Anda di halaman 1dari 3

MENGAJAR SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA

INGGERIS

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik


dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat
kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.

2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.

3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus
utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya
bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia.
Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan
yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan
jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

4. Kita diberitahu Nabi bersabda “Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Apakah
dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan
tulisan, terlebih dahulu?

5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah
yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke
dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu
ini.

6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-
lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah
berada “di zaman gelap”, zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-
kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.

7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan
tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains,
perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta
sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian
Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada
dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.

8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan
kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian
mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka
terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.

9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain
bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.

10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu
mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat
menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain
boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.
11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di
zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.

12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun
dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya.
Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa,
diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu
matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk
mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan
gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah
berjalan berbulan-bulan.

13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa
elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan
tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.

14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak
dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk
menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja
kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu
berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini.
Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja
sebagai penterjemah seumur hidup mereka.

15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita
akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan
dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang
terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan
ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.

16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai
orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman
dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.

17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan
pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini
tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini
bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.

18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan
bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi
sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti
diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.

19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita,
dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita
tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela
bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau
tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat
untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan
berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.
21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup
membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang
bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan
mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti
kata sebenar.

22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

Anda mungkin juga menyukai