Anda di halaman 1dari 5

HUKUM MENGAMBIL SUNTIKAN INSULIN KETIKA BERPUASA

SOALAN: Saya seorang penghidap diabetes yang terpaksa menerima rawatan harian secara suntikan insulin. Saya ingin mendapat maklum balas sama ada suntikan itu membatalkan puasa atau tidak. Jika batal, apakah tindakan yang sepatutnya saya lakukan selepas Ramadan ini, sama ada membayar fidyah atau qada, sedangkan saya tidak menaruh harapan lagi bahawa penyakit yang saya hidapi ini akan lebih baik dan seterusnya memberi peluang kepada saya mengqada puasa yang tertinggal. Saya mengucap setinggi penghargaan dan terima kasih atas jawapan tuan. - A. RASHID, Seksyen 4, Shah Alam.

JAWAPAN

Saya doakan semoga tuan dikurniakan sihat dan afiat, mohonlah kepada Allah dalam bulan yang mulia ini, terutama dalam separuh akhir malam, agar penyakit disembuhkan dengan segera. Tiada penyakit yang tiada ubatnya, kecuali mati dan tua usia.

Kembali kepada soalan tuan, pada dasarnya perkara yang membatalkan puasa seperti yang dijelaskan dalam al-Quran ialah hubungan kelamin, makan dan minum. Tuan boleh ikuti dalilnya dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 187.Hadis pula menambahkan dua perkara lagi iaitu muntah dan bekam.Begitupun dua perkara ini membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja dan hanya menurut sesetengah mazhab sahaja.

Walaupun hubungan kelamin, makan dan minum sudah jelas ertinya, namun ada beberapa perbuatan lagi yang tidak dikira makan dan minum, tetapi menyerupainya seperti merokok dan mengambil bahanbahan khayal melalui sedut dan cium.Ulama sepakat memutuskan, perbuatan-perbuatan seumpama ini juga membatalkan puasa.

Termasuk juga dalam perkara yang membatalkan puasa ialah melakukan perbuatan yang menyerupai hubungan seks seperti mengeluarkan mani dengan tangan, melakukan mukadimah hubungan seks,

menonton filem-filem lucah dan sebagainya sehingga keluar mani. Ulama juga sepakat memutuskan hukumnya membatalkan puasa kerana ia menyerupai hubungan seks.

Banyak lagi perbuatan yang dianggap menyerupai makan dan minum, tetapi ulama tidak sepakat menyatakan hukumnya sama ada membatalkan puasa atau tidak, kerana dari beberapa sudut menyerupai makan dan minum, tetapi dari beberapa sudut yang lain pula berbeza. Perbuatanperbuatan itu adalah seperti suntikan insulin atau ubat-ubatan melalui urat-urat di bawah kulit, memasukkan air ke dalam telinga, mata, hidung dan sebagainya.

Jika perbuatan-perbuatan ini dikatakan makan atau minum, maka pastinya ia membatalkan puasa. Sebaliknya jika tidak dikatakan makan atau minum, maka tidak membatalkan.Kedua-duanya ada pendapat ulama, masing-masing mempunyai logik dan alasan tersendiri.

Oleh kerana suntikan ubat-ubatan tidak berlaku dalam beberapa abad pertama Islam dan tidak terkenal dalam kaedah rawatan tradisional oleh pakar-pakar perubatan Islam, maka hukumnya secara jelas juga tidak diketahui dalam ijtihad ulama silam.Sepanjang yang diketahui jawapannya berdasarkan ijtihad ulama semasa dan badan-badan fatwa daripada beberapa institusi Islam kini.

Saya cuba mengutip pendapat dan fatwa-fatwa terkini yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh yang dianggap berwibawa seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain, untuk dipertimbangkan bagi amalan kita. Saya juga akan mencadangkan jalan terbaik sebagai pilihan penghidap diabetes yang terpaksa mengambil suntikan insulin setiap hari.

Pendapat pertama: Semua perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga (lubang) badan, seperti mulut, hidung dan telinga membatalkan puasa, sama ada terus masuk ke dalam usus atau tidak dan sama ada makanan atau bukan makanan, cecair atau bukan cecair. Kitab-kitab yang ditulis dalam mazhab Syafie seperti Perhimpunan Ibadat karangan Ahmad Sonhaji jelas menyatakan perkara itu membatalkan puasa.

Berpandukan pendapat ini, semua suntikan termasuk insulin, ubat-ubatan, glukos dan lain-lain sama ada ia dimasukkan terus ke dalam usus, kepala atau ke dalam darah, hukumnya membatalkan puasa. Pihak yang terlibat hendaklah mengqada puasanya atau membayar fidyah mengikut hukum yang ditetapkan.

Jika tuan memilih pendapat ini, maka puasa tuan batal kerana pengambilan suntikan itu, tetapi tuan diharuskan berbuka awal-awal lagi dengan alasan sakit, kemudian dikehendaki mengqada atau membayar fidyah, sebaik sahaja selesai Ramadan, iaitu jika tuan dikurniakan sihat dan afiat, atau membayar fidyah jika tuan terus uzur.

Pendapat kedua: Suntikan insulin atau ubat-ubatan seperti suntikan demam kepialu, kolera dan lain-lain tidak membatalkan puasa kerana suntikan itu tidak dianggap makan dan minum dan tidak pula menyerupainya. Makan minum menurut mereka ialah mengambil bahan-bahan berupa makanan, melalui mulut dan ditelan hingga terus ke usus atau rongga.

Suntikan insulin dan ubat-ubatan tidak dikatakan makan atau minum kerana tidak melalui mulut dan tidak pula dibawa terus ke usus.Bagaimanapun, menurut Syeikh Atiyyah Saqr, pengerusi Majlis fatwa Azhar, suntikan glukos membatalkan puasa, kerana suntikan ini menyerupai makan minum.Glukos yang disuntik itu pula berfungsi seperti makanan dan mampu menahan lapar hingga beberapa waktu.Keterangan doktor dalam perkara ini perlu dirujuk.

Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang ilmuwan dan mujtahid terkini, lebih cenderung kepada pendapat tidak membatalkan puasa kerana suntikan glukos hanya menghubungkan terus dengan darah tanpa melalui usus. Ini bererti suntikan glukos dan lain-lain suntikan perubatan termasuk juga insulin tidak dikategorikan sebagai makan atau minum dan sekali gus tidak membatalkan puasa.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, bagi mencapai kesempurnaan puasa, seorang muslim tidak sepatutnya mengambil semua suntikan ini terutama suntikan glukos ketika menjalani ibadah puasa. Mereka boleh mengubah jadual pengambilan suntikan pada waktu malam atau mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Jika suntikan terpaksa juga diambil pada siang hari kerana penyakitnya agak serius, maka sebagai seorang pesakit dia diharuskan berbuka.Jika keadaannya bertambah sihat selepas Ramadan, hendaklah dia mengqada semua puasa yang tertinggal.Jika terus uzur, bolehlah dibayar fidyah iaitu mengeluarkan makanan untuk sekali makan kepada fakir miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

Kadar fidyah seperti yang saya cadangkan dalam artikel terdahulu, jika dipilih untuk memberi harga makan kepada fakir miskin, sebaik-baiknya cukup untuk membeli sebungkus makanan yang lengkap

dengan lauk, sayur dan air minuman.Mungkin nasi bungkus berharga RM5 agak sederhana dan mencukupi sebagai fidyah bagi sehari puasa yang ditinggalkan.

Berbincang mengenai masalah ini, saya tertarik juga dengan pendapat A. Hassan Bandung.Beliau seorang ilmuwan Islam, pengarang dan mujtahid terkenal di Nusantara.Beliau berpendapat, suntikan ubat-ubatan, insulin dan glukos tidak membatalkan puasa, bahkan mengepam air melalui saluran kencing dan memasukkan objek ke dalam dubur juga tidak membatalkan puasa kerana perbuatanperbuatan itu tidak dikategorikan sebagai makan dan minum.Saya perturunkan di sini tulisan beliau yang menjawab soalan berkenaan.

Adapun mengepam lubang kencing, suntikan ubat melalui urat dan memasukkan sesuatu ke dalam dubur tidak membatalkan puasa kerana perbuatan-perbuatan itu tidak termasuk dalam istilah makan dan minum.(Soal Jawab Tentang Berbagai Masalah Agama, Diponegoro, 1997, 1/231).

Pendapat A. Hassan Bandung ini sama dengan pendapat Ibn Hazm al-Zahiryy yang membataskan perkara yang membatalkan puasa hanya pada melakukan hubungan seks, makan minum, sengaja muntah dan berbuat maksiat. Adapun memasukkan sesuatu melalui saluran bukan mulut dan tidak sampai kepada usus tidak dikirakan makan dan minum, sekali gus tidak pula membatalkan puasa. Pendapat ini juga mempunyai nilai ilmiah yang tinggi kerana jika konsep makan dan minum itu diperluaskan, mengapa tidak diperluaskan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.

Saya lebih cenderung kepada pendapat Syeikh Atiyyah Saqr yang menyatakan suntikan ubat-ubatan tidak membatalkan puasa, tetapi suntikan glukos membatalkan kerana ia lebih menyerupai makanan dan berfungsi sebagai makanan, sedangkan puasa pada hakikatnya ialah menahan diri daripada makan, minum dan hubungan kelamin.

Jika pengambilan glukos melalui suntikan itu diharuskan, ada kemungkinan sesetengah orang akan memilih jalan ini bagi meringankan beban puasanya, biarpun ditakdirkan ada sedikit bayaran supaya puasanya tidak lagi lapar dan dahaga. Padahal lapar dan dahaga itu sesuatu yang dikehendaki dalam ibadah ini, supaya dia dapat menghargai nikmat Allah yang dirasainya sebelum puasa.

Merujuk soalan di atas, saudara yang terpaksa menerima suntikan insulin pada setiap hari, saya cadangkan dua pilihan berikut:

Pertama: Teruskan pengambilan itu tanpa sebarang keraguan. Anggaplah puasa saudara sebagai sah dan tidak batal. Tiada apa-apa kewajipan lagi setelah selesai Ramadan, sama ada fidyah atau qada. Baik juga jika tuan dapatkan nasihat doktor untuk mengubah jadual suntikan itu kepada waktu selepas berbuka. Saya kira jalan ini juga masih boleh dilakukan.

Kedua: Anda harus berbuka dengan alasan sakit diabetes yang serius. Allah membenarkan orang sakit berbuka, firman-Nya: Sesiapa di antara kamu yang sakit atau musafir, bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang dibuka. Jika penyakit anda terus-menerus dan tidak mengizinkan puasa, maka hendaklah membayar fidyah, seperti yang dicadangkan di atas.

Saya berpendapat, cara kedua ini lebih serasi dengan kehendak dan semangat agama Islam yang selalunya mudah dan tidak memberatkan. Tuan tidak diwajibkan mengqada puasa yang tertinggal sehingga tuan betul-betul mampu berpuasa.

Anda mungkin juga menyukai