Anda di halaman 1dari 6

Bahagian A :

PENDAPAT MURID TENTANG PENGLIBATAN DALAM


AKTIVITI KOKURIKULUM

Kokurikulum sebahagian besarnya dilaksanakan di luar bilik darjah dan ada juga
dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pada asasnya, gerak kerja kokurikulum merupakan
sebahagian daripada kurikulum sekolah dan setiap pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti
ini. Mengikut Md. Aris Mansor (1985) dalam Pengurusan Gerak Kerja Kokurikulum,
menyatakan kokurikulum merupakan satu bidang pembelajaran yang berasaskan kepelbagaian
gerak kerja terancang dan perlu dilakukan dalam masa persekolahan. Gerak kerja kokurikulum
berasaskan mata pelajaran akademik atau tidak berasaskan mata pelajaran akademik. Walau
bagaimanapun, sebahagian besar gerak kerja kokurikulum merangkumi pembelajaran yang
bukan berasaskan mata pelajaran akademik. ( Ab. Halim Abdul Rahim, 2004 ). Secara amnya,
kokurikulum merujuk aktiviti dan pengalaman pendidikan yang dilaksanakan di luar bilik darjah.
Kokurikulum lebih banyak dilaksanakan secara tidak langsung atau tidak formal. Aktiviti
kokurikulum lebih menekankan nilai, bakat, peranan, kepimpinan, sosial dan sebagainya.
Aktiviti ini juga dikenali kurikulum tersembunyi.
Menurut Omar Mohd Hashim (1993), kokurikulum adalah masa senggang dalam konteks
kehidupan harian, di mana masa senggang adalah suatu jangkamasa waktu seseorang itu bebas
untuk mempertingkatkan keupayaan dirinya sebagai seorang individu dan sebagai seorang
anggota masyarakat yang produktif. Kokurikulum dalam konteks pendidikan adalah
pembelajaran luar bilik darjah kerana proses pengajaran dan pembelajaran masih berada dalam
keadaan bebas, tidak formal dan tidak terkongkong. Kegiatan kokurikulum memberi peluang
dengan lebih luas kepada pelajar untuk mempraktikkan pembelajaran dengan lebih mendalam.
Dalam kajian ini, akan diberikan penekanan kepada kokurikulum yang melibatkan
kegiatan sukan . Model konsep yang digunakan oleh Crawford dan Godbey (1997) digunakan
untuk menjelaskan mengapakah pelajar-pelajar kurang melibatkan diri dalam aktiviti
kokurikulum khususnya dalam aktiviti sukan. Oleh yang demikian kajian ini dijalankan kerana
tiada lagi penyelidik yang membuat kajian ke atas pelajar-pelajar yang berkaitan dengan
penglibatan mereka dalam kokurikulum khususnya aktiviti sukan di sesebuah sekolah khasnya di
luar bandar.
Dalam kajian ini, pemasalahan yang hendak ditimbulkan ialah mengenal pasti faktor utama
sebab-sebab yang diberikan oleh pelajar untuk tidak melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum
di sesebuah sekolah tersebut.
Kajian ini akan menyentuh tentang masalah yang melibatkan kurangnya penglibatan
pelajar dalam kegiatan kokurikulum khususnya sukan. Ramai pelajar beranggapan kegiatan
kokurikulum tidak penting dan banyak membuang masa kerana ianya tidak dinilai sebagaimana
kegiatan yang melibatkan akademik. Halangan penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum
dibebankan lagi dengan pengendalian program- program yang tidak sempurna. Sebagai contoh
terdapat aktiviti pada hari kokurikulum hanya dikendalikan oleh kumpulan pelajar yang
sememangnya kurang berpengalaman tanpa pemantauan dari guru terlibat. Kesannya pelajar
sekolah tidak berminat untuk melibatkan diri. Menurut Adnan (1990) walaupun sumbangan
kokurikulum kepada pendidikan diakui, tetapi konsepnya masih kurang difahami hingga ada
yang masih lagi menganggap bahawa kokurikulum sebagai kegiatan luar. Oleh itu, tidak
menghairankan jika programnya dilaksanakan secara sambil lewa sahaja dan aktiviti dijalankan
secara tergesa-gesa dan tidak diberi keutamaan seperti matapelajaran akademik.
Dapatan kajian, menyatakan antara alasan guru tidak bergiat dalam aktiviti kokurikulum
ialah apabila guru merasakan kokurikulum membuang masa pelajar, guru tinggal jauh dari
sekolah, dan terlalu banyak tanggungjawab. Kedapatan juga guru yang mengendalikan kegiatan
kokurikulum kurang pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah. Perlaksanaan kokurikulum di sekolah tidak begitu mengalakkan atau tidak mendapat
sepenuh sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya guru hingga mengakibatkan pelajar
kurang berminat untuk mengambil bahagian. Kenyataan ini disokong oleh Laporan Kabinet
(1979) yang telah membuat kajian untuk melihat pelaksanaan dasar pelajar meyakini bahawa
kecenderungan guru terhadap sesetengah aktiviti kokurikulum seperti pergerakan beruniform dan
beberapa jenis aktiviti sukan adalah tidak memberangsangkan.
Sementara itu, dewasa ini pelajar terlalu mementingkan peperiksaan hinggakan kegiatan
kokurikulum yang juga sebahagian daripada pembelajaran tidak mendapat perhatian. Mereka
tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Kajian beliau disokong oleh Lim Yen
Yen (1991) yang mendapati faktor utama kurangnya penglibatan pelajar dalam aktiviti
kokurikulum khususnya aktiviti sukan kerana mereka tidak mempunyai semangat kesukanan.
Mereka juga menganggap sukan kurang penting dan lebih menganggap pelajaran atau hiburan
adalah lebih penting untuk menjamin masa depan yang lebih cemerlang. Kebanyakan pelajar
tidak berminat menyertai kegiatan kokurikulum kerana tiada wujud kepuasan disebabkan
kurangnya kemudahan sukan, peralatan sukan dan sebagainya. Selain daripada itu, terdapat
beberapa faktor lain antaranya seperti yang dinyatakan oleh Mohd Suzli (1987) dalam kajiannya.
Kajian juga mendapati sekolah yang dikaji menghadapi masalah kewangan yang tidak
mencukupi dan sistem penjadualan yang tidak teratur dan sistematik.

Penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dimestikan kepada pelajar lelaki dan
pelajar perempuan di semua sekolah. Ini memberi peluang kepada pelajar tersebut untuk
melibatkan diri dan menimba pengetahuan melalui kegiatan kokurikulum. Walau bagaimanapun
pelbagai faktor boleh menghalang penglibatan kegiatan kokurikulum pelajar lelaki dan
perempuan. Kenyataan ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Mohd Suzli (1997)
menyatakan pelajar tidak melibatkan diri kerana mereka terpaksa menolong ibu bapa mereka di
rumah. Oleh itu kajian ini juga bertujuan melihat adakah terdapat perbezaan antara faktor
penghalang penglibatan yang diberikan oleh mereka ini berdasarkan jantina.
Kajian yang dibuat, mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor
saiz, kemudahan, bilangan guru, dan pentadbiran sekolah dengan penglibatan pelajar dalam
kokurikulum. Walau bagaimanapun, saiz sekolah dari segi bilangan pelajar dan bilangan kelas
amat mempengaruhi penglibatan pelajar dalam menyertai kegiatan kokurikulum, sementara
faktor lain hanya sebagai penyokong.
Dalam dapatan ini juga mendapati terdapatnya masalah-masalah di dalam pelaksanaan
aktiviti kokurikulum, pendapat guru-guru mengenai kepentingan kokurikulum kepada pelajar
dan cadangan-cadangan untuk melicinkan pelaksanaan aktiviti tersebut di sekolah tersebut. Dari
kajian ini didapati sekolah yang dikaji menghadapi masalah kewangan, kemudahan dan peralatan
yang tidak mencukupi, di samping penjadualan yang tidak bersistem. Kajian ini juga mendapati
bahawa kebanyakan guru kokurikulum tidak mempunyai kemahiran dalam aktiviti kokurikulum.
Seterusnya kebanyakan pelajar yang menjadi sampel dalam kajian ini melibatkan diri dalam
aktiviti kokurikulum. Mereka yang terlibat secara aktif didorong oleh diri sendiri, guru, kawan
dan ibu bapa. Pelajar yang tidak terlibat memberi alasan bahawa mereka terpaksa menolong ibu
bapa di rumah dan juga disebabkan oleh kekurangan peralatan serta kemudahan kokurikulum di
sekolah. Kajian ini juga mengenalpasti pendapat guru besar dari sekolah itu yang dikaji,
mengenai kepentingan aktiviti kokurikulum terhadap penyuburan pelajar dan cadangan-cadangan
mereka untuk melicinkan lagi pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah.
Menurut kajian, menjelaskan kesan negatif penglibatan dalam kokurikulum dikatakan
menjadi unsur pengganggu kepada proses pembelajaran dengan mengambil terlalu banyak masa
dan tenaga. Menurut Mc Guire (1984) menyatakan antara kriteria penghalang penglibatan
seseorang dalam kokurikulum ialah kemudahan atau program yang disediakan seperti terlalu
ramai orang menggunakan kemudahan tersebut atau lokasinya yang tidak bersesuaian langsung.
Menurut Ariffin (1984) menyatakan individu memerlukan kawan. Dalam konteks ini
penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan memenuhi keperluan ini. Penglibatan pelajar dalam
aktiviti kokurikulum banyak dipengaruhi rakan.
Menurut Wankel (1988) menyatakan faktor yang menghalang penglibatan pelajar dalam
kegiatan sukan adalah kerana kekurangan masa untuk melakukannya. Kebanyakan pelajar terlalu
sibuk dengan aktiviti berkaitan akademik terutamanya pelajar yang terlibat dalam peperiksaan.
Pernyataan ini disokong oleh Muhammad Nor Che Noh (1980) menyatakan kurikulum lebih
penting dari kokurikulum.
Faktor-faktor lain seperti budaya, kesihatan, kecergasan serta lain-lain pengalaman
psikologi dan sosial adalah antara faktor-faktor yang mengalakkan individu melibatkan diri di
dalam aktiviti bersukan. Meskipun begitu terdapat juga faktor-faktor yang menghadkan
penglibatan aktiviti bersukan individu. Antara faktor penghalang penglibatan aktiviti bersukan
yang paling popular adalah masalah kesuntukan masa. Kenyataan ini bagaimanapun telah
dipertikaikan oleh Wankel (1998) kerana dia berpendapat tidak semestinya mereka yang
melibatkan diri di dalam aktiviti bersukan itu mempunyai masa yang lebih daripada mereka yang
tidak melibatkan diri di dalam aktiviti bersukan. Ini dianggap sebagai satu alasan yang tidak
kukuh oleh kebanyakan individu kerana penglibatan seseorang di dalam aktiviti bersukan
bergantung kepada keutamaan yang diberikan terhadap aktiviti fizikal. Satu lagi faktor
penghalang yang sering membataskan penglibatan individu di dalam aktiviti bersukan adalah
masalah tekanan atau bebanan tugasan kerja sekolah. Perkara ini didapati benar berdasarkan satu
laporan oleh Canada Fitness Survey (1983) yang mendapati bahawa faktor tekanan kerja atau
bebanan merupakan penghalang utama penglibatan di dalam aktiviti bersukan bagi individu
tersebut.
Keputusan kajian mendapati tidak memuaskan berdasarkan beberapa faktor luaran seperti
masa, kemudahan region, kos, pebelanjaan, guru, intensif dan pentadbiran menjadi penghalang.
Seterusnya dalam kajian lain, pengkaji mendapati kebanyakan ibu bapa kurang memberi
dorongan kepada anak-anak dalam penglibatan kegiatan kokurikulum. Keadaan diburukkan lagi
apabila peralatan, kelengkapan dan kemudahan kurang diberi perhatian oleh pihak sekolah.
Hanya faktor minat dan rakan-rakan sebaya dapat membantu membina kesedaran pelajar
terhadap kepentingan aktiviti kokurikulum.
Kajian mengenai penglibatan kokurikulum juga telah dijalankan dimana pengkaji
mendapati pelajar mempunyai persepsi dan sikap yang positif terhadap kegiatan kokurikulum
tetapi keputusannya adalah pada tahap sederhana dan lemah dari segi peratus puratanya.
Penyertaan mereka turut didorong oleh guru, rakan sebaya, ibu bapa serta kemudahan-
kemudahan pihak sekolah turut memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesuatu
aktiviti kokurikulum di sekolah tersebut.
Pelbagai perancangan telah dilakukan samada dari pihak Kementerian Pelajaran melalui
Jabatan Pelajaran Negeri di bawah Unit Kokurikulum telah menyediakan peruntukan untuk
memastikan kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah dijalankan menurut kehendak dan
Falsafah Pendidikan Negara. Tujuan peruntukan diberikan untuk menjamin peralatan dan
kemudahan disediakan untuk pelajar menjalankan kegiatan mereka. Ramai di kalangan guru
dihantar berkursus untuk mempertingkatkan ilmu dan mampu memberi tunjuk ajar kepada
pelajar di sekolah mereka. Tetapi agak malang dewasa ini ramai di kalangan pelajar yang tidak
hadir semasa kegiatan kokurikulum dijalankan. Oleh itu kajian ini perlu dilakukan untuk
mengenal pasti masalah utama pelajar tidak hadir semasa kegiatan kokurikulum.

Dari dapatan-dapatan di atas, dapat disimpulkan bahawa penyertaan dan penglibatan serta
minat para pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah di pengaruhi oleh aktiviti-
aktiviti yang dilaksanakan dan juga kemudahan dan perlatan yang lengkap. Disamping itu juga,
peranan guru-guru penasihat juga mempengaruhi penyertaan dan penglibatan para pelajar dalam
aktiviti yang dirancang bersama-sama dan melaksanakan aktiviti yang telah dirancang. Minat
bukan sahaja oleh para pelajar malah guru penasihat juga harus mempunyai kemahiran dalam
aktiviti kokurikulum yang diceburinya disamping yang paling penting ialah guru juga harus
mempunyai minat terhadap bidang kokurikulum tersebut. Jelaslah, aktiviti-aktiviti kokurikulum
yang dilaksanakan di sekolah-sekolah mempunyai signifikannya yang tersendiri dalam
membentuk pelajar yang seimbang darisegi JERI sebagaimana yang dikehendaki oleh Falsafah
Pendidikan Negara. Kokurikulum juga merupakan sebahagian daripada mata pelajaran teras
yang diajar didalam kelas. Kokurikulum sukan dan permainan misalnya merupakan
kesinambungan daripada mata pelajaran pendidikan jasmani yang merupakan mata pelajaran
teras disekolah-sekolah. Kokurikulum merupakan suatu komponen pendidikan yang sangat
penting. Kegiatan-kegiatan kokurikulum mempunyai identiti, konsep, ciri-ciri, falsafah,
matlamat serta objektifnya tersendiri.



Rujukan Daripada Buku
1. Abdul Shukur Abdullah. 1997. Pengurusan Ko Kurikulum. Fajar Bakti.
2. Buku Panduan Pengurusan Gerak Kerja Kokurikulum Sekolah Rendah (1990)
3. Buku Panduan Pengurusan Gerak Kerja Kokurikulum Sekolah Menengah (1989),
Kementerian Pendidikan Malaysia.
4. Buku Panduan Pentadbiran Sekolah (1982)
5. Omar Mohd Hashim. 1993. Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan.
DBP. Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai