Anda di halaman 1dari 5

1.

Pengenalan

Islam sering dipandang rendah oleh dunia sejagat dan sering kali diberikan gambaran sebagai agama yang mundur. Islam juga dianggap tidak menggalakkan umatnya menuntut dan menguasai pelbagai bidang ilmu. Gambaran yang diberikan ini adalah tidak benar sama sekali, malah amat bertentangan dengan hakikat sejarah yang sebenarnya. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam merupakan satu agama yang telah melahirkan banyak golongan sarjana dan ramai ilmuan yang cukup hebat dalam pelbagai bidang seperti bidang falsafah, sains, politik, kesusteraan, kemasyarakatan, agama, perubatan dan sebagainya. Kehebatan tokoh-tokoh ilmuan Islam ini amat terserlah di mana mereka bukan sahaja menguasai satu bidang ilmu, tetapi pada masa yang sama mereka dapat menguasai beberapa bidang ilmu yang lain dalam masa yang singkat walau pun pada usia yang masih muda. Salah seorang ilmuan Islam yang amat terkenal pada zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu ialah Ibnu Haitham. 2.0 Latar Belakang Ibnu Haitham

Ibnu Haitham merupakan seorang ilmuan Islam yang amat terkenal pada zamannya. Nama sebenarnya ialah Abu Ali Muhammad al-Hassan ibnu al-Haitham. Beliau dikenali dengan nama Alhazen dalam kalangan cerdik pandai di Barat. Beliau dilahirkan di Basrah, Iraq pada 354 Hijrah bersamaan dengan 965 Masihi. Ibnu Haitham dibesarkan di Bandar basrah dan Baghdad, dua buah kota yang menjadi pusat ilmu pengetahuan Abbasiyah pada masa itu. Di dua kota inilah beliau mendapat pendidikan awal sebelum dilantik menjadi pegawai pemerintah di bandar kelahirannya. Setelah beberapa lama berkhidmat, beliau telah mengambil keputusan untuk merantau ke Ahwaz dan Baghdad. Semasa di perantauan inilah beliau telah mengambil keputusan melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian dalam bidang penulisan. Kemahsyuran Ibnu Haitham telah menyebabkan beliau telah diundang ke Mesir oleh Pemerintah Khalifah Al-Hakim bin Amirillah, iaitu pemerintah Bani Fatimiyah pada ketika itu. Semasa di sana, beliau telah diminta melakukan beberapa kerja penyelidikan mengenai aliran dan saliran sungai Nil yang kerap dilanda banjir pada setiap tahun. Sayangnya, beliau tidak dapat merealisasikan rancangan mewujudkan takungan raksasa yang dibuat kerana kekurangan peralatan canggih yang ada pada masa itu. Akibatnya, beliau meninggalkan pekerjaan itu dan berpura-pura hilang ingatan bagi melindungi dirinya daripada dimurkai oleh pemerintah. Ibnu Haitham kembali normal dan aktif dalam kegiatan ilmu setelah kemangkatan Sultan Al-Hakim bin Amirillah pada tahun 1021.

Setelah itu, Ibnu Haitham telah berlindung dan mengabdikan diri di Universiti Al-Azhar, dan terus menyambung usaha ilmiahnya dalam bidang yang cukup saintifik. Beliau juga turut menterjemahkan buku-buku matematik dan falak ke bahasa Arab. Sebelum itu, Ibnu Haitham telah pergi ke Andalusia (Sepanyol), kiblat ilmu pengetahuan Eropah pada masa itu. Beliau telah mempelajari optik sehingga terkenal dalam bidang optik. Pada tahun terakhir hayatnya, beliau telah kembali ke Kaherah sebagai ahli matematik. Ibnu Haitham menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1039M ketika usianya 74 tahun. 3.0 Sumbangan Ibnu Haitham

Ibnu Haitham merupakan seorang ilmuan yang gemar melakukan penelitian dan penyelidikan. Beliau banyak memberi sumbangan dalam pelbagai bidang seperti sains, fisalat, logik, metafizik dan keagamaan. 3.1 Bidang Sains

Ibnu Haitham merupakan seorang yang gemar melakukan penyelidikan. Penyelidikannya mengenai cahaya telah memberi ilham kepada para ilmuan lain, termasuklah ahli sains Barat seperti Boger, Bacon, dan Kepler dalam mencipta mikroskop dan teleskop. Beliau merupakan orang pertama yang menulis dan menemukan pelbagai data penting mengenai cahaya. Di antara buku-buku yang telah ditulis oleh beliau berkaitan dengan cahaya dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ialah Light dan On Twilight Phenomena. Kajiannya banyak membahaskan mengenai senja dan lingkaran cahaya di sekitar bulan dan matahari serta bayang-bayang dan gerhana. Semasa di Sepanyol, Ibnu Haitham melakukan beberapa penyelidikan dan percubaan ilmiah berkaitan dengan bidang optik. Penemuan beliau yang terkenal ialah hukum pembiasan. Menurut Ibnu Haitham, cahaya fajar bermula apabila matahari berada di garis 19 darjah di ufuk timur. Warna merah pada waktu senja pula akan hilang apabila matahari berada di garis 19 darjah di ufuk barat. Dalam fizik moden, hukum ini dikenali dengan nama hukum pembiasan Snell yang diambil sempena nama ahli fizik Belanda iaitu Willebrord Van Roijen Snell. Berdasarkan kaedah matematik dan fizik moden, Ibnu Haitham telah menggabungkan teori dan eksperimen dalam penyelidikannya. Dalam penyelidikannya, beliau telah mengkaji gerakan cahaya, ciri-ciri bayang dan imej, serta banyak lagi fenomena optik yang penting. Beliau telah menolak teori Ptolemy dan Euclid yang mengatakan bahawa manusia melihat benda melalui pancaran cahaya keluar dari matanya. Tetapi menurut Ibnu Haitham, bukan

mata yang memberikan cahaya tetapi benda yang dilihat itulah yang memantulkan cahaya ke mata manusia. Beliau juga turut melakukan percubaan terhadap kaca yang dibakar dan terhasillah teori lensa pembesar. Teori ini telah digunakan oleh para saintis di Itali untuk menghasilkan kanta pembesar yang pertama di dunia. Lebih mengkagumkan, Ibnu Haitham telah menemui prinsip isi padu udara sebelum seorang saintis yang bernama Trricella mengetahui perkara itu 500 tahun kemudian. Beliau juga telah menemui kewujudan tarikan gravity sebelum Isaac Newton. Selain itu, teori Ibnu Haitham mengenai jiwa manusia sebagai satu rentetan perasaan yang bersambungsambung secara teratur telah memberi ilham kepada saintis Barat untuk menghasilkan wayang gambar. Teori beliau telah membawa kepada penemuan filem yang kemudiannya disambung-sambung dan dimainkan kepada para penonton sebagaimana yang dapat kita tontoni sehingga kini. 3.2 Bidang Falsafah

Selain sains, Ibnu Haitham juga banyak menulis tentang falsafah. Beliau turut menulis ulasan dan ringkasan terhadap karya-karya sarjana terdahulu. Ibnu Haitham juga telah tersenarai di antara salah seorang ahli falsafah Aristo. Di kalangannya adalah sahabat beliau, iaitu Ibnu Sina dan al-Biruni. Beliau juga mendahului Kant, di mana teori yang dilabelkan daripada Kant sebenarnya datang daripada beliau iaitu bahawa untuk mencapai kebenaran hendaklah dengan mengetahui pendapat-pendapat yang berunsur kepada kenyataan yang dapat digambarkan dengan akal rasional. Bagi Ibnu Haitham, falsafah tidak boleh dipisahkan daripada matematik, sains, dan ketuhanan. Ketiga bidang dan cabang ilmu ini harus dikuasai, dan untuk menguasainya seseorang hendaklah memaksimakan masa mudanya untuk mempelajarinya dengan sepenuhnya. Apabila umur semakin meningkat, kekuatan fisik dan mental akan turut mengalami kemerosotan. Pandangan beliau mengenai falsafah sangat menarik untuk disoroti. 3.3 Bidang Astronomi

Dalam bidang astronomi pula, Ibnu Haitham telah menambah pendapat ilmuan Yunani tentang proses pengubahan langit abstrak menjadi benda-benda padat. Dalam karya astronominya, beliau melukis gerakan planet-planet, tidak hanya dalam terma eksentrik dan episiklus, tetapi juga dalam satu model fizik. Pendapatnya hanya mempengaruhi Dunia

Pemikiran Barat pada zaman Johannes Kepler. Tiga abad kemudian karya ini ditukar dalam bentuk ikhtisar oleh astronomi muslim iaitu Nasiruddin at-Tusi. 3.4 Bidang Fizik

Dalam bidang fizik, Ibnu Haitham telah mengkaji tentang gerakan yang membawa beliau menemui prinsip intarsia dan statik. Beliau telah mengasaskan dan menjadikan optik menjadi satu sains baru. Banyak kajian beliau telah mendahului Francis Bacon, Leonardo da Vinci dan Johannes Kepler. 4.0 Karya-Karya Agung Ibnu Haitham

Keghairahan Ibnu Haitham dalam mendalami semua bidang ilmu telah menghasilkan banyak karya penulisan pada usia mudanya. Beliau telah menulis tidak kurang daripada 200 judul buku, namun hanya sedikit yang terselamat. Di antara buku hasil karyanya ialah AlJamifi Usul Al-Hisab, yang mengandungi teori-teori ilmu matematik dan analisa matematika, Kitab Al-Tahlil wa Al-Tarkib, berkaitan dengan ilmu geometri, Kitab Tahlil Al-Masail AlAdadiyah, mengenai algebra, Maqalah fi Istikhraj Simat Al-Qiblah, mengupas tentang arah kiblat bagi segenap rantau, Maqalah fima Tadullaih, mengenai penggunaan geometri dalam urusan hukum syarak, dan Risalah fi Sinaat Al-Syiir, berkaitan dengan teknik penulisan puisi. Selain itu, hasil karya beliau yang menerangkan tentang kajian ilmu fizik dan astronomi termasuklah Maqalah fi Daw Al-Qamar, Zawahir Al-Hasaq, Fi ad-Dawar, fi alMakan, Fi al-Mulumar, Fi Misahat al-Mukafi, dan Fi Irtifa al-Quth. Hampir keseluruhan karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah. Salah satu daripada karya Ibnu Haitham yang teragung dalam bidang kajian optik ialah AlMunadzir. Buku tersebut pernah menjadi rujukan kepada para ahli kaji optik selepasnya. Karya ini diterjemahkan oleh Witelo pada tahun 1270M dan kemudiannya diterbitkan oleh F.Risner pada tahun 1572M dengan nama Thesaurus Opticae. Ibnu Haitham juga pernah menulis empat buah risalah tentang ilmu cahaya dan ilmu ukur. Risalah-risalah tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman yang telah tersebar dengan meluas di Eropah sejak tahun 1907M. Sebahagian karya beliau telah dicuri oleh ilmuan Barat tanpa member penghargaan yang sepatutnya kepada beliau. Kajian Ibnu Haitham telah menyediakan landasan pada perkembangan ilmu sains, dan pada masa yang sama tulisannya mengenai falsafah telah membuktikan keaslian pemikiran sarjana Islam dan bidang ilmu tersebut tidak lagi dibelenggu oleh pemikiran filsafat Yanani.

5.0

Kesimpulan

Sumbangan Ibnu Haitham dalam ilmu sains dan falsafah amat banyak sehingga beliau dikenali sebagai seorang yang kaya ilmu pengetahuan walau pun miskin dari segi material. Beberapa pandangan dan pendapatnya masih relevan dan digunapakai sehingga ke hari ini. Berdasarkan latar belakang perjalanan hidupnya, dapatlah disimpulkan bahawa Ibnu Haitham merupakan seorang tokoh ilmuan Islam yang sangat disegani dan termahsyur pada zaman silam. Azam dan tekad beliau untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam dan usahamya mendekatkan diri kepada Allah s.w.t tidak sia-sia. Berkat kesungguhannya, Ibnu Haitham telah menjadi seorang cendekiawan yang terkenal bukan sahaja di kalangan umat Islam, malah di seluruh pelosok dunia. Sumbangan beliau yang besar dalam dunia ilmu pengetahuan telah menjadi satu panduan kepada para ilmuan selepasnya. Beliau tidak pernah jemu dan puas dalam usaha untuk mencari dan menambah pengetahuannya dalam pelbagai bidang ilmu.

Anda mungkin juga menyukai