Anda di halaman 1dari 4

Bismillahirohmanirrohim.

Assalamualaikum`warohmatullahi wabarokatuh.
Yang saya muliakan, tuan peneraju agenda,
Yang arif lagi berdiri di pasak kebenaran, para hakim yang budiman
Yang dihormati, penjaga masa yang peka dengan edaran jam.

Enak rasanya buah tomato,


Dimakan bersama oleh Cik Sani,
Sudah lama ingin berpidato,
Rupanya ada rezeki di sini.

Bayam, sawi, kunyit dan halia ,


Dibeli Nona di Pekan Paya,
Ibu bapa pembentuk peribadi mulia,
Begitulah tajuk pidato saya.

Sidang hadirin yang dihormati,

Izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya terlebih dahulu. Menurut


Kamus Dewan edisi ke-4, ibu bapa bermaksud orang tua yakni emak dan ayah.
Pembentuk pula dimaksudkan orang yang membentuk manakala peribadi pula
bermakna perkara tentang manusia sebagai diri sendiri dan mulia bermaksud tinggi
kedudukan, luhur terhormat dan tertinggi. Tuntasnya “Ibu Bapa Pembentuk
Peribadi” boleh digarapkan sebagai orang tua yang membentuk peribadi yang
luhur dan terhormat kepada seseorang anak.
Sidang hadirin yang dimuliakan,

Ibu dan bapa merupakan insan yang mulia permulaan setiap insan yang
bergelar anak. Ibu bapalah yang menjadi pencorak kehidupan kepada anak-anak.
Anak yang dilahirkan ke dunia ini ibarat kain putih bersih . Tugas dan peranan ibu
bapalah yang mencorakkan kain putih bersih ini dengan segala nilai dan pekerti
mulia agar anak ini dapat menjadi insan yang mulia. Antara nilai-nilai murni yang
dididik dan dipupuk dalam diri anak-anak ialah baik hati, kasih sayang,
bekerjasama, tolong-menolong, berhemah tinggi dan sebagainya. Asuhan dan
didikan awal ini amat memainkan peranan yang sangat penting dalam
pembentukan peribadi anak-anak yang mulia.

Sidang hadirin yang dihormati,

Ibu bapa merupakan “role-model” dalam setiap keluarga. Sebagai ketua


keluarga bapa hendaklah menjadi contoh yang terbaik kepada ahli keluarganya.
Sebagai contoh, sewaktu berkomunikasi dengan ahli keluarga bapa hendaklah
bercakap dengan lemah lembut dan penuh kesantunan agar isteri dan anak-anak
dapat mencontohi nilai yang baik itu. Rumah merupakan institusi pertama
pendidikan dalam diri anak-anak. Jika anak telah terdidik dengan asuhan dan
didikan yang baik serta berhemah tinggi, sudah pasti anak yang bakal menjadi
modal insan untuk membangunkan negara akan mempunyai keperibadian yang
mulia . Segala-galanya bermula di rumah kerana rumah merupakan syurga
pendidikan awal bagi pembentukan keperibadian anak-anak.
Sidang hadirin yang dimuliakan.

Selain itu, ibu bapa juga merupakan insan pertama yang memberikan
didikan agama kepada setiap anak. Dalam Islam sendiri, setiap anak yang lahir ke
dunia ini akan diazankan terlebih dahulu bagi mengenal kalimah tauhid Tuhan
pencipta kita. Dengan didikan agama yang kukuh setiap anak mampu untuk
menjadi insan yang berperibadi mulia. Semua agama di dunia ini mengajak
umatnya untuk menjadi manusia yang terbaik dan berkeperibadian mulia. Didikan
agama ini merupakan batu asas dalam pembangunan diri dan peribadi setiap anak.
Pegangan agama yang jitu mampu menghalang anak-anak daripada terjebak dalam
perbuatan jenayah seperti mencuri, merompak dan penyalahgunaan dadah.
Justeru, ibu bapa sewajarnya menerapkan pendidikan agama ini dengan mendalam
agar mampu menjadi benteng dalam diri anak-anak. Didikan agama dan asuhan
ibu bapa merupakan elemen terpenting untuk membina keperibadian yang mulia.
Anak-anak yang berkeperibadian mulia merupakan aset yang terpenting kepada ibu
bapa dan negara untuk menjadi peneraju negara pada masa hadapan. Jelaslah, di
sini pendidikan agama daripada ibu bapa mampu untuk membentuk peribadi mulia
setiap anak.

Hadirin yang dihormati,

Ibu bapa merupakan pendorong kepada anak-anak untuk mengembangkan


potensi diri mereka dalam pelbagai bidang. Keperibadian mulia anak-anak juga
dapat dibangunkan oleh ibu bapa dengan mencungkil bakat mereka. Anak-anak
dilahirkan dengan 1001 kebolehan yang luar biasa. Ada anak-anak yang berbakat
dalam bidang sukan, nyanyian, lakonan, masakan, lukisan dan sebagainya.
Contohnya, Allahyarharham Dato’ Haji Sidek dan pasangannya Allahyarhamah
Hajah Rukinah telah mengembangkan potensi kelima-lima anak lelaki mereka iaitu
Misbun, Jailani, Razif, Rashid dan Rahman menjadi pemain badminton yang
termasyhur sehinggakan Malaysia mampu merangkul Piala Thomas pada 16 Mei
1992 yang lalu. Piala Thomas diibaratkan seperti Piala Dunia bagi sukan
badminton . Dato Haji Sidek mempunyai ketegasan dan mahu anak-anak mereka
menjadi pemain badminton yang dapat mengharumkan nama negara. Sudah terang
lagi bersuluh bahawa ibu bapa yang berwawasan tinggi mampu untuk membentuk
peribadi mulia setiap anak. Hari ini anak-anak di sekolah bukan sahaja menuntut
ilmu tetapi berpeluang mengembangkan bakat dan potensi mereka dalam pelbagai
aktiviti koakademik dan kokurikulum . Setiap anak mempunyai kebolehan dan
kecenderungan yang berbeza-beza . Ibu bapa yang bijaksana seharusnya
mengambil peluang ini dalam pembentukan peribadi mulia anak-anak.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Berdasarkan hujah dan fakta di atas, konklusinya memang amat jelas


bahawa gandingan didikan ibu bapa memberikan impak yang sangat besar dalam
pembentukan peribadi mulia anak-anak. Oleh itu, saya menyeru kepada semua
anak di luar sana agar menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh
ibu bapa kita dalam membentuk akhlak dan sahsiah diri kita. Peribadi mulia dan
jati diri yang kukuh amatlah penting untuk kita menghadapi segala cabaran yang
mendatang dalam meneruskan kehidupan bagi menggapai segala impian sebagai
khalifah di muka bumi ini. Justeru, ibu bapalah merupakan tonggak utama menjadi
paksi dalam pembentukan peribadi mulia setiap anak-anak. Bagaimana acuan,
begitulah kuihnya. Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Masak lemak dengan kelapa,


Kelapa dicari oleh Pak Ara,
Sayangi ibu, kasihi bapa,
Pasti hidup aman sejahtera.
Sekian, Wassalamualaikum warohmatullahiwabarokatuh.

Anda mungkin juga menyukai