1. Sinopsis Isu
Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris yang akan
menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar terhadap keadaan
sosial, politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang tampuk pentadbiran, penggerak
ekonomi dan pembangun generasi.
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah sosial remaja yang
semakin hari semakin meruncing. Masyarakat dikejutkan dengan pelbagai paparan secara
terbuka baik di media elektronik, media cetak mahupun di Internet. Masalah sosial,
keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin amat membimbangkan kerana ia turut
mengundang pelbagai implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha
melahirkan masyarakat produktif dan berdaya maju.
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran dan seks bebas dan
penyalahgunaan dadah. Masalah menjadi lebih gawat apabila kita dikejutkan dengan
tindakan ganas pelajar sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada si
mangsa. Isu ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh.
Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang
positif mahu pun yang negatif. Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang
membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd
Ali,1977)
Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus
dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial.
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan
remaja itu sendiri. Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa. Sebagaimana petikan
akhbar berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar,
Remaja Jadi Liar" Harian Metro, 6 September 2001 dan "Jenayah Rogol Juvana Salah
Siapa?" Utusan Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan
agihan masa. Kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang
ringgit.
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan
faktor ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang
dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu
rumah atau pihak sekolah. Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan
kendiri anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala
sosial di kalangan remaja.
2. Isu
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar ini menegaskan tentang masalah sosial dikalangan
remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja. Pertentangan pendapat
antara remaja dan ibu bapa timbul apabila kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan
kebenaran masing-masing.
Remaja yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya ibu bapa tidak memberi
perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan urusan kerja. Mereka kekurangan
masa bersama, kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang
ringgit. Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah, guru atau pendidik yang telah
dibayar gaji.
Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan anak-anak
mereka. Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada pihak lain seperti sekolah
yang kononnya gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin.
Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaian sesuatu
masalah. Namun yang pasti konflik akan membawa perubahan.
5.3 Sosialisasi
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang
perlu ada dalam institusi sosial. Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi
sosial. Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu
masyarakat kepada kanak-kanak. Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk
konsep diri pada individu. Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok
yang paling berpengaruh
Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan. Anak-anak mula
belajar dari kedua ibu bapa mereka. Oleh itu ibu bapa yang memberi 'quality time' kepada
anak-anak mereka dapat menanamkan minat dan bertindak balas dengan memberikan didikan
dan peluang yang berpatutan.
Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah
kecemerlangan. Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah
yang terbaik memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai
keunggulan peribadi. Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih
sayang, perhatian dan pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan
fikiran mereka dengan penuh kegembiraan dan kejayaan. Namun ada sesetengah ibu bapa
tidak memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat
diperlukan oleh anak-anak mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai
pengetahuan untuk membantu anak remaja. Mereka tidak lagi prihatin tentang perkembangan
anak-anak di sekolah, tidak mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak
menghiraukan bagaimana masa lapang mereka dihabiskan. Masa yang diluangkan untuk
sama-sama menjalankan aktiviti bersama anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi
berkomunikasi terutama dengan anak remaja berhubung dengan kegiatan harian (Laurance
Steinberg 1996). Kenyataan ini sedikit sebanyak mengambarkan bahawa ibu bapa pada era
ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Maka itu kegagalan ibu bapa memberi
pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa kepada suatu petanda yang buruk
terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996). Ini meneguhkan pendapat Freud,(Mahmod
Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa kualiti penjagaan yang diberikan di peringkat awal
akan mempengaruhi di kemudian hari.
Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton, di sebalik berlakunya
pelanggaran undang-undang dan kawalan sosial, jenayah sebenarnya boleh berlaku
disebabkan keadaan sesuatu masyarakat itu disusun. Merton menegaskan, dalam kehidupan
manusia memerlukan banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau
hanya setakat rumah yang selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman.
Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang rendah mendorong kepada berlakunya jenayah
dalam masyarakat.
6. Rumusan/Cadangan
"Mencegah lebih baik dari mengubati" . Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan
yang lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi
pendidikan atau masyarakat.
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-
anak sejak mereka kecil dan sentiasa sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa
seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran
kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang. Kekeliruan perasaan, tidak
dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain
mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah.
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.
Komunikasi dua hala yang sihat akan membantu anak meluahkan masalah mereka. Ibu bapa
perlu belajar menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya
bersikap egosentrik dapat dilembutkan. Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-
anak.
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial. Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak
akan tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Setiap
remaja perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin. Keunggulan ini dapat
dipraktikkan melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin, kaunselor,
dan ibu bapa pelajar. Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin meningkat
peratusnya dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu. Formula dan strategi
pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan generasi yang berwibawa dan mampu
bersaing dalam konteks globalisasi didorong oleh mekanisme sains dan teknologi.
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat setempat mula merangka
program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja mengisi masa lapang mereka, sama ada
kegiatan berbentuk setempat atau menerusi Gaya Hidup Rakan Muda. Kerajaan menerusi
kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah segera memperluaskan program berkenaan.
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa
kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam alam
persekitaran. Misalnya, pembangunan yang terlalu pesat telah mengubah cara hidup
masyarakat kita. Manusia menjadi semakin individualistik dan materialistik. Lantaran itu,
keseimbangan sosial harus dipulihkan semula. Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan
kekeluargaan serta anggota masyarakat dapat diperteguhkan. Apa yang lebih penting setiap
daripada kita mempunyai tanggungjawab sosial tidak terkecuali remaja terutama dalam kita
merealisasikan 'masyarakat madani' menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong.
Ini hanya dapat dijayakan dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus ke
lembah yang tidak diingini.