Anda di halaman 1dari 1

PT3 PRAKTIS 1 : Ringkasan, Rumusan, dan Ulasan

Baca petikan di bawah ini dengan telitinya. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang peranan ibu bapa dalam memanfaatkan cuti persekolahan anak-anak. Panjangnya ringkasan
anda hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Cuti sekolah yang panjang selepas anak-anak bertungkus lumus menghadapi peperiksaan
sememangnya dinanti-nantikan. Telah tiba masanya untuk mereka melarikan diri buat sementara
dari alam persekolahan yang sarat dengan aktiviti sekolah dan tugasan. Namun begitu, bagi
sesetengah ibu bapa pula mungkin saat inilah yang paling memeningkan dan memenatkan mereka
kerana terpaksa melayan kerenah anak-anak di rumah. Dalam pada itu, terdapat juga anak-anak
yang tidak mengetahui aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan oleh mereka pada cuti begini. Oleh itu,
ibu bapa patut menggunakan kesempatan cuti sekolah ini untuk pulang ke kampung menziarahi
sanak saudara bagi merapatkan hubungan silaturahim.

Kesempatan cuti yang panjang dapat digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan prestasi
anak-anak dengan mengatur jadual kelas tambahan untuk mereka. Namun begitu, amatlah tidak
wajar jika ibu bapa terus memaksa anak-anak mengikuti kelas tambahan semata-mata. Hal ini
dikatakan demikian kerana anak anak akan berasa bosan dan tertekan. Selain itu, ibu bapa boleh
mengaturkan program bermanfaat yang dapat mengembangkan bakat dan hobi anak-anak juga.
Sekiranya anak-anak meminati muzik, sukan lasak, berenang, dan sebagainya maka inilah masanya
anak-anak diberikan pendedahan untuk melakukan aktiviti aktiviti tersebut. Aktiviti seperti
bergotong-royong, berkebun, dan membersihkan persekitaran rumah dapat dilakukan dengan anak-
anak sepanjang cuti persekolahan berlangsung.

Ibu bapa digalakkan supaya menghantar anak-anak mengikuti program-program semasa cuti
persekolahan. Terdapat banyak program yang dianjurkan oleh pihak swasta seperti kem motivasi,
kem saintis muda, kem bahasa, klinik sukan, dan sebagainya. Selain itu, aktiviti melancong ke
tempat-tempat yang menarik amat baik untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman anak-anak
juga.

Sebenarnya, ibu bapa patut memanfaatkan masa cuti persekolahan anak-anak dengan
bijaknya. Ibu bapa perlulah mengambil peluang ini untuk mengatur program-program yang
berfaedah buat anak-anak. Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Memanfaatkan Cuti Sekolah Anak-anak", Ehwal Pendidikan)

Anda mungkin juga menyukai