Anda di halaman 1dari 11

Typhoid / Demam Kepialu Sumber : dari Utusan Online Apa itu demam kepialu?

Demam kepialu merupakan sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella thypi (S. thypi). Ia biasa ditemui di beberapa bahagian negara membangun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, sebanyak 16 juta kes demam kepialu berlaku saban tahun. Kira-kira 600,000 daripadanya meragut nyawa. Demam kepialu boleh dicegah melalui pemvaksinan dan biasanya boleh dirawat dengan penggunaan antibiotik bagi mengurangkan tempoh kesakitan serta mengurangkan gejala-gejalanya. Bagaimanakah ia menular? S. thypi hanya berumah di dalam tubuh manusia. Seseorang yang menghidap penyakit ini akan membawa bakteria di dalam saluran darah dan saluran pencernaan mereka. Sebilangan kecil daripada pesakit yang dinamakan sebagai pembawa, pulih daripada penyakit ini tetapi terus membawa bakteria di dalam badannya. Apabila kedua-dua pesakit dan pembawa membuang air besar, S. thypi turut dikeluarkan bersama-sama najis. Anda boleh jatuh sakit sekiranya memakan makanan dan meminum minuman yang dikendalikan oleh seseorang yang mengeluarkan S. thypi ataupun, jika sisa kumbahan tercemar dengan bakteria S. thypi memasuki air yang anda gunakan untuk minum atau membersihkan makanan. Oleh kerana itu, demam kepialu sering ditemui di tempat-tempat di mana penduduknya kurang mengamalkan membasuh tangan manakala airnya mungkin tercemar dengan sisa kumbahan. Sekali bakteria S. thypi dimakan atau diminum, ia akan membahagi dan merebak ke dalam saluran darah dan badan akan bertindak balas dengan menunjukkan beberapa gejala seperti demam. Langkah-langkah pencegahan Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan dua tindakan asas bagi melindungi diri anda daripada demam kepialu: 1. Rebus, masak, kupas atau lupakan sahaja. Elakkan makanan serta minuman yang berisiko. Ini mungkin mengejutkan anda tetapi melihat apa yang anda makan dan minum terutamanya semasa dalam perjalanan adalah sama pentingnya seperti anda mendapat pelalian. Dengan menghindari makanan berisiko juga mampu melindungi diri anda daripada lain-lain penyakit seperti cirit-birit, kolera/taun, disenteri dan hepatitis A.

2. Dapatkan pemvaksinan. Jika anda menetap atau dalam perjalanan menuju ke negara yang biasa diserang wabak demam kepialu, anda perlu menimbangkan pemvaksinan menentang demam kepialu. Berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang pilihan vaksin anda. Apakah gejala-gejala demam kepialu? - Demam tinggi yang berpanjangan, setinggi 39o hingga 40o Celsius - Badan terasa lemah dan tidak bermaya - Sakit perut dan hilang selera makan - Sakit perut - Dalam sesetengah kes, pesakit akan mengalami ruam bertompok warna merah jambu (seperti bunga mawar) - Satu-satunya cara untuk mengesahkan sama ada seseorang itu menghidap demam kepialu adalah dengan cara menguji sampel najis atau darah bagi mengesan kehadiran S. thypi. Apakah yang boleh anda lakukan? Jika anda mengesyaki diserang demam kepialu, segeralah berjumpa doktor. Mereka yang diberikan antibiotik lazimnya akan mula menunjukkan tanda-tanda pulih dalam tempoh dua hingga tiga hari. Kematian jarang berlaku jika pesakit mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pesakit yang tidak mendapatkan rawatan akan terus mengalami demam sehingga berminggu dan berbulan lamanya. Sebanyak 20 peratus daripada mereka akan meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi jangkitan. Bahayanya tidak akan berakhir... Sekalipun gejalanya kelihatan seperti telah tiada, namun, anda masih berkemungkinan membawa S. thypi. Jika demikian, penyakit itu mungkin datang semula dan anda dalam masa yang sama boleh menyebarkan demam kepialu kepada orang lain. Malah, jika anda terlibat dalam kerja-kerja mengendalikan makanan dan menjaga kanak-kanak kecil, anda mungkin dilarang meneruskan tugas sehinggalah doktor benar-benar pasti anda tidak lagi membawa bakteria S. thypi. ___________________________________________________________________ ________ Sumber kedua : dari Utusan Online DEMAM KEPIALU PEMBAWA MUNGKIN `SIHAT' Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

Sejarah KASIHAN Mary Mallon... penghijrahannya seorang diri dari Ireland ke Amerika Syarikat (AS) ketika berusia 14 tahun hanyalah dengan satu tujuan, demi mencari sesuap nasi. Tetapi, kasihan lagi mereka yang memakan hidangan hasil tangan tukang masak yang pernah dicap sebagai wanita paling berbahaya di AS ini. Dia begitu dibenci ketika itu sehingga ada akhbar yang menggambarkan Mary di dapur sambil sebelah tangannya memegang kuali manakala sebelah lagi memasukkan tengkorak manusia ke dalamnya. Ke mana sahaja Mary pergi, beberapa orang jatuh sakit dan mati di tangannya. Apa, teruk benarkah masakan Mary? Air tangan Mary sebenarnya mampu menyediakan hidangan yang cukup menyelerakan. Malangnya, ia membawa sejenis kuman pembawa maut - bakteria Salmonella typhi (S. typhi). Mary pada mulanya menjadi tukang masak di rumah orang kaya di Mamaroneck, New York pada tahun 1900 sebelum berpindah ke Manhattan. Kedua-dua keluarga majikannya itu mendapat demam dan cirit-birit, sebahagian gejala tifoid atau demam kepialu, manakala seorang tukang cuci meninggal dunia. Mary kemudiannya bekerja pula dengan seorang peguam dan berhenti selepas tujuh hingga lapan orang ahli keluarga tuannya itu mengalami peristiwa sama. Persinggahan seterusnya adalah di Long Island di mana dalam masa dua minggu, empat hingga 10 keluarga majikannya dimasukkan ke hospital. Mary terus bertukar-tukar majikan yang menyaksikan tiga buah keluarga lagi telah dijangkitinya. Sehinggalah pada tahun 1906 apabila satu wabak ganjil di New York menarik perhatian Dr. George Soper. Tifoid lazimnya menyerang golongan miskin dan persekitaran kotor. Peliknya, wabak tersebut terjadi di kalangan individu berharta. Siri penyiasatan Dr. Soper akhirnya menuding kepada seorang tukang masak yang berusia 40-an dan belum berkahwin iaitu Mary. Dia berjaya dijejaki di sebuah penthouse di Park Avenue di mana penyakit itu sedang aktif. Dua pembantu rumah terlantar di wad selain turut mengorbankan anak perempuan pemilik kediaman itu.

Sambil bermati-matian menafikan pernah menghidap tifoid, Mary telah memaki Dr. Soper apabila diminta contoh najisnya. Dia turut mengugut doktor berkenaan menggunakan pisau pemotong daging, memaksa pihak polis dan pegawai kesihatan New York campur tangan membawa kepada penangkapan Mary. Kerana tidak memahami bagaimana orang sihat sepertinya boleh merebakkan penyakit, Mary cuba melawan balik dan meronta-ronta agar dilepaskan. Semasa disoal siasat, Mary mengakui dia jarang membasuh tangannya ketika memasak kerana tidak nampak apa keperluannya. Kultur air kencing dan najisnya yang diambil dengan bantuan matron penjara mengesahkan pundi hempedu Mary dipenuhi dengan S. thypi. Mary enggan menjalani pembedahan bagi membuang pundi hempedunya itu mahupun berhenti kerja sebagai tukang masak dan tetap berdegil. ``Saya tidak membawa sebarang penyakit,'' tegasnya. Pihak berwajib terpaksa mengisytiharkan Mary sebagai musuh kesihatan awam nombor satu lalu mengasingkannya di dalam sebuah kotej di Bronx, tanpa dibicarakan. Dia bersumpah menjadi mangsa konspirasi kerajaannya. Bagaimanapun, dia dibenarkan bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Riverside. Pada tahun 1910, Mary dibebaskan dengan jaminan untuk kekal dengan tugasan barunya itu. Kerana pendapatan yang tidak mencukupi, Mary yang menukar nama keluarganya kepada Brown akhirnya berpaling tadah dan untuk tempoh lima tahun berikutnya, dia terus menularkan penyakit dan menyebabkan kematian dari dapur-dapur tempat dia bekerja. Semasa suasana kecoh berikutan tercetusnya wabak tifoid serius di kalangan kakitangan Hospital Wanita Sloan yang meragut dua nyawa dengan 25 orang disahkan menghidapinya, Mary menghilangkan diri dari dapur tempat kerjanya. Tidak lama kemudian, dia berjaya diberkas di Long Island tetapi enggan bekerjasama dengan pegawai kesihatan untuk mengumpul sejarah perubatannya bagi tujuan penyelidikan. Kedegilannya itu telah menyebabkan Mary dikuarantin seumur hidup di sebuah pulau. Popularitinya ketika itu mengalahkan celebrity.

Mary meninggal dunia pada tahun 1938 akibat radang paru-paru. Bedah siasat mendapati pundi hempedunya masih lagi aktif menghasilkan S. typhi sebelum disemadikan! Mary Mallon aka Typhoid Mary dikenal pasti sebagai pembawa tifoid pertama yang sihat, tanpa menunjukkan apa-apa tanda penyakit itu. Bagaimanapun, pakar-pakar percaya, Mallon mungkin pernah beberapa kali mendapat jangkitan yang tidak berbahaya tanpa disedarinya, tetapi setiap kali itu jugalah dia sembuh. Bakteria itu kekal berada di dalam tubuh badannya dan kerjanya sebagai tukang masak memudahkan perpindahannya kepada orang lain yang memakan masakannya. Menurut seorang pakar perubatan di salah sebuah pusat perubatan swasta di Pulau Pinang, S. typhi tergolong dalam kumpulan bakteria Salmonella yang diketahui menyebabkan cirit-birit. ``Tifoid adalah penyakit yang serius kerana mengakibatkan komplikasi yang mengancam nyawa, kematian dan penyakit yang boleh terus menular dalam satusatu komuniti. ``Kebanyakan wabak tifoid dikesan berpunca daripada punca air atau telaga tercemar yang sama,'' katanya. Menurutnya, kebersihan diri dan sanitasi (penjagaan kebersihan awam) yang tidak diberikan keutamaan meningkatkan risiko penularan penyakit ini. Tifoid lazim berlaku di Asia dan Afrika. Bagaimanapun, rata-rata kes semasa di AS dan Eropah sebenarnya berpunca daripada pendatang dan para pelancong yang baru kembali dari kawasan yang lebih berisiko tinggi.

Bagaimanakah tifoid merebak? * Memakan atau meminum makanan atau minuman yang tercemar oleh bakteria S. typhi * Pembuangan najis di merata-rata tempat * Hinggapan lalat (lipas dan tikus) yang membawa kuman tifoid. Sekali bakteria memasuki darah, ia boleh bercambah di mana-mana anggota badan. Bakteria yang memasuki tubuh seseorang dibawa dalam saluran usus dan darah manusia dan terus membahagi seterusnya, menimbulkan gejala-gejala penyakit.

Simptom-simptom tifoid?

* Mata layu dan cengkung * Perut meragam dan sakit * Tiada selera makan * Lemah lesu * Sakit kepala yang teruk * Demam berulang-ulang selama beberapa minggu dengan kepanasan mencecah 39 hingga 40o C * Sembelit yang diikuti cirit-birit selama dua tiga minggu. Najis biasanya berwarna hijau terang, turut dikenali dengan nama cirit-birit sup kacang pea. * Ruam berbentuk bunga ros * Mengalami delusi dan halusinasi (khayal dan keliru) * Tidak sedarkan diri dan meracau.

Komplikasi Tifoid boleh membawa maut lazimnya disebabkan oleh pendarahan dan kebocoran pada usus yang dijangkiti selain kegagalan buah pinggang dan peritonitis. Pusat Kawalan Penyakit, AS (CDC) menganggarkan, sekurang-kurangnya 20 peratus kes tidak dapat diselamatkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pembawa tifoid? Seseorang itu mampu menjadi pembawa tifoid tanpa menunjukkan sebarang simptom. Ini bermakna, individu yang dijangkiti (kadangkala dengan gejala yang ringan) dan sembuh, terus menyimpan bakteria di dalam pundi hempedu. Dalam kata lain, seseorang itu akan kekal sihat seperti halnya Mary yang menjadi pembawa pertama berjaya dijejaki di AS. CDC turut menganggarkan antara satu hingga 20 orang yang dijangkiti tifoid masih membawa penyakit itu selepas sembuh. Diagnos dilakukan melalui ujian contoh darah dan najis.

Rawatan tifoid Dewasa ini, terdapat ubat-ubatan moden seperti ubat telan dan antibiotik intravena yang boleh digunakan. Sebelum ini, doktor memberikan ubat chloramphenicol selama 14 hari kepada pesakit.

Walaupun mempunyai keberkesanannya, namun, ia memberikan kesan sampingan terhadap tulang sumsum sehingga menjejaskan penghasilan sel-sel darah. Adalah penting bagi pesakit menghabiskan dos ubat-ubatan dan mendapatkan rawatan susulan bagi memastikan ia tidak berulang dan mereka bukan pembawa.

Bagaimana pula dengan vaksinasi? Suntikan imunisasi tifoid boleh dilakukan setiap dua tahun manakala vaksin oral diambil setiap lima tahun. Bagaimanapun, vaksinasi tidak memberikan jaminan perlindungan 100 peratus.

Langkah-langkah pencegahan * Minum air yang telah dimasak sahaja. Masak air sekurang-kurangnya lima minit penuh (apabila air sudah masak, biarkan ia selama lima minit lagi) * Buat air batu menggunakan air yang dimasak. Sekiranya sedang dalam perjalanan, gunakan air botol atau minuman berdesis berkarbonat tanpa ais. Anda hendaklah lebih berhati-hati dengan ais kacang atau air batu campur yang menggunakan ais hancur, terutama sekali dalam keadaan sekarang. * Makan makanan yang baru dimasak. Jika terpaksa makan di kedai, pastikan makanan yang dipesan khas dan berada dalam keadaan `berasap' kerana baru diangkat dari dapur * Tudung semua makanan dan minuman agar tidak dihinggapi lalat. Letakkan makanan di tempat tinggi * Gunakan penyepit, senduk, sudu atau garpu bersih untuk mengambil makanan * Buah-buahan hendaklah dikupas dan dibilas sebelum dimakan * Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyedia atau memakan makanan, membuang sampah sarap, memegang bahan mentah atau selepas membuang air besar Anda akan mendapati insiden tifoid berkurangan dengan amalan ini yang sepatutnya menjadi tabiat seharian dan bukan hanya musim wabak. * Pilih gerai dan pengendali makanan yang bersih. Dalam keadaan sekarang, adalah baik sekiranya orang ramai mengelak daripada membeli makanan atau minuman daripada penjaja jalanan terutamanya yang menjual minuman sejuk. * Hapuskan tempat pembiakan lalat-lalat bagi mengelakkan pembiakan * Gunakan tandas yang sempurna * Segeralah berjumpa doktor jika mengalami tanda-tanda dijangkiti tifoid.
http://paramedik.bbfr.net/Typhoid-Demam-Kepialu-h6.htm

GEORGE TOWN - Gara-gara meletakkan bahan makanan yang sudah digoreng di atas surat khabar lama, sebuah premis nasi kandar di Ayer Itam di sini semalam berdepan dengan enam kesalahan kebersihan dengan kompaun berjumlah RM510. Bukan setakat itu, selain itu, sisa-sisa masakan turut dibuang ke dalam longkang sehingga menyebabkan berlaku pencemaran. Menurut Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong, operasi kebersihan yang dijalankan oleh pihaknya itu berdasarkan aduan pelanggan di situ. Beliau berkata, selain faktor kebersihan, empat pekerja premis tersebut juga didapati tidak mendapat suntikan typhoid termasuk tidak menggunakan apron, topi dan sarung tangan ketika bekerja. "Selepas pemeriksaan, kita tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun sebanyak RM510 kepada restoran berkenaan. "Kita juga memberikan tempoh pembayaran semula kompaun iaitu selama dua minggu mulai hari ini (semalam). Sekiranya pemilik premis berkenaan dapat membuat pembayaran dalam tempoh tersebut, diskaun sebanyak 50 peratus akan diberikan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=n e_09.htm

August 04, 2010 18:49 PM Peniaga Makanan Di Kelantan Diminta Jaga Kebersihan KOTA BAHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Berikutan meningkatnya kes penyakit berjangkit melalui makanan dan minuman di bulan puasa, Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK) Rabu mengeluarkan amaran kepada peniaga di negeri ini agar menjaga kebersihan. Timbalan Pengarah JKK (Kesihatan Awam), Dr Wan Mansor Hamzah berkata amaran itu bukan sahaja membabitkan penjagaan kebersihan makanan yang dijual, tetapi juga kebersihan diri penjual dan tempat yang digunakan untuk menjual makanan. "Amaran ini dikeluarkan berdasarkan pengalaman jabatan ini pada setiap kali bulan Ramadan di masa-masa yang lalu, didapati kes-kes penyakit berjangkit melalui makanan dan air boleh meningkat. Beliau dalam satu kenyataan menyenaraikan makanan yang didapati berisiko tinggi menjadi pembawa kuman penyakit brdasarkan jenis makanan yang banyak proses penyediaan dan tidak dimasak sepenuhnya seperti kerabu perut, kerabu sotong, rojak mee, rojak buah, nasi kerabu, air minuman perahan (air tebu, air kacang soya), kuih muih berkelapa parut (onde-onde), air minuman bancuhan (air bandung, lee chi kang) dan minuman yang menggunakan kelapa mentah (air cendol). Dr Wan berkata pada bulan Ramadan tahun lalu, JKK mengambil sejumlah 617 sampel pelbagai jenis makanan dan air minuman bagi tujuan analisa tahap kebersihan. Daripada jumlah itu, 322 sampel atau 52 peratus darinya menunjukkan tahap

kebersihan yang tidak memuaskan kerana mengandungi bakteria seperti E.coli, Staphlococcus aureus, Baccilus cereus dan juga Salmonella, katanya. "Justeru sebagai langkah berjaga-jaga, kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil dan mengamalkan langkah antaranya ketika membeli makanan, iaitu membeli makanan dari penjual yang mengamalkan cara-cara pengendalian makanan yang bersih dan juga menjaga kebersihan diri," katanya. Dr Wan Mansor berkata peniaga makanan dinasihatkan supaya mengutamakan kebersihan dalam penyediaan dan pennualan makanan supaya pengguna tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan selepas memakan makanan yang dibeli. Menurutnya pengendali makanan yang masih belum menerima suntikan pelalian typhoid semasa pemeriksaan dilakukan, diminta mengambil suntikan berkenaan serta merta dari kakitangan JKK yang bertugas semasa pemeriksaan di mana-mana pejabat kesihatan daerah berhampiran. "Pengawasan melalui pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan akan dilakukan oleh JKK di semua pasar Ramadan di negeri ini bagi memastikan makanan yang dijual tidak menjadi punca jangkitan penyakit berjangkit seperti demam kepialu, taun dan juga keracunan makanan. "Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1985 yang melibatkan penutupan premis makanan akan diambil sekiranya didapati tahap kebersihan serta keselamatan makanan yang dijual kurang memuaskan," katanya. Selain itu katanya orang ramai juga diminta mengemukakan apa-apa aduan penjualan makanan yang tidak bersih kepada mana-mana pejabat kesihatan yang berhampiran. Beliau berkata JKK akan mewujudkan kaunter aduan khusus di tapak pasar Ramadan yang popular seperti di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di Kota Baharu bagi memudahkan pengguna membuat sebarang aduan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=518830&cat=tm

Demam Kepialu (Tifoid)


Apakah itu Demam Kepialu ?
Demam Kepialu adalah satu jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi).

Seseorang yang dijangkiti oleh demam kepialu, membawa bakteria ini di dalam darah dan usus. Mereka boleh mencemari makanan dan minuman melalui penyediaannya dan boleh menjangkiti orang lain. Di Malaysia, sejumlah 785 kes- kes demam kepialu telah dilapurkan pada tahun 2003 ( Kadar insiden 3.13 /100,000 penduduk )

Apakah jenis-jenis makanan yang biasa di kaitkan ?



Makanan bercengkerang ( Etok, kerang, kepah, kupang, lala dan tiram ) Sayuran mentah (ulam dan salad) Cendol Susu mentah

Apakah tanda-tanda dan gejala ?


Kebiasaannya gejala akan muncul selepas 1 - 2 minggu tetapi ia juga boleh berlaku dari 3 hari hingga 3 bulan selepas pendedahan. Gejala :

Demam berterusan dan berpanjangan, suhu melebihi 40 C Cirit birit Sembelit Sakit perut Sakit kepala Sakit badan / lemah / letih lesu Kurang selera makan Batuk tanpa kahak Denyutan jantung perlahan ( bradycardia ) Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan) Bengkak limpa dan hati

Bagaimanakah penyakit ini merebak ?



Melalui makanan dan minuman yang tercemar oleh tinja (najis ) manusia yang mengandungi bakteria salmonella typhi. Melalui makanan dan minuman yang di sediakan oleh pembawa bakteria (typhoid carrier)

Komplikasi Penyakit

Menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya Seorang yang tiada tanda / simptom atau sembuh dari demam kepialu boleh menjadi pembawa bakteria kepialu (Pembawa Typhoid).

Rawatan

Perlu berjumpa doctor untuk mendapatkan rawatan awal. Rawatan dengan antibiotik seperti chloramphenicol , ampicilin, ciprofloxacin biasanya diberikan

Bagaimanakah untuk mencegah Demam Kepialu ?



Basuh tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas dan juga sebelum menyediakan makanan Hanya makan makanan yang telah masak sepenuhnya Elakkan makanan dan minuman berisiko seperti sayuran mentah / ulam, buahan, makanan dari penjaja, ais semasa berlakunya wabak. Minum air yang telah dimasak atau air yang telah dibotolkan. Elakkan ais kecuali ais yang di buat dari air yang telah dimasak atau air yang telah dibotolkan Mendapatkan Pelalian Vaksin Demam Kepialu

Kekalkan kebersihan dan sistem pembuangan tinja najis yang sesuai terutama salepas banjir atau bencana alam Hanya gunakan air bersih untuk penyediaan makanan

Apakah tindakkan jika saya disyaki mendapat penyakit demam kepialu ?


Jumpa doktor anda segera

Mendapatkan Pelalian Vaksin Demam Kepialu


Apakah vaksin Demam Kepialu?

Dapat melindungi jangkitan Demam Kepialu dalam kadar 70%-90% Boleh di perolehi dalam bentuk suntikan atau dalam bentuk pil untuk dimakan Berkesan selepas seminggu pemberian vaksin Tidak bekesan selepas beberapa tahun (Kebiasaannya dalam tempoh 1 tahun bagi vaksin bentuk pil dan 3 tahun bagi vaksin suntikan)

Siapakah patut mendapat pelalian vaksin Demam Kepialu?



Jika anda melancong ke negara-negara seperti Latin Amerika, Afrika, dan Asia dimana penyakit ini masih dilaporkan. Pengendali makanan terutama pemilik kedai makan, penjaja, pemilik kantin / gerai dan semua pekerja- pekerjanya yang mengendalikan makanan.

Di Malaysia, semua pengendali makanan di mestikan mendapatkan vaksin pencegah Demam Kepialu. Kebanyakkan pihak berkuasa tempatan telah mensyaratkan semua peniaga mendapatkankan vaksin Demam Kepialu sebelum diberi lesen berniaga.

Di mana saya boleh mendapat pelalian vaksin Demam Kepialu?



Semua klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta. Anda diminta merujuk dengan doktor untuk maklumat lanjut.

http://www.izieherb.net/demamkepialutifoid.htm

Anda mungkin juga menyukai