Anda di halaman 1dari 11

KARANGAN JENIS UCAPAN

Model Karangan
Yang dihormati tuan pengerusi majlis, yang berusaha Encik Najmi bin
Mustafa Guru Besar Sekolah Kebangsaan Peria, guru-guru penolong kanan,
guru-guru dan rakan-rakan. Selamat sejahtera saya ucapkan. Saya berasa amat
bertuah pada pagi ini kerana diberikan peluang untuk berucap dalam 'Majlis
Sambutan Hari Guru' peringkat sekolah ini.
Hadirin yang dihormati,
Hari ini merupakan Hari Guru, hari yang diraikan untuk mengenang dan
menghargai segala jasa serta pengorbanan guru. Bermula sebagai seorang
kanak-kanak yang tidak pandai membaca, kita dididik dan diasuh oleh guru
hingga menjadi seorang murid yang pandai. Dalam tempoh itu, pelbagai
rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh guru-guru. Guru-guru terpaksa
menghadapi perangai murid-murid yang nakal, degil, malas dan bermacammacam lagi namun mereka tidak pernah berputus asa.
Oleh itu, dalam kesempatan yang diberikan ini, saya mewakili murid-murid
sekolah ini ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon maaf atas segala
kesalahan dan kesilapan yang telah kami lakukan selama ini. Restuilah ilmu
yang telah guru-guru berikan kepada kami. 'Selamat Hari Guru' kami ucapkan.
Semoga Tuhan membalas segala jasa yang telah guru-guru berikan kepada
kami.
Sekian, terima kasih.

Model Karangan
Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakanrakan. Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. Saya mengucapkan
terima kasih kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berucap pada
majlis ini.
Guru-guru yang dihormati,
Hari Guru merupakan hari yang istimewa untuk kita mengenang jasa-jasa
guru. Pihak penganjur telah mengaturkan beberapa acara yang menarik dalam
majlis sukan mini untuk dipertandingkan. Acara kesukaan ramai, iaitu lari di
dalam guni tentunya akan mendapat tepukan gemuruh selain acara berebut
kerusi, boling padang, dan mengisi air di dalam belon.
Beberapa acara baharu yang mencabar masih dirahsiakan oleh pihak
penganjur. Sama-samalah kita tunggu apakah acaranya. Saya percaya guruguru akan terhibur dengan acara tersebut. Kita sedia maklum bahawa acara
yang diadakan ini bertujuan untuk menghiburkan para guru. Hubungan yang
akrab antara guru-guru dengan murid-murid akan dapat diwujudkan. Menang
atau kalah tidak menjadi persoalan utama.
Guru-guru yang dihormati,
Saya selaku wakil murid-murid di sekolah ini mengambil kesempatan untuk
mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang membimbing kami dalam
bidang kurikululum dan kokurikulum. Jika tidak, masakan sekolah kita mencapai
kejayaan yang cemerlang di peringkat daerah. Sebelum saya mengakhiri ucapan
ini sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru.
Sekian, terima kasih.

Model Karangan
Yang dihormati tuan pengerusi majlis, yang berusaha Tuan Haji Izat bin
Izudi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Binjal, guru-guru dan rakan-rakan. Salam
sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kerana diberi kesempatan untuk berucap
pada pagi yang berbahagia ini. Kebersihan merupakan suatu elemen yang
penting untuk menjamin kesihatan. Kebersihan juga melambangkan kesucian,
kejernihan dan terhindar daripada pelbagai penyakit.
Hadirin yang dihormati,
Kebersihan bukan sahaja sekadar pada tubuh badan malah merangkumi
alam sekitar serta fikiran. Untuk memastikan badan kita bersih, kita hendaklah
mandi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Kita juga mesti menjaga kebersihan
kuku, rambut dan gigi. Anggota badan yang bersih akan menjadikan kita lebih
selesa dan disenangi oleh orang lain. Begitu juga pakaian, kita seharusnya
memastikan pakaian kita sentiasa bersih dan kemas. Dengan berpakaian yang
bersih dan kemas, kita bukan sahaja lebih selesa malah akan menampakkan
keperibadian yang mantap.
Kita juga mestilah berfikiran sihat dan bersih. Fikiran yang bersih akan
mengarah kepada kebaikan dan mencetuskan perlakuan yang positif. Hal ini
akan dapat mengelakkan kita daripada perlakuan buruk seperti membuang
sampah merata-rata dan sebagainya. Kesimpulannya, kebersihan adalah amat
penting untuk menjamin kesejahteraan hidup kita seharian. Oleh yang demikian,
kita sewajarnya sama-sama menjaga kebersihan untuk kesejahteraan.
Sekian, terima kasih.

Model Karangan
Yang dihormati tuan pengerusi majlis, yang berusaha Encik Faizal bin
Hamid Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kiat, ibu bapa, guru-guru dan rakanrakan. Salam sejahtera saya ucapkan. Saya amat berbesar hati kerana diberi
peluang berucap dalam "Majlis Kupohon Restu" pada malam ini. Majlis ini amat
besar maknanya dan memberi peluang kepada kita untuk memohon restu
daripada ibu-bapa dan guru-guru yang sememangnya terlalu banyak berjasa
kepada kita.
Hadirin yang dikasihi,
Jasa ibu bapa bagaikan lautan yang tidak bertepi. Hasil dan berkat daripada
pengorbanan mereka, sehingga kita dapat membesar dengan badan yang
cergas dan minda yang cerdas. Ibu bapa juga menyediakan makanan yang
berkhasiat kepada kita di samping tidak mengabaikan keperluan pelajaran kita.
Ibu bapa juga sentiasa memberi dorongan agar kita sentiasa berjaya.
Hadirin yang dihormati,
Di samping itu, guru juga tidak kurangnya memberikan sesuatu yang terbaik
kepada kita. Jasa guru juga harus kita hargai dan hormati. Guru sememangnya
banyak berjasa dalam mendidik kita semua. Guru tidak pernah jemu memberikan
pendidikan dan mengajar kita. Oleh itu, dengan adanya 'Majlis Kupohon Restu'
ini, kita berpeluang untuk memohon restu daripada ibu bapa dan guru-guru.
Dengan restu daripada ibu bapa dan guru-guru, kami yakin bahawa ilmu yang
kami peroleh akan lebih berkat dan bernilai. Akhir kata, sama-samalah kita
jayakan majlis ini.
Sekian, terima kasih.

Model Karangan
Yang dihormati tuan pengerusi majlis, yang berusaha Encik Ahmad
Tajudin bin Abu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Rawa, guru-guru dan
rakan-rakan. Selamat sejahtera saya ucapkan. Saya ingin mengutarakan ucapan
terima kasih kerana dijemput untuk berucap dalam majlis pelancaran "Kempen
Sekolah Tanpa Tong Sampah," peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Rawa pada
pagi ini.
Hadirin yang dihormati,
Selaku Guru Penolong Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ini, saya
rasa hasrat dan harapan pihak sekolah untuk memastikan kebersihan sebagai
asas untuk menjaga kesihatan murid tidak perlu dipertikaikan lagi. Kesungguhan
para guru memastikan setiap murid di sekolah menjaga kebersihan telah
menjadikan suasana di sekolah ini amat bersih. Selaras dengan itu, Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Seri Rawa, Encik Ahmad Tajudin telah memberikan suatu
idea untuk melancarkan pula kempen 'Sekolah Tanpa Tong Sampah' sebagai
langkah mengurangkan lagi jumlah pembuangan sampah di sekolah ini.
Hadirin yang dihormati,
Kempen ini sebenarnya bukan ingin menyusahkan kita tetapi mendidik kita
mengurangkan lagi sampah. Dengan tidak adanya tong sampah, bukan
bermakna kita boleh membuang sampah merata-rata tetapi melatih supaya kita
tidak membuang sampah. Oleh itu, kita berharap dapat menjayakan kempen ini
seperti kempen 'Sekolah Tanpa Loceng' yang telah dapat kita jayakan lebih
kurang dua bulan yang lalu.
Sekian, terima kasih.

KARANGAN JENIS FAKTA


Model Karangan
Kebaikan Membaca
Membaca banyak faedahnya. Oleh sebab itu kita digalakkan
mengamalkan tabiat suka membaca. Terdapat pelbagai bahan bacaan yang
dapat diperoleh dengan mudah seperti buku, majalah, dan surat khabar.
Antara kebaikan membaca termasuklah dapat menambahkan ilmu
pengetahuan. Kita dapat mengetahui tentang perkara-perkara baru yang tidak
kita ketahui sebelum ini. Pengetahuan am kita akan bertambah luas dan kita
akan menjadi lebih bijak.
Selain itu, kita dapat mengetahui tentang isu-isu atau perkembangan
semasa yang berlaku di dalam negeri dan di luar negara. Contohnya, isu
kegawatan ekonomi, bencana alam, peperangan, krisis air, dan pelbagai
peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Justeru, kita tidak lagi ketinggalan
zaman atau dianggap seperti katak di bawah tempurung.
Seterusnya, kita dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang
berfaedah. Secara tidak langsung kita dapat menghindarkan diri daripada terlibat
dalam kegiatan yang kurang sihat seperti melepak. Kegiatan seperti ini hanya
membuang masa dan merugikan diri sendiri.
Membaca dapat mematangkan fikiran kita juga. Dengan membaca, kita
dapat mengetahui tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Oleh itu,
kita didorong untuk berfikir secara lebih kritis dalam membuat penilaian terhadap
sesuatu perkara itu.
Sesungguhnya banyak kebaikan yang dapat diperoleh dengan membaca.
Justeru, tabiat membaca harus dijadikan amalan seharian. Kita perlu mencontohi
sikap masyarakat di negara maju seperti Jepun yang menjadikan membaca
sebagai budaya hidup mereka.

Model Karangan
Kepentingan Melaksanakan Peraturan-peraturan di Sekolah
Peraturan sekolah merupakan undang-undang kecil yang dikuatkuasakan
oleh pihak sekolah. Semua murid mesti mematuhi peraturan dan tiada seorang
murid pun diberikan pengecualian.
Peraturan sekolah dapat membentuk tingkah laku murid-murid agar
menjadi insan yang berdisiplin dan bersahsiah positif. Dengan wujudnya
peraturan, murid-murid tahu menghormati guru, tidak bergaduh sesama rakan,
dan dapat mencegah diri mereka daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang
kurang elok.
Peraturan sekolah berperanan membantu guru untuk mengawal muridmurid. Secara tidak langsung, beban kerja guru dapat dikurangkan. Guru dapat
memberikan tumpuan yang sepenuhnya pada proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas.
Dengan pelaksanaan peraturan juga persekitaran sekolah menjadi lebih
selesa. Murid-murid dapat belajar dengan tenang tanpa sebarang gangguan.
Pergaulan sesama murid juga senantiasa terjaga.
Pelaksanaan peraturan sekolah akan dapat mengangkat imej sekolah
sebagai institusi yang disegani. Sekolah yang teguh peraturannya akan dihormati
oleh para murid dan masyarakat seluruhnya.
Kesimpulannya, pelaksanaan peraturan sekolah adalah untuk kebaikan
murid-murid dan pihak sekolah.

Model Karangan
Cara-cara Menjaga Kebersihan dan Keceriaan Sekolah
Kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah memainkan peranan penting
dalam kehidupan murid-murid. Kawasan yang bersih dan ceria akan menjadikan
murid selesa, tenang, dan gembira untuk belajar. Oleh sebab itu, aspek ini
haruslah dijaga.
Perkara asas dalam menentukan kebersihan ialah memastikan bahawa
sampah sarap tidak bertaburan di merata-rata tempat. Buanglah sampah di
tempat yang disediakan. Selain memastikan kawasan persekitaran bersih, kita
dapat juga menjaga kesihatan diri.
Selain itu, sebagai murid kita mestilah bergotong-royong untuk
membersihkan kawasan sekolah. Kegiatan ini secara tidak langsung dapat
memupuk semangat kerjasama di samping memudahkan dan meringankan
beban kerja.
Kita harus menyemaikan semangat cinta akan alam sekitar juga. Jagalah
kawasan persekitaran terutamanya pepohon hijau dan bunga-bungaan. Ingatlah
bahawa tanaman ini ditanam untuk mengindahkan kawasan sekolah.
Di samping itu, kita seharusnya mempunyai sikap sayang akan sekolah
kita. Janganlah mencemarkan atau mengotorkan kawasan sekolah dengan
sesuka hati.
Sesungguhnya, menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah
amat penting bagi kita. Oleh itu, sewajarnya sikap sebegini diamalkan oleh setiap
murid.

Model Karangan
Kebaikan Kerja Sekolah
Kerja sekolah merupakan latihan yang diberikan oleh guru kepada muridmurid untuk dilakukan selepas waktu sekolah.
Dengan melakukan kerja sekolah, murid-murid dapat melatih diri agar
senantiasa menghargai masa. Masa lapang yang dimiliki akan dipenuhi dengan
melakukan latihan-latihan yang diberikan oleh guru. Hal ini juga dapat dianggap
sebagai ujian untuk memantapkan kefahaman murid-murid.
Latihan tersebut juga merupakan kaedah untuk melatih murid-murid agar
rajin membuat ulang kaji pelajaran, khususnya selepas waktu persekolahan.
Minat terhadap sesuatu pelajaran akan dapat dipupuk secara berterusan.
Melakukan kerja sekolah yang diberikan merupakan latihan mengingat
yang amat baik. Latihan yang dilakukan secara berulang kali membolehkan
murid-murid menghafal sesuatu formula atau fakta yang kurang difahami dengan
lebih berkesan lagi.
Setiap murid diwajibkan menyudahkan kerja rumah untuk diserahkan
kepada guru pada tempoh yang telah ditetapkan. Murid-murid yang ingkar akan
didenda. Hal ini dapat melatih murid-murid bersikap bertanggungjawab,
berdisiplin, serta patuh pada arahan guru.
Oleh itu, setiap kerja rumah yang diberikan hendaklah dilaksanakan oleh
murid-murid demi memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Model Karangan
Kebaikan Belajar Secara Berkumpulan
Setiap murid mempunyai cara tersendiri untuk mengulangkaji pelajaran.
Ada yang gemar belajar bersendirian di rumah, di perpustakaan ataupun secara
berkumpulan.
Belajar secara berkumpulan dapat melatih murid-murid memberi pendapat
dan pandangan masing-masing secara terbuka. Murid-murid akan bertambah
yakin terhadap kemampuan diri sendiri, mahir berkomunikasi, dan fikiran menjadi
bertambah bernas.
Selain itu, belajar secara berkumpulan dapat menghilangkan rasa bosan
juga. Murid-murid belajar dalam suasana yang ceria dan gembira. Secara tidak
langsung, rasa jemu atau mengantuk dapat dielakkan.
Di samping itu, belajar secara berkumpulan dapat memupuk kemesraan.
Murid-murid berbincang bersama-sama, menghormati pandangan rakan-rakan,
serta saling bertolak ansur dalam perbincangan. Secara tidak langsung amalan
tersebut dapat mengeratkan hubungan persahabatan.
Tuisyen tidak lagi diperlukan apabila murid-murid belajar secara
berkumpulan. Hal ini demikian kerana perbincangan yang dilakukan itu sudah
memadai untuk murid-murid menguasai seluruh topik perbincangan.
Oleh hal yang demikian, belajar secara berkumpulan dapat membantu
murid-murid ke arah kecemerlangan.

Model Karangan
Manfaat Lawatan Sambil Belajar
Lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak
sekolah pada musim cuti persekolahan. Antara destinasi lawatan termasuklah
tempat-tempat bersejarah, pusat kraf tangan, pusat pentadbiran kerajaan, kilangkilang, dan sebagainya.
Lawatan sambil belajar dapat menambahkan pengetahuan. Murid-murid
dapat mempelajari cara pemprosesan sesuatu seperti cara-cara membuat kraf
tangan, membuat labu sayong, dan sebagainya. Lawatan ke tempat-tempat
bersejarah pula dapat menambahkan pengetahuan murid-murid tentang asal
usul sesuatu tempat dan dapat menyuntik semangat patriotisme dalam diri
murid-murid.
Dengan menyertai lawatan sambil belajar juga, murid-murid dapat belajar
hidup berdikari. Hal ini demikian kerana, apabila mereka berjauhan dengan ibu
bapa, sedaya upaya mereka akan belajar menguruskan diri sendiri.
Selain itu, lawatan sambil belajar dapat menyemai semangat kerjasama,
tolong-menolong, dan kasih sayang dalam jiwa murid-murid. Hal ini demikian,
sekiranya lawatan diadakan ke rumah anak-anak yatim, rumah orang-orang tua,
dan rumah kanak-kanak istimewa.
Disiplin murid-murid dapat dibentuk melalui lawatan sambil belajar. Setiap
murid dikehendaki patuh akan arahan guru penyelia lawatan dan menjaga
disiplin diri pada sepanjang tempoh lawatan.
Justeru, menyertai lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang
memberikan manfaat dan pengalaman yang menyeronokkan kepada muridmurid.

Anda mungkin juga menyukai