Anda di halaman 1dari 7

HUBUNGAN IBADAH DENGAN KEHIDUPAN SEHARIAN

Percayakah kita bahawa perkara yang biasa kita lakukan setiap hari seperti makan minum dan masuk tandas adalah dikira beribadah kepada Allah dan mendapat pahala? Inilah keistimewaan agama Islam, kerana ruang ibadah amat luas sekali. Ianya merangkumi setiap amalan kehidupan manusia. Faham Ibadah dalam agama Islam berlainan sama sekali dengan amalan kepercayaan dan agama lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, menolak dan meninggalkan kehidupan dunia, ianya juga bukan terbatas kepada tempat-tempat atau masa tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu atau dewa-dewa yang dipilih yang tanpa mereka amalan seseorang itu tidak akan diterima. Hidup manusia dibumi ini bukanlah suatu kehidupan yang tidak mempunyai tujuan dan matlamat dan bukanlah mereka boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak perasaan dan keinginan tanpa ada batas dan tanggungjawab. Tetapi penciptaan makhluk manusia di bumi ini adalah mempunyai suatu tujuan dan tugas risalah yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah Tuhan yang menciptanya. Tugas dan tanggungjawab manusia sebenarnya telah nyata dan begitu jelas sebagaimana terkandung di dalam al-Quran iaitu tugas melaksanakan ibadah mengabdikan diri kepada Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya dalam makna mentadbir dan mengurus bumi ini mengikut undang-undang Allah dan peraturan- Nya. Ibadat merupakan tugas dan kewajipan menusia terhadp Allah s.w.t, Tuhan yang menciptakan dan juga mencipta alam semesta ini. Ia juga merupakan matlamat utama mengapa Allah menjadikan manusia sebagaimana yang diterangkan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Dzariat ayat 56 yang bermaksud : Dan tidaklah Aku jadikan manusia melainkan semata-mata untuk beribadat kepadaKu". Berdasarkan dalil di atas jelas menunjukkan bahawa ibadat merupakan perkara yang sangat penting yang mesti difahami betul -betul oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan para RasulNya sebelum ia diamalkan dan dihayatinya. Konsep ibadah dalam Islam pula merangkumi segala kegiatan manusia sama ada dari segi rohaniah, jasmaniah, dunia , akhirat, zahir dan batin yang mencakupi semua perkara dan perbuatan yang sesuai dengan suruhan dan larangan Allah s.w.t iaitu mentaati segala yang disuruh dan me njauhi apa yang dilarang.

Tugas sebagai khalifah Allah ialah memakmurkan bumi ini dengan mentadbir serta mengurusnya dengan peraturan dan undang-undang Allah. Tugas beribadah dan mengabdi diri kepada Allah dalam rangka melaksanakan segala aktiviti pengurusan bumi ini yang tidak terkeluar dari garis panduan yang datang dari Allah swt. dan dikerjakan segala kegiatan pengurusan itu dengan perasaan ikhlas kerana mencari kebahagian dunia dan akhirat serta keredaan Allah. Allah swt. telah menyediakan garis panduan yang lurus dan tepat kepada manusia dalam rangka pengurusan ini. Allah dengan rasa kasih sayang yang bersangatan kepada manusia diturunkannya para rasul dan bersamanya garis panduan yang diwahyukan dengan tujuan supaya manusia itu boleh mengurus diri mereka dengan pengurusan yang lebih sempurna dan bertujuan supaya manusia itu dapat hidup sejahtera dunia dan akhirat. Kalimat ibadah berasal daripada kalimat `abdun. Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat, setia, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu. Dari segi istilah agama Islam pula ialah tindakan, menurut, mengikut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diserukan oleh para Rasul-Nya, sama ada ia berbentuk suruhan atau larangan. Ibnu Taimiah pula memberi takrif Ibadah, iaitu nama bagi sesuatu yang disukai dan kasihi oleh Allah swt. Perintah Allah dan Rasul-Nya ini hendaklah ditunaikan dengan perasaan penuh sedar, kasih dan cinta kepada Allah, bukan kerana terpaksa atau kerana yang lain dari cintakan kepada-Nya. Para Nabi dan Rasul merupakan hamba Allah yang terbaik dan sentiasa melaksanakan ibadah dengan penuh kesempurnaan di mana setiap arahan Tuhannya, mereka patuhi dengan penuh perasaan cinta dan kasih serta mengharap keredaan dari Tuhannya. Mereka menjadi contoh teladan yang paling baik kepada kita semua dalam setiap pekerjaan dan amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran itu sendiri. Firman Allah swt. maksudnya: Sesungghnya bagi mu, apa yang ada pada diri Rasulullah itu contoh yang paling baik. (alAhzab: 21)

Sesetengah ulama mengatakan bahawa perhambaan (ibadah) kepada Allah hendaklah disertai dengan perasaan cinta serta takut kepada Allah swt. dan hati yang sihat dan sejahtera tidak merasa sesuatu yang lebih manis, lebih lazat, lebih seronok dari kemanisan iman yang lahir dari pengabdian (ibadah) kepada Allah swt. Dengan ini maka akan bertautlah hatinya kepada Allah dalam keadaan gemar dan reda terhadap setiap perintah serta mengharapkan supaya Allah menerima amalan yang dikerjakan dan merasa bimbang serta takut kalau-kalau amalan tidak sempurna dan tidak diterima oleh Allah. Ulama telah membahagikan ibadah kepada dua bahagian iaitu ibadah Ammah iaitu Ibadah umum manakala Ibadah Khassah bermaksud ibadah khusus. Ibadah Khassah (khusus)ialah ibadah yang caranya, rukunnya dan syaratnya telah ditetapkan oleh Allah swt iaitu ibadah yang mana struktur, sistem dan peraturannya telah ditetapkan oleh Syariat Islamiyyah secara lengkap dan terperinci dan mesti dilaksanakan dengan sempurna. Dalam ibadah jenis ini, kita hanya melaksanakan sahaja sesuai dengan apa yang ditetapkan tanpa boleh meminda, merubah, menambah atau menguranginya. Contohnya sembahyang, puasa, zakat dan mengerjakan haji. Dengan erti kata lain mesti ditunaikan oleh setiap individu yang mencakupi syarat-syarat dan digelar sebagai ibadah 'Fardhu Ain'. Ibadah khusus yang dilakukan akan diterima sekiranya ibadah tersebut

mengandungi dua perkara iaitu,niat yang ikhlas kerana Allah swt. dan melakukannya dalam bentuk yang ditentukan untuk ibadah tersebut.

Ibadah umum (Ammah) ialah ibadat yang meliputi segala aspek kehidupan manusia. Iaitu pengabdian diri secara tidak langsung kepada Allah menerusi semua urusan kehidupan duniawi yang mengikat hubungan sesama manusia dan makhluk lain yang berlandaskan aqidah dan syariat Islam. Antara urusan tersebut termasuklah aktiviti atau amalan manusia di ladang, kilang, pejabat, rumah atau di mana saja ia berada dan pada bila -bila masa tanpa terikat dengan satu-satu jangkamasa dan tempat-tempat tertentu dan kegiatan kehidupan seharian tetapi mempunyai syarat -syarat tertentu. Seseorang Muslim yang beribadat kepada Allah swt dengan fikirannya, dengan hatinya, dengan lidahnya, dengan pendengarannya, penglihatannya dan segala pancainderanya, beribadat dengan badannya, dengan hartanya, dengan mengorbankan jiwanya dan lain-lain seperti menuntut ilmu, berniaga dan sebagainya.

Setiap apa yang dilakukan samada yang bersangkutan dengan individu mahupun masyarakat boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah jika memenuhi syarat-syarat tertentu. Ibadah bukan hanya merupakan solat, puasa, zakat dan ibadat haji semata-mata. Tetapi ibadah merangkumi segenap pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari meskipun dia tidak duduk di masjid-masjid atau surau ketika membuat kerja-kerja itu. Semuanya dikira ibadah kepada Allah apabila mencukupi dua syarat yakni pertama, niat kerana Allah dan syarat yang kedua, cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam. Selagi kita melaksanakan apa sahaja kerja dengan niat kerana Allah yang tidak haram menurut pandangan alam Islam, selagi itulah kerja-kerja kita dinamakan ibadah. Kerja-kerja tersebut akan dijadikan alat untuk menyempurnakan taat kita kepada Allah dan akan memudahkan kita menjadi khalifah Allah di muka bumi. Oleh itu, jika kita makan minum agar kita bertenaga untuk taat kepada Allah dan beribadat kepadaNya, maka makan dan minum kita berubah menjadi ibadah dan mendapat pahala. Mencari rezeki pun menjadi ibadah kepada Allah, kita mencari rezeki yang halal untuk menegakkan hidup kita dan memenuhi segala keperluan keluarga, juga menjadi ibadah kepada Allah. Demikian juga jika seseorang itu bernikah untuk memelihara dirinya dari maksiat juga akan menjadi ibadah kepada Allah. Perkahwinan serta kesusahan mendidik anak cucu, semuanya itu berubah menjadi ibadah kepada Allah. Bersenam untuk menguatkan jasmani dan memelihara kesihatan supaya mampu dan kuat melakukan ibadah khusus juga merupakan ibadah. Ibadah dalam Islam meliputi semua urusan kehidupan yang mempunyai paduan yang erat dalam semua lapangan hidup dunia dan akhirat, tidak ada pemisahan antara kerja-kerja mencari kehidupan di muka bumi ini dan hubungannya dengan balasan akhirat. Islam mengajarkan kepada kita setiap apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia ada nilai dan balasan sama ada pahala atau siksa. Inilah keindahan Islam yang disebut sebagai ad-Deen yang lengkap sebagai suatu sistem hidup yang boleh memberi kesejahteraan hidup penganutnya di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain setiap amalan atau pekerjaan yang membawa manfaat kepada individu dan masyarakat selama ia tidak bercanggah dengan syarak jika sekiranya ia memenuhi syarat-syaratnya, seperti dikerjakan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata bukan kerana mencari kepentingan dan mencari nama serta ada niat mengharapkan balasan dari manusia atau ingin mendapat pujian dan sanjungan dari manusia; maka amalan-amalan yang demikian akan mejadi ibadah yang diberi pahala di sisi Allah swt di akhirat kelak, insya-Allah.

Berdasarkan kepada konsep ibadah tersebut maka setiap perbuatan pertolongan baik kepada orang lain seperti membantu orang sakit, tolong merengankan beban dan kesukaran hidup orang lain, memenuhi keperluannya, menolong orang yang teraniaya, mengajar dan membimbing orang yang jahil adalah ibadah. Termasuk juga dalam makna ibadah ialah setiap perbuatan, perkataan manusia zahir dan batin yang disukai dan diredai oleh Allah swt. Bercakap benar, taat kepada ibu bapa, amanah, menepati janji, berakata benar, memenuhi hajat keperluan orang lain adalah iabadah. Menuntut ilmu, menyuruh perkara kebaikan dan mencegah segala kejahatan, berjihad, memberi pertolongan kepada sesama manusia, dan kepada binatang, berdoa, puasa, sembahyang, membaca al-Quran semuanya itu juga adalah sebahagian dari ibadah. Begitu juga termasuk dalam pengertian ibadah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, melaksanakan hukum-hukum Allah, sabar menerima ujian, bersyukur menerima nikmat, reda terhadap qadha dan qadar-Nya dan banyak lagi kegiatan dan tindakan manusia yang termasuk dalam bidang ibadah. Pada dasarnya, amalan seseorang itu akan diberi ganjaran pahala jika ianya memenuhi syarat-syarat yang berkaitan. Syarat-syarat ini adalah pening bagi mengelakkan berlakunya perasaaan riak ataupun bangga diri di dalam ibadat yang boleh menghindarkan pahala. Syarat yang pertama ialah Orang yang melakukannya adalah orang yang beragama Islam, yang beriman kepada Allah swt. Orang yang tidak beriman segala amalannya tidak mempunyai nilai di sisi Allah swt. Syarat yang kedua, niat yang baik, bersih dan ikhlas, jauh daripada niat yang buruk iaitu untuk memenuhi tuntutan agama dan mencari keredhaan Allah swt. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Sesungguhnya ssegala amalan itu bergantung kepada niat dan tiap-tiap oran itu akan dibalas mengikut niatnya...". Syarat yang ketiga, segala pekerjaan yang dilakukan mestilah pekerjaan yang diharuskan dan diterima oleh syariat Islam serta tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Contohnya kerja atau amalan yang haram seperti bekerja di kedaiminuman keras, kelab malam, berjudi dan sebagainya tidak dianggap ibadah walaupun niatnya baik kerana Allah swt. Syarat yang keempat, pekerjaan yang dilakukan itu tidak melalaikan atau menghalang seseorang daripada melaksanakan tanggungjawab yang asasi seperto solat, puasa, zakat dan sebagainya. Syarat yang kelima ialah pekerjaan itu hendaklah dilakukan dengan tekun, cekap dan optimum iaitu melaksanakan tugas dalam lingkungan kemampuan dan kepakarannya. Syarat keenam dan yang terakhir ialah, pekerjaan tu hendaklah disertakan dengan rasa syukur kepada Allah dan dilakukan dengan cara yang sederhana.

Ibadat Umum ini merangkumi hukum-hakam yang mengatur segala hubungan manusia sesama manusia dalam kehidupannya, dalam jualbelinya dan dalam segala kegiatannya. Kegiatan ini bukanlah diwujudkan oleh syarak kerana ia telah wujud sejak sebelum syariat diturunkan oleh Allah. Tetapi peranan syarak ialah memperbaiki, mengekalkan yang baik dan melarang yang merosakkan, merugikan dan membahayakan.

Peringkat Ibadah Al-Tahanui di dalam kitab Mawsua'at istilah al-Ulum al-Islamiah menjelaskan bahawa ibadat itu ada tiga peringkat: Pertama : iaitu ada yang beribadat kepada Allah s.w.t kerana mengharapkan pahala dan takutkan siksa. Yang demikian adalah "ibadat" yang masyhur iaitu yang merupakan ibadat kebanyakan orang mukmin. Kedua : Iaitu ada yang beribadat untuk memperoleh kehormatan dan digelar sebagai hamba Allah. Yang demikian disebut "Ubudiyat" ketiga : iaitu ada yang beribadat kepada Allah kerana membersarkan, mengagongkan dan heibah iaitu perasaan hormat dan takut, malu dan cinta kepadaNya. Ibadat seperti ini merupakan martabat ibadat yang paling tinggi iaitu disebut "Ubudat". Jadi, Ubudat ialah ibadat kepada Allah kerana membesarkanNya atau mengagungkan dan kerana perasaan hormat yang disertai serta malu dan kerana cinta kepada Allah. Ubudat ini adalah lebih tinggi daripada Ibadat dan Ubudiyat. Ibadat tempatnya adalah badan, iaitu menegakkan perintah. Ubudiyat tempatnya adalah ruh iaitu redha dengan segala hukum dan ketetapan Allah dan Ubudat tempatnya adalah sir iaitu rahsia.

Malangnya pada masa kini masih wujud kekeliruan dan salah faham berkenaan ibadah dalam masyarakat. Ada yang menganggap ibadah itu tertumpu kepada solat, puasa, haji dan zakat sahaja; terdapat juga mereka yang beranggapan ibadah itu hanya terkongkong di tempattempat tertentu sahaja dan tidak kurang juga yang berpendapat ruang ibadah itu adalah jauh sekali malah tidak ada sama sekali kaitannya dengan urusan masyarakat. Ibadah merupakan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah, mengamal serta mengikuti kehidupan sebagaimana yang ditentukan olehNya sepanjang masa. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja seseorang itu berada, perhubungan langsung dengan Allah dapat dilaksanakan. Agama Islam menganggap seluruh bumi kecuali tempat-tempat yang najis dan kotor sebagai masjid. Hal ini dapat dilihat dalam amalan Rasulullah SAW sendiri di mana beliau bersembahyang di tengah-tengah padang pasir dan juga semasa berjalan jauh. Perlu diingat bahawa tidak mencukupi dengan hanya mengerjakan ibadah khusus semata-mata dan meninggalkan ibadah yang lebih umum, juga tidak harus ibadah umum melalaikan kita dari ibadah khusus. Harus juga difahami bahawa ibadah yang dilakukan oleh manusia adalah untuk manusia itu sendiri. Ramai yang keliru dengan menganggap ibadah adalah bagi Allah. Allah tidak memerlukan ibadah kita tetapi kita beribadah demi kepentingan dan kebahagiaan diri kita di dunia dan akhirat. Ibadah yang kita lakukan tidak pernah menambah ataupun mengurangkan kehebatan Allah. Ia adalah untuk diri kita sepenuhnya. Kesimpulannya, Allah sahaja yang berhak menilai siapa yang terbaik ibadahnya. Keduadua ibadah khusus dan umum yang disebutkan tadi melengkapkan pergertian ibadah yang sebenar di dalam agama Islam dan menunjukkan bahawa ianya adalah agama yang syumul. Tiada tempat untuk faham-faham yang mengasingkan ibadah dalam kehidupan dan menentukan tempat, waktu dan suasana untuk beribadah. Semoga kita dapat menjadikan seluruh kehidupan yang singkat ini sebagai ibadah yang berpanjangan.

Anda mungkin juga menyukai