Anda di halaman 1dari 5

MENINGKATKAN PENGUASAAN MURID DALAM TAJUK ELEKTRIK DAN

ELEKTRONIK TAHUN 5 DENGAN MENGGUNAKAN KIT MODEL



Muhammad Azri Asyraf Bin Mohd Asari
En. Zulkifly Bin Yusuf

Jabatan Pendidikan Teknik Dan Vokasional
azrafasri@gmail.com

ABSTRAK
Penyelidikan tindakan ini adalah bertujuan bagi menghadapi masalah penguasaan murid dalam
tajuk elektik dan elektronik tahun 5 sekolah rendah. Mereka sukar untuk mengenal komponen-
komponen yang ada serta sukar untuk mengingat fungsi-fungsi komponen tersebut. Lima orang
murid daripada sekolah di daerah Tanah Merah telah dijadikan sebagai kumpulan sasaran bagi
melihat sejauhmanakah penggunaan kit model ini berupaya untuk meningkatkan penguasaan
murid dalam topik elektrik dan elektronik tahun 5. Perancangan difokuskan kepada penggunaan
kit model sebagai bahan bantu mengajar kepada guru dan bagaimana murid menggunakan sendiri
kit model tersebut sebagai aktiviti semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Keputusan
ujian pos telah menunjukkan peningkatan prestasi murid dan menunjukkan bahawa penggunaan
kit model ini berupaya meningkatkan penguasaan murid di dalam topik elektrik dan elektronik.
topik elektrik dan elektronik ini.
Kata kunci : penguasaan, elektrik dan elektronik, kit model.

1.0 Pengenalan
Dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup ini, tumpuan utama adalah kepada penguasaan kemahiran dalam Bidang
Reka Bentuk dan Teknologi serta Perniagaan dan Keusahawanan. Kemahiran dalam Bidang Reka Bentuk dan
Teknologi membolehkan murid mengeluarkan idea yang kreatif, inovatif dan inventif. Murid menjalankan aktiviti
mengenal bentuk-bentuk asas, melakar, memahami fungsi produk serta menghasilkan projek dengan menggunakan
pelbagai bahan seperti kayu, logam, bahan kitar semula, serta mempelajari komponen elektrik dan elektronik.
Melalui pengalaman pengajaran yang lalu, kebanyakan murid dapat mengingat nama komponen elektronik
dengan baik namun mereka mengalami kesukaran dalam mengingat dan mengenal pasti fungsi bagi setiap
komponen tersebut. Kelemahan ini jelas dilihat apabila saya memberikan lembaran kerja dan mereka tidak dapat
menjawab lembaran tersebut dengan baik dan mula merujuk buku untuk menjawabnya. Di sekolah fasa 3 ini juga,
saya telah mengajar topik elektrik dan elektronik dan topik ini agak sukar untuk dikuasai oleh murid kelas 5 Mawar
kerana mereka sukar untuk mengenal komponen elektronik yang dilihat dan sukar untuk mengingat fungsi-
fungsinya. Mungkin keran tidak menggunakan bahan maujud ketika proses pengajaran dan pembelajaran, murid
tidak berupaya untuk membuat gambaran yang baik dan memahami fungsi-fungsi mereka.

2.0 Fokus Kajian
Kajian ini berfokus untuk melihat keberkesanan penggunaan kit model dalam pengajaran dan pembelajaran melalaui
aktivti hands on seterusnya meningkatkan penguasaan murid dalam tajuk elektrik dan elektronik tahun 5. Strategi
pengajaran hands on merujuk kepada sebarang aktiviti fizikal yang melibatkan penggunaan peralatan dan bahan
yang berlaku ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Prinsip yang diterapkan di dalam strategi pengajaran hands
on ini ialah murid akan lebih memahami sekiranya mereka sendiri menemui masalah dan mencari penyelesaian
berbanding hanya membaca daripada buku atau mendengar kuliah guru sahaja.
Mok Soon Sang (2000) menyatakan bahawa hampir setiap sesi pengajaran dan pembelajaran yang
dilakukan sama ada di dalam kelas ataupun di bengkel untuk setiap tajuk matapelajaran Kemahiran Hidup
memerlukan murid melakukan kerja-kerja amali atau projek. Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
merupakan perkara yang penting dalam mencapai sesuatu objektif yang telah ditetapkan. Perkara ini dapat diukur
dari segi tindakbalas pelajar contohnya melalui peperiksaan ataupun ujian yang diadakan oleh guru bagi sesuatu
matapelajaran tersebut.
Pembelajaran secara hands on melibatkan pengalaman murid sepenuhnya dimana ia dapat meningkatkan
keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritikal. Pembelajaran hands on bukan sekadar memanipulasi alatan. Ia
melibatkan penyiasatan yang berkaitan objek, bahan, fenomena dan idea serta dapat memahami sesuatu daripada
pengalaman-pengalaman tersebut. Menurut Julie Gantcher (2008), pembelajaran secara hands on ini juga merupakan
suatu aktiviti yang menyeronokkan dan jelas serta meningkatkan perasaan ingin tahu, kompetensi serta kreativiti
melalui aktiviti yang dijalankan secara amali. Secara kesimpulannya, hands on ialah belajar melalui pengalaman
atau apa yang mereka lakukan sendiri dengan bimbingan guru. Ia juga membawa maksud pelajar mempunyai objek
hidup atau bukan hidup yang sesuai yang dapat digunakan untuk tujuan penyiasatan.
Kit model ini juga boleh dijadikan bahan bantu mengajar (BBM) yang berupaya membantu guru dalam
mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Penggunaan BBM dapat memberi sumbangan yang amat
besar dalam mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru dan pelajar. BBM ini juga
dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalam kaedah pengajaran guru yang sentiasa berubah mengikut peredaran
zaman
Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh murid saya dalam Asas Teknologi, saya
hanya akan memfokuskan kajian ini terhadap masalah mengenal komponen dan mengingat fungsi bagi setiap
komponen kit model. Pengetahuan ini sangat penting dikuasai pada peringkat awal kerana ia merupakan perkara
paling asas bagi Asas Teknologi. Hasil refleksi didapati ramai murid yang masih tidak dapat mengingat fungsi bagi
setiap komponen kit model. Kesannya, murid tidak mampu memasang kit model dengan baik.
Antara masalah utama yang telah saya kenal pasti sering menjadi masalah adalah murid sukar untuk
mengingat nama komponen elektrik dan elektronik dengan baik. Mereka juga sukar untuk mengingat fungsi bagi
setiap komponen tersebut dan sering tertukar di antara komponen dengan komponen yang lain.
Saya akan cuba membantu murid memahami dan mengingati fungsi bagi setiap komponen elektrik dan
elektronik melalui kit model ini. Saya yakin dengan bimbingan dan penerangan tambahan daripada guru, murid
mampu menguasai pengetahuan tersebut dan dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan seterusnya
dapat membantu mereka menguasai topik elektrik dan elektronik dengan sepenuhnya.

3.0. Objektif Kajian
3.1. Objektif Am
Kajian ini bertujuan meningkatkan penguasaan murid tahun 5 dalam topik elektrik dan elektronik.
3.2. Objektif Khusus
Objektif khusus kajian ini adalah bertujuan:
i. Murid dapat mengenal komponen elektrik dan elektronik dengan lebih baik.
ii. Murid dapat mengingat fungsi komponen elektrik dan elektronik dengan lebih baik.

3.3. Soalan Kajian
Berikut adalah persoalan yang timbul dan yang ingin diselesaikan bagi mencapai ibjektif kajian.

i. Adakah murid dapat mengenal komponen elektrik dan elektronik serta fungsinya dengan baik dengan
adanya penggunaan kit model?
ii. Sejauhmanakah kit model dapat membantu murid mengingat fungsi komponen elektrik dan elektronik?


4.0. Kumpulan Sasaran

Jadual berikut menunjukkan butiran berkaitan kumpulan sasaran dalam penyelidikan ini;

Kumpulan sasaran penyelidikan tindakan
Bilangan sasaran 5 orang
Jantina 3 orang lelaki
2 orang perempuan
Umur 11 tahun
Kelas 5 Ceria (kelas ketiga daripada 5 kelas tahun 5)

5.0 Tindakan Yang Djalankan

Bagi menjalankan kajian tindakan ini, saya menjadikan model Kurt Lewin sebagai rujukan. Untuk masa depan yang
jitu, Kurt Lewin menegaskan bahawa perlu memindahkan mereka dari satu keadaan atau situasi iaitu freeze dan
usaha yang ketara mungkin diperlukan untuk unfreeze mereka dan membuatkan mereka bergerak.
Menurut Lewin (1946), kajian tindakan merupakan suatu kitaran yang memperlihatkan langkah-langkah
kajian tersebut dijalankan. Suatu kitaran mempunyai empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan
mereflek. Kitaran ini akan berterusan ke kitaran seterusnya yang melibatkan merancang semula, bertindak,
memerhati dan mereflek bagi menghasilkan kitaran baru.

Merancang

Setelah mengenal pasti maslah yang dihadapi murid dalam penguasaan tajuk elektrik dan elektronik ini, saya telah
merancang satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kit model sebagai bahan bantu mengajar
bagi meningkatkan penguasaan murid dalam tajuk elektrik dan elektronik ini.

Bertindak
Kaedah pengajaran dan pembelajaran baru yang menggunakan kit model sebagai bahan bantu mengajar telah
dijalankan bagi memudahkan murid untuk menguasai topik elektrik dan elektronik ini. Saya menggunakan
sepenuhnya kit model ini serta melibatkan murid sepenuhnya dalam aktiviti yang dijalankan.
Memerhati
Semasa dan setelah menjalankan intervensi kepada murid, saya membuat pemerhatian dan tinjauan keatas
kefahaman dan tahap penguasaan murid dalam topik elektrik dan elektronik tersebut bagi mengesan keberkesanan
penggunaan kit model ini dalam meningkatkan tahap penguasaan murid.
Mereflek
Hasil daripada kajian yang dijalankan, saya membuat refleksi berkaitan penggunaan kit model tersebut dalam
pengajaran dan pembelajaran serta kelebihan dan kekurangan yang ada apabila intervensi ini dijalankan.





6.0 Dapatan Kajian

6.1 Analisis dokumen

Berdasarkan analisis sokumen yang telah dibuat, saya mendapati bahawa terdapat peningkatan pada markah ujian
yang telah dilakukan oleh murid melalui ujian pra dan ujian pos. Ujian pra dijalankan sebelum intervensi dijalankan
dan ujian pos pula dijalankan selepas intervensi dijalankan. Sebelum intervensi dijalankan, murid pernah belajar
tajuk elektrik dan elektronik tersebut menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran biasa tetapi mereka sukar
untuk mengingat nama komponen serta fungsinya dengan baik. Selepas intervensi dilakukan dimana saya
menggunakan kit model sebagai bahan bantu mengajar dan melibatkan murid dalam aktiviti yang dilakukan, mereka
dapat menjawab soalan yang berkaitan tajuk elektrik dan elektronik dengan lebih baik berbanding sebelumnya.
Pada ujian pra, markah terendah yang diperolehi adalah 4 daripada 20 markah dan markah tertinggi pula
adalah 7. Pada ujian pos pula, markah terendah adalah 10 markah dan markah tertinggi pula adalah 17 markah.
Perbezaan ini menunjukkan peningkatan kefahaman murid serta meningkatnya penguasaan mereka terhadap tajuk
elektrik dan elektronik ini. Dapatan ini menjawab persolan kajian yang pertama dimana murid dapat mengenal
komponen elektrik dan elektronik serta fungsinya dengan baik dengan adanya penggunaan kit model ini.

6.2 Pemerhatian

Bagi menjalankan pemerhatian ini, saya telah menyediakan beberapa item pemerhatian bagi memudahkan saya
untuk mengenal pasti apakah perkara yang perlu diperhatikan semasa intervensi dijalankan. Pemerhatian juga
difokuskan kepada penggunaan kit model serta pemahaman murid semasa pengajaran dan pembelajaran dilakukan.
Antara item yang terdapat pada borang pemerhatian adalah adakah murid menunjukkan minat semasa
melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau tidak. Melalui pemerhatian saya, murid menunjukkann minat
semasa pembelajan berlaku kerana mereke melibatkan diri secara aktif ketika aktiviti dijalankan. Kesemua murid
mencuba sendiri untuk memasang komponen di dalam litar yang terdapat pada kit model dan mereka cuba
memasang komponen tersebut sehingga berfungsi dengan baik.
Dari segi pemahamam murid, mereka dapat menjawab soalan yang diajukan kepada mereka dengan baik
apabila diberikan bimbingan. Mereka menunjukkan kesungguhan untuk menjawab walaupun jawapan yang
diberikan mereka ada yang tidak betul dan kurang tepat.
Hasil daipada pemerhatian ini, saya dapati bahawa hampir kesemua murid menunjukkan minat untuk
menggunakan kit model dan berupaya meningkatkan penguasaan mereka dalam topik elektrik dan elektronik ini.

6.3 Soal selidik

Hasil daripada soal seldik yang telah dijalankan, hampir kesemua murid menjawab YA terhadap item-item yang
terdapat dalam borang soal selidik ini. Terdapat 7 item yang telah saya sediakan bagi mengesan keberkesanan
intervensi yang dijalankan dan mendapatkan maklumat daripada murid berkaitan intervensi yang telah dijalankan.
Bagi item pertama, kesemua lima orang murid menjawab YA. Hal ini menunjukkan bahawa mereka
berminat untuk melakukan aktiviti semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan apabila kit model ini digunakan.
Mereka ingin mencuba sendiri untuk menggunakan kit model dan memasang komponen-komponen elektronik
tersebut.
Bagi item kedua, tiga orang murid menjawab YA manakala dua orang murid telah menjawab TIDAK.
Item ini menyatakan adakah belajar elektrik dan elektronik ini menyeronokkan atau tidak. Dua orang murid yang
menjawab TIDAK merupakan murid perempuan dimana terdapat kemungkinan dimana mereka tidak meminati
tajuk berkaitan dengan elektrik dan elektronik ini.
Bagi item keempat, empat orang murid menjawab YA manakala terdapat seorang murid yang menjawab
TIDAK. Apabila ditanya, murid tersebut mengatakan bahawa dia tidak dapat memasang komponen yang terdapat
di dalam kit model dengan baik dan sukar baginya untuk melakukan aktivit yang diarahkan.
Bagi item kelima, tiga orang murid menjawab YA manakala dua orang murid telah menjawab TIDAK.
Item ini adakah murid memahami penerangan yang diberikan guru dengan baik atau tidak. Dapatan ini
menunjukkan bahawa penerangan yang diberikan oleh saya masih tidak dapat difahami oleh kesemua murid dengan
baik dan memerlukan penambah baikan dimasa hadapan.
Bagi item keenam, kesemua lima orang murid menjawab YA. Hal ini menunjukkan bahawa mereka dapat
mengenal komponen elektronik dengan lebih baik lagi apabila menggunakan kit model ini berbanding kaedah
pengajaran dan pembelajaran biasa.
Bagi item ketujuh, kesemua lima orang murid menjawab YA. Hal ini juga menunjukkan bahawa mereka
dapat mengingat fungsi komponen dengan lebih baik apabila dapat merasai sendiri bagaimana untuk memasang
komponen pada litar dan melihat sendiri bagaimana komponen tersebut berfungsi.
Secara keseluruhannya, kesemua item pada borang soal selidik ini telah medapat respon YA yang lebih
tinggi berbanding TIDAK. Dapatan ini menunjukkan bahawa murid bersetuju bahawa penggunaan kit model ini
membantu mereka untuk menguasai tajuk elektrik dan elektronik dengan lebih baik seterusnya menjawab persoalan
kajian yang kedua iaitu sejauhmanakah kit model dapat membantu murid mengingat fungsi komponen elektrik dan
elektronik.

7.0 Rumusan Kajian

Berdasarkan hasil dapatan kajian yang telah dijalankan, saya dapati bahawa penggunaan kit model berupaya
meningkatkan penguasaan murid di dalam topik elektrik dan elektronik tahun 5. Hal ini dapat dilihat pada analisis
ujian pra dan ujian pos yang dilakukan terhadapa murid. Murid menunjukkan peningkatan yang baik dalam
penguasaan mereka terhadap topik ini. Sebelum intervensi ini dijalankan, murid tidak dapat menjawab soalan yang
berkaitan tajuk dengan baik dan kebanyakan mereka langsung tidak mengenal fungsi-fungsi komponen yang ada.
Berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan, saya dapati murid melibatkan diri secara aktif semasa
pengajaran dan pembelajaran dijalankan dan mereka menunjukkan minat dan mencuba sendiri untuk memasang
komponen-komponen elektronik yang ada di dalam kit model tersebut. Mereka mungkin menghadapi kesukaran
dalam melakukan aktiviti yang diarahkan, tetapi guru disini memainkan peranan penting dimana bimbingan perlu
diberikan agar murid dapat melakukan aktiviti dengan lebih baik dan sempurna.
Berdasarkan soal selidik yang telah dijalankan juga, saya dapat membuat kesimpulan bahawa kit model ini
telah berjaya untuk meningkatkan penguasaan murid di dalam topik elektrik dan elektronik. Kebanyakan murid
memberikan jawapan yang positif ketika soal selidik dijalankan dan ini menunjukkan bahawa penggunaan kit model
ini sesuai digunakan dan membantu mereka dalam menguasai topik tersebut.
Hasil pemerhatian saya semasa menggunakan kit model ini semasa menjalankan intervensi, terdapat
beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keberkesanan kit model ini. Bahan penghasilannya perlulah
daripada bahan yang berkualiti dan tahan lasak kerana penggunaannya oleh kalangan murid memerlukan ketahanan
yang tinggi bagi memastikan kit model ini tahan lebih lama. Penggunaan kit model ini juga boleh diperluaskan
kepada topik-topik kemahiran hidup yang lain. Aktiviti-aktiviti yang khusus untuk digunakan bersama kit model ini
juga perlu dirancang bagi mendapatkan hasil yang lebih optimum.
Diharapkan penggunaan kit model ini dapat dipraktikkan oleh guru-guru kemahiran hidup sekolah rendah
dan semoga hasil kajian ini dapat dimanfaatkan oleh setiap guru yang ada. Diharapkan kajian ini dapat memperbaiki
amalan pengajaran dan pembelajaran guru serta meningkatkan martabat guru Malaysia di mata dunia.


Rujukan

Abdul Ghafar Mohammad. (2003). Prinsip dan Amalan Pengajaran. Kuala Lumpur:Utusan. Distributors Sdn Bhd.
Choong Lean Keow (2011). Murid dan Alam Belajar. Kuala Lumpur. Percetakan Seasons Sdn.Bhd
Choong Lean Keow (2011). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Kuala Lumpur. UG Press Sdn.Bhd
Chua Y.P> (2006). Kaedah Penyelidikan Buku 1. McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd
Hafizuddin Idrus. (2011). Konsep Maktab Perguruan Bistari. Kertas Kerja Dibentangkan Di Seminar Maktab
Perguruan Bestari, Kuala Lumpur
Ng Ying Shya (2004). Amalan Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) Di Kalangan Guru-guru Teknikal Sekolah
Menengah Teknik, Negeri Kedah. Fakulti Pendidikan UTM, Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai