu bersikeras mahu melakukannya.

Aku menuju ke baju tersebut. “Cantik”, kataku sambil memandang wajah ibu.

Tiba-tiba air mata ibu mengalir di pipinya. Kuseka air matanya sambil menggenggam tangannya.

“Maafkan Iman jika menyakiti hati ibu”, aku berasa bersalah. Ibu terus merangkul tubuhku sambil
membisikkan “Kamu tidak melakukan kesalahanpun. Andai ada, ibu sudah maafkan”. Pelukannya terasa
hangat dan damai.
“Iman, ingat pesan ibu. Teruskan dan capailah cita-cita, ubahlah keluarga kita. Bantulah mereka yang
memerlukan. Andai nanti ibu tiada”, kata-kata ibu terhenti di situ. Kulepaskan pelukan ibu sambil
memandang wajah sugul ibu.

“Mengapa ibu cakap begitu?”, kataku tidak berpuas hati dengan perkataannya sebentar tadi.

“Manalah tau, ajal maut Allah tentukan”.

Keesokan harinya, aku memulakan tugasku sebagai seorang guru ganti. Bermacam ragam dan kerenah
anak-anak kecil. Ibu pernah berkata, usaha dan sabar kunci kejayaan. Seronok juga walaupun penat.

Jam di dinding telah menunjukkan 12 tengah hari, waktu pulang anak-anak TABIKA. Aku telah
diamanahkan untuk memastikan mereka keluar dan diambil dalam keadaan selamat oleh ibu bapa
masing-masing. Selesai memastikan kelas kemas dan teratur, aku mengunci pintu kelas serta pagar dan
pulang ke rumah.

Tiba di rumah, aku merebahkan sekujur tubuh di atas katil. Sangat penat keluhku. Barulah aku tahu
betapa besarnya jasa seorang guru mendidik anak murid. Perutku berbunyi menandakan aku lapar.
Kubatalkan niat untuk melelapkan diri dan membawa diri ke dapur. Dari bilikku pasti akan melalui di
hadapan bilik ibu. Kujengah biliknya, ibu tiada di blik. Mungkin di dapur. Tutur kata hatiku. Mataku
terpandang selembar kertas di atas lantai bilik ibu. Aku masuk dan cuba mengambilnya. Kutatap sejenak
kertas tersebut.

Bagai belati menikam hatiku, dihiris tak berdarah. Apakah benar tulisan di atas kertas putih itu?

KANSER HATI

Gelap rasanya dunia yang aku huni. Tiba-tiba ibu muncul di pintu bilik.

“Iman!”, tegasnya sambil merampas kertas yang berada di tanganku.

Aku menangis sekuatnya. “Kenapa ibu rahsiakan dari Iman”, kataku dalam tangisan yang tak mampu aku
tahan.

“Ibu belum ada kesempatan untuk beritahu Iman”.

Ya Allah, betapa beratnya dugaan yang kau berikan pada hambaMu ini.

Jauh di dalam tubuhku, segumpal hati yang asalnya milik ibu. Ibu berkorban untukku. Sungguh mulia
hatinya tidak dapat aku balas sehingga akhir hayatku. Barulah aku mengerti mengapa ibu sering sakit
dada dan batuk yang berpanjangan. Rupanya kesihatan ibu merosot akibat dari pembedahan hati
sewaktu aku masih kecil. Aku disahkan menghidap barah hati sewaktu aku berumur tiga tahun.
Kesihatanku merunsing, belanja perubatanku makin bertambah. Kata doktor, hanya pemindahan hati
dapat menyelamatkan nyawaku. Insan di depan aku inilah yang menyerahkan sebahagian hatinya
kepadaku demi kehidupanku.

Mengapa aku tidak mengetahuinya. Aku berasa gagal menjadi seorang anak.
“Ibu perlu ke hospital untuk rawatan”, kataku dengan suara yang serak akibat tangisan yang masih
mengalir.

“Tak perlu, Iman. Kosnya mahal”.

“Ibu tak perlu risau. Duit sumbangan yang Iman dapat tempoh hari ada. Ibu gunalah duit tu”.

“Itu untuk kamu masuk universiti nanti”, tolak ibu.

“Tak apa, boleh mohon pinjaman. Kesihatan ibu lebih penting dari segalanya. Iman tak mahu sambung
belajar jika ibu tak sihat”, keras arahanku, bukan derhaka tetapi bertegas demi kesihatannya.

Akhirnya ibu mengalah. Dia turuti kemahuanku. Ibu menjalani rawatan setiap bulan. Alhamdulillah, ibu
sihat walaupun terpaksa berada di kerusi roda. Atas nasihat doktor, ibu tidak boleh berdiri terlalu lama
serta faktor usianya. Proses pemulihan memakan masa, bimbang ibu terjatuh dan menimbulkan
masalah yang membahayakan nyawanya. Kami adik-beradik mengikut sahaja nasihat doktor dan silih
berganti menjaga ibu.

Kini aku telahpun tamat pengajian dan terggenggam segulung ijazah dalm bidang perguruan setelah
empat tahun menempuh alam yang mempunyai suka dan duka.

Ayah… Iman dah jadi guru. Impian ayah tercapai.

Akupun telah diarah melapor diri di sekolah di mana tempat aku menimba ilmu seketika dahulu.
Terlaksana impianku untuk menabur bakti di sekolahku sendiri. Tambahan pula, aku boleh menjaga ibu.

Kusangka panaskan panas berpanjangan, rupanya gerimis mengundang.

Belum tertunai hasratku untuk menjejakkan kaki ke tanah suci bersama ibu. Ibu telahpun pergi terlebih
dahulu setelah tiga bulan aku memulakan tugasku. Namun, waktu yang sesingkat itu telah dipinjamkan
untukku bagi menggembirakan hatinya sewaktu masih bersamaku.

Sepuluh tahun berlalu sangat pantas. Along masih lagi menguruskan ladang lembu ayah manakala
Angah membuka kedai runcit menjual barangan keperluan khas yang diperlukan. Dapatlah meringankan
kesusahan orang kampung. Itu niat kami dan pesan arwah ibu dan ayah. Alhamdulillah usaha kami tidak
sia-sia.

Seorang adik lelakiku telah bertugas sebagai tentera darat. Dari kecil dia sudah menyertai pelbagai
aktiviti lasak. Berkat ketahanan mental dan emosinya, dia berjaya. Seorang lagi telah menjadi seorang
doktor haiwan. Dia mahu bekerja dengan Along bagi memastikan lembu yang dijual sihat dan selamat.
Dua orang lagi adik kembarku masih melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di salah satu
universiti tanah air walaupun mendapat tawaran di luar negara. Mereka berkata, hujan emas di negeri
orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Alhamdulillah, syukur kehadrat ilahi. Pendidikan mampu mengubah kehidupan.

Terima kasih ibu..ayah yang sentiasa menekankan pentingnya menimba ilmu.


Aku seka air mata yang mengalir hangat di pipi. Kelihatan anak-anak didikku juga menitiskan air mata
atas perjalanan kisah keperitan aku menimba ilmu. Diuji pelbagai ujian namun tidak patah semangat.
Bukan aku membangga diri tetapi supaya menjadi inspirasi buat mereka agar menimba ilmu walau
apapun rintangan. Dan yang paling utama adalah hormati ibu bapa juga guru kerana merekalah kita
berjaya. Kewajiban kepada yang maha Esa jangan sesekali dilupakan.

Begitulah setiap kali aku menyampaikan ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar. Tidak ketinggalan
pengorbanan ibu dan ayahku untuk aku kisahkan supaya terjentik hati kecil mereka supaya mengetahui
betapa besarnya pengorbanan insan-insan ini. Berkorban tanpa pernah meminta untuk dibalas.

Tepukan gemuruh buatku, tapi sebenarnya untuk kedua-dua insan ini iaitu ibu dan ayahku.

Al fatihah buat ayahanda dan bondaku. Insan teristimewa dalam kehidupanku. Moga tiap penat
lelahmu akan dibalas Yang Maha Esa selayaknya.

Anda mungkin juga menyukai