Anda di halaman 1dari 5

SJH3033E-KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH

ISL MINGGU 1
Secara kumpulan bertiga:
Mendapatkan bahan maklumat dari internet dan sumber rujukan berkaitan
Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah.
RENCANA
ARKIB : 31/12/2013
KURIKULUM BAHARU KSSR MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN
OLEH TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
Dalam satu program televisyen berbentuk temu bual, penulis ditanya mengapakah kerap
berlaku perubahan kurikulum dalam sistem pendidikan di negara kita? Penulis
menyatakan bahawa memang benar ia berlaku kerana pendidikan bukanlah suatu yang
statik atau beku tetapi ia hidup, bersifat dinamik dan berubah mengikut keperluan dan
kehendak semasa.
Oleh itu mungkin atas keperluan tersebut maka Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR) Tahap II diperkenalkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
bermula dengan murid Tahun 4 di sekolah rendah pada tahun 2014.
Pelaksanaan kurikulum baharu atau KSSR ini telah diumumkan oleh Pengarah
Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr. Masnah Ali Muda
baru-baru ini.
Pada pendapat penulis untuk memastikan kurikulum ini dapat dilaksanakan dengan
lancar dan berkesan maka ibu bapa perlu diberi kefahaman tentang perubahan tersebut.
Sekurang-kurangnya melalui kefahaman itu akan dapat membantu dan membimbing
anak-anak mereka ketika berada di rumah.
Perubahan ini juga adalah sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Soalan yang sering ditanya mengapakah KSSR ini diperkenalkan? Jawapannya, KSSR
bertujuan untuk melahirkan modal insan yang kreatif, kritis, inovatif dan memiliki
kemahiran berfikir aras tinggi. Pendidikan dilihat sebagai wahana yang dapat melahirkan
insan dan warga yang berketrampilan, berkemahiran dan sedia menghadapi cabaran
masa depan termasuk di peringkat global. Ini bersesuaian dengan usaha kerajaan untuk
menjadikan negara kita sebagai negara maju dan menjanjikan rakyat yang
berpendapatan tinggi.
Apakah bentuk kurikulum yang terkandung dalam KSSR itu? Kurikulum Standard
Sekolah Rendah atau KSSR merupakan kurikulum baharu yang telah diperkenalkan
kepada murid Tahun 1 bermula pada tahun 2011. Mulai persekolahan tahun 2014 murid
yang sama akan memasuki Tahun 4 dan mereka akan mengikuti KSSR Tahap II pula.

SJH3033E-KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH


Seperti yang diumumkan bahawa KSSR melibatkan perubahan pendekatan pengajaran,
organisasi, peruntukan masa, mata pelajaran, kaedah pentaksiran, bahan pembelajaran
dan pengurusan kurikulum di sekolah.
Beberapa mata pelajaran baru diperkenalkan seperti Reka Bentuk dan Teknologi (RBT),
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Sejarah. Subjek baharu Sejarah
diperkenalkan melalui penggabungan beberapa mata pelajaran. Tujuannya adalah untuk
menanam dan meningkatkan semangat kenegaraan, patriotisme dan memupuk nilai
keperibadian mulia dalam kalangan murid.
Selain itu mata pelajaran elektif ditawarkan membabitkan bahasa ibunda seperti Bahasa
Cina SK, Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai
termasuk Bahasa Arab.
Pendekatan baru dalam pelaksanaan KSSR adalah berasaskan standard kandungan
dan standard pembelajaran. Standard kandungan bermaksud pernyataan spesifik dalam
sukatan pelajaran iaitu perkara yang perlu diketahui, difahami dan dikuasai oleh murid.
Sementara itu, standard pembelajaran pula merupakan satu penetapan kriteria atau
indikator terhadap kualiti pembelajaran.
Pencapaian dan penguasaan murid dalam pembelajaran akan dinilai dan diukur.
Dengan kata lain guru bukan hanya mengajar tetapi perlu ada kaedah pengajaran yang
standard dan sentiasa menilai pencapaian serta kefahaman setiap murid selepas suatu
unit pembelajaran itu dilaksanakan dalam bilik darjah.
Mungkin ada yang bertanya mengapa ditekankan komponen standard itu? Standard
atau ukuran atau piawaian diutamakan dalam kurikulum ini bertujuan bagi memudahkan
guru menilai pencapaian murid dan memastikan mereka melepasi standard yang
ditetapkan.
Memandangkan penetapan ilmu, kemahiran dan nilai boleh diukur maka melalui
standard itu akan dikenal pasti strategi penambahbaikan dan berupaya pula mengatasi
masalah kelemahan murid dalam pembelajarannya.
Apa yang menarik tentang KSSR ialah penekanan kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang bersifat interaktif atau pendekatan dua hala antara guru dan murid.
Murid digalakkan bersoal jawab, memberi pendapat, melakonkan sesuatu,
membincangkan idea baru, menjawab kuiz dan berbagai aktiviti pembelajaran yang
boleh merangsang pemikiran serta mengembangkan bakat mereka. Dalam masa yang
sama melalui pendekatan interaktif ini guru akan berupaya menerapkan kemahiran
berfikir atas tinggi di kalangan muridnya.
Dari segi pentaksiran, KSSR Tahap I menggunakan Dokumen Standard Kurikulum
(DSK). Sementara itu KSSR Tahap II menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran (DSKP) yang mana kurikulum dan pentaksiran dilaksanakan seiring bagi
setiap unit pembelajaran. Ini bertujuan supaya murid berupaya menguasai ilmu dan

SJH3033E-KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH


kemahiran yang telah ditetapkan sebelum mereka melangkah ke tahun persekolahan
seterusnya.
Pada dasarnya DSKP mengandungi standard pembelajaran iaitu satu penetapan kriteria
atau indikator terhadap kualiti pembelajaran. Sementara itu pencapaian standard
kandungan boleh diukur dan dinilai. Dalam masa yang sama standard prestasi
digunakan sebagai satu set kriteria umum yang menggambarkan penguasaan murid
terhadap sesuatu tajuk, konsep dan istilah yang telah dipelajari.
Seramai 449,887 orang murid dijangka akan mengikuti pembelajaran menggunakan
KSSR Tahap II bagi murid Tahun 4 pada tahun 2014. Untuk memastikan keberkesanan
KSSR, guru akan terus diupayakan melalui kursus dan latihan. Tumpuan akan diberikan
bagi subjek kritikal seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan
Sejarah.
Pada masa yang sama, difahamkan pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan
Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memantau perkembangan
pencapaian pengajaran guru dari semasa ke semasa. Ini bagi memastikan perubahan
kurikulum ini dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam bilik darjah.
Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Masnah, pelaksanaan KSSR akan meningkatkan
kualiti pendidikan rendah agar lebih relevan dengan cabaran masa depan. Walaupun
guru memainkan peranan penting bagi mengupayakan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan namun kejayaan transformasi kurikulum memerlukan komitmen
menyeluruh daripada semua pihak.
Sesungguhnya peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya bagi membimbing dan
membantu pembelajaran anak mereka. Setidak-tidaknya turut memantau serta
menyediakan kemudahan, bahan bacaan dan peralatan pembelajaran bagi keperluan
anak ketika berada di rumah.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi
Lembaga Pengarah Universiti UnisZA.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131231/re_06/Kurikulumbaharu-KSSR-meningkatkan-kualiti-pendidikan#ixzz3PcMvY6Xl
Utusan Melayu (M) Bhd

SJH3033E-KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH


UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 15 JULAI 2013 SMS BERKAITAN MATA
PELAJARAN SEJARAH

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS 014-832XXXX dalam
akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Julai 2013.
CADANG Kementerian Pelajaran memperkasakan mata pelajaran Sejarah di semua aliran
sekolah menengah mencakupi sejarah kuno, pramoden dan moden dalam skop dasar,
politik dan kenegaraan. Ini kerana buta dan jahil sejarah boleh membuatkan ramai yang
mudah menderhaka.
Pihak kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas pandangan dan cadangan yang
dikemukakan dan ingin memperjelaskan pelaksanaan kurikulum sejarah dalam sistem pendidikan
negara.
Untuk makluman tuan, semenjak tahun 1989, Sejarah adalah mata pelajaran teras dalam
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di semua sekolah kerajaan yang wajib dipelajari
oleh semua murid secara berterusan selama lima tahun bermula dari Tingkatan 1 sehingga
Tingkatan 5. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan sejarah negara di samping
pemupukan nilai patriotisme bagi membentuk keperibadian yang tinggi dan menanamkan
semangat cinta kepada negara.
Kurikulum Sejarah KBSM disusun secara bersepadu merangkumi unsur-unsur ilmu (kandungan),
kemahiran (kemahiran Pemikiran Sejarah) dan penerapan nilai patriotisme selari dengan aspirasi
Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan iaitu ke arah membangunkan individu yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
Pihak KPM juga sedang dalam usaha melakukan transformasi kurikulum Sejarah yang akan
dilaksanakan mulai 2014 Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk sekolah rendah dan
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) untuk sekolah menengah mulai 2017. Mata
pelajaran Sejarah diajar sebagai mata pelajaran teras kepada murid sekolah rendah pada Tahap II
di Tahun 4. Ia diperkenalkan di peringkat sekolah rendah dengan hasrat memberikan penekanan
kepada pembangunan sahsiah murid di samping pemupukan nilai-nilai keperibadian mulia dan
semangat kewarganegaraan. Kandungan kurikulum di peringkat sekolah rendah ini mencakupi
sejarah awal negara sehingga kini yang bertujuan menanam minat murid terhadap sejarah dan

SJH3033E-KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH


menyediakan mereka bagi menghadapi cabaran masa depan dengan memahami peristiwa masa
lalu serta menghayati perjuangan tokoh-tokoh penting negara.
Fokus utama kurikulum Sejarah dalam KSSM adalah kepada pengetahuan dan pemahaman
Sejarah Malaysia, Pembinaan Negara Bangsa dan Sejarah Negara Luar. Pengkajian sejarah
bermula dari zaman prasejarah sehingga masa kini yang disusun berdasar rentetan peristiwa
mengikut pendekatan kronologi. Aspek sejarah negara luar dikaji supaya murid mendapat
gambaran besar tentang peristiwa sejarah negara berdasarkan garis masa. Aspek ini dimasukkan
dengan tujuan supaya murid mempunyai perspektif yang lebih luas tentang proses perkembangan
masyarakat dan negara serta melihat secara perbandingan akan sejarah dalam dan luar negara
dan seterusnya memupuk rasa bangga tentang warisan dan kejayaan negara ke arah
pemantapan semangat perpaduan dan patriotism.
Melalui pendidikan Sejarah, diharapkan murid dapat menjadikan elemen sejarah sebagai
pengajaran dan iktibar untuk membina kesedaran kebangsaan dan cintakan negara.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korporat
Sumber: http://www.moe.gov.my/v/surat-kepada-pengarang-view?id=3344&

Anda mungkin juga menyukai