Anda di halaman 1dari 5

Sebaik sahaja Suzuki Swift yang dipandu Marissa memasuki Jalan Tun Razak gadis itu tiba-tiba

bersuara.

“Emm..Mira, aku ingat nak ke bank sekejaplah. Cash dah kering ni.”

“Okay, aku ikut aje. Bukan aku yang bawa kereta kan? Lagipun aku ingat aku pun nak kena buat
withdraw ni. Cash aku pun dah kering. Susu dengan lampin Suha pun dah nak habis. Upah Kak Piah pun
dah nak kena bayar ni. Dah cukup bulan. Kang Kak Piah tak nak jaga anak aku pula,” Balas Amirah
dalam nada bergurau.

“Ish..ada pula Kak Piah nak buat macam tu. Husband dia tu banyak duit Mira. Sebab tu dia tak
bekerja. Tak adanya dia nak berkira kalau kau lambat bayar,” bebel Marissa. “Since kau pun nak buat
withdraw kita masuk parking jelah.”

“Yelah. Kau nak pergi bank mana ni?”

“Tu bank depan tu. Bank Islam. Alang-alang dah jumpa bank ni baik berhenti terus. Takkan nak
berkira kalau kena tolak RM1 kot,” sindir Marissa. Aku mencebikkan bibir.

“Aku bukan kedekut macam kau, Rissa.”

“Eh, aku pula yang kena! Jomlah,” ajak Marissa apabila kereta sudah elok terpakir. Di hadapan kami
kini tersergam indah premis Bank Islam (M) Berhad cawangan Taman Melawati. Tiba-tiba aku terpaku
disitu. Bank Islam??

“Sayang, Nah!”

“Apa ni bang?” Aku menyambut huluran suamiku, Hakim. “Kad ATM?”

Hakim menganggukkan kepala. Pinggangku dicapai lalu dipeluk dari arah belakang.
Perutku yang masih belum menunjukkan perubahan diusap manja. Disitu tersimpannya buah
cinta kami.

“Abang dah bukakan akaun Bank Islam untuk Mira. Setiap bulan abang akan masukkan duit
dalam akaun tu. Duit tu untuk perbelanjaan Mira dan anak kita nanti.”

“Tapi abang kan memang selalu bagi duit dekat Mira? Kenapa nak buka akaun lagi?”
Soalku. Hampir setiap minggu Hakim akan memberikan wang belanja untukku. Barangan dapur
juga akan disediakan olehnya. Jadi apa perlunya simpanan itu lagi. Wang yang Hakim berikan
padaku itu sudah lebih daripada cukup.

“Itu duit untuk perbelanjaan rumah sayang. Duit dalam akaun ni untuk perbelanjaan
sayang dan anak kita. Manalah tahu kalau sayang nak beli baju ke apa ke sayang boleh pakai
duit ni.”

“Tapi...”
“Dah tak ada tapi-tapi lagi. Mira ambil saja. No PIN ada abang tulis dalam buku akaun tu.”

“Thanks..abang.”

“Eh, Mira!” Terkejut Amirah apabila bahunya ditolak oleh Marissa. Kelihatan gadis itu sedang
memandangnya dengan riak tidak puas hati. “Sempat lagi kau berkhayal dekat sini. Cepatlah kata nak
keluarkan duit. Kang terlambat pula kita nak balik office. Waktu lunch dah nak habis ni.”

“Yelah, jom!”

Malam itu selepas menidurkan Nasuha, Amirah termenung di ruang tamu. Bermacam-macam perkara
yang difikirkannya. Persoalan yang menyesakkan kepalanya saat itu. Sungguh dia tidak menyangka
setelah 6 bulan berlalu ternyata Hakim masih tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai seorang
suami. Nafkah untuk isteri dan anaknya tetap diberikan. Terkejut dia apabila melihat buku akaun Bank
Islamnya yang tercatat wang masuk setiap bulan. Dia yakin itu adalah pemberian suaminya kerana tiada
siapa pun yang mengetahui nombor akaunnya kecuali Hakim. Suaminya itu yang membukakan akaun
tersebut untuknya.

Kalaulah mereka tidak singgah di bank itu tadi, sudah tentu dia tidak akan ingat yang dia mempunyai
akaun di Bank Islam dengan jumlah simpanan yang begitu banyak. Semua itu disebabkan sikapnya yang
tidak pernah mahu menyentuh wang itu. Bukan kerana tidak menghargai pemberian suami, tetapi pada
fikiranya lebih baik wang itu disimpan untuk kegunaan masa depan.

Hujung minggu itu Amirah dan Marissa membawa Nasuha bersiar-siar di taman. Usia anaknya itu
sudah hampir dua tahun. Kasihan Nasuha, dalam usia semuda ini dia telah kehilangan kasih sayang
seorang ayah. Berdosakah dia kerana telah memisahkan jalinan kasih sayang mereka berdua? Tapi
mungkinkah Hakim masih lagi mengingati puterinya ini?

Ahh, mungkin juga dia sudah melupakan anak ini! Maklumlah, Hakim sudah punya sebuah keluarga
lain. Mungkin juga Sofiana telah melahirkan kerana madunya itu sudah berbadan dua semasa Amirah
meninggalkan suaminya itu. Berapa usia kandungan Sofiana tidak pula dia ketahui. Mungkin isteri kedua
suaminya itu bunting pelamin.

Tapi kalau benar suaminya itu telah melupakan mereka berdua, kenapa setiap bulan Hakim tidak lupa
untuk memberi nafkah? Ahh, kusut fikirannya benar fikirannya...

“Apa yang kau fikirkan Mira?”

Amirah mengesot sedikit memberikan ruang buat Marissa melabuhkan punggungnya.

“Tak ada apa-apalah Rissa.” Pantas Amirah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tipulah. Aku tahu kau tengah fikirkan sesuatu kan? Mesti ada kena-mengena dengan Hakim kan?”
Perlakuan Amirah yang menunduk secara tidak langsung memberikan jawapan kepada Marissa.
Dalam diam dia juga bersimpati dengan nasib yang menimpa temannya itu. Dalam usia yang baru
mencecah 27 tahun dia sudah diuji dengan dugaan yang begitu hebat. Bagaimana kalau dia yang diuji
sebegitu? Ahh, tidak sanggup dia hendak memikirkannya. Hidup bermadu terlalu pahit untuk dilalui oleh
orang lemah sepertinya.

“Rissa kalau kau ditempat aku, apa yang kau akan lakukan?”

Amirah tiba-tiba bersuara. Temannya itu hanya tersenyum. Kemudiannya dia membuang pandang ke
arah Nasuha yang sedang bermain seorang diri di atas tikar berhampiran mereka.

“Kau dengan aku berbeza Mira. Kau wanita yang tabah. Sedangkan aku mungkin tak sekuat kau.
Kalau aku ditempat kau sudah pasti aku akan meminta perpisahan daripada suami aku. Terus terang aku
katakan aku tak sanggup hidup bermadu.”

Sedikit sebanyak apa yang dikatakan Marissa berbekas di hatinya. Perpisahan? Mampukah aku
menghadapi perpisahan? Entah mengapa terasa berat kenyataan itu mahu diterima sekiranya ia benar-
benar berlaku. Tapi kenapa? Bukankah itu yang dia mahukan dulu? Keadaan mereka yang sudah berpisah
selama 6 bulan ini sudah seperti penceraian tidak rasmi baginya. Tidak sebumbung dan langsung tidak
berjumpa. Cuma nafkah dari Hakim yang masih mengikat mereka berdua.

“Jadi apa yang aku patut aku lakukan Rissa?” Amirah meminta pendapat.

“Kau masih sayangkan dia?”

Amirah terdiam. Agak sukar baginya hendak menjawab soalan yang diutarakan. Saat itu dia sendiri
tidak tahu apakah perasaannya terhadap Hakim. Yang dia tahu dia begitu kecewa dengan layanan
suaminya itu setelah punya Sofiana. Dia juga rindukan kenangan mereka berdua sebelum kemunculan
wanita itu. Saat di mana dia begitu bahagia disayangi oleh seorang lelaki bernama suami. Namun, apabila
terbayangkan wajah Sofiana, rasa rindu itu hilang serta-merta. Yang ada hanyalah perasaan benci dan
marah yang begitu mencengkam jiwa.

“Entahlah Rissa. Aku pun tak tahu.”

“Mira, aku tak nak kasi kau pendapat apa-apa. Aku tak nak nanti kau menyesal pula menuruti kata-
kata aku. Segala keputusan yang kau buat mestilah datang dari hati kau. Cuma, aku nak kau tahu, walau
apa pun keputusan kau, aku akan sentiasa menyokong kau.”

Amirah menngangguk-anggukan kepala tanda mengerti. Kemudian dia bangun mengambil Nasuha
yang masih leka dengan mainannya. Pipi tembam anak itu dikucup lembut.

‘Hanya sayanglah permata hati ibu. Jangan tinggalkan ibu seperti ayahmu telah meninggalkan kita
kerana perempuan lain,’ bisik Amirah dalam hati. Mata galaknya bergenang air. Hatinya mudah saja
dirusuh hiba bila terpandangkan wajah anak itu yang mirip benar dengan ayahnya.

“Sudahlah Mira, jangan sedih-sedih lagi. Banyakkan bersabar,” pujuk Marissa sambil mengusap
belakang tubuh temannya itu. “Emm..lepas ni jadi tak nak pergi shopping?” Marissa cuba mengalihkan
topik yang dia kira bisa membuatkan wanita itu melupakan kesedihannya.
“Mestilah jadi. Dah lama tak shopping ni,” ujar Amirah ceria. Seperti yang dijangkakan Marissa.
Semenjak perpisahannya dengan Hakim, dia sudah menjadi wanita yang sedikit boros dan cerewet
tentang pakaian dan perhiasan diri. Semua itu gara-gara Marissa yang beriya-iya memintanya mengubah
penampilan diri. Katanya Amirah cantik dan masih muda. Cuma kecantikannya itu ditutupi dengan
pakaiannya yang agak advance dari usianya. Marissa juga pernah berkata...

“Aku pernah menonton rancangan Apa Apa Aje yang dekat TV3 tu. Sheila Rusly kata kalau kita
kecewa, cara untuk mengubati kelukaan adalah dengan mengubah penampilan kita.”

Bila difikirkan mungkin ada juga benarnya. Pakaian yang menutupi tubuhnya selama ini hanyalah
baju kurung. Dan wajahnya pula hanya disapukan bedak asas tanpa alat-alat solek. Malah, selepas
kelahiran Nasuha penampilan dirinya dihadapan Hakim semakin terabai. Baginya itu semua tidak perlu
kerana Hakim begitu menyayangi dirinya. Mungkin inilah salah satu punca mengapa Hakim berkahwin
lain. Jika dibandingkan dirinya dengan Sofiana memang banyak perbezaannya. Sofiana adalah seorang
gadis yang begitu bergaya semasa di universiti dahulu. Apa sahaja fesyen terbaru akan digayakan
walaupun sesekali Amirah akui fesyen yang dipilih Sofiana agak tidak sesuai dengan imej seorang
muslimah.

Tapi kini Nur Amirah sudah berubah. Penampilannya sudah tidak seperti dahulu lagi. Pakaiannya
tampak lebih kasual sesuai dengan gelaran wanita bekerjaya yang disandangnya. Dia juga sudah pandai
bersolek sekarang. Wajahnya tidak lagi pucat seperti dahulu. Kata Marissa, dengan gaya sebegitu Amirah
kelihatan seperti anak dara. Ternyata dia begitu jelita. Benar atau tidak dia sediri tidak tahu kerana apa
yang lebih penting dia patut mensyukuri apa saja yang dia punya. Apa-apa pun dia begitu berterima kasih
kepada temannya itu kerana membuka matanya.

“Alamak!”

Tangannya yang lincah memilih pakaian terhenti apabila terdengar suara Marissa mengeluh. Cepat
dia mengambil Nasuha yang berada dalam dukungan temannya itu.

“Sorry Rissa, kesian kau. Habis baju kena aiskrim. Suha memang nakallah. Tengok apa yang Suha
buat dekat auntie Rissa”, marah Amirah kepada anaknya. Namun, anaknya itu langsung tidak memahami
apa-apa. Dia hanya leka dnegan aiskrimnya. Amirah membantu Marissa menanggalkan kotoran yang
melekat di baju gadis itu. Namun ia tidak mengurangkan kesan kotoran itu.

“Tak apalah Mira. Aku pergi toilet kejap. Meh sini Suha. Baju dia pun kotor sangat tu.”

Tanpa banyak soal Amirah memberikan Nasuha kepada Marissa.

“Kau tu cepat sikit. Lambat betul memilih. Aku pun kalah dengan kau bab-bab shopping ni,” bebel
Marissa. Amirah hanya tersengih sambil memandang Marissa membawa anaknya ke tandas. Bila tubuh
mereka berdua sudah menghilang, dia kembali menoleh untuk menyambung niatnya memilih pakaian
yang tergendala sebentar tadi. Namun tiba-tiba....

“Aaargghh.....saya minta maaf encik,” Amirah pantas memungut kembali barang-barang yang telah
jatuh akibat perlanggaran yang tidak disengajakannya itu. Lelaki yang dilanggarnya itu turut membantu.
Banyak benar barang-barang. Shopping sakan ni. Semuanya barang-barang perempuan. Mesti kepunyaan
wanita yang berada di sebelahnya.

“Tak apa, saya pun salah juga,” ujar lelaki itu, sopan. Namun Amirah menyedari akan kelainan suara
itu. Suara itu seakan pernah didengarnya sebelum ini. Dan ia seperti kepunyaan orang yang begitu
dirinduinya. Ahh..tak mungkinlah! Sangkaannya sahaja barangkali. Setelah selesai, Amirah lantas bangun
untuk menyerahkannya barang-barang itu kepada lelaki yang sudah pun bangun mendahuluinya. Namun
saat mata bertentang mata Amirah terasa tubuhnya kaku. Begitu juga dengan pasangan itu. Kedua-duanya
memandang Amirah dengan pandangan tidak percaya dan keliru.

“Amirah..” seru lelaki itu perlahan. Saat itu Amirah mulai gusar. Apatah lagi apbila melihat mata
Sofiana yang menjeling tajam padanya. Ternyata Hakim masih mengenalinya walaupun penampilannya
sudah berubah. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

“Mira isteri abang...” seru Hakim lagi. Amirah bertambah kalut. Otaknya tidak dapat merencanakan
apa-apa dalam beberapa saat. Hanya mampu merenung ke dalam mata suami yang sudah lama
ditinggalkan itu.

Anda mungkin juga menyukai