Anda di halaman 1dari 5

Gambaran Yang Lebih Jelas Tentang Jenis-Jenis Anuiti

Apabila anda berbicara dengan seseorang tentang pelan persaraan atau anuiti,
anda tentu sekali akan menyangka bahawa dia tahu apakah itu pelan persaraan
atau anuiti. Tetapi jika anda meminta supaya dia memberi definisi pelan tersebut,
jawapan yang diberikan selalunya tidak jelas dan tidak tepat.
Ini menunjukkan bahawa lazimnya orang ramai tidak mempunyai gambaran tentang
apakah itu pelan persaraan atau anuiti. Yang mereka pasti bahawa pelan tersebut
adalah bagi mereka yang telah bersara.
Dan ramai juga tertanya mengapakah pelan persaraan atau anuiti dikaitkan dengan
syarikat insurans. Sama ada betul atau salah, ramai beranggappan bahawa pelan
tersebut adalah di antara salah satu produk insurans yang dijual oleh agen insurans
hayat.
Nyata sekali orang ramai perlu dididik tentang apa yang dimaksudkan dengan pelan
persaraan atau anuiti, tentang kebaikannya dan yang lebih penting mengapa mereka
harus membeli pelan tersebut.
Adalah tidak menghairankan bahawa statistik daripada Bank Negara Malaysia
menunjukkan pasaran anuiti terlalu kecil sehingga akhir tahun 1990-an.
Apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan skim anuiti untuk
pencarum-pencarumnya, pasaran anuiti tiba-tiba melambung berdasarkan pada
jumlah RM2.22 bilion yang dikeluarkan pada suku tahunan pertama bagi skim anuiti
konvensional dan skim anuiti Takaful.
Apakah itu pelan persaraan atau anuiti?
Berdasarkan pada definisi industri insurans hayat, kontrak anuiti adalah
bertentangan dengan polisi insurans hayat biasa.
Bagi suatu insurans polisi biasa, orang diinsuranskan akan membayar premium

tetap (secara bulanan, suku tahunan atau tahunan) bagi tempoh suatu polisi (sama
ada bagi suatu tempoh yang telah ditetapkan atau sehingga orang diinsuranskan
meninggal dunia).
Syarikat insurans pula akan membayar amaun yang diinsuranskan (bersama
dengan bonus dan/atau dividen) apabila polisi tersebut matang atau apabila orang
diinsuranskan meninggal dunia.
Tetapi bagi pelan anuiti, anuitan (penerima anuiti - dalam kes ini, ia merujuk kepada
pesara) membuat satu bayaran tunggal pada permulaan kontrak, yang dikenali
sebagai wang belian.
Sebagai balasan, pihak penginsurans akan membuat bayaran berkala daripada
tarikh yang ditetapkan sehingga orang yang diinsuranskan meninggal dunia.
Dalam perspektif lebih luas, setiap bayaran, lazimnya dibuat secara bulanan
(terdapat juga kes-kes di mana bayaran dibuat secara tahunan atau suku tahunan),
merupakan pemulangan sebahagian premium dan faedahnya. Lebih lama si anuitan
hidup, lebih banyak bayaran yang akan diterima.
Biasanya, jumlah anuiti yang dibayar kepada wanita adalah kurang daripada jumlah
yang dibayar kepada lelaki kerana wanita mempunyai jangka hayat yang lebih
panjang daripada lelaki.
Ada sesetengah pihak melihat keseluruhan isu pelan anuiti dari sudut pandangan
mudah iaitu anda menyerahkan sejumlah wang bagi jumlah anuiti yang dibeli dan
membiarkan syarikat insurans menguruskan wang tersebut supaya anda menerima
pendapatan secara berkala sehingga anda meninggal dunia atau sehingga suatu
tempoh yang ditetapkan.
Bagi yang tidak menyukai skim anuiti, mereka akan berkata bahawa mereka sendiri
boleh menguruskan jumlah wang tersebut. Kenapa mesti membiarkan syarikat
insurans hayat menguruskannya pula?

Pendapat ini mempunyai pro dan kontranya. Tetapi apa yang lebih penting adalah
risiko menguruskan wang tersebut akan ditanggung oleh syarikat insurans.
Sebaliknya, jika pesara memilih untuk melaburkan simpanan persaraannya sendiri,
dia akan memikul sendiri risiko tersebut.
Objektif yang paling penting bagi mana-mana skim anuiti adalah untuk memberi
jaminan kewangan kepada seseorang selepas dia bersara.
Satu kajian KWSP mendapati bahawa kebanyakan pencarum yang mengeluarkan
kesemua simpanan mereka apabila mencapai umur 55 tahun telah menghabiskan
wang tersebut dalam tempoh yang singkat.
Terdapat beberapa jenis pelan anuiti yang boleh dipilih:
a) Anuiti Akhiran Hayat Tunggal
Si anuitan membuat satu bayaran tunggal sebagai wang belian dan sebagai
balasan, dia akan menerima anuiti selagi dia masih hidup.
Kenapakah ia dinamakan akhiran? Wang belian adalah bayaran serta-merta dan
bayaran ansuran pertama anuiti juga bermula dengan serta-merta.
b) Anuiti Akhiran Terjamin
Bayaran anuiti akan dibuat untuk tempoh yang ditetapkan dan akan diteruskan
selagi si anuitan masih hidup.
Jika si anuitan meninggal dunia dalam tempoh yang ditetapkan, bayaran anuiti akan
diteruskan kepada warisnya sehingga akhir tempoh yang dijaminkan.
c) Anuiti Tertunda
Bayaran anuiti tidak bermula dengan serta-merta tetapi pada akhir tempoh yang
ditetapkan iaitu tempoh tertunda. Selepas tempoh ini, bayaran anuiti akan dibayar

kepada anuitan sepanjang hayatnya.


Wang belian dibayar oleh premium semasa tempoh tertunda atau secara bayaran
tunggal pada permulaan kontrak.
Jika anuitan mati semasa tempoh tertunda, bayaran anuiti kepada warisnya akan
dimulakan serta-merta. Jika anuitan ingin membatalkan skim ini semasa tempoh
tertunda, nilai serahan juga dibenarkan.
d) Anuiti Hayat Bersama
Anuiti ini adalah bagi dua individu atau lebih. Bayaran anuiti akan dihentikan jika
salah seorang anuitan meninggal dunia.
e) Anuiti Pemandiri Terakhir
Anuiti jenis ini hampir serupa dengan Anuiti Hayat Bersama iaitu bagi dua individu
atau lebih. Yang berbeza cuma anuiti dibayar sehingga anuitan yang terakhir
meninggal dunia.
f) Anuiti Berbalik
Bayaran anuiti bermula dengan kematian seseorang individu dan berterusan selagi
anuitan masih hidup. Sebagai contoh, anuiti dibayar kepada si isteri sepanjang
hayatnya sebaik sahaja suaminya meninggal dunia.
Tidak ada sebarang bayaran dibuat sepanjang hayat si suami atau jika si isteri mati
sebelum suaminya. Dalam kes ini, wang akan diwarisi oleh pewaris kedua lazimnya
adalah anak-anak mereka.
g) Anuiti Pasti
Ini bukan suatu anuiti hayat kerana ia tidak bergantung pada hidup atau matinya
seseorang individu. Ia boleh berbentuk jenis akhiran atau tertunda.

Bayaran anuiti adalah bagi suatu tempoh yang ditetapkan tanpa mengira sama ada
si anuitan masih hidup atau sudah meninggal dunia. Nilai serahan juga dibenarkan
pada bila-bila masa sebelum bayaran anuiti yang terakhir.
Rencana ini diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia
(LIAM)

http://www.liam.org.my/index.php/library/consumer-educationseries/bahasa-melayu/371-memahami-pelan-persaraan-atau-anuitiutusan-malaysia

Anda mungkin juga menyukai