Anda di halaman 1dari 3

Seingat saya termalogi atau rangkaikata " kemenjadian murid" mula digunapakai

oleh Dato' Cg Abd Rahim Tahir, mantan Pengarah Pelajaran Terengganu yang juga
mantan Ketua Jemaah Nazir Malaysia. Seringkali dalam ucapan serta pidatonya
yang hebat serta kertas penulisan beliau, termalogi "kemenjadian murid" diulang
sebut dengan penuh pengertian biarpun tidak kurang suara dan wajah sinis
memandangnya. Apabila beliau menjadi Ketua Jemaah Nazir "kemenjadian murid"
diangkat menjadi salah satu fokus dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan
digunapakai hingga kini secara formaliti.

Secara mudahnya "kemenjadian murid" itu adalah "outcome" atau rupa bentuk insan
yang kita mahu hasilkan dari kerjabuat kita mendidik sama ada ianya benar-benar
terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung. Rupa
bentuk insan yang kita mahukan itu telah digaris secara sempurna dan bertulis dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara."

Persoalannya apakah kemenjadian murid yang digariskan begitu murni dalam FPK
ini telah kita capai dengan sempurnanya ? Atau baru nampak bayangnya ? Apakah
fenomena sosio-budaya dan amalan nilai dalam kehidupan generasi kita hari ini
benar-benar mencapai kesempurnaan masyarakat berilmu dan bertamaddun ? Dan
jika ianya ditafsir sebagai "kurang berjaya" siapa yang perlu dipertanggungjawab ?
Dan apakah penyelesaian dan kesudahannya? Mampukah nanti negera kita
mencapai Wawasan Negara Maju Tahun 2020?

Pada pandangan kita penyediaan Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 -
2025 yang memberi penekanan aspek kemenjadian murid melalui Aspirasi
Murid dengan memberi enam ciri utama murid adalah usaha memantap dan
memperkasakan lagi makna kemenjadian murid dalam FPK. Enam ciri utama murid
yang dihasratkan:
1. Murid yang mempunyai pengetahuan
2. Murid yang mempunyai kemahiran berfikir
3. Murid yang mempunyai kemahiran memimpin
4. Murid yang mempunyai kemahiran dwibahasa
5. Murid yang mempunyai Etika dan Kerohanian
6. Murid yang mempunyai Identiti Nasional
Isunya apakah aspirasi yang murni itu mampu dicapai jika "kemenjadian guru" kita
abaikan.Perumpamaan "bagaimana acuan maka begitulah kuihnya" dan "guru
kencing berdiri, murid kencing berlari" adalah gambaran untuk menunjukkan betapa
besar pengaruh dan peranan guru dalam proses mendidik murid. Saya teringat
dalam satu Pertandingan Menulis Puisi Hari Guru Negeri Terengganu Cg. Awang
Abdullah memenangi tempat pertama dengan puisi yang membicarakan guru
umpama arus sungai yang mengukir dan mencanai batu yang keras akhirnya
menjadi tanah lanar yang subur. Saya yang memenangi tempat kedua pertandingan
itu dengan puisi "Guru adalah sekumpulan hujan" juga membicarakan peranan guru
dalam memecahdan menyaring potensi pelajar serta cabaran menuteralkan
anasir yang merosakan.

Dalam pengertian yang mudah tidak mungkin ada kemenjadian murid kalau
kemenjadian guru tidak ada. Guru yang mampu mencanai potensi dan kemenjadian
murid bukan guru yang hanya berkira-kira untuk naik gaji dan pangkat, yang balik
berebut-rebut dengan murid, yang mengajar pakai "chalk and talk", yang ignoramus,
yang paralaysis dan yang bukan melihat kerja mendidik sebagai kerja jihad dan
perjuangan tetapi sekadar makan gaji. Guru yang tiada kemenjadian seperti ini tidak
ikhlas dan tiada barakah. Mereka tidak akan mampu menitis ilmu ke dalam jiwa untuk
muridnya berubah menjadi insan yang mencintai kebaikan dan membenci
kemungkaran.

Justru amat tepat bila KPM akan memperbesarkan fungsi dan peranan PPD agar
ada pegawai yang akan memberi bimbingan kepada guru-guru secara langsung di
sekolah untuk menjadikan mereka sebenar guru supaya aspirasi kemenjadian murid
dapat dicapai dengan sempurna. Kemenjadian guru yang sebenar adalah guru yang
tahu, sedar dan bersengaja melaksanakan kerja buat justru guru adalah "the art and
the scientific of teaching". Guru bukan sahaja penyampai ilmu, penjelas nilai dan
pembina tamaddun tetapi juga sebagai pemudahcara, motivator, kaunselor,
demonstrator juga adviser.

Guru yang menjadi dan berkesan di sekolah ialah guru yang sentiasa ceria,
gembira dengan kerjanya, menghormati ketua, mematuhi arahan, senang bergaul,
sentiasa memberi ,kerjasama, sensitif dengan persekitaran dan dapat menjelmakan
bakat serta kebolehan untuk kebaikanorganisasi sekolah.

Sementara guru yang menjadi dan berkesan di dalam kelas ialah guru yang
memahami dan kenal muridnya, seronok dan sukakan muridnya,menguasai
kemahiran, mempelbagaikan kaedah, model yang disukai murid, sentiasa memberi
motivasi dan kecindan.

Selepas ini apabila kita membicarakan soal "kemenjadian murid" maka kita jangan
sekali-kali lupa bahawa kemenjadian murid hanya akan berlaku dengan adanya
"kemenjadian guru" .

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

J ika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
J ika hari ini seorang Raja menaiki takhta
J ika hari ini seorang Presiden sebuah negara
J ika hari ini seorang ulama yang mulia
J ika hari ini seorang peguam menang bicara
J ika hari ini seorang penulis terkemuka
J ika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Anda mungkin juga menyukai