Anda di halaman 1dari 3

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang saya muliakan, barisan panel hakim yang sentiasa berpegang pada teraju keadilan serta sidang hadirin yang saya hormati. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya berdiri di sini untuk menyampaikan sebuah kisah tentang Nabi Saleh A.S. yang diceritakan oleh 72 ayat, dalam 11 surah di dalam Al-Quran. Sidang hadirin sekalian, Nabi Saleh A.S merupakan Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT kepada Kaum Tsamud. Kaum yang mewarisi kemewahan serta kemakmuran hidup, hatta kekayaan hidup yang suatu ketika dahulu dimiliki oleh Kaum Aad, yang merupakan Kaum Nabi Hud A.S. Kaum Tsamud tidak mengenal tuhan. Tuhan mereka adalah berhala-berhala yang mereka puja dan sembah, kepadanya mereka berqurban, tempat meminta perlindungan dari segala bala dan musibah, malahan kebaikan serta kebahagiaan, Nauzubillahi Minzaalik. Sesungguhnya, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tidak akan sesekali membiarkan hamba-hambaNya dalam kegelapan berterusan tanpa mengutuskan nabi utusanNya sebagai insane yang akan memimpin serta member penerangan kepada mereka untuk keluar daripada kemungkaran. Oleh itu, Allah SWT telah mengutuskan Nabi Saleh A.S. kepada Kaum Tsamud. Sidang Hadirin sekalian, Nabi Saleh A.S sebagai utusan Allah SWT telah memperkenalkan kepada Kaum Tsamud siapa yang layak dan patut untuk mereka sembah, yang telah mencipta mereka, menciptakan alam semesta, menciptakan tanah-tanah yang subur dan menciptakan segala makhluk yang ada di alam semesta, bahawa tuhan itulah yang layak untuk mereka sembah, dan bukannya patung-patung yang mereka pahat sendiri dari batu-batuan gunung-ganang yang tidak berkuasa member mereka sesuatu atau melindungi mereka dari ketakutan malahan bahaya. Mereka turut diberi peringatan oleh Nabi Saleh A.S bahawa dia adalah seorang daripada mereka, terjalin daripada dirinya dan mereka adalah ikatan keluarga dan darah. Maka, dengan seruan yang dilaungkan oleh Nabi Adam A.S kepada mereka, terkejutlah mereka mendengar seruan serta dakwah yang dibawa oleh Nabi Adam A.S itu. Lantas ditolaklah ajakan Nabi Saleh A.S yang menyeru mereka menuju kepada jalan kebenaran. Pelbagai tohmahan dan caci maki dihamburkan kepada beliau. Namun demikian, Nabi Saleh A.S sentiasa bersabar dan tetap menjalankan dakwahnya untuk menyebarkan kebenaran. Malah beliau selalu memperingati kepada kaumnya agar beriman serta bertaqwa kepada Allah SWT yang telah mengurniakan mereka rezeki yang luas dan

penghidupan yang sejahtera. Malah, beliau turut menceritakan kisah kaum-kaum terdahulu yang mendapat azab dan siksaan daripada Allah SWT kerana menentang rasulNya dan mendustakan risalahNya. Sebahagian kecil daripa Kaum Tsamud yang terdiri dari orang-orang yang berkedudukan social lemah, menerima dakwah Nabi Saleh A.S dan beriman kepada Allah SWT, sedangkan sebahagian besar dari mereka yang terdiri dari golongan kaya dan berkedudukan tetap dengan pendirian untuk berkeras kepala, malahan menolak ajakan beliau serta mengingkari kenabiannya. Sidang Hadirin sekalian, Nabi Saleh A.S sedar bahawa tentangan kaumnya yang menuntut bukti daripadanya berupa mukjizat itu adalah bertujuan hendak menghilangkan pengaruhnya dan mengikis habis kewibawaannya di mata kaumnya terutama pengikutnya bila beliau gagal memenuhi tentangan dan tuntutan mereka. Beliau lantas membalas tentangan mereka dengan menuntut janji apabila beliau berhasil mendatangkan mukjizat yang mereka minta, mereka akan meninggalkan agama dan persembahan mereka serta akan mengikuti beliau dan beriman kepada Allah SWT. Oleh itu, Nabi Saleh lantas memohon kepada Allah SWT agar memberinya suatu mukjizat untuk membuktikan kebenaran risalahnya dan sekaligus mematahkan tentangan kaumnya yang masih berkeras kepala itu.Beliau memohon daripada Allah SWT dengan kekuasaanNya menciptakan seekor unta betina dikeluarkannya dari perut sebuah batu karang besar yang terdapat di sisi sebuah bukit. Maka, sejurus kemudian, dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta, terbelahlah batu karang di sisi bukit itu dan keluar dari perutnya seekor unta betina. Dengan menunjuk kepada bintang yang baru keluar dari perut batu besar itu, Nabi Saleh A.S memberitahu bahawa itulah unta Allah SWT. Beliau meminta agar mereka tidak mengganggu unta tersebut kerana sudah ditetapkan giliran mereka untuk mendapatkan minuman kepada ternakan mereka. Dan, pada hari-hari giliran unta Nabi Saleh A.S itu datang minum, tiada seekor binatang lain berani menghampirinya, lantas menimbulkan rasa tidak senang kepada pemilik-pemilik binatang yang lain. Sidang hadirin sekalian, Dengan berhasilnya mukjizat Nabi Saleh A.S, maka gagallah motif orang-orang yang engkar akan kekuasaan Allah SWT untuk menjatuhkan beliau kerana kepercayaan para pengikutnya makin menebal untuk beriman kepada Allah SWT. Akibat daripada rasa tidak puas hati dikalangan mereka, maka muncullah seorang wanita janda bangsawan kaya-raya yang menawarkan dirinya kepada sesiapa yang dapat membunuh unta Nabi Saleh A.S. Disamping wanita janda itu, ada seorang lagi wanita yang mempunyai beberapa puteri-puteri cantik menawarkan akan menghadiahkan puteriputerinya kepada sesiapa yang berhasil membunuh unta tersebut.

Berbekalkan hadiah yang menggiurkan serta hasutan-hasutan syaitan, maka muncullah dua orang lelaki yang bakal menggalas serta melaksanakan misi untuk membunuh unta Nabi Saleh A.S itu. Mereka ialah Mushadda bin Muharrij dan Gudar bin Salif. Perancangan yang dibuat berhasil apabila mereka berjaya membunuh unta Nabi Salleh A.S lalu mereka mendapatkan hadiah yang dijanjikan serta puji-pujian oleh orang lain kerana berani serta berjaya mendapatkan habuan yang lumayan. Dengan megah dan bangga diri, maka mereka pun menyampaikan berita tersebut kepada Nabi Saleh A.S. Lantas beliau memperingatkan kepada mereka semua bahawa, dia telah mengatakan agar tiada sesiapa yang akan mengganggu unta tersebut kerana Allah SWT akan menurunkan azab dan siksaan kepada mereka sekiranya sesuatu berlaku pada unta tersebut. Nabi Saleh A.S yang penuh dengan sifat kesabaran serta ketaqwaan itu telah memberi jaminan tempoh 3 hari kepada mereka untuk menginsafi kekhilafan mereka lantas membuka ruang untuk menebusnya dengan bertaqwa kepada Allah SWT. Kedegilan mereka semakin menjadi-jadi dengan menjadikan tempoh 3 hari itu untuk mengejek Nabi Saleh A.S kerana masih tiada apa-apa yang berlaku ke atas mereka walaupun sudah dinyatakan pada hari pertama, wajah mereka bertukar menjadi kuning dan menjadi merah pada hari ketiga, seterusnya menjadi kehitaman pada hari ketiga, sebelum turun azab dan siksaan Allah SWT pada hari keempat. Mendengar sahaja ancaman azab yang bakal mereka terima itu, maka mereka merancang untuk membunuh Nabi Saleh A.S. Namun, Allah SWT itu Maha Mengetahui segala-galanya dan pada malam mereka ingin membunuh Nabi Saleh A.S., maka secara tiba-tiba sahaja batu-batu yang besar berguguran menimpa mereka, lantas rebah menyembah bumi dan tidak bernyawa lagi. Suatu hari, sebelum turunnya azab dan siksaan Allah SWT ke atas mereka yang engkar itu, dengan izin Allah SWT maka berangkatlah Nabi Saleh A.S bersama para mukminin menuju Ramlah, sebuah tempat di Palestin, meninggalkan Hijir dan penghuninya yang engkar dan degil, iaitu Kaum Tsamud habis binasa ditimpa panahan halilintar yang dahsyat diiringi gempa bumi mengerikan, menamatkan riwayat mereka yang degil kepada ajaran Allah SWT. Sidang hadirin sekalian, Harus kita ingat bahawa dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan sekelompok kecil masyarakat, akan mengakibatkan kebinasaan masyarakat seluruhnya. Sekian sahaja cerita saya, yang baik kita jadikan pengajaran, yang buruk jadikan sempadan. Segala kebaikan datangnya daripada Allah SWT. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai