Anda di halaman 1dari 2

CARILAH 

HATIMU!

7 April 2009 pada 4:20 am (Kemudi Hati)


Tags: hati, HIDUP, MATI, mujahadah, pujangga

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi.


Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali.
Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah.
Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti.
Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu
lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini. 

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu.
Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali
putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup
pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi
itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam
satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu
ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu
boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang
diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran.
Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau
temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak
temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya
pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau


buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala
puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan
kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada
sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan
teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu,
pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian
dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam
kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau


mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya
menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak
membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih
fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa
yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran,
tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu
fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji
kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang
senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu
dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah
taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja
mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan
bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan
bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang
hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap
dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh
dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan,
kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak
sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru
ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di
sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah
itu susah tapi indah!

Anda mungkin juga menyukai