Anda di halaman 1dari 7

1

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda
hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Penyakit atau masalah sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam
masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat
pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa.
Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa,
khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa kini sibuk bekerja sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka. Akibat kesibukan dan keletihan, mereka langsung tidak mahu
mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka.
Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar
untuk menghiburkan hati.
Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif tersebut akibat daripada pergaulan
bebas dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa
memberi wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu
bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang.
Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik
kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya
perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca
berlakunya gejala sosial di negara kita. Remaja yang bergaul dengan rakan yang bersikap negatif
juga akan turut bersikap negatif. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar
dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.
Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya
boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah.
Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi
masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional.
Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar dapat
melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah
diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana semua
agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik.
Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik
kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti.
Bahagian A (ii) Pemahaman
1. Berikan maksud tidak mahu mengambil tahu dalam petikan. [2 markah]
2. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membendung gejala sosial dalam
kalangan remaja? [4 markah]
3. Pada pendapat anda, sebagai pelajar dan juga remaja apakah yang patut golongan remaja
lakukan untuk mengatasi gejala sosial ini? [4markah]



2
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar semula.
Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan
menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini
dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah
melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan
tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak.
Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah
meletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-belah,
sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah tong iaitu
tong coklat untuk bahan-bahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk plastik dan
logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program kitar semula juga
bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada
masyarakat.
Apabila tong-tong kitar semula itu penuh, bahan-bahan yang terkumpul akan dibawa ke pusat
pengumpulan barang terpakai. Barangan kitar semula yang dibawa akan dinilai dan pusat
pengumpulan akan memberikan bayaran kepada syarikat yang membawanya. Pengguna yang
membawa barangan terpakai terus ke pusat pengumpulan akan mendapat bayaran yang
berpatutan juga. Sehubungan itu, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan yang lain seperti
pengecualian cukai bagi mesin dan peralatan yang digunakan untuk kitar semula.
Selain pihak kerajaan, pihak swasta digalakkan turut serta dalam rangkaian aktiviti kitar semula.
Misalnya, mereka menggalakkan pekilang-pekilang menggunakan bahan kitar semula sebagai
asas dalam pembuatan produk mereka. Dalam hal ini, negara dapat juga menjimatkan
penggunaan bahan mentah.
Bahagian A(ii): Pemahaman
1. Berikan maksud rangkai kata mengambil langkah dalam petikan. [2 markah]
2. Apakah matlamat-matlamat program kitar semula? [4 markah]
3. Program kitar semula di negara tidak mendapat sambutan daripada seluruh
masyarakat. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

TINGKATAN 1 DAN 2
Bahagian A (i): Ringkasan (20 markah)
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kesan pengambilan
minuman beralkohol. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.
Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan
Arak adalah sejenis minuman yang beralkohol dan boleh memabukkan. Kandungan gula yang
tinggi dalam minuman beralkohol ini juga boleh memudaratkan dan menjejaskan kesihatan si
peminum. Oleh itu, agama Islam mengharamkan umatnya minum minuman keras.
Jika wanita hamil minum minuman keras, maka pertumbuhan bayi dalam kandungannya turut
terbantut. Risiko bayi mengalami kecacatan atau menghidap penyakit sangat tinggi. Hal ini
demikian kerana alkohol yang mengalir ke dalam tubuh si ibu akan memberi kesan kepada fizikal
bayi serta menjejaskan kesihatannya.
3
Sekiranya pelajar yang minum minuman keras pula, mereka tidak mampu mengawal emosi serta
hilang keupayaan berfikir. Keadaan menjadi semakin teruk apabila pelajar mula ketagihan
minuman keras itu. Masalah tersebut akan merosakkan kesihatan pelajar sekali gus menjejaskan
pelajaran dan masa depan mereka. Pengambilan alkohol juga boleh memporak-porandakan
sesebuah keluarga jika Jika dalam sesebuah keluarga itu ada pemabuk.
Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk setelah minum arak pula tidak dapat
memberikan tumpuan semasa memandu. Perbuatan mereka ini melanggar undang-undang jalan
raya serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Akibatnya, kemalangan
mudah berlaku dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh sebab minuman
beralkohol ini sangat berbahaya, sepatutnya kerajaan mengharamkan penjualan dan
pengedarannya di seluruh negara. Jika tindakan ini segera dilaksanakan sudah tentu rakyat
dapat menjimatkan wang. Tindakan tersebut juga dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan
raya akibat pemandu mabuk. Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia juga hidup dengan sihat dan
produktif kerana bebas daripada alkohol. Seterusnya, masalah sosial yang berkait rapat dengan
minuman keras ini juga dapat diatasi.

Bahagian A (ii): Pemahaman (10 markah)
1. Berikan maksud hilang keupayaan berfikir dalam petikan. [2 markah]
2. Apakah kebaikan-kebaikannya jika kerajaan mengharamkan penjualan dan pengedaran arak
di seluruh negara? [4 markah]
3. Masih ramai rakyat Malaysia yang gemar minum minuman beralkohol walaupun mereka
mengetahui bahawa minum minuman beralkohol memberi kesan buruk kepada
kesihatan. Pada pandangan anda mengapakah keadaan ini berlaku?

TINGKATAN 1 DAN 2
TIADA KOMEN
Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang kelebihan bayi yang menyusu susu ibu. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa
mengubah maksud asal petikan.

Kelahiran cahaya mata dalam sesebuah keluarga diibaratkan sebagai menerima anugerah yang
paling berharga. Dalam hal ini, susu ibulah yang dapat dihadiahkan kepada bayi sebagai
minuman yang paling mujarab. Susu ibu merupakan susu yang paling baik untuk bayi. Oleh itu,
menyusukan bayi sudah diterima sebagai satu kaedah terbaik untuk tumbesaran anak-anak.
Banyak kelebihan apabila seseorang bayi menyusu susu ibu berbanding dengan susu tepung.
Antara kelebihan bayi yang menyusu susu ibu ialah bayi dapat bernafas dengan baik semasa
menyusu. Oleh itu, otot muka bayi akan lebih kenyal berbanding dengan bayi yang menyusu
tepung dengan botol kerana bayi terpaksa menyesuaikan mulutnya dengan bentuk puting botol
susu. Kesannya, tulang pipi akan menonjol keluar dan muka bayi akan kelihatan tidak seimbang.
Ada juga sesetengah bayi yang alergi kepada susu lembu tepung sehingga boleh menimbulkan
masalah kesihatan, perkembangan terbantut dan alahan berbanding dengan kandungan susu ibu
yang terbaik untuk pertumbuhan fizikal dan perkembangan emosi bayi.
4
Penyusuan susu ibu juga memberikan kesan positif terhadap perkembangan rahang. Sekiranya
rahang berkembang dengan baik, ruang yang ada dapat ditumbuhi gigi susu. Gigi susu dapat
tumbuh dengan cantik seolah-olah bertunas di atas gusi dari tengah ke tepi. Oleh itu wajah bayi
akan kelihatan lebih cantik dan menawan.
Dari sudut psikologi pula, penyusuan susu ibu dapat menjalinkan hubungan yang erat antara ibu
dengan anak. Selain itu, risiko ibu tidak untuk menghidap penyakit serius seperti barah payu dara
dan barah ovari adalah tipis, tambahan pula ibu yang menyusukan bayi juga akan kembali
langsing kerana ibu tersebut dapat mengurangkan berat badan dengan lebih mudah selepas
bersalin.
Sebenarnya susu ibu sangat berharga dan tidak ada galang ganti. Ibu yang menyusukan bayi
sudah tentu dapat menjimatkan wang. Oleh sebab itu, ibu-ibu digalakkan supaya menyusukan
bayi masing-masing tanpa ragu-ragu.
Bahagian A (ii): Pemahaman
1. Berikan maksud anugerah yang paling berharga dalam petikan. [2 markah]
2. Mengapakah menyusu susu tepung menggunakan susu botol tidak baik bagi bayi? [4 markah]
3. Kini semakin kurang ibu-ibu yang menyusukan bayi. Pada pendapat anda Mengapakah
keadaan ini berlaku? [4 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang mengapa remaja perlu membaca bahan bacaan yang bermutu?. Panjangnya
ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya
menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Jika remaja tidak berminat membaca mereka akan ketinggalan tentang perkembangan pesat
yang berlaku di dunia pada hari ini. Dunia pada era globalisasi ini adalah bertunjangkan
maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca,
tambahan pula jika mereka hanya membaca bahan bacaan yang ringan dan bercorak hiburan,
gosip, hal-hal picisan, tahayul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, ilmu mereka tidak akan
berkembang.
Remaja perlu membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu untuk melatih diri supaya berfikir
dan menganalisis. Generasi yang membaca bahan bacaan yang bermutu akan dapat
menghasilkan idea-idea yang bermakna untuk diri, masyarakat dan negara. Dalam bahan bacaan
yang bermutu terkandung maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja.
Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat
sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat, tetapi juga menjadi santapan jiwa. Bagi
mereka, mendapat bahan bacaan yang digemari ibarat mendapat teman yang sangat dikasihi.
Kalau remaja rajin membaca bahan bacaan yang bermutu nescaya pada masa hadapan mereka
mampu menempa kejayaan dan perubahan yang berguna untuk masyarakat dan negara seperti
orang Barat dan Jepun tersebut.
Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil patut
didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang bermutu supaya daya pemikiran mereka akan
berkembang dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Sekiranya remaja membaca bahan
bacaan yang tidak bermutu mereka hanya berupaya memikirkan perkara-perkara yang remeh
sahaja. Justeru, apabila dewasa mereka tidak akan berupaya menghadapi desakan hidup yang
kian mencabar.
5
Sebagai negara yang sedang menuju tahap negara maju dan berpendapatan tinggi Malaysia
seharusnya memiliki generasi muda yang berminat membaca kerana kemajuan negara banyak
bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya supaya kita tidak
akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan pada era globalisasi yang
sedang kita tempuh. Proses memajukan negara harus seimbang dengan darjah kemampuan
rakyatnya berfikir.
Bahagian A (ii)
1. Berikan maksud mampu menempa kemajuan dalam petikan. [2 markah]
2. Apakah kesan-kesannya sekiranya remaja kita hanya berminat membaca bahan bacaan yang
tidak bermutu? [4 markah]
3. Kebanyakan remaja kita kini kurang gemar membaca. Pada pendapat anda
mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]

TINGKATAN 1 DAN 2
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang cara-cara membendung jenayah dalam kalangan pelajar. Panjang ringkasan anda
hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan remaja. Hal ini
telah menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah dalam kalangan mereka. Segala
jenayah ini dapat dibendung melalui pendekatan yang lebih berkesan, misalnya ibu bapa sebagai
orang yang paling rapat dengan remaja hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada
anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai
murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara yang baik dan yang
buruk.
Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana remaja mudah terpengaruh dengan
kawan-kawan mereka, tetapi kini kebanyakan ibu bapa tidak mengambil peduli dengan siapa
anak mereka berkawan. Pengaruh hiburan melalui media massa juga hendaklah dibendung.
Pihak sekolah pula perlu memantapkan lagi kawalan disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan
salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok,
mengambil dadah, atau membuli pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan
mereka. Masalah ini sukar dibendung kerana ibu bapa tidak mahu meluangkan masa datang ke
sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal sebelum masalah anak-anak mereka
menjadi semakin serius. Malahan, ada juga antara ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan
undang-undang terhadap guru-guru jika pihak sekolah mengambil tindakan disiplin terhadap
anak mereka.
Masalah ini dapat dibendung jika penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat,
tamsilannya remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh
hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori sama seperti pesalah dewasa.
Golongan remaja adalah aset negara pada masa depan. Kita tidak mahu mereka yang mewarisi
negara ini terlibat dengan jenayah. Oleh itu, mereka haruslah didedahkan kepada isu-isu
semasa melalui kempen-kempen dan perkhemah motivasi supaya mereka mengetahui bahawa
segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka.
Bahagian A (ii) Pemahaman
6
1. Berikan maksud mudah terpengaruh dalam petikan? [2 markah]
2. Mengapakah masalah jenayah dalam kalangan pelajar sukar dibendung? [4 markah]
3. Kebanyakan masyarakat kita pada masa tidak mahu mengambil peduli tentang masalah
remaja di sekitar mereka. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4
markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang kepentingan kokurikulum kepada para pelajar. Panjangnya ringkasan anda hendaklah
tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri
tanpa mengubah maksud asal petikan.
Aktiviti kokurikulum di sekolah dapat memupuk dan membentuk keperibadian unggul seseorang
pelajar. Misalnya, melalui kelab dan persatuan pelajar-pelajar dilatih untuk memegang beberapa
jawatan penting dan bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang dirancang.
Melalui aktiviti kokurikulum pelajar-pelajar juga dilatih memahami prinsip-prinsip asas alam
pekerjaan yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan
dewasa nanti. Pendedahan seumpama ini melalui aktiviti kokurikulum membolehkan mereka
bertindak dan membuat keputusan yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang
berwawasan.
Melalui aktiviti badan beruniform pelajar banyak belajar tentang perkara yang menyentuh soal
disiplin seperti kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa
mementingkan diri sendiri adalah antara nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap aktiviti
yang dijalankan.
Pengelibatan yang aktif dalam kokurikulum menyediakan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan
corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi yang amat berbeza dengan corank pembelajaran
di sekolah. Dalam hal ini, pelajar yang tidak aktif dalam kokurikulum berkemungkinan kurang
kemahiran berkomunikasi dan lemah dalam membuat persembahan, sedangkan kemahiran
tersebut amat diperlukan dalam sistem pembelajaran institusi pengajian tinggi.
Seseorang pelajar yang kurang aktif dalam kokurikulum cenderung menjadi pelajar yang
pendiam, tidak suka bergaul serta hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, apabila mereka
berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti mereka akan terperangkap
kerana pada masa itu jumlah pangkat A yang mereka perolehi di sekolah dahulu tidak lagi
menjadi ukuran, tetapi pelajar yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum semasa di sekolah akan
lebih mudah belajar kerana mereka sudah belajar menyiapkan sesuatu tugasan, memahami
pentingnya perpaduan, mudah bertoleransi dan ada kemahiran berfikir dan berhujah.
Justeru, pelajar-pelajar harus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kerana
pelajar yang cemerlang ialah mereka yang seimbang dari segi akedemik, mudah berkomunikasi
dan mudah bergaul.
1. Berikan maksud mudah bertoleransi dalam petikan. [2 markah]
2. Apakah keburukannya jika seseorang pelajar itu kurang aktif dalam aktiviti kokurikulum di
sekolah? [4 markah]
3. Segelintir pelajar malas menyertai kegiatan kokurikulum? Pada pendapat anda, mengapakah
keadaan ini berlaku [4 markah]


7

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang punca-punca berlakunya pembuangan bayi. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa
mengubah maksud asal petikan.

Sejak belakangan ini, kes pembuangan bayi semakin serius. Saban hari kita dikejutkan dengan
berita-berita pembuangan bayi sama ada yang masih hidup ataupun meninggal dunia
ditinggalkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam tong sampah, di dalam tandas, di depan
masjid dan di dalam longkang. Pergaulan bebas merupakan punca utama kes ini.
Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang melampaui batas agama boleh
menyebabkan diri mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan impaknya si gadis hamil anak
luar nikah. Sikap golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab membawa titik hitam dalam
kehidupan gadis tersebut, lantas gadis yang hamil mengambil jalan mudah untuk mengelakkan
rasa malu agar perbuatannya tidak diketahui masyarakat, selain itu perasaan buntu dan tidak
tahu apa yang perlu dilakukan lalu membuang bayi tanpa belas kasihan.
Gadis yang terlanjur juga takut dimarahi atau dipulau oleh keluarga akibat keterlanjuran dalam
pergaulan. Faktor kemiskinan keluarga yang mempunyai ramai anak sedangkan suami tidak
bekerja dan kurang didikan agama juga merupakan antara punca berlakunya kes pembuangan
bayi.
Sudahlah cetek agama, remaja yang cetek pengetahuan dalam pergaulan dan tindakan. Juga
mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahalakerana
mereka mendapat maklumat yang tidak betul tentang cara untuk menyelesaikan masalah ini,
sebagai contoh mereka tidak mengetahui terdapat badan sukarela dan agensi tertentu yang
menerima bayi tersebut. Sebenarnya perbuatan keji juga ini berlaku kerana sikap masyarakat
yang memandang keji mereka yang beranak tanpa berkahwin.
Isu pembuangan bayi amat serius dan perlu ditangani segera. Oleh itu, ibu bapa perlu
menerapkan nilai-nilai moral dan pegangan agama yang utuh dalam kalangan anak-anak untuk
membendung masalah ini. Keluarga dan masyarakat harus bersikap membantu mangsa, bukan
menambah beban yang ditanggung. Pada waktu yang sama, ibu bapa hendaklah prihatin dengan
anak-anak mereka yang meningkat remaja, selain individu itu sendiri perlu mempunyai
kesedaran untuk menjaga tatasusila apabila berhadapan dengan masyarakat.
Bahagian A (ii): Pemahaman
1. Berikan maksud menjaga tatasusila dalam petikan? [2 markah]
2. Apakah tindakan yang patut dilakukan untuk mengatasi masalah pembuangan bayi? [4
markah]
3. Pelajar sekolah juga antara remaja yang terlibat dalam kes membuang bayi. Pada pendapat
anda mengapakan keadaan ini berlaku? [4 markah]

Anda mungkin juga menyukai