Anda di halaman 1dari 3

Hadiah Hari Guru

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih tuan/puan pengerusi majlis. Yang
dihormati barisan panel hakim, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Pada hari ini saya akan
menyampaikan cerita yang bertajuk Hadiah Hari Guru.
Tengah hari itu ketika balik dari sekolah, Ramli melangkah perlahan menuju ke
rumahnya. Esok akan diadakan sambutan hari guru di sekolahnya. Dia bercadang hendak
memberikan hadiah kepada Cikgu Fatimah iaitu guru kelasnya yang baik hati. Di muka tangga
Ramli terdengar suara ibunya yang terbatuk-batuk. Dia sedar ibunya sangat bekerja keras
menyara mereka sekeluarga setelah kematian ayahnya tiga tahun yang lalu.
Petang itu, Ramli disuruh pergi ke rumah Pak Mustaffa untuk meminta secupak beras.
Ibunya berjanji akan menolong Pak Mustaffa menanam padi di sawah. Ramli akur dengan arahan
ibunya. Walaupun baru berusia 10 tahun namun Ramli memahami penderitaan ibunya. Oleh
sebab itu dia tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada ibunya untuk diberikan kepada Cikgu
Fatimah. Ya kawan-kawan, kita mestilah patuh akan arahan ibu dan bapa dan berbuat baik
kepada mereka seperti Ramli.
Dalam perjalanan ke rumah Pak Mustaffa, Ramli terbayangkan hadiah rakan-rakannya.
Tentu hadiah mereka dibungkus dengan kertas berbunga yang cantik dan mahal harganya. Aku
tidak mampu menyediakan hadiah seperti itu, keluhnya dalam hati.
Kemudian, Ramli memandang persekitaran bukit yang masih diliputi dengan pepohon
yang menghijau. Di situlah dia dan ibunya sering mencari kayu api, umbut-umbut kayu dan
ulam-ulaman. Lantas dia terfikirkan sesuatu. Apakah yang ada dalam fikiran Ramli? Ha! Kalau
kawan-kawan nak tahu, harap bersabar ya. Setelah mendapat beras daripada Pak Mustaffa, Ramli
pun pulang ke rumahnya. Hatinya berbunga riang dan tidak sabar hendak berjumpa Cikgu
Fatimah esok.
Keesokannya selepas menyimpan beg, Ramli menunggu Cikgu Fatimah di tempat letak
kereta. Sebaik sahaja Cikgu Fatimah tiba, Ramli mengucapkan Selamat Hari Guru sambil
menghulurkan sebuah bungkusan. Perasaannya berdebar-debar, adakah Cikgu Fatimah akan
menerima hadiahnya itu? Kemudian, Cikgu Fatimah mengucapkan terima kasih lalu mengatakan
Ramli tidak perlu bersusah payah memberikannya hadiah.
Rakan-rakan Ramli yang melihat mula mengejek dan mengatakan hadiah Ramli tidak
sehebat hadiah mereka. Ish! Ish! Ish! Jahat sungguh mereka ini ya kawan-kawan. Kita hendaklah
menghormati orang lain dan tidak memandang rendah terhadap sesiapa pun. Benar seperti yang
digambarkannya semalam, hadiah mereka dibungkus dengan kertas berbunga yang cantik dan
sudah tentu mahal harganya.

Di bilik guru, Cikgu Fatimah bersama guru-guru yang lain mula membuka hadiah
masing-masing. Ada yang mendapat baju, stoking, kasut, lampu meja dan jam tangan. Tiba-tiba
Cikgu Fatimah teringat akan hadiah Ramli. Dia meletakkannya di atas meja lalu membuka
bungkusan hadiah itu perlahan-lahan. Dia ingin menimbulkan suasana saspens kepada rakanrakannya. Jeng! Jeng! Jeng! Kawan-kawan nak tahu tak?
Apabila bungkusan itu sudah dibuka...Hah! Ulam pucuk janggus? Jerit Cikgu Darus
sambil ketawa berdekah-dekah. Bersama-sama ulam tersebut terdapat sepucuk surat. Cikgu
Fatimah segera membuka surat itu lalu membacanya.
Cikgu,
Tidak ada benda berharga yang dapat saya hadiahkan kepada cikgu selain daripada
daun-daun yang dapat saya cari di kampung saya. Semalam apabila saya meminta hadiah
daripada ibu, beliau menangis.
Kami orang miskin cikgu. Saya tidak dapat memberi hadiah yang berharga untuk cikgu
sedangkan cikgu sangat baik hati kepada saya. Budi dan jasa cikgu tidak dapat saya balas. Ibu
saya hanya dapat mengirimkan salamnya kepada cikgu.
Saya berharap cikgu sudi menerima hadiah yang ikhlas daripada saya walaupun ia tidak
berharga. Itulah sahaja yang dapat saya hadiahkan kepada cikgu. Maafkan saya, cikgu.
Ramli.
Di akhir surat itu, Ramli telah mencipta sebuah lagu untuk Cikgu Fatimah.
Hari pertama masuk sekolah
Tak pandai membaca mengira
Tetapi cikgu begitu tabah
Mengajar kami sungguh-sungguh..
Saya ingat setiap masa
Jasa guru mendidik saya
Sambutlah ini ucapan saya
Terima kasih cikgu...
Sebaik sahaja habis membaca surat tersebut, air mata mengalir di pipi Cikgu Fatimah.
Guru-guru yang lain turut terharu manakala Cikgu Darus meminta maaf atas sikapnya. Hari itu,
Cikgu Fatimah pulang dengan suatu tekad. Mulai esok, dia akan membantu persekolahan Ramli.
Sesungguhnya, ulam pucuk janggus itu merupakan hadiah yang paling luhur berbanding hadiahhadiah lain yang diterimanya pada hari ini.

Kawan-kawan,
Kita mestilah menghormati ibu bapa dan guru-guru kerana mereka banyak berjasa kepada
kita. Kita juga hendaklah baik hati dan tidak mementingkan diri sendiri seperti Pak Mustaffa
yang membantu keluarga Ramli. Kita juga haruslah prihatin terhadap orang lain seperti Cikgu
Fatimah dan guru-guru yang lain yang berazam ingin membantu Ramli.

Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai