Anda di halaman 1dari 2

Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras

ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang
terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku
di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat
merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan,
masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap
tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam.
Banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika
tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang.
Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar
tunjang kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya
mementingkan profesion dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari pendapatan
sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini menyebabkan ,seseorang
anak itu kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Anak
juga sebenarnya tidak mengetahui perkara yang dilakukan oleh mereka itu betul ataupun salah,
baik atau buruk, akibat daripada tiada bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak
dalam gejala buli. Tambahan pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada
ibu bapa juga melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak berperikemanusiaan sehingga
mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap orang lain tanpa mempunyai
rasa belas kasihan.

Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga
mendorong berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil
peduli tentang hal ehwal peajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi peluang keemasan
kepada para pelajar untuk mengambil kesempatan melakukan gejala sosial seperti gejala buli.
Kelonggaran kawalan disiplin juga menyebabkan pelajar terutamanya pelajar lelaki menunjukkan
keberanian mereka dan mengambil peluang untuk melakukan apa-apa saja perkara secara bebas
tanpa rasa takut.
Kekurangan penghayatan nilai nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja
terlibat dalam gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini disebabkan,seseorang pelajar yang
mempunyai nilai moral dan agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri
dalam gejala yang negatif. Tambahan pula,kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga
membentuk remaja yang kurang berakhlak dan tidak mempunyai tahap kesedaran yang tinggi
betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam kehidupan.
Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat banyak langkah yang
efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa perlu memainkan
peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah
menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan
ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan atau tindak tanduk ibu bapa
sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja,

sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa
borek, anak rintik, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan
senget. Tambahan lagi, di samping mengejar kesenangan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu
bapa juga seharus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah
dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak
berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk peribadi anak mereka sejak kecil lagi
seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha
untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli yang berlaku atau menjadi
mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk membuat laporan kepada pihak sekolah dengan
segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan semua.
Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha
mengatasi masalah itu dengan bersungguh- sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes
itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin
bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat
dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar
tersebut dan mencari jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai
iktibar kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga perlu diketatkan dan
ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika peraturan sekolah dan tidak
membuat kesalahan seperti penglibatan dalam gejala buli.
Seterusnya, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung gejala
ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes buli ini.
Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui pendidikan
ini,para pelajar mulai sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang negatif itu. Kerajaan
juga perlu bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran dan
ceramah kesedaran tentang gejala buli. Melalui cara ini, remaja dapat mempelajari kesan
sampingan yang diperoleh daripada melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak
melakukan perbuatan ini terhadap orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di
pekan Marang telah mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat
dikurangkan di sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan
satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja.
Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan
Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan
akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara. Oleh hal itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam
usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh
dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda
yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Anda mungkin juga menyukai