Anda di halaman 1dari 27

1

MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN, MELESTARIKAN


KEBAJIKAN

Bismillahirrahmanirrahim
Wassolatu wassalam ala asyrafil anbiya’ wal mursalin, wa ala alihi wasohbihi
wasallam

”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu


perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu
berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri
kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan
mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-
taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di
2

tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang
besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari
Allah dan kemenangan yang dekat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita
yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. ( as-Soff : 10-
13 )

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas
Junjungan Nabi Muhammad s.a.w.dan ummahatul mukminin, serta para sahabat
dan sahabiyyah, ahlil Bait, juga buat seluruh para mujahidin dan mujahidat
Islam di seluruh dunia dari dulu hingga Hari Kiamat.

Kita mulakan ucapan dengan lafaz kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi,


kerana dengan taufik dan hidayah serta inayah-Nya, kita dapat mengadakan
Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan kali yang ke-36
pada tahun ini, dengan jiwa dan qalbu yang sarat rasa tanggungjawab untuk
mempertahankan Islam, menyambung mata rantai perjuangan yang ditinggalkan
oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian,

Bagi pihak saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan panitia
Muktamar Tahunan Muslimat Negeri Kelantan kali ini, suka saya mengalu-
alukan kehadiran para tetamu jemputan, para perwakilan dan para pemerhati.
Serta yang teristimewa kepada Yang Berbahagia Dato’ Ustaz Hj Mohamed
Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Ulama’
PAS Negeri Kelantan, kerana sudi untuk hadir menyempurnakan muktamar
Muslimat Kelantan pada tahun ini. Semoga Allah Taala akan memberikan
ganjaran pahala yang sebaiknya kepada kita semua. Insya Allah.
3

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian,

Jika kita soroti kembali kalendar politik tanahair kita bermula detik 8 Mac 2008
hingga ke saat ini, tepat benarlah ungkapan’tsunami politik’ melanda negara kita
. Bermula dengan kejutan dek kecemerlangan tak diduga Pakatan Rakyat pada
PRU 12, bantuan demi bantuan anugerah Allah Taala kepada perjuangan Islam
diturunkan bertali arus. Angin perubahan rakyat meratai seluruh cerun dan
pelusuk negara. Diabsahkan di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pantai Barat
berarak awan cerah ke Pantai Timur Kuala Terengganu, mara naik ke dua
bukit, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau menang mengulangi
kejayaan di 3 buah negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat meluas ke sebuah lagi
negeri jajahan UMNO BN. Alhamdulillah, berkat doa sekalian pejuang kita
dimakbulkan Allah Taala mengikut iradat dan perancangan-Nya memberikan
kita kemenangan yang bergaya, menjadikan rakyat sepakat mahukan
perubahan. Rakyat sudah membuktikan kuasa yang ada pada mereka. Rakyat
tidak mahu politik dan pemimpin yang sarat dengan rasuah, salah guna kuasa
dan buruk akhlaknya. Maka, kuasa rakyat telah terbukti!

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih
kepada semua jentera HalWa Negeri Kelantan di semua peringkat, TERIMA
KASIH DAUN KELADI! Satu gandingan gerakkerja yang mantap dan
membanggakan dalam membantu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam
PRU 12 dan semua pilihanraya kecil yang lalu. Kepakaran dan kreativiti
pendekatan serta kesungguhan muslimat hasil ilmu poltitik dan pengalaman tak
terbeli jentera Halwa seluruh Kelantan amat menyerlah dan benar-benar
memberi kesan kepada gerakkerja pilihanraya seluruhnya. Usaha jitu dan kerja
keras muslimat telah mendapat penghargaan dan pujian daripada semua pihak
dan diakui oleh pelbagai lapisan kepimpinan dari seluruh pelusuk negara.
4

Alhamdulillah. Sekali lagi kita kembalikan segala puji-pujian kepada Allah


Taala. Kerana dengan keizinan-Nya dan Inayah-Nya jua kita sampai pada tahap
sebagaimana adanya kini. Yakinlah, semua ini adalah pertolongan Allah. Maka
kita menginsafi akan kemenangan ini juga hakikatnya adalah ujian Allah s.w.t
jua kepada kita semua. Marilah kita memanjatkan rasa syukur yang tidak putus
kepada Allah dan mohon dijauhkan daripada perasaan riya’ dan takabbur.

Justeru, ujian lebih besar kepada kita semua adalah untuk nekad
mempertahankan dan melebarkan kemenangan ini dengan istiqamah dalam
perjuangan ini dan mengisi kemenangan dan harapan yang telah diimpikan oleh
semua rakyat. Inilah cabaran besar yang kita perlu hadapi bersama.

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian,

Dalam ayat-ayat dari surah al-Soff yang saya bacakan tadi, jelas menyatakan
bahawa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berjuang menegakkan
agama-Nya dengan harta dan nyawa, adalah satu perniagaan yang amat
menguntungkan. Pulangan hebatnya berupa pelepasan daripada seksaan api
neraka yang dahsyat dan keamanan dalam syurga yang serba indah. Janji Allah
s.w.t juga adalah pertolongan-Nya yang tiada bertepi dan seterusnya
KEMENANGAN yang dekat dan pasti! Subhanallah. Janji Allah adalah benar
dan Dia tidak akan sekali-kali mungkir dengan janji-janji-Nya.

Lima Paksi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara

Sebagai wadah gerakan Islam tertua di negara ini, semua polisi dan strategi
haruslah berpaksikan Islam. Dalam usaha mengekalkan kemenangan, dan juga
mengisi kemenangan dengan agenda Islam yang sebenarnya, kita akan menemui
pelbagai mehnah dan cabaran. Sudah pastilah, praktikalnya tidak semudah teori
5

yang dipelajari atau diucapkan. Pengalaman memerintah Kelantan hampir dua


dekad mengajar kita erti kemenangan. Namun, itulah tugas utama manusia
sebagai khalifah di muka bumi ini. Kuasa pemerintahan yang diberikan oleh
Allah Taala, adalah satu amanah dan ujian kepada kita manusia di dunia
sementara ini, demi keredhaan Ilahi.

Allah Taala menciptakan langit dan bumi sebagai prasarana untuk manusia.
Manusia yang menjadi pentadbirnya haruslah mengikut acuan dan modus
operandi yang telah dibekalkan oleh Allah Taala. Ia itulah Al-Quran dan
Sunnah Rasulullah s.a.w.

Dalam mentadbir alam ini, pesanan Baginda Rasulullah s.a.w. selaku pemimpin
ulung dunia Islam menggariskan 5 paksi kesejahteraan dan kemakmuran
sesebuah negara untuk kita mendalami dan menerima pakainya. 5 paksi tersebut
adalah:
1. Ilmu para cendiakawan ( ’ilm al-ulama’ )
2. Keadilan pemerintah ( ’adl al-umara’ )
3. Amanah para pedagang ( amanat al-tujjar )
4. Nasihat para profesional ( nasihat al-muhtarifin )
5. Amal golongan ahli ibadat ( ’ibadat al-’ubbad )

Gabungan 5 golongan yang sama penting ini akan menghasilkan kesempurnaan


dan keutuhan pentadbiran Islam sesuai dengan saranan daripada Baginda
Rasulullah s.a.w. tersebut. Oleh itu, saya menggesa agar kita sama-sama
memastikan agar kesepaduan 5 paksi tersebut wujud dalam jentera muslimat
dan dalam parti yang kita sayangi ini, dan setiap satunya diperkasakan dari
semasa ke semasa.
6

Paksi Pertama : Ilmu para cendiakawan ( ’ilm al-ulama’ )


Firman Allah Taala:

Yang bermaksud : ”Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman
keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian
sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang
tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama
dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila
orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)” – At-Taubah : 122
.
Peningkatan tahap keilmuan cerdik pandai dan golongan ulama’ dan ’alimat di
pelbagai bidang dalam sesebuah pemerintahan adalah sangat mustahak.
Kumpulan cendikiawan yang mempunyai ilmu yang sahih dan mantap perlu
bertindak sebagai pakar rujuk dan konsultan oleh semua pihak. Dengan
menyedari fakta bahawa 50% pengundi adalah wanita, maka muslimat juga,
mesti bangkit mempersiapkan diri masing-masing dengan pelbagai cabang ilmu
yang pelbagai dan kontemporari. Disamping ianya akan menaikkan maruah dan
martabat individu, lebih aula ianya dimanfaatkan kepada orang ramai di medan
dakwah dan perjuangan Islam yang kita dokong.
7

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian,


Firman Allah Taala:

Yang bermaksud : ”.... Dan wanita-wanita (isteri) itu mempunyai hak yang
sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan
cara sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara'); dalam pada itu orang-orang
lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang
perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.” ( al-Baqarah : 228 )

Juga firman-Nya :

Bermaksud: ”Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang
dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan
kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan
memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
( an-Nahl : 97)

Kita, golongan muslimat, sebagai rakan kongsi dalam pertempuran telah bangkit
seiiring dengan golongan muslimin dalam mencari ilmu pengetahuan. Islam
sendiri tidak pernah meletakkan had kepada umatnya untuk mencari ilmu
berdasarkan gender. Hak yang sama diberikan kepada lelaki dan wanita oleh
8

Islam dalam banyak perkara termasuklah dalam hak keilmuan dan


keintelektualan.
Jika kita selusuri Sirah Nabawi, pasti kita teruja dengan pelbagai kisah
keintelektualan dan ketinggian ilmu para sahabiah dan Ummahatul Mukminin.
Antaranya:
1) Saidatina Khadijah r.a., seorang muslimat bangsawan berakhlak tinggi,
matang, penyayang dan kental jiwa, terkenal dengan ilmu perniagaan dan
keusahawan yang tinggi mampu menyaingi hartawan lelaki sezamannya
adalah pejuang Islam yang komited dalam membantu perjuangan Rasulullah
s.a.w. dengan harta dan jiwanya sehingga akhir hayatnya;

2) Saidatina Aisyah r.a. yang jelita, tinggi daya intelek dan keilmuannya,
kuat berhujjah dan tajam pemikiran sesuai benarlah dengan usianya muda
remaja, terkenal sebagai pakar rujuk para sahabat Baginda dalam pelbagai
cabang ilmu termasuk ilmu perubatan, feqah dan hadith khususnya selepas
kewafatan Baginda s.a.w.

Dua contoh tersebut, hanyalah secebis kecil sirah Sahabiah dan Ummahatul
Mukminin yang tersohor sebagai wanita yang menjadi contoh dalam banyak
hal, setanding bahkan jauh lebih baik dari lelaki dalam banyak hal. Maka, kita
muslimat sekalian, haruslah senantiasa mengkaji hal ini, dan seterusnya cuba
untuk mengikuti jejak mereka seupaya kita kerana merekalah idola kita.

Justeru, saya menyeru kepada semua muslimat sekalian, marilah sama-sama kita
mengaktifkan kembali usrah di pelbagai peringkat. Budayakanlah usrah
walaupun dalam halaqah yang kecil. Ruhnya akan menyerapi diri kita, dan
semestinya nanti daya keintektualan kita sebagai muslimat nadi perjuangan
Islam ini akan lebih mantap dan konsisten.
9

Jika golongan muslimat sama-sama dapat membangunkan diri dan minda


mereka dengan kemantapan ilmu dan amal, dalam pelbagai bidang, nescaya
perjuangan fisabilillah yang kita lalui sekarang ini akan menjadi lebih mantap,
efisien dan berkesan. Umur, kewangan, keluarga dan peribadi, seharusnya tidak
patut dijadikan penghalang untuk kita terus mencari ilmu dan memantapkan diri
agar benar-benar menjadi ulama’ dalam pelbagai disiplin ilmu. Insya Allah.

Paksi Kedua : Keadilan pemerintah ( ’adl al-umara’ )

Perspektif Islam tentang politik dan pemerintahan adalah berbeza berbanding


perspektif dunia barat. Hubung kait antara agama dan politik dapat ditunjukkan
melalui cara Islam meletakkan kedudukannya di jalur tengah iaitu antara
kesatuan dan integrasi berbanding pemisahan dan perpecahan agama dan
pemerintahan dalam sistem politik barat.

Adalah jelas kepada kita, bahawa konsep ketuhanan dalam Islam tidak terbatas
dengan perbuatan Allah mencipta alam semata. Sebaliknya, Allah adalah
Pengawas dan Pengurus semua jenis makhluk yang diciptakan-Nya termasuk
manusia. Sebagaimana firman-Nya :

Bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan


langit dan bumi dalam enam hari, lalu dia bersemayam di atas Arasy. Dia
menutupkan malam kepada siang dan mengikutinya dengan cepat, dan
(diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang. (Masing-masing)
10

tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah


hak Allah. Maha suci Allah, Tuhan Semesta Alam.” (al-A’raf : 54 )

Manusia dalam tasawwur Islam mempunyai kebebasan untuk menguruskan


dunia, tetapi tidak mempunyai kuasa mutlak. Fungsi manusia muslim adalah
sebagai KHALIFAH sebagaimana firman-Nya lagi;

Bermaksud : “Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka


bumi”. ( al-Baqarah : 30)

Justeru, sebagai khalifah yang dilantik oleh Allah, maka ruang kebebasan politik
Islam hendaklah berada dalam bingkai syariat. Inilah yang dinamakan siasah
syar’iyyah. Apa yang dimaksudkan dengan siasah syar’iyyah adalah
pemerintahan sivil (madani) yang bertunjangkan agama. Islam begitu akur
dengan realiti manusia, persekitaran dan zaman yang berubah-ubah.

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian,

Golongan muslimat dalam ruang politik semasa, telah banyak diberi peluang
untuk sama-sama memegang tampuk pemerintahan sebagai pemimpin di
pelbagai peringkat. Samada sebagai Yang Berhormat ADUN, Yang Berhormat
Ahli Dewan Rakyat, Yang Berhormat Ahli Dewan Negara, ketua dan pemimpin
di peringkat cawangan, DUN dan negeri, dengan pelbagai jawatan, maka
muslimat kini telah berperanan dengan begitu cemerlang.
11

Muslimat serba boleh ini telah mengatur langkah penuh amanah dan
tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat, parti dan kerajaan dengan
sebaiknya. Cabaran dan mehnahnya bukanlah sedikit, namun ianya bukan
menjadi halangan untuk mereka semua melaksanakannya dengan kerjasama
semua pihak.

Setiap orang yang diberikan amanah sebagai pemimpin, tidak kira lelaki
mahupun wanita, mestilah melaksanakan kuasa dan amanah itu dengan adil dan
berintegriti. Unsur keadilan ini amatlah penting kerana ianya menjadi satu paksi
kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan negara. Apakah yang menjadi
tunjang utama kepada senario ini? Ianya tidak lain dan tidak bukan, ada satu
tunjang yang wujud tapi tidak dapat dilihat dan diukur dengan mata kasar. Ia
itulah AQIDAH ISLAM.

Adil kepada orang Islam, adil juga kepada orang bukan Islam, kerana
kesemuanya adalah rakyat kita yang sah. Dengan aqidah Islam inilah, para
pejuang PAS berpaksi sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong PAS yang
tumbuh bagai cendawan lepas hujan di segenap ceruk. Kesamarataan inilah
pasak agar tidak hanyut dalam badai nafsu dan kejahatan persekitaran dalam
alam politik dunia masa kini. Inilah juga yang menjadi perbezaan ketara antara
kita dengan perjuangan lawan politik parti lain yang menyerukan api
perkauman.

Saya ingin menyeru diri saya sendiri, dan seluruh kepimpinan muslimat, sama-
sama kita memperkuatkan aqidah kita kepada Allah Taala supaya kita tidak
terjerumus dan mengambil iktibar dengan penyakit-penyakit orang lain di
medan perjuangan ini. Budaya kebendaan, budaya ’cah keting’ sesama sahabat,
budaya rasuah, budaya bersangka buruk tanpa usul periksa, budaya hasad
dengki, melanggar etika akhlak dan garisan syariat atas nama profesionalisme
12

dan sebagainya adalah antara hasil bila lemahnya aqidah Islam dalam diri setiap
individu, meliputi pengikut dan pemimpin .

Sahabat-sahabat sekalian, yakin dan percayalah, itulah yang akan merosakkan


kita dan akan menjerumuskan kita kehinaan di dunia dan seksaan azab neraka di
akhirat kelak. Wal ’iyazubillah min zalik.

Maka, saya dengan ikhlas hati menyeru diri sendiri dan muslimat sekalian agar
senantiasa mencari peluang melibatkan diri dengan masyarakat sekeliling.
Mereka semua adalah mad’u kita. Disamping kita perlu menambah ilmu
mengenai siasah syar’iyyah atau politik semasa ini, kita perlu praktikkannya
secara langsung. Kita perlulah mengaplikasikan formula KBSM dalam usaha
memasyarakatkan Islam. Apa itu KBSM? KBSM adalah KAHWIN,
BERSALIN, SAKIT dan MATI. Para muslimat sekalian terutamanya para
pimpinan dan juga isteri-isteri para pimpinan setempat, perlu mengambil
peluang dalam situasi KBSM untuk menyebarkan kasih sayang Islam kepada
rakyat terbanyak.

Moga dengan keikhlasan para muslimat sekalian, Allah Taala akan menurunkan
lebih banyak pertolongan lagi kepada perjuangan Islam di Kelantan, di Malaysia
dan juga seluruh dunia. Insya Allah.

Paksi ke-3 : Amanah para pedagang ( amanat al-tujjar )

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian,

Tanpa kita sedari, Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada umat manusia lebih
1400 tahun dahulu mengenai faktor-faktor utama kesejahteraan pentadbiran
negeri dan negara. Sebenarnya, faktor para peniaga dan usahawan Muslim yang
amanah memainkan peranan yang amat besar dalam sesebuah pemerintahan.
13

Sekarang ini kita sedang melalui zaman kemelesetan ekonomi lokal dan global.
Seluruh dunia merasai bahananya. Semua orang menjadi cemas dan gelisah.
Tidak sedikit kes-kes yang begitu kritikal sehingga ada manusia hilang pedoman
dan sanggup membunuh diri bahkan turut mengheret keluarga dalam keputusan
akal yang singkat dan sesat itu.

Walaupun pelbagai langkah cuba diambil, kesannya masih terasa terutamanya


kenaikan harga barang keperluan yang tetap tidak turun. Kegawatan ekonomi
yang berlaku, sebenarnya bersifat pelbagai dimensi. Maksudnya ia tidak cuma
diakibatkan oleh faktor-faktor ekonomi semata-mata. Tetapi ia juga berkait rapat
dengan faktor bersifat non-ekonomi terutamanya dari aspek agama yang berkait
dengan perbuatan khianat manusia itu sendiri.

Ramai yang tertanya-tanya, pesan dan mesej apakah yang Allah mahu
sampaikan melalui musibah ekonomi itu? Memang hanya Allah sahaja yang
tahu jawapan tepatnya. Namun, kita seharusnya cuba menangkap isyarat-isyarat
yang terdapat dalam al-Quran tentang erti dan implikasi fenomena itu. Mari kita
baca apa peringatan Allah Taala dalam hal ini.
1. Al-Quran menyebut bahawa segala musibah yang menimpa adalah
akibat tingkah laku oleh manusia sendiri

” Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau
bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan
(dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam
pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa
kamu” ( as-Syura :30 )
14

2. Ada ketikanya, musibah tidak cuma menimpa orang-orang yang


zalim sahaja, bahkan semua.

”Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang


membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-
orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan
menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha
berat azab seksaNya”. ( al-Anfal :25 )

Yakin dan percayalah, musibah itu mempunyai mesej yang tersendiri untuk
seluruh umat manusia. Inilah yang dinamakan sebagai ibtila’ ( ujian ).
Keimanan dan kesabaran kita semua diuji. Setiap kita, rakyat hinggalah kepada
pemimpin dan pemerintah, kita semua diuji. Andai kita lulus ujian itu, dan terus
mengucapkan syukur dalam kesabaran yang tidak mengenal putus asa, maka
Allah menjanjikan berita baik buat kita. Wabassyiris sobiriin. (sampaikanlah
berita baik kepada orang-orang yang sabar ).

Ekonomi negara dan dunia seluruhnya, banyak dicemari dengan unsur riba,
gharar dan syubhah. Semua unsur inilah yang menjadi faktor datangnya bala
daripada Allah Taala. Jika kita mahu keluar dari kemelut ekonomi ini dari terus
berulang dan berulang, maka kita perlu bersama-sama memastikan semua unsur
tersebut dibersihkan dalam semua urusniaga kita. Hanya Allah Yang Maha
Mengetahui segala urusan dunia ini, kerana Dialah yang menciptanya.
15

Maka, sekali lagi muslimat perlu memainkan peranan yang amat besar dalam
hal ini. Muslimat perlu menjadi seorang usahawan besar dalam dan luar
rumahtangga dalam hal pembangunan dan pengurusan ekonomi. Antara peranan
muslimat adalah :

1) Mengatur pendapatan dan perbelanjaan peribadi dan keluarga


dengan sistematik dan teratur.
2) Membantu suami dan anak-anak belajar menabung dan
menyimpan.
3) Menjauhi sistem riba dalam apa jua urusan.
4) Memastikan diri dan keluarga mengamalkan budaya hidup
sederhana dan menjauhi pembaziran
5) Membudayakan diri dan keluarga untuk berbelanja secara syarie
iaitu menurut aturan agama.
6) Menghentikan budaya berhutang demi mengejar hidup mewah dan
bergaya
7) Terlibat secara langsung dalam bidang ekonomi samada menjadi
usahawan, ahli koperasi, pelabur dan lain-lain

Sesungguhnya, golongan muslimat yang dianugerahkan oleh Allah Taala


dengan sifat tegas dalam kelembutan, peka dan sensitiviti yang tinggi, pasti
akan mampu membantu diri, keluarga dan masyarakat dalam menghadapi
kemelut yang berlaku. Dengan tersebarnya muamalat yang benar-benar
berlandaskan Islam, maka barakah Allah pasti akan turun ke dunia ini. Justeru,
wujudnya usahawan yang amanah dan sistem ekonomi yang halal, maka negeri
dan negara akan mampu untuk menjana pendapatan negara dengan lebih baik.
Sudah pastilah kesan ekonomi yang akan dihasilkan adalah kesan yang positif.

Setiap orang telah tertulis rezekinya masing-masing. Rahsia inilah menjadikan


kehidupan ini begitu indah dan perlu dihadapi dengan usaha yang berterusan
16

dan saling membantu antara satu sama lain. Sebagaimana firman Allah Taala
dalam surah as-Syura ayat 27.

Yang bermaksud : “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap


hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-
perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut
kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia
Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat
dengan nyata.” – (as-Syuura : 27)

Ayuh, muslimat! Walau peranan kita 1% sahaja, kita pastikan ianya


dilaksanakan 100% dari segi komitmennya. Sudah pastilah kesannya juga
adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Paksi ke-4 : Nasihat para profesional ( nasihat al-muhtarifin )

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian;

Sekali lagi Rasulullah s.a.w. menekankan mengenai pentingnya umat manusia


yang berkemahiran dan bertaraf profesional dan pakar dalam pelbagai bidang.
Sudah semestinyalah, tahap profesional itu akan digunakan sebaiknya dalam
urusan dakwah dan perjuangan Islam di muka bumi ini.

Golongan profesional ini perlu diajak, dialu-alukan dan sepatutnya dibangunkan


dengan sebaiknya. Golongan ini adalah pemangkin sesebuah jamaah dan
pemerintahan. Sudah semestinya, golongan professional muslimat juga
17

terbentuk dengan automatik. Sebenarnya, terlalu ramai dari kalangan muslimat


adalah golongan professional yang pakar dalam pelbagai disiplin ilmu pada
masa kini. Sama ada mereka memegang jawatan di agensi kerajaan, swasta,
institusi pendidikan dan sebagainya, mereka adalah aset yang tinggi nilainya
dalam sesebuah pemerintahan.

Kepakaran para professional muslimat khasnya perlu dijadikan agenda utama.


Gabungan kepakaran mereka perlu kita gemblengkan dan selaraskan agar
manfaatnya dapat dimaksimumkan untuk kepentingan agama, bangsa dan
negara.

Khidmat nasihat mengikut kepakaran masing-masing, perlu diambil kira dalam


sesebuah pemerintahan sebagai pandangan kedua atau sebagai ’check and
balance’. Maka, saya menyeru kepada seluruh muslimat agar mengambil
langkah perlu untuk memastikan diri sendiri, anak-anak dan seluruh masyarakat
sentiasa cintakan ilmu pengetahuan. Semakin ramai profesional muslimat dapat
dilahirkan, maka akan lebih mantaplah gabungan kepimpinan dalam sesebuah
pentadbiran. Insya Allah.

Paksi ke-5 : Amalan golongan ahli ibadat ( ’ibadat al-’ubbad )

Paksi terakhir yang digariskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. adalah perlunya
ketinggian mutu amal ibadat oleh para ahli ibadat. Alhamdulillah. Dalam parti
PAS, kita telah pun mempraktikkan hal ini dengan maksimum. Dalam memburu
kemenangan dan usaha mempertahankan kemenangan Islam, samada dalam
pilihanraya umum juga dalam pilihanraya kecil, bahkan dalam apa jua keadaan,
selain dari kerja-kerja teknikal pilihanraya, kita mewajibkan adanya Kumpulan
Munajat. Kumpulan ini adalah sekumpulan alim ulama’ muslimin dan
muslimat, masing-masing akan komited dalam amal ibadat khusus secara
berjamaah dalam tempoh yang tertentu. Kumpulan Munajat ini akan sentiasa
18

berusaha tanpa putus asa dalam memastikan munajat kepada Allah sebagai
’radar’ untuk menerima pertolongan Allah Taala kepada perjuangan Islam akan
terus hidup dan kuat.

Maka, muslimat sekalian perlu memastikan ’hablun minallah’ ini dibina dan
dijaga dengan sebaiknya. Sesungguhnya, kita sebagai jentera perjuangan Islam
ini perlu menyeimbangkan antara ’hablun minannas’ dan ’hablun minallah’ agar
hasilnya nanti lebih indah dan manis. Insya Allah.

Mengeratkan Hubungan Mesra Dengan Muslimat Muda

Dalam memantapkan gerakan sesebuah jamaah, kemahiran komunikasi dengan


golongan muda adalah kunci agar perjuangan ini tak kering pelapisnya.
Menanamkan dan menghargai kepercayaan mereka kepada kita dan
menyediakan ruang untuk mendengar apa yang mereka mahu bicarakan akan
merapatkan kita dengan mereka. Kita mesti mampu untuk mengenali rahsia jiwa
dan memahami mereka.

Kewajipan kita yang pertama ialah memberikan kasih sayang dan menjalinkan
ukhuwwah yang mesra sambil membuat mereka merasakan yang diri mereka
adalah sebahagian daripada kita. Mereka adalah harapan kita dan masa depan
umat akan datang. Kalau kemahiran ini boleh kita optimumkan di seluruh
kawasan di pelbagai peringkat, maka kita akan dapat masuk ke dalam
lingkungan mereka melalui pintu kasih sayang. Kita wajib berdiri disamping
mereka sebagai pembela dan pendidik, bertindak sebagai hakim yang adil dan
tidak akan menjatuhkan penghakiman bahawa semestinya yang muda itu kurang
bijak hanya bersandarkan umur, akan mengikat hati mereka memihak kepada
Islam. Tidak pernah faktor umur Ssaidatina Aishah r.a yang dibicarakan tatkala
beliau menuturkan hadith Nabi s.a.w. dan mulianya sanjungan pengorbanan
19

Saodah r.a lantaran pengalaman lanjut usianya. Nah inilah indahnya ukhuwwah
Islamiah dalam perjuangan !

Sebahagian daripada kesalahan kita adalah selalu tergesa-gesa dalam


menjatuhkan hukuman dan menetapkan sesuatu sebagai keputusan. Ramai yang
menilai golongan muda hanya dari jauh tanpa mengenali dengan lebih dekat,
mendalami sifat dan memahami perasaan mereka. Ada yang menilai orang
muda lantaran sikap minoriti mereka. Sedangkan itu bukan ukurannya.

Pada PRU 12 yang lalu, jelas menunjukkan bahawa undi golongan muda
meningkat dengan mendadak, dan itulah antara faktor utama peningkatan undi
kemenangan kepda PAS dan Pakatan Rakyat. Maka, seharusnyalah muslimat di
seluruh peringkat kepimpinan memainkan peranan utama dalam meraikan
hubungan dengan golongan beliawanis ini.

Rancang dan laksanakanlah pelbagai program dan perbincangan, agar golongan


anak muda ini dapat bersama-sama berjuang dalam saf kepimpinan kita demi
memperjuangkan Islam. Wujudkan dan mantapkanlah jentera Nisa’ / Halwa
Remaja meliputi pelbagai aktiviti termasuk politik dan tarbiah disetiap
cawangan, DUN mahupun kawasan masing-masing.

Sessungguhnya anak-anak muda ini mempunyai kudrat yang kuat, keazaman


dan iltizam yang tinggi, semangat juang yang kental dan keilmuan yang
pelbagai. Maka, pihak Muslimat mestilah pandai mengambil peluang dalam
membimbing mereka agar bersama-sama dalam saf perjuangan dengan selamat
dan mantap.

Bukalah ruang perbincangan dan komunikasi pintar antara dua hala, agar
jamaah dan pemerintahan Islam akan merasai kesan baiknya. Golongan muda
juga, hendaklah sentiasa memastikan diri bersedia untuk berjuang. Hiasilah
20

peribadi dengan kecantikan budi pekerti dan akhlak mulia selaras dengan ilmu
didada. Merendah diri bukan bermakna menghina peribadi, bahkan itu tandanya
ketinggian budi pekerti.

Maka, jalinan antara muslimat dan anak-anak muda ini, saya yakin akan
membantu perjuangan yang satu ini. Mainkanlah peranan utama masing-masing
dalam keadaan yang harmoni dan kondusif.

Untuk anak-anak muda sekalian, kalian adalah mata rantai seterusnya untuk
meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. ini. Maka persiapkanlah diri dengan
ilmu, akhlak dan tarbiyyah. Bersama-samalah bergandingan dengan Muslimat di
pelbagai peringkat agar lebih banyak pengalaman dapat dikutip dan lebih
banyak nasihat serta panduan hidup dapat dikongsi. Sesungguhnya Allah Taala
menyukai orang-orang yang membantu di jalan Allah, tetapi Allah Taala lebih
suka apabila ada orang-orang muda yang terlibat dalam perjuangan membela
agama-Nya ini pada masa umur mudanya. Insya Allah.

Kesatuan Fikrah dan Kesatuan Amal

Firman Allah Taala dalam Surah al-Aa’raf ayat 3:

Yang bermaksud :“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah


apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, dan janganlah kamu
menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah
sedikit kamu mengambil peringatan".”
21

Sidang muktamar yang dirahmati Allah Taala sekalian;

Peringatan daripada Allah dalam ayat dibacakan tadi amatlah besar dan penting
untuk kita perhatikan. Dalam gerakkerja kita dalam perjuangan menegakkan
agama suci Allah Taala ini, sudah semestilah perlu ada sikap wala’ dan thiqah
terhadap kepimpinan yang telah dilantik selagimana ianya tidak melanggar
syariat.

Jika tanpa kesatuan, maka perjuangan akan porak peranda sebagaimana berlaku
dalam UMNO dan Barisan Nasional. Kita, dalam perjuangan Islam ini
seharusnya perlu sentiasa mengikut arahan pimpinan dari semasa ke semasa
kerana itulah kunci kesatuan.

Justeru, Islam meletakkan konsep syura dalam mengendalikan sesebuah


pemerintahan. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah Taala dalam firman-
Nya:

Maksudnya : ”Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang
menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang
dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama
mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri
kepadanya” ( as-Syuura : 38 )

Kita perlulah mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku dalam UMNO dan
Barisan Nasional. Perpecahan dalam kepimpinan, berpuak-puak, perebutan
jawatan dan kuasa telah dan sedang berlaku dalam UMNO dan Barisan
22

Nasional. Inilah hasil akibat perjuangan yang bukan bermatlamatkan keredhaan


Allah s.w.t.

Maka, perjuangan Islam yang kita dokong selama ini seharusnya suci dan bersih
dari perkara-perkara seumpama itu. Maka selaras sebagaimana yang dianjurkan
oleh Allah Taala, Tuhan Yang Maha Mengetahui akan segala rahsia. Kembalilah
kita kepada amalan syura dalam apa jua yang kita perbuat. Khususnya dalam
pemilihan pucuk kepimpinan di pelbagai peringkat. Di kesempatan ini, saya
ingin menyeru agar muslimat PAS Negeri Kelantan terus komited dalam
mengamalkan konsep syura dalam pemilihan kepimpinan parti. Semoga ianya
akan menjadi contoh teladan kepada orang lain jua.

Jika kita meneliti sedikit Sirah Junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w., maka
Baginda adalah orang yang paling banyak mengamalkan syura dalam
tindakannya, sedangkan Baginda mendapat wahyu langsung daripada Allah
Taala. Mengapa Rasulullah s.a.w. sentiasa bermusyawarah? Ini adalah kerana
Rasulullah s.a.w. mahu menjadikan hati-hati para sahabatnya senang dan supaya
mereka lebih bersemangat dalam melaksanakan keputusan tersebut. Antara
peristiwa berkaitan syura yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. adalah:

1. Dalam Perang Badar, Baginda mengajak para sahabat bermesyuarat


mengenai dimana lokasi sesuai untuk berkhemah, hingga akhirnya al-
Mundzir bin ’Amr menyarankan untuk berkhemah di hadapan lawan.

2. Dalam Perang Uhud, Baginda mengadakan mesyuarat bagi


memutuskan samada untuk tetap berada di Madinah atau pergi
menghadapi musuh. Akhirnya majoriti sahabat menyarankan untuk
pergi menghadapi musuh. Maka Baginda s.a.w pun bersama-sama
dengan angkatan perang pergi menghadapi musuh.
23

3. Dalam Perang Khandak, Baginda s.a.w bermesyuarat mengenai


masalah al-Ahzab, iaitu tawaran perdamaian dengan memberikan
sepertiga hasil kekayaan Kota Madinah pada tahun itu. Namun hal itu
ditentang oleh Sa’ad bin Mu’adz dan Sa’ad bin ’Ubadah, hingga
akhirnya Baginda tidak melanjutkannya sesuai dengan keputusan
mesyuarat.

4. Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah, iaitu terhadap usul untuk


menyerang orang-orang musyrik. Maka Abu Bakar as-Siddiq berkata
kepada Baginda, ”Sesungguhnya kita datang bukan untuk berperang,
tetapi kita datang adalah untuk mengerjakan umrah”. Maka Rasulullah
s.a.w. pun bersetuju dengan pendapat Abu Bakar r.a.

5. Baginda Rasulullah s.a.w. juga pernah meminta pendapat ’Ali dan


Usamah tentang perceraian Baginda dengan Saidatina ’Aishah r.a.
dalam peristiwa hadithul ifki (berita bohong).

6. Para sahabat juga mengamalkan konsep yang sama. Sebagaimana


dalam peristiwa menjelang kewafatan Saidina Umar al-Khattab r.a
yang ditikam oleh seseorang. Maka telah diadakan musyawarah antara
6 orang sahabat iaitu ’Uthman, ’Ali, Thalhah, az-Zubair, Sa’ad dan
’Abdurrahman bin ’Auf radiallahu ’anhum, dan mereka telah
bermuafakat untuk mengangkat ’Uthman r.a. sebagai pengganti.

Jelasnya, Baginda Rasulullah s.a.w. selalu bermusyawarah dengan para


sahabatnya dalam pelbagai masalah dari kes rumahtangga hatta dalam strategi
perang dan memilih pemimpin. Dalam hal bermesyuarat ini, suka saya bawakan
satu hadith Nabi yang penting iaitu bagaimanakah ciri-ciri orang yang kita boleh
bawa berbincang dan diminta pendapatnya.
24

Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.:

‫مؤتمن المستشار‬
Maksudnya : “Orang yang diminta pendapat itu adalah orang yang dapat
dipercayai”.

Maka, syarat utama ialah memastikan yang kita pilih untuk menyertai
mesyuarat atau anggota mesyuarat terlebih dahulu mesti mempunyai ciri
amanah. Ini perlu bagi mengelakkan dari berlaku lebih banyak kemudharatan
dan kerosakan akibat tiadanya amanah antara ahli kita sehingga sepakat untuk
membuat keputusan yang tidak tepat. Namun setelah keputusan diambil, dengan
mengambil kira syarat-syarat ahli musyawarah, maka kita berserahlah pada
Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah Taala amat menyukai orang-orang yang
bertawakkal setelah berusaha sedayanya. Jika telah datang pertolongan Allah
Taala dalam urusan kita, maka tiada lagi kegusaran dan halangan yang akan
menghalang.

Penutup Kalam

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian;

Suka saya ingin menyimpulkan mengenai apa yang telah saya perkatakan. Bagi
mendapatkan sebuah pemerintahan yang utuh dan mantap, maka 5 elemen
penting yang menjadi paksinya mestilah dipastikan kewujudan dan
kesinambungannya. Kita saling memerlukan antara kelima-limanya bukannya
memilih salah satu darinya.

Kita memerlukan ulama’ yang akan mengajarkan ilmunya, pemerintah yang adil
melaksanakan amanah kuasa padanya, para usahawan yang amanah sebagai
penjana ekonomi negara, para profesional yang pakar dalam bidangnya untuk
25

memberikan khidmat nasihat berguna dan akhirnya kita memerlukan kualiti


keikhlasan ahli ibadat. Antara lima paksi tersebut, ianya perlu hadir dalam pakej
yang lengkap, barulah impaknya hebat. Setiap satunya mempunyai
keistimewaan dan kelebihan masing-masing yang tidak boleh sekali-kali
diabaikan. Umpama jari-jari ditangan kita. Jika hilang satu, maka akan susahlah
semuanya. Kesatuan itu, harus dan wajib ada padanya.

Sidang muktamar yang dirahmati Allah sekalian;

Dikesempatan ini juga, suka saya mengingatkan diri saya dan seluruh sidang
muktamar sekalian mengenai ciri-ciri kepimpinan yang perlu dinilai sebelum
kita membuat pemilihan. Sesungguhnya, pemilihan pemimpin ini adalah satu
ibadah kerana ianya akan membawa amanah agama dan jamaah. Antara ciri-ciri
kepimpinan yang perlu diteliti adalah sebagaimana berikut:

1. Mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. dalam setiap cabang kehidupan


2. Menjaga kesempurnaan ibadat khusus dan umum
3. Menjauhi dosa-dosa besar dan kecil
4. Mengamalkan akhlak Islam yang mulia
5. Mempunyai kemantapan iman dan ketinggian ilmu
6. Mempunyai sifat rendah diri dan tawadhuk
7. Mampu berperanan sebagai ‘imam’ dan ‘penghulu’. Maksudnya
mampu menjadi ketua dalam urusan ibadat dan juga ringan tulang
dalam membantu masyarakat.
8. Amanah dan bertanggungjawab serta meletakkan kepentingan Islam
mengatasi kepentingan lain termasuk kepentingan peribadinya sendiri

Selama 19 tahun kita berada dalam pemerintahan Islam di Kelantan. Kekananan


PAS dalam pemerintahan berbanding dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat,
adalah diharapkan akan menjadi rujukan dan contoh yang baik kepada yang
26

lain. Kita sebagai pejuang di sayap Muslimat PAS ini, mestilah sentiasa
meningkatkan kualiti diri dan kepimpinan agar kesinambungan perjuangan akan
diteruskan dengan sebaiknya.

Perlu diingatkan, tahun ini dan tahun-tahun mendatang adalah tahun yang penuh
ujian dan cabaran. Selain dilanda kegawatan ekonomi lokal dan global, kita juga
dilanda kegawatan nilai politik dan kepimpinan negara. Tidak mustahil
pilihanraya kecil akan terus berlaku dari semasa ke semasa dalam jangka masa
yang singkat. Bermula dengan Permatang Pauh, kemudian Kuala Terengganu,
kemudiannya Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Selepas ini
Penanti pula yang sedang menanti. Mungkin juga selepas ini ke Kota Alam
Shah dan beberapa tempat lagi. Pilihanraya ini adalah sebenarnya medan perang
secara damai dan demokrasi.

Apa yang penting, bermula dari sekarang, kita perlu sentiasa bersedia dan
memantapkan diri dan jentera. Jentera muslimat mestilah menjadi jentera yang
cergas, mantap, berani dan tabah. Disamping menambahkan kualiti kepimpinan
dan ilmu pengetahuan, kita mestilah sentiasa bersedia dari semua segi. Jentera
kita mestilah bersedia 24 jam. Hanya menunggu arahan dari pihak pemimpin
untuk kita turun padang.

Sesungguhnya puji-pujian dari pelbagai pihak terhadap jentera Muslimat


Kelantan hendaklah kita ambil sebagai motivasi dan muhasabah. Jangan pula
ianya menjadi tiket untuk kita menjadi takabbur dan sombong dengan pujian
sementara itu. Bahkan, ianya menjadi pemangkin untuk kita menambahbaikkan
dan memantapkan jentera kita di pelbagai peringkat. Insya Allah.

Marilah sama-sama kita muhasabah diri masing-masing dari semasa ke semasa.


Semoga Allah Taala menambahkan lagi ketaqwaan kita kepada-Nya. Insya
Allah.
27

Firman Allah Taala:

Maksudnya : ”Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari
melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah
jualah kesudahan segala urusan”. ( al-Hajj : 41 )

Akhir kata, marilah sama-sama kita memohon pertolongan daripada Allah SWT
semoga dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam membantu Islam.
Semoga kita juga konsisten dalam mendokong perjuangan berlandaskan
kebenaran ini.

Firman Allah Taala:

Maksudnya : ”Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap


teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan
hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu
berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah;
sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” ( Hud:112)
Siiru ’ala barakatillah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ucapan YB Hjh Siti Zailah Mohd Yusof


Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan / Ahli Parlimen Rantau Panjang
13 Jamadil Awwal 1430H / 9 Mei 2009 ( Sabtu )
Pusat Tabiyyah Islam Kelantan ( PUTIK ), Pengkalan Chepa

Anda mungkin juga menyukai