Anda di halaman 1dari 2

Dalam organisasi masyarakat Rungus yang pertama, iaitu Keluarga Domestik, ianya dibina atau dibentuk melalui perkahwinan

yang sah. Dalam konteks ini, perkahwinan secara tradisonal yang melibatkan sejumlah berian dan hantaran, daripada keluarga pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai tanda terima kasih kerana membesarkan anak perempuan tersebut sebagai wanita yang baik. Hantaran juga menjadi 'pampasan' kerana berakhirnya perkhidmatan anak itu kepada keluarganya. Faktor seperti keluarga pihak lelaki atau perempuan berada dan perempuan mempunyai kemahiran tertentu seperti menenun, akan menentukan pertimbangan sama ada menjadikan hantaran semakin mahal dan begitu pula sebaliknya (Paul Porodong, 1999; dalam Jeubirin Bin Sopital, 2000.51). Pada masa kini, setelah bentuk perkahwinan secara tradisional semakin ditinggalkan, amalan berian dan hantaran (bburu) ini masih diteruskan, sebagai satu budaya positif, menyerlahkan ketinggian maruah sesebuah keluarga dan sebagai jaminan kepada kerukunan dan ketenteraman (bbangun) sesebuah keluarga yang dibina. Setelah berkahwin kira-kira setahun, atau setelah semusim pengeluaran padi, pasangan yang biasanya tinggal di rumah keluarga pihak perempuan selepas berkahwin, akan membina rumah sendiri yang baru untuk menjadi satu unit keluarga yang baru pula, iaitu membina rumah dengan cara menyambungkan rumahnya dalam rumah panjang yang sedia ada (G.N. Appell, 1966, 1967, 1976a, 1978; dalam Laura W.R.Appell, 1992;4). Bagaimanapun pasangan atau unit keluarga yang baru ini bebas memilih mana-mana kampung sebagai tempat untuk menetap selepas itu. Biasanya, keselesaan hidup, adanya tanah yang diwariskan oleh pihak keluarga atau kawasan pertanian yang subur dan suasana masyarakat harmoni atau atas permintaan dari mana-mana pihak keluarga, boleh mempengaruhi tempat tinggal atau penempatan unit keluarga yang baru ini. Keluarga baru ini akan terus berkembang apabila sudah mendapat anak, seterusnya menjadi keluarga yang kukuh apabila anak-anak sudah dewasa. Ibu atau bapa yang sudah tua yang sudah tidak mampu bekerja lagi, biasanya memilih untuk tinggal di rumah anak bongsu, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini disebabkan anak bongsu adalah yang paling lewat berkahwin dan tidak mempunyai tanggungan yang ramai berbanding dengan saudaranya yang lain yang sudah berkahwin dan beranak-pianak. Itulah sebabnya anak bongsu biasanya akan mewarisi harta pusaka keluarga. Walau bagaimanapun harta warisan yang lain akan dibahagikan kepada semua anak, termasuk anak bongsu yang telah menerima harta pusaka, secara seadiladilnya mengikut pertimbangan ibubapa. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ibu bapa biasanya akan cuba membisikkan ilmu tertentu warisan keluarga kepada anak yang dipilih dan dianggapnya sesuai dan mampu atau 'terangkat' akan ilmu yang diwariskan itu.

Bentuk perkahwinan dalam masyarakat Rungus adalah monogami, iaitu suami hanya ada satu isteri. Kejadian poligami (miapid) sangat jarang berlaku. Poligami hanya berlaku atas sebab tertentu seperti terpaksa berkahwin kerana berzina sama ada dengan iparnya atau sesiapa juga. Kadang-kadang dilakukan juga oleh lelaki berada dan berkemampuan dari segi sara hidup, atau disebabkan isteri mandul. Selain itu, poligami jarang berlaku kerana masyarakat Rungus memandang negatif akan amalan poligami Perceraian adalah perkara yang sentiasa dielakkan oleh ibu bapa dan masyarakat. Perceraian tidak digalakkan walaupun pasangan ada hak untuk meminta cerai. Jika sekiranya perceraian terjadi juga setelah melalui beberapa jalan penyelesaian (umpug), anak-anak akan diminta memilih pihak mana yang akan diikuti atau berkecuali saja. Biasanya pihak isteri akan menjaga anak-anak manakala lelaki bebas menentukan masa depannya. Harta akan dibahagikan sama rata jika perceraian adalah atas persetujuan kedua pihak. Namun demikian, jika salah satu pihak didapati bersalah atas perceraian, maka pihak yang tidak bersalah akan mendapat lebih banyak harta. Biasanya pengadilan kes perceraian akan dilakukan oleh ketua kampung pihak isteri dan pihak suami, ketua kampung berdekatan dan tokoh-tokoh masyarakat setempat. Biasanya usaha memujuk pasangan untuk berdamai akan memulakan perbicaraan dan kata putus perceraian adalah jalan terakhir yang seboleh-bolehnya dielakkan (Paul Porodong, 1997; dalam Jeubirin Bin Sopital, 2000:52). Menurut Paul (1999:139) lagi, sekiranya berlaku kes kematian pasangan, maka keizinan perlu diperolehi daripada 'bekas' mertua untuk berkahwin semula. Sekiranya isteri yang meninggal dan mempunyai adik perempuan yang belum berkahwin, adalah diharapkan agar si suami 'memberikan pertimbangan sewajarnya' kepada adik iparnya.
http://raymondmajumah.blogspot.com/2009/02/mengenali-suku-kaum-rungus-atau-etnik_20.html

Anda mungkin juga menyukai