Anda di halaman 1dari 6

11. Membincangkan faktor-faktor kejatuhan Melaka.

Faktor Dalaman a) Perebutan Kuasa Bermula dengan perlantikan Tun Mutahir sebagai Bendahara Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Tidak disenangi oleh para pembesar Melayu kerana beliau mengamalkan sikap pilih kasih. Melantik ahli keluarganya dan mereka yang berketurunan India-Muslim ke dalam jawatan pembesar. Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1989) pengaruh keluarga Tun Mutahir sangat mencengkam istana Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Tiga jawatan tertinggi dalam hierarki pembesar empat lipatan telah dikuasai oleh ahli keluarga Tun Mutahir. Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hasan merancang satu tipu muslihat. i. Laksamana Khoja Hasan menfitnah Tun Mutahir kepada Sultan Madmud Syah dengan menyatakan bahawa Tun Mutahir mempunyai perancangan untuk merampas kuasa daripadanya dan mengangkat dirinya sebagai Sultan Melaka yang baru. ii. Sultan Mahmud Syah percaya fitnah terhadap Mutahir itu dan berasa sangat murka. iii. Tun Fatimah (puteri Bendahara Tun Mutahir) tidak dipersembahkan kepada Sultan bagi dijadikannya isteri seperti yang dilakukan dalam tradisi Bendahara sebelumnya. iv. Tanpa usul periksa, Sultan Mahmud Syah mengarahkan Tun Mutahir dan semua ahli keluarganya dibunuh kecuali Tun Fatimah dan Tun Hamzah yang masih kecil. v. Laksaman Khoja Hasan kemudian dipecat oleh Sultan Mahmud Syah setelah baginda menyesali perbuatan baginda yang telah menjatuhkan hukuman tanpa sebarang usul periksa tersebut.

b) Kelemahan Kepimpinan Pengganti kepada Bendahara Tun Mutahir iaitu Bendahara Paduka Tuan sangat lemah kerana keadaannya yang uzur dan tua. Ketiadaan pembesar berempat yang berpengalaman dalam menguruskan hal ehwal Melaka, pentadbiran telah menjadi kucar-kacir dan bermasalah. Sultan Mahmud Syah bertindak turun daripada takhta Sultan Melaka dan menaikkan puteranya Raja Ahmad sebagai pengganti baginda. Sultan Ahmad pada waktu dilantik menjadi Sultan adalah terlalu muda dan masih mentah dan tidak mampu untuk menguruskan hal ehwal negara. Menurut Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang seperti yang dipetik oleh Muhammad Yusoff Hashim (1989), sikap Sultan Ahmad yang tidak menghormati adat, suka bermain-main dan memandang enteng kepada para pembesar tempatan telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pemulihan pentadbiran Melaka. Pemecatan Laksamana Khoja Hassan dari jawatannya sebagai Laksamana Melaka telah memberi kesan kepada keselamatan di perairan Melaka.

c) Penyelewengan Kuasa Penyelewengan dalam kalangan pegawai Melaka telah berlaku. Di pelabuhan, pegawai-pegawai Melaka di pelabuhan telah bertindak menyeleweng daripada amalan perdagangan sebelumnya yang dilaksanakan di Melaka. Para pegawai di pelabuhan dengan sesuka hati telah bertindak menaikkan cukai kepada para pedagang yang singgah di Melaka dan tidak kurang pula yang meminta rasuah daripada para pedagang dalam menipu sukatan dan timbangan. Kawalan keselamatan di perairan Melaka juga telah mulai longgar kesan daripada pemecatan Laksamana Khoja (Khawaja) Hassan daripada jawatannya yang bertanggungjawab menjaga keamanan di laut di mana jawatan laksamana dianggap sebagai raja di laut yang menjadi ketua kepada armada laut Melaka. Para pedagang telah mula mencari pelabuhan lain sebagai alternatif kepada Melaka seperti pelabuhan Acheh yang sedang meningkat naik.

d) Ketenteraan yang Lemah Faktor ketenteraan yang lemah di pihak Melaka. Dalam perang ketika menghadapi serangan Portugis, askar upahan Melaka dari Jawa telah bertindak melarikan diri ketika diserang Portugis. Oleh itu, pertahanan Melaka menjadi rapuh dan mudah ditembusi. Hasilnya, tentera Portugis mampu untuk mendarat di persisiran pantai Melaka dan kemudiannya membakar jambatan yang menghubungkan bandar Melaka. Kelengkapan persenjataan yang digunakan oleh askar Melaka adalah tidak setanding dengan kelengkapan perang Portugis yang mempunyai meriam besar yang mampu untuk menembak dari jarak jauh, selain penggunaan senapang dan perisai sedangkan askar Melaka masih menggunakan senjata tradisional seperti panah dan tombak. Faktor Luaran a) Kedatangan Portugis Bangsa Portugis adalah satu bangsa Eropah yang giat merintis jalan ke Timur melalui laluan laut setelah laluan darat dikuasai oleh orang Islam. Usaha ini menerima galakan daripada Putera Henrique, putera kerajaan Portugis. Bermula dengan misi pelayaran oleh Bartolomeu Dias yang berjaya belayar sehingga ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan dari Eropah, bangsa Portugis mengetahui bahawa terdapat jalan laut ke Timur tanpa melalui jalan perdagangan darat yang dikuasai oleh orang Islam seperti Laluan Rempah dan Laluan Sutera. Menyedari bahawa terdapat jalan laut ke Timur, misi pelayaran seterusnya dihantar oleh Raja Manuel I bagi merintis jalan ke Timur. Oleh itu, pelayar Portugis Vasco da Gama telah belayar mengikut laluan yang pernah dilalui Bartolomeu Dias dan akhirnya berjaya belayar sehingga ke Goa di India pada tahun 1498. Kemudiannya, Portugis telah menduduki wilayah Goa di India bagi dijadikan pengkalan mereka di Timur. Semenjak itu, bangsa Portugis telah menyaksikan banyak pelayaran yang dibuat untuk menjelajah ke seluruh dunia seperti Ferdinand Magellan yang menjadi pelayar pertama yang mengelilingi dunia, Christoper Colombus dan lain-lain.

Setelah bertapak di Goa, pelayar-pelayar Portugis mula meneruskan hasrat untuk berlayar sehingga ke China dan hasilnya mereka telah menemui Melaka yang menjadi antara pelabuhan yang tersibuk ketika itu.

Akhirnya, satu misi perdagangan telah diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira dengan lima buah kapal telah tiba di Melaka 11 September 1509 ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

Kedatangan pedagang Portugis untuk berniaga di Melaka menjadikan mereka pedagang Eropah pertama yang tiba di Melaka dan oleh itu mereka telah digelar sebagai Benggali

Putih oleh masyarakat tempatan. Menurut Andaya (1982), (terjemahan), Abad ke 15 telah dikenali sebagai Abad Penemuan Bangsa Portugis. Sebab utama pelayaran mereka keluar jauh daripada sebuah kerajaan kecil milik mereka di Eropah hingga ke penghujung dunia adalah disebabkan pelbagai matlamat yang bercampur baur; pertama semangat Perang Salib Anti-Muslim yang membara; mengumpul emas; bagi menyempurnakan impian dan hasrat paderi Kristian untuk menjadi pemerintah kepada Benua Hindi dan keinginan untuk menguasai perdagangan rempah di Asia.

Berdasarkan faktor 3G iaitu Gold,Gospel and Glory itulah, bangsa Portugis telah belayar sehingga ke Timur iaitu bagi menguasai perdagangan di Asia terutamanya perdagangan rempah yang dikuasai oleh umat Islam, meneruskan Perang Salib di Timur dan meluaskan kekuasaan Portugis ke kawasan Benua Hindi (Asia).

Oleh itu, apabila Lopez de Sequeira tiba di Melaka, beliau telah mempersembahkan hadiah berupa kalungan emas kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dikatakan hadiah daripada Raja Portugal sebagai tanda dan hasrat supaya membenarkan mereka berniaga di pelabuhan Melaka.

Para saudagar India-Muslim dari Gujerat kemudiannya telah memaklumkan kepada Bendahara mengenai hasrat tersembunyi orang Portugis yang sebenarnya tidak berniat untuk berdagang tetapi sebaliknya mempunyai niat dan agenda yang tidak baik dalam menjatuhkan kerajaan Islam di Timur. Hal ini kerana para pelayar Portugis telah menggunakan taktik yang sama di India sehinggalah mereka berjaya menduduki wilayah Goa dan menjadikannya sebagai pengkalan di sana.

Bendahara yang termakan dengan aduan tersebut telah menangkap kesemua anak kapal Portugis kecuali Lopez de Sequeira yang berjaya melarikan diri. Penangkapan tersebut telah menyebabkan Portugis berasa tercabar dan telah mengatur strategi bagi melepaskan semula anak-anak kapal mereka. Hasilnya, Portugis telah menyiapkan satu angkatan bersenjata ke Melaka dengan diketuai oleh Wizurai Portugis di Goa iaitu Alfonso de Alburqueque dengan dua puluh buah kapal termasuk kapal terbesar yang bernama Flor de la Mar.

b) Kebangkitan Acheh Setelah menyedari bahawa amalan perdagangan di Melaka mulai menyeleweng dengan kenaikan cukai yang tinggi dan salahguna kuasa para pegawai Melaka di pelabuhan, para pedagang yang berdagang di Melaka mula meninggalkan Melaka dan mencari pelabuhan alternatif lain untuk berdagang. Acheh yang sedang meningkat naik mula menjadi tumpuan para pedagang asing di Selat Melaka. Kesultanan Acheh telah diasaskan oleh Sultan Ali Mughayat Syah pada tahun 1496, sebagai mengembalikan semula kegemilangan kerajaan Samudra-Pasai yang telah jatuh akibat persengketaan dalaman dan diserang oleh Kerajaan Haru (Aru) sebelumnya yang membawa kepada kedua-dua Pasai dan Aru menjadi jajahan takluk Melaka. Kawasan Kesultanan Acheh yang meliputi wilayah Acheh sehinggalah ke wilayah Pedir, Pasai, dan Aru. Kerajaan Kesultanan Acheh yang mewarisi Kesultanan Samudra-Pasai yang pernah mendominasi perdagangan di Selat Melaka sebelum kewujudan Melaka telah mengambilalih tempat Melaka sebagai pelabuhan terpenting di Selat Melaka. Keadaan Melaka yang terumbang-ambing dengan pelbagai masalah menyebabkan pedagang asing lebih berminat untuk berdagang di pelabuhan Acheh yang sedang berkembang maju.

3. Serangan Portugis Setelah misi perdagangan Portugis ditangkap oleh Melaka, satu pasukan tentera telah disiapkan oleh Portugis yang diketuai oleh Wizurai Portugis di Goa, Alfonso de Alburquerque. Pada tahun 1511, angkatan bersenjata Portugis tiba di Melaka dan menuntut tiga perkara daripada kerajaan Melaka iaitu pertama membebaskan kesemua tahanan Portugis, kedua membayar ganti rugi kepada Portugis dan ketiga membenarkan Portugis membina kubu di Melaka. Walaubagaimanapun, Sultan Ahmad Syah telah menolak kesemua tuntutan Portugis menyebabkan Portugis melancarkan serangan pertama ke atas Melaka pada 25 Julai 1511 dengan kekuatan 19 buah kapal perang dan 1400 orang tentera. Dalam serangan tersebut, Portugis berjaya menguasai jambatan Sungai Melaka dengan bantuan lima buah tongkang daripada China. Malah, perbuatan Si Kitol atau nama sebenarnya Naina Chetu membocorkan maklumat kekuatan pertahanan Melaka kepada Portugis menyebabkan Portugis lebih bersiap sedia dan merangka strategi perang yang lebih teliti. Tentera Melaka kemudiannya berundur dan mendapat kembali semangat perang setelah mendengar kisah perjuangan jihad umat Islam dalam kitab Hikayat Muhammad Ali Hanafiah. Serangan balas tentera Melaka akhirnya berjaya mengundurkan tentera Portugis dari jambatan Melaka. Walaubagaimanapun, serangan semula Portugis ke atas tentera Melaka berjaya mengalahkan Melaka dan akhirnya Portugis menguasai Melaka pada 24 Ogos 1511.

Anda mungkin juga menyukai