Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN REFERI PADANG (LOMPATAN)

SEBELUM

Setelah perlantikan AJK tertinggi diadakan, satu perjumpaan antara ketua-ketua AJK
Teknikal Kejohanan Olahraga telah diadakan pada 11 Februari 2011 di bilik Zaba 6 bagi
membincangkan tentang perlaksanaan manual kerja setiap tugas masing-masing. Manual
kerja ini diadakan dengan tujuan melicinkan lagi proses pelaksanaan tugas masing-masing
dan membantu setiap ketua AJK Teknikal memahami tugas masing-masing dan tahu apa yang
perlu dilakukan langkah demi langkah. Semasa perbincangan tersebut dijalankan, Denison
Danny Jay Lai telah memberi idea dan cadangan bagaimana hendak membina manual kerja
dan idea tersebut telah diterima dan diguna pakai oleh semua AJK Teknikal.
Pada 13 Februari 2011, satu perjumpaan antara semua AJK Teknikal telah diadakan di
kafetaria IPG Kampus Tawau pada jam 8.30 malam. Di sini, saya berpeluang berkolaborasi
bersama setiap AJK Teknikal Lompatan. Saya telah meminta manual kerja dari setiap ketua
hakim lompatan supaya saya boleh mengetahui gerak kerja mereka.
Pada 14 Februari 2011, satu Mesyuarat AJK Teknikal bersama pensyarah telah
diadakan bermula dari jam 2 petang. Ia adalah berkaitan dengan pembentangan setiap tugas
masing-masing iaitu sejauh mana gerak kerja setiap bidang telah dan akan dilaksanakan.
Mesyuarat ini banyak membantu setiap AJK Teknikal tentang apa yang belum dilaksanakan
dan apa yang perlu dilakukan selepas itu. Segala cadangan dari pensyarah dan AJK tertinggi
Kejohanan Olahraga adalah untuk penambah baikan semua AJK Teknikal. Mesyuarat ini
berakhir pada jam 5 petang.
Pada 15 Februari 2011 sehingga 18 Februari 2011, saya dan AJK Teknikal Lompatan
telah berusaha untuk menyediakan ukuran padang setiap bahagian lompatan. Oleh kerana
kawasan pertandingan lompat jauh dan lompat kijang adalah sama, maka proses menyediakan
tapak pertandingan tersebut adalah mudah kerana semua hakim lompat jauh dan lompat
kijang berganding bahu untuk menyiapkan tapak pertandingan tersebut. Bagi acara lompat
tinggi pula, tidak timbul sebarang masalah kerana hakim lompat tinggi hanya mengangkat
peralatan lompat tinggi untuk dibawa ke padang dan kawasan lompatan tersebut dipilih

berdekatan dengan kawasan acara lompat jauh dan lompat kijang. Ini memudahkan lagi saya
untuk membuat pemantauan apabila pertandingan berlangsung.
Sepanjang 21 Februari 2011 sehingga 24 Februari 2011, saya dan semua hakim
lompatan berusaha untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam acara masing-masing
contohnya dari segi bagaimana untuk mengambil ukuran, apa perkara yang boleh batalkan
lompatan peserta dan sebagainya. Segala kelemahan dari segi peralatan setiap acara juga
kami cuba atasi sepanjang minggu ini. Kerjasama dari semua hakim lompatan melicinkan
lagi perjalanan tugas saya.

SEMASA
Pada 25 Februari 2011, Kejohanan Olahraga Peringkat IPG Kampus Tawau 2011 telah
bermula pada jam 2 petang. Pada jam 1.30 petang, saya dan semua hakim lompatan telah
bersedia di astaka IPG Kampus Tawau untuk mendapatkan peralatan di astaka untuk dibawa
ke padang kerana acara lompatan akan bermula tepat jam 2 petang. Saya berpesan kepada
semua ketua hakim untuk berjumpa dengan saya sekiranya terdapat sebarang permasalahan
yang timbul sepanjang acara berlangsung.
Kira-kira jam 2.30 petang, acara lompat jauh lelaki dan lompat tinggi telah bermula.
Sebelum pertandingan bermula, saya meminta semua ketua hakim untuk memberikan
taklimat pertandingan kepada semua peserta yang hadir. Ini adalah bertujuan untuk
memaklumkan semua peserta tentang peraturan-peraturan pertandingan kerana saya
menyedari terdapat beberapa peserta yang mengikuti acara padang ini buat kali pertama.
Kira-kira jam 3.30, acara lompat jauh wanita dan lompat tinggi wanita pula
berlangsung. Acara ini berakhir kira-kira jam 4.30 petang. Setelah itu, acara lompatan yang
terakhir pula bermula iaitu acara lompat kijang. Acara ini didahului dengan peserta lompat
kijang lelaki seterusnya diakhiri dengan acara lompat kijang wanita.
Sepanjang acara lompatan ini berlangsung, terdapat masalah dari segi pengurusan
padang di mana terdapat penonton yang bukan peserta pertandingan menyaksikan acara
lompatan dalam jarak yang dekat dan dikhuatiri mengganggu peserta-peserta lompatan. Saya
telah diarahkan oleh Pengerusi AJK Teknikal iaitu Cornelius R. Assan untuk menegur semua

penonton namun hanya segelintir sahaja yang mendengarnya. Setelah itu, saya meminta
seorang pensyarah iaitu En.Irwan Isdup untuk menegur penonton-penonton tersebut yang
juga merupakan pelatih di IPG Kampus Tawau. Di sini saya menyedari bahawa ketegasan
seseorang referi amatlah penting supaya perjalanan pertandingan dapat diadakan dengan
lancar tanpa ada sebarang masalah.
Selain itu,segala kemusykilan setiap hakim lompatan telah berjaya dijawab oleh En.
Fauzi selaku pensyarah pembimbing Kejohanan Olahraga yang juga tidak henti-henti
memantau semua acara padang pada petang itu. Saya dan semua hakim lompatan amat
bersyukur dengan kehadiran beliau kerana segala persoalan dan permasalahan yang kami
kemukakan kepada beliau dapat melicinkan lagi tugas kami masing-masing.
Acara lompatan tamat pada jam 6 petang. Setelah itu, saya dan semua hakim
lompatan menyimpan semula semua peralatan yang dipinjam dari astaka dan satu perjumpaan
bersama pensyarah dan semua AJK Teknikal dan AJK Peralatan telah diadakan sebentar.
Segala kelemahan dari segi pengurusan telah dibincang bersama dan berharap agar
Kejohanan Olahraga bagi acara balapan pada keesokan harinya iaitu pada 26 Februari 2011
akan berjalan dengan lancar.

SELEPAS
Pada 26 Februari 2011, semua acara balapan telah berjaya dilangsungkan begitu juga
dengan acara perasmian penutupan kira-kira jam 1 petang.
Setelah semua aktiviti berlangsung, satu perjumpaan bersama pensyarah pembimbing
dan semua AJK Teknikal yang terdiri daripada pelatih Semester 5 dan AJK Peralatan yang
terdiri daripada pelatih Semester 1 diadakan di astaka IPG Kampus Tawau. Di sini saya
menyedari bahawa kerjasama itu amat penting dalam menjayakan sesuatu program. Tanpa

kerjasama dan kolaborasi antara ahli kumpulan dan pihak atasan, sudah pasti perjalanan
sesuatu program tidak akan berjalan dengan begitu lancar.
Dengan berakhirnya sesi perjumpaan itu, maka tugas saya sebagai referi padang
bahagian lompatan sudah selesai. Terdapat banyak input baru yang saya dapati sepanjang
menjalankan tugas sebagai referi ini. Semoga semua pengalaman baru dan pengetahuan baru
ini dapat saya gunakan semasa bergelar guru kelak.

Anda mungkin juga menyukai