Anda di halaman 1dari 3

UCAPAN YB TAN SRI CHONG KAH KIAT, MENTERI PELANCONGAN,

KEBUDAYAAN DAN ALAM SEKITAR SEMPENA PELANCARAN KEMPEN


CINTAI SUNGAI PADAS PADA 18 JANUARI 2006 JAM 9.30 PAGI BERTEMPAT
DI NANGKABANGAN, TENOM
(TEKS UCAPAN AKAN DISAMPAIKAN OLEH YB DATUK RADIN MALLEH, ADUN N.35
MELALAP MERANGKAP PEMBANTU MENTERI KEPADA KETUA MENTERI)

Salutations:Salam sejahtera dan Selamat pagi kepada para hadirin sekalian.


Terlebih dahulu saya merakamkan rasa sukacita dan bertuah kerana dapat bersamasama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada hari yang mulia ini sempena dengan
Majlis Pelancaran Kempen Cintai Sungai Padas. Saya juga merakamkan setinggitinggi tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur, khususnya kepada
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selaku penaja utama kempen, ke atas usaha
menganjurkan kempen ini.
Penganjuran kempen Cintai Sungai Padas, iaitu satu program kemasyarakatan yang
bertujuan untuk memulihara dan menjaga kebersihan Sungai Padas, hasil kerjasama
antara SESB dengan Pejabat Daerah Tenom serta jabatan/agensi kerajaan dan
pihak swasta lain di daerah Tenom, amat tepat masanya. Saya juga amat gembira
dan terharu melihat kehadiran saudara-saudari sekalian dalam majlis ini kerana saya
yakin kehadiran saudara-saudari bukan sahaja melambangkan keprihatinan tetapi
melambangkan komitmen kita semua kepada kepentingan pemeliharaan alam
sekitar, khususnya penjagaan kebersihan sungai-sungai di negeri ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Isu alam sekitar, khususnya penjagaan kebersihan dan kualiti air sungai adalah
antara cabaran-cabaran alam sekitar yang perlu dihadapi dan ditangani oleh
generasi masa kini dan akan datang. Pencemaran sungai merupakan satu isu kritikal
yang seringkali diperkatakan dan menjadi masalah bukan sahaja di Sabah tetapi di
seluruh negara dan kawasan serantau.
Kerajaan memang sentiasa berusaha mengambil pelbagai langkah dan tindakan
wajar untuk memastikan keadaan persekitaran, khususnya kebersihan sungai,
terjaga. Namun akibat sifat sesetengah golongan masyarakat yang tidak
bertanggungjawab, kita masih menghadapi pelbagai masalah pencemaran sungai.
Pencemaran bukan sahaja berpunca daripada aktiviti-aktiviti ekonomi seperti
pertanian dan pembalakkan yang tidak mesra alam tetapi pencemaran juga
berpunca daripada aktiviti-aktiviti penduduk-penduduk kampung yang tinggal di
sepanjang sungai yang masih menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan
sampah-sarap. Pencemaran sungai bukan sahaja mengakibatkan ketidak selesaan
tetapi boleh memudaratkan kesihatan, khususnya kepada penduduk-penduduk yang
tinggal disepanjang sungai yang tercemar. Ini disebabkan masih banyak kawasan
perkampungan yang bergantung kepada sungai-sungai bukan sahaja untuk sumber
air tetapi untuk sumber makanan dan pendapatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Untuk menangani masalah pencemaran sungai ini, pendekatan bersepadu serta
penglibatan semua pihak dalam mengadakan program-program pemuliharaan
sungai dan alam sekitar adalah dialu-alukan dan diperlukan. Justeru itu, usaha
SESB, sebagai sebuah badan korporat dalam pemuliharaan sungai di negeri ini amat
dihargai.
Kempen Cintai Sungai Padas adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam
meningkatkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat umum tentang pentingnya
memelihara kebersihan dan kualiti air sungai. Kempen ini yang bertemakan
Sungaiku Terangi Hidup ku juga amat bertepatan dan dialu-alukan kerana sungai
Padas merupakan salah satu sungai yang amat penting kepada negeri Sabah dan
rakyatnya, khususnya sumbangan sungai ini dalam pembangunan sosio ekonomi
negeri Sabah.
Saya difahamkan seramai 46,833 orang penduduk dari lapan (8) buah mukim
menggunakan sungai ini sebagai sumber air dan tempat mencari rezeki. Sungai
Padas juga bukan sahaja habitat kepada pelbagai spesis ikan air tawar yang menjadi
makanan dan sumber pendapatan penduduk kampung di sepanjang sungai ini tetapi
sungai Padas juga merupakan sumber air kepada kawasan ini. Selain daripada itu,
sungai Padas juga bukan sahaja merupakan sumber bekalan tenaga letrik hidro
untuk beberapa daerah di Sabah tetapi ia juga merupakan destinasi pelancongan
yang amat popular khususnya dikalangan pelancong yang mengemari aktiviti lasak
seperti white water rafting
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Tanggungjawab untuk memastikan kebersihan dan kualiti air sungai-sungai di negeri
ini adalah tanggungjawab kita bersama. Justeru itu, saya berharap keprihatinan dan
usaha SESB dalam menaja program Kempen Cintai Sungai Padas akan dicontohi
oleh golongan korporat yang lain agar pemeliharaan alam sekitar, khususnya
penjagaan dan pemuliharaan kualiti sungai, dapat dilaksanakan secara berterusan.
Usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan perlindungan dan
pemuliharaan alam sekitar memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua
pihak agar ianya dapat dilaksanakan secara berterusan demi kepentingan dan
kesejahteraan hidup generasi masa kini dan akan datang.
Saya yakin banyak isu-isu alam sekitar akan dapat ditangani dengan berkesan
melalui pendekatan mewujudkan serta meningkatkan kesedaran alam sekitar di
kalangan masyarakat setempat. Pendekatan ini bukan sahaja dapat menyedarkan
orang ramai tentang kepentingan penjagaan dan perlindungan alam sekitar tetapi
juga dapat mengurangkan ataupun mengelakkan perbelanjaan kerajaan untuk
pemulihan kerosakan atau pencemaran ke atas alam sekitar kita. Untuk memastikan
usaha-usaha tersebut berkesan dalam jangka masa panjang, program kesedaran ini
perlu diadakan secara berterusan serta melibatkan masyarakat setempat. Selain
daripada itu, perkongsian bijak dengan pihak swasta serta pertubuhan bukan
kerajaan (NGOs) juga boleh membantu kita dalam menangani isu-isu alam sekitar.
Ini kerana banyak perkara yang sukar dilaksanakan oleh pihak kerajaan boleh
dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta dan NGOs memandangankan mereka
ini berkemampuan dari segi tenaga dan kewangan.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ahli-ahli
Jawatankuasa Penganjur serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak
langsung, atas usaha menganjurkan kempen ini. Saya berharap kempen ini akan
dijadikan sebagai landasan bukan sahaja untuk menyedarkan masyarakat setempat
akan pentingnya penjagaan kebersihan dan kualiti air sungai tetapi ia juga akan
dapat memantapkan lagi pengurusan alam sekitar di Sabah amnya dan di daerah
Tenom khasnya.
Dengan kata-kata demikian, saya dengan segala sukacitanya melancarkan Kempen
Cintai Sungai Padas. Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai