Anda di halaman 1dari 10

Teori Penulisan

Teori Analisis Kontrastif dan Analisis Kesalahan Bahasa


Sebelum Analisis Kesalahan Bahasa diperkenalkan, Analisis Kontrastif telah mendominasi
bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan bidang pengajaran dan pembelajaran
bahasa asing sejak perang Dunia Kedua hingga akhir pertengahan tahun 1960-an (Aini,
2007).
Analisis Kontrastif membandingkan sistem linguistik dua bahasa iaitu bahasa asal dan bahasa
sasaran pelajar dan meramal daerah-daerah kesukaran dan kesenangan yang dihadapi oleh
pelajar tersebut (Mogimizadeh, 2008). Pendekatan ini mengandaikan bahawa pelajar bahasa
kedua atau pelajar bahasa asing akan menerima dengan mudah unsur-unsur bahasa asing
yang sama atau hampir sama dengan bahasa ibunda mereka. Sebaliknya unsur-unsur yang
berbeza akan menimbulkan kesulitan dalam proses pembelajaran mereka (Brown, 2000).
Menurut Analisis Kontrastif, gangguan bahasa ibunda menjadi penyebab utama timbulnya
kesalahan dan kesulitan pembelajaran bahasa asing oleh seseorang pelajar (Aini, 2007).
Justeru, kesalahan yang dilakukan pelajar dianggap sebagai hasil daripada tabiat berterusan
bahasa ibundanya terhadap bahasa sasarannya (Erdogan, 2005).
Analisis Kesalahan Bahasa pula mengkaji tentang kesalahan pemindahan (interlingual
errors) dan kesalahan intralingual (intralingual errors) yang muncul hasil daripada strategi
pengajaran dan pembelajaran tertentu yang digunakan (Richards, 1992). Kesalahan
pemindahan/interlingual berkait dengan gangguan bahasa ibunda. Corder (1971)
menjelaskan bahawa gangguan bahasa ibunda wujud apabila tabiat (bentuk, sistem atau
hukum)3 bahasa pertama pelajar mengganggu atau menghalangnya daripada memperoleh
bentuk, system atau hukum dalam bahasa kedua. Sementara itu, menurut Lado (1964),
pengaruh negatif bahasa ibunda boleh mempengaruhi perkembangan pemerolehan bahasa
kedua pelajar. Pemindahan interlingual merupakan sumber penting dalam pembelajaran
bahasa seseorang pelajar. Richards (1992) mendefinisikan kesalahan interlingual sebagai
kesalahan yang terhasil daripada pemindahan bahasa, disebabkan bahasa pertama pelajar. Hal
ini merupakan tanda-tanda bahawa pelajar sedang menerokai dan mempelajari sistem bahasa
baharu. Kesalahan interlingual ini mungkin terjadi semasa pelajar memindahkan fonologi,
morfologi atau elemen tatabahasa bahasa ibunda ke bahasa kedua. Hal ini dijelaskan oleh
Erdogan (2005) berhubung dengan kesalahan dari aspek morfologi,
Turkish students tend to omit the plural suffix at the end of the word as
Turkish does not put it in adjectival phrases indicating numbers as in the
following examples:
Three book
Three student is coming.
Sementara itu, menurut Richards (1992), kesalahan intralingual berpunca daripada
pembelajaran yang salah atau belum sempurna dalam bahasa kedua memandangkan pelajar
belum menguasai bahasa sasaran seperti pelajar menyebut, He made me to smile, I want
learning English dan The meat smells freshly (Erdogan, 2005). Richards (1992) juga
menjelaskan bahawa pelajar mungkin membuat hipotesis yang langsung tidak berkaitan
dengan bahasa ibundanya atau bahasa keduanya. Analisis Kesalahan Bahasa mengkaji bahasa
yang dilakukan oleh pelajar asing atau pelajar bahasa kedua, menguji secara empirikal
kesalahan-kesalahan yang wujud dalam bahasa sasaran yang dihasilkan oleh pelajar dan
mencari penjelasan tentang punca-punca berlakunya kesalahan tersebut (Moghimizadeh,
2008). Analisis ini merupakan satu kaedah atau teknik yang digunakan dalam sesuatu kajian
bertujuan mengukur ataupun menilai tahap kemampuan seseorang atau sekumpulan pelajar
terhadap bahasa asing yang dipelajarinya.
Hal ini selaras dengan pendapat Ellis (1994) yang mengatakan Analisis Kesalahan Bahasa
sebagai,
a set of procedurs for identifying, describing and explaning error in
learners language.
Kaedah analisis kesalahan amat berguna dalam pembelajaran bahasa asing
kerana mempelajari bahasa asing berbeza daripada mempelajari bahasa pertama.
Terdapat tiga bukti penting mengapa analisis kesalahan itu penting dalam
pemerolehan bahasa asing ; iaitu (Corder 1984:25):
1. Pengajar bahasa boleh melakukan analisis yang teratur untuk mengukur tahap
pencapaian pelajar dalam pemerolehan bahasa yang sedang dpelajari,
2. Pihak penyelidik bahasa mendapat bukti-bukti yang menunjukkan bagaimana
sesebuah bahasa itu dipelajari dan diperolehi, dan bagaimana pelajar bahasa
menggunakan strategi tertentu untuk menguasai bahasa,
3. Pelajar bahasa sendiri dapat mengenal pasti apakah kesalahan-kesalahan yang
perlu diperbaiki agar dapat menguasai bahasa yang sedang dipelajari. Dengan
mengenalpasti kesalahan-kesalahan tersebut, pelajar bahasa boleh merangka
strategi pembelajarannya yang tersendiri.Aini (2007) dalam kajiannya menjelaskan bahawa
teori ini menggunakan pendekatan
dengan cara mendapatkan kesalahan pelajar daripada korpus, mengenal pasti kesalahan-
kesalahan pelajar, mengkategorikan jenis-jenis kesalahan seterusnya menganalisis jenis-jenis
kesalahan tersebut. Selain itu, faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kesalahan-
kesalahan bahasa akan dikaji bagi menghasilkan strategi-strategi untuk meningkatkan
pengajaran dan pembelajaran bahasa. Ellis (1997) menekankan bahawa kesalahan pelajar
boleh membantu pengajar atau pengkaji bahasa dari semasa ke semasa. Beliau menjelaskan,
Classifying errors in these ways can help us to diagnose learners
learning problems at any stage of their development and to plot how
changes in error patterns occur over time.
Faktor-Faktor Kesalahan Bahasa
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong pelajar bahasa asing atau bahasa kedua melakukan
kesalahan bahasa. Berdasarkan Brown (2000) dan Richards (1992), kesalahan bahasa wujud
disebabkan perbezaan-perbezaan antara bahasa asal dengan bahasa sasaran pelajar,
generalisasi melampau, anggapan yang salah dan sebab-sebab lain. Menurut Maicusi et. al.
(2000), kesalahan bahasa berpunca daripada faktor psikolinguistik, sosiolinguistik dan
epistemik.
Berdasarkan Money (2004), murid-murid Tamil sekolah menengah telah mempelajari
bahasa Melayu sekurang-kurangnya 10 tahun secara formal tetapi pengaruh bahasa ibunda
masih terdapat dalam penulisan mereka.
Dapatan kajian daripada Azman & Goh (2010) menunjukkan bahawa masalah utama
yang menjadi kesukaran pelajar mempelajari bahasa Arab adalah kerana nahu bahasa Arab.
Apabila membincangkan gangguan bahasa ibunda, sesetengah kesalahan berlaku disebabkan
gangguan bahasa Arab standard dan sesetengahnya pula berpunca daripada bahasa Arab
pasar.
(Abisamra, 2003). Walaupun dapatan kajian Abisamra (2003) mendapati pelajar melakukan
kesalahan disebabkan gangguan bahasa ibunda, namun kesalahan yang paling banyak
dilakukan pelajar adalah kerana kesalahan intralingual.
Berbeza pula dengan dapatan kajian Cheun et. al. (2009), yang mendapati bahawa
gangguan bahasa ibunda merupakan faktor utama yang menyebabkan pelajar melakukan
kesalahan dalam pembelajaran tatabahasa bahasa Mandarin. Menurut beliau lagi, kekurangan
latihan tatabahasa, kurang pendedahan kepada alam persekitaran bahasa, peruntukan masa,
kekeliruan maksud dan sikap cuai pelajar turut merupakan faktor penyumbang.
Kajian Goh & Ng (2004) mendapati bahawa sikap merupakan faktor terpenting terhadap
kegagalan atau kejayaan pelajar dalam pembelajaran bahasa asing. Marzalina (2004) dalam
kajiannya menjelaskan bahawa pelajar tidak menguasai bahasa Melayu kerana mereka
mempunyai sikap seperti gemar bercakap semasa pensyarah mengajar dan tidak
menumpukan perhatian terhadap pembelajaran bahasa. Bahasa Melayu sukar untuk dikuasai
sebagai bahasa asing jika pelajar tidak berminat, tiada kemahuan dan motivasi (Jyh, 2005).
Faizah et. al. (2010) pula dalam kajiannya mendapati bahawa kebanyakan pelajar asing
yang mengikuti kursus Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi menghadapi masalah dan
lemah dalam menguasai kemahiran berbahasa Melayu disebabkan tempoh pembelajaran
bahasa yang singkat. Cheun et. al. (2009) dalam kajiannya juga mendapati bahawa
kekurangan masa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menyebabkan pelajar tidak
menguasai bahasa Mandarin.
Aspek Kesalahan Bahasa
Dalam pembelajaran bahasa kedua, Corder (1973) mengkategorikan empat kesalahan
yang dilakukan oleh pelajar iaitu pengguguran unsur-unsur yang perlu, penambahan unsur
yang tidak perlu atau tidak tepat, pemilihan unsur yang tidak tepat dan penyusunan unsur
yang salah.
Walau bagaimanapun, menurut Corder, kategori-kategori tersebut belum mencukupi untuk
menjelaskan kesalahan, lalu beliau menyertakan kesalahan bagi peringkat-peringkat linguistic
seperti morfologi, sintaksis dan leksikon. Kesalahan boleh terdiri daripada pelbagai magnitud
termasuklah kesalahan fonem, morfem, kata, ayat, malah perenggan (Erdogan, 2005).
Kajian-kajian lain dalam pembelajaran bahasa kedua menunjukkan bahawa pelajar
bahasa kedua melakukan kesalahan morfologi (Ellis, 1997), kesalahan kata kerja (Hashim,
2009), kesalahan kata sendi nama (Habash, 1982), kesalahan frasa (Ab. Halim, 2002),
kesalahanfrasa nama (Soh, 1996) dan kesalahan sintaksis (Lee, 2007; Abisamra, 2003;
Saw,1997 & Ellis,1997).
Strategi penulisan Karangan
Che Zanariah Che Hassan dan Fadzilah Abd Rahman (2011) mengemukakan beberapa
strategi dalam kemahiran menulis. Antaranya ialah merancang sebelum mengajar menulis,
pengajaran hendaklah berpusat kepada murid, bermula dengan ayat mudah kemudian ke
sukar,menyemak hasil penulisan pelajar, memberi pendedahan sebelum mengajar,
mengadakan pemulihan kepada murid lemah dan memilih bahan dan alat bantu mengajar
yang sesuai.
Abdullah (1996) menyatakan penulisan karangan melibatkan ketepatan memberikan takrifan
tajuk, persembahan isi atau buah fikiran, penggunaan bahasa yang tepat serta gramatis,
pengolahan, penyampaian dan kemampuan membuat pemerengganan.
Tony Buzan (2000) menjelaskan bahawa penggunaan peta minda mampu meningkatkan
keupayaan seseorang untuk memaksimumkan keupayaan berfikir. Dalam hal ini, penggunaan
peta minda boleh membantu pelajar dalam merancang dan menyusun idea penulisan dengan
lebih baik.
Proses menulis melalui beberapa peringkat menurut McCrimmon(1984:10) iaitu peringkat
perancangan,penulisan,dan penyemakan.McMahan,Day, dan Funk(1992:3) mengemukakan 4
proses yang mesti dilalui seseorang dalam proses menulis iaitu pra penulisan(prewriting),
penulisan(writing),penulisan kembali(rewriting), dan pengeditan(editing).
Teori pengajaran penulisan bahasa arab
Tujuan pengajaran bahasa pada dasarnya supaya pelajar menguasai empat kemahiran
mendengar,bercakap,membaca dan menulis(Widdowson 1978 : 1) Menulis adalah kemahiran
berbahasa bersikap produktif.
Pada mulanya,menulis bererti menyalin(copying) dan Menulis huruf(spelling) kemudian
maknnya meluas meliputi pebagai kegiatan berfikir dalam mengungkapkan apa yang
difikirkan dan dirasakan seseorang dalam bentuk penulisan khususnya penulisan karangan.
Menulis adalah penyampaian idea tentang pelbagai topik dalam bentuk karangan.Suatu
tulisan mesti menggunakan bahasa yang betul dan tepat secara pragmatik.
Bahasa yang betul ialah bahasa yang menggunakan kata dan peristilahan yang tepat serta
tatabahasa yang betul.Kemahiran menulis(writing skills) merupakan satu kemahiran yang
kompleks dan kadang-kadang sukar untuk dipelajari(Heaton,1989 : 135).Menurut beliau ada
lima kemahiran untuk menentukan penulisan yang berkualiti iaitu kemahiran
merangka,mengolah isi,kemahiran stalistik,dan kemahiran menetap atau menilai.
Bila berbagai aspek penguasaan kemahiran menulis yang dihuraikan diatas dihubungkan
dengan konsep belajar dan penilai berdasarkan Taksonomi Bloom maka dapat dinyatakan
bahawa penguasaan ketrampilan menulis dimulai dari aspek kognitif yang paling rendah,
sedangkan menyusun idea dan fikiran dalam bentuk satu karangan lengkap termasuk aspek
kognitif paling tinggi.Aspek Kognitif dari Taksonomi Bloom sebelum disemak meliputi
aspek knowledge,comprehension,anylsis,synthesis, dan evaluation. Taksonomi Bloom
kemudian disemak sehingga menjadi aspek remember,understand,apply,analyse,avaluate,dan
create (Anderson and Krathwohl;2001:85)
Menulis adalah kegiatan kognitif yang melakukan kegiatan dalam satu proses
intelektual(Lawrence ;1975:3) The composition exercises are based on the assumption that
writing is a form of communication and that the process of writing is an active thinking
process. (Lawrence ;1975:13).
Berdasarkan teori-teori diatas dapat disimpulkan bahawa kemahiran menulis ialah
kemampuan seseorang mengolah perkataan menjadi ayat yang efektif sesuai dengan kaedah
bahasa untuk menghasilkan idea,pendapat,pengalaman,buah fikiran,sikap perasaan dan emosi
kepada orang lain.Kemampuan yang paling tinggi dalam kemahiran menulis seseorang ialah
mencipta(create).
Penguasaan Penulisan Karangan Dari Perspektif Komunikatif
Menulis merupakan satu proses merakam atau menghasilkan bahan berbentuk idea, pendapat,
pengalaman, perasaan, dan maklumat dalam bentuk tulisan untuk berhubung dengan orang
lain atau dengan diri sendiri. Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (1993), di peringkat pengajian
tinggi,kemahiran menulis menjadi amat penting kerana para pelajar perlu menyediakan
tugasan dalam bentuk esei, laporan atau tesis. Penulisan karangan merupakan bahagian yang
penting diperingkat rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi. Kegagalan pelajar
menghasilkan karangan yang bermutu, sudah pasti akan menjejaskan prestasi mereka dalam
penguasaan kemahiran penulisan karangan.
Penulisan karangan dari persepktif komunikatif dibentuk berdasarkan teori fungsi bahasa
yang diutarakan oleh M.A.K Halliday (1970). Berdasarkan eksperimennya dengan kanak-
kanak,Halliday membuktikan bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.
Menurut Halliday, peranan bahasa itu adalah sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu,
mengawal tingkah laku orang lain, menyampaikan maksud, meluahkan perasaan,
menyampaikan maklumat, dan mencipta sesuatu secara kreatif dan imaginatif.
Dell Hymes dalam Mahzan Arshad (2003) , selaku pengasas pendekatan komunikatif
menyatakan kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri yang
dimiliki oleh pelajar untuk memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan
berinteraksi dengan orang lain dalam konteks sosial. Oleh itu, pendekatan ini menegaskan
seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang struktur bahasa dan menguasai kemahiran
membina ayat dengan gramatis. Pendekatan ini mengharapkan pelajar menulis untuk dibaca
oleh pembaca.
Jadi, guru berperanan menggalakkan pelajar menulis dalam situasi kehidupan mereka untuk
dibaca oleh masyarakat.Menurut Zamzuri Mohamad (2010), pendekatan komunikatif
berasaskan teori pembelajaran berbentuk behavioris lebih mementingkan penguasaan menulis
secara naluri yang dimiliki oleh pelajar iaitu keupayaan mereka untuk menggunakan dan
memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan
individu lain serta jalinannya dengan konteks sosial. Jadi, eleman konukatif diberi keutamaan
dalam penghasilan penulisan berbentuk komunikatif.
Dengan menggunakan pendekatan komunikatif, tulisan pelajar dapat dibaca oleh orang lain.
Oleh itu, hasilan penulisan tersebut mestilah sama seperti situasi kehidupan seharian yang
sebenar. Menurut Hashim Othman (2003), perspektif komunikatif menyarankan supaya
kefasihan berbahasa dicapai melalui penggunaan bahasa yang dipelajari dalam konteks
formal dan tidak formal. Karangan dikatakan bentuk autentik yang menjadi penunjuk
kefasihan berbahasa pelajar, sekali gus komponen komunikatif dalam perlakuan karangan
dapat menjelaskan pemahaman tentang kefasihan berbahasa.
Ciri-ciri penting dalam pendekatan komunikatif ialah aspek makna. Sekiranya dialog
digunakan dalam pengajaran, maka fungsi atau peranan dialog itu hendaklah diutamakan.
Kemahiran bahasa dianggap sebagai kemahiran sosial, dan bahan yang dipilih mesti
bersesuaian dengan situasi atau simulasi dalam aktiviti pengajaran sebagai perangsang untuk
murid berkomunikasi dengan menggunakan bahasa dengan betul.Pendekatan komunikatif
mempunyai beberapa prinsip iaitu semua latihan dan aktiviti bahasa disesuaikan dengan
umur, pengalaman, latar belakang minat dan keperluan pelajar,bercorak realistik dan
pragmatik serta menggambarkan keperluan sebenar penggunaan bahasa,sebagai alat
berkomunikasi, penglibatan pelajar yang aktif, guru yang kreatif, mementingkan aspek
tatabahasa, dan peranan guru sebagai penasihat.
Maka kajian ini mengguna pakai kecekapan komunikatif yang dikemukakan oleh Bachman
dan Savignon (dalam Hashim Othman, 2003) iaitu kefasihan berbahasa yang merangkumi
tiga komponen utama iaitu sosiolinguistik, wacana dan tatabahasa.Kecekapan sosiolinguistik
merujuk kepada ketepatan menggunakan bahasa mengikut konteks yang menekankan
ketepatan makna (tajuk, sikap, dan fungsi), bentuk (laras bahasa dan gaya) dan konteks
(status peserta komunikasi, tujuan dan norma interaksi). Kecekapan wacana ialah penguasaan
pengetahuan yang menggabungkan bentuk dan makna bagi menghasilkan pelbagai jenis teks
yang utuh seperti jenis penerangan, pemujukan, dan pelahiran dengan menggunakan
peraturan pertautan ayat (penanda wacana) dan prinsip pertalian idea bagi membentuk makna
(persembahan, pengolahan dan penekanan).Kecekapan tatabahasa bermaksud penguasaan
peraturan bahasa yang meliputi perbendaharaan kata, pembentukan kata, pembentukan ayat,
ejaan dan semantik. Pengetahuan ini diperlukan bagi melahirkan makna ujaran yang tepat.

Anda mungkin juga menyukai