Anda di halaman 1dari 2

TEMA ; CARA-CARA MENGGALAKKAN PELAJAR MENYERTAI

KEGIATAN KOKURIKULUM
Isu tentang penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang semakin kurang
memberangsangkan menjadi buah mulut banyak pihak. Mengapakah masalah sebegini boleh
berlaku ? Jikalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Lazimnya, semua pihak sedar
bahawa masalah ini jika dibiarkan berterusan sememangnya akan menjadi sesuatu perkara
serius yang melibatkan masa depan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa langkah yang
proaktif, iaitu cegah sebelum parah perlu diambil untuk menggalakkan para pelajar menyertai
kegiatan kokurikulum kerana setiap penyakit pasti ada ubatnya.
Satu daripada tindakan yang perlu dilaksanakan ialah pihak sekolah perlulah menjalankan
pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari masa ke masa. Tindakan ini perlu dilakukan
kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga
sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka.
Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang
ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat
bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh
bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah
memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar benar mendatangkan manfaat
kepada mereka.
Di samping itu, pihak kerajaan haruslah menekankan kepentingan penyertaan kegiatan
kokurikulum dalam kalangan pelajar melalui pengenalan sistem pendidikan baharu. Dalam
hal ini, sistem pendidikan yang tidak hanya mementingkan akademik perlulah diperkenalkan
supaya semua murid ada hati untuk menyertainya. Melalui cara ini, mereka akan memberikan
tumpuan yang seimbang dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Sebagai contohnya,
penglibatan seseorang pelajar dalam bidang kokurikulum perlulah diambil kira semasa
seseorang iu memohon untuk kemasukan ke universiti. Tindakan ini secara langsung akan
menyebabkan para pelajar menitikberatkan kegiatan kokurikulum.
Selain itu, pihak sekolah seharusnya menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang
baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini,
pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti
kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau
persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak
pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak
sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang
teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk
bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut kerana tak kenal maka tak cinta.
Tanggungjawab menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum bukanlah hanya
terletak pada bahu pihak kerajaan serta sekolah sahaja. Pihak swasta, turut boleh meringankan
beban pihak kerajaan dengan memberikan sumbangan untuk membaiki dan menaik taraf
kemudahan yang diperlukan oleh kelab dan persatuan di sekolah kerana ada padi semua jadi
ada beras semua kerja deras. Hal ini bertujuan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan
untuk dinikmati oleh para pelajar yang menyertai kegiatan kokurikulum. Sebagai contohnya,
pihak sekolah bolehlah membina gelanggang tenis yang baru untuk ahli kelab tenis yang
semakin bertambah dengan menyumbangkan derma. Sokongan padu daripada pihak swasta

ini sememangnya akan menarik minat para pelajar untuk menyertai kegiatan kokurikulum .
Kesimpulannya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa semua pihak memainkan peranan
yang penting untuk mengatasi masalah penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikum. Semua
pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam usaha untuk menggalakkan
penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Dengan kerjasama yang terjalin, impian untuk
melahirkan modal insan yang mampu menerajui pucuk pimpinan negara dengan berkesan
dapat direalisasikan. Dengan itu, barulah hala tuju dan masa depan negara kita akan menjadi
lebih terjamin.

Anda mungkin juga menyukai