Anda di halaman 1dari 2

Sekolah Kebangsaan Dato Idris,

71500 Tanjong Ipoh, Negeri Sembilan.


__________________________________________________________________________________
Teks Pertandingan Bercerita Tahap 1
Tajuk : Berlaga Dengan Bayang Sendiri
Terima kasih tuan pengerusi majlis. Barisan panel hakim yang arif lagi
bijaksana, penjaga masa yang setia, guru-guru serta hadirin yang saya hormati
sekalian. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan
salam satu Malaysia.
Kawan-kawan hendak mendengar cerita? Kalau kawan-kawan hendak
mendengar cerita, tepuklah dahulu. Ha, begitulah. Ya kawan-kawan, tajuk cerita
saya pada hari ini ialah Berlaga dengan bayang sendiri.
Si Jalak seekor ayam jantan yang gagah. Si Jalak memiliki taji yang tajam
dan tenaga yang amat kuat. Namun begitu, Si Jalak mempunyai sifat buruk.
Semua ayam di situ tidak menyukainya. Ayam-ayam lain berasa amat takut
kepada Si Jalak. Apabila melihat Si Jalak, semua ayam di situ akan melarikan diri
dan bersembunyi. Si Jalak semakin angkuh apabila ayam-ayam lain takut
kepadanya.
Kawan-kawan yang dihormati,
Biring seekor ayam jantan yang tinggal di kampung lain. Ia juga
mempunyai taji yang sama dengan Si Jalak. Biring tidak bersikap sombong
kepada ayam-ayam lain. Ia juga tidak suka melihat sifat angkuh Si Jalak itu.
Pada suatu hari, Biring cuba menasihati Si Jalak. Ia tidak mahu Si Jalak bersikap
angkuh kepada haiwan-haiwan lain. Kamu sepatutnya bersyukur kerana tajimu
tajam, bukannya membangga diri.
Si Jalak tidak peduli akan nasihat Biring. Lagipun ada ayam yang lebih
gagah daripadamu, kata Biring lagi. Biring berharap nasihatnya diterima oleh Si
Jalak. Dengan ini, dapat mengubah sikap Si Jalak yang sombong itu. Namun
begitu, Si Jalak berasa sangat marah mendengar nasihat Biring. Ia bertempik
kepada Biring dan bertanya ayam mana yang berani berlawan dengannya. Si
Jalak tidak percaya ada ayam lain yang lebih gagah daripadanya. Ia mahu
berlawan dengan ayam itu.
Ayam itu sudah berada di hadapanmu, kata Biring yang bijak bestari.
Aku dapat kalahkanmu dengan mudah. Biring mahu menguji Si Jalak. Si Jalak
berasa terkejut mendengarnya. Ia tidak menyangka Biring mahu berlawan
dengannya.

Biring mengajak Si Jalak berlaga di kampungnya. Ia menyindir-nyindir Si


Jalak dan mengatakan bahawa Si Jalak pasti malu jika kalah di kampung sendiri.
Si Jalak berasa marah dengan sindiran Biring. Ia mahu menang dalam
perlawanan nanti. Si Jalak pun bersetuju.
Pada keesokan hari, Si Jalak pun pergi ke kampung Biring. Si Jalak berazam
akan mengalahkan Biring. Akhirnya, Si Jalak pun sampai ke kampung Biring. Ia
tidak sabar untuk berlawan dengan Biring.
Kawan-kawan hendak tahu, apa yang terjadi seterusnya?
Ha, Si Jalak masuk ke dalam reban Biring. Ia terkejut melihat seekor ayam
laga yang gagah berdiri di hadapannya. Badan dan muka ayam laga itu juga
sama dengannya. Si Jalak tidak mengetahui ayam laga itu adalah bayangnya
sendiri. Tanpa membuang masa, Si Jalak pun menerkam ayam laga dan ayam
laga juga menerkam balas. Si Jalak berundur, ayam laga berundur juga.
Si Jalak berasa hairan kerana ayam laga mengikut apa yang dilakukannya.
Si Jalak membuka kepak, ayam laga berbuat begitu juga. Ia berasa dirinya
dipermain-mainkan. Badan Si Jalak juga mula berasa letih. Ia tidak lagi mampu
untuk berlawan dengan ayam laga. Namun begitu, ia tidak berputus asa untuk
berlawan.
Keadaan begitu berlaku agak lama. Akhirnya Si Jalak rebah kerana letih. Ia
melihat ayam laga turut rebah juga. Si Jalak mulai sedar. Biring telah menipunya.
Rupa-rupanya aku berlawan dengan bayangku sendiri, kata Si Jalak dengan
marah.
Akhirnya, Biring muncul. Kamu berlaga dengan bayang sendiri. Tiada
gunanya gagah jika bodoh, kata Biring sambil tertawa. Si Jalak berasa malu
dengan sikapnya itu. Ia berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Begitulah kawan-kawan, kisah Si Jalak yang berlaga dengan bayangnya
sendiri. Janganlah kita menjadi seperti Si Jalak yang bersifat angkuh dan
sombong dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Marilah kita menjadi seperti
Biring yang menasihati Si Jalak. Moral yang kita perolehi daripada cerita ini ialah
tidak ada gunanya jika kita bertubuh sihat tetapi tidak mahu menggunakan akal
fikiran.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai