Anda di halaman 1dari 11

WEDNESDAY, FEBRUARY 11, 2009

P&P Berkesan Meningkatkan Pembelajaran

AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KE ARAH PENINGKATAN PRESTASI

(Suatu pengalaman untuk dikongsi)

Oleh : Ustaz Hj.Samsudin bin Md Noor

Guru Cemerlang Pendidikan Islam Gred Khas ( JUSA ) C

SMK Model Khas Baling, Kedah

Pendahuluan

Peranan guru bukan sekadar memindah ilmu kepada murid-muridnya tetapi


dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai muallim, murabbi, muaddib, mursyid,
pendidik, pembimbing, pengajar, pengurus, pengarah, penyelia, pengelola,
penyelidik, pengkaji, pakar rujuk, agen perubahan, agen sosialisasi, dan
pembina masa depan negara dan sebagainya, bertujuan membina murid
menjadi modal insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan
negara serta agama.

Perancangan Awal

Perancangan strategik lima tahun dan tahun semasa perlu diadakan supaya apa
yang dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai panduan pelaksanaan sepanjang
tahun dan strategi masa hadapan.

Perancangan strategik perlu dimasukkan 'target' atau pelunjuran yang hendak


dicapai, biasanya 'target' itu adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Perkara yang lebih penting untuk diutamakan dalam perancangan itu ialah
aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan bagi mencapai target. Aktiviti-aktiviti
tersebut merangkumi program-program pengajaran dan pembelajaran berkesan,
kelas tambahan, kelas pemulihan, kelas pengukuhan dan pengayaan, projek-
projek akademik dan kegiatan ko-korikulum.

Perancangan awal yang perlu dilakukan iaitu penyediaan bahan-bahan


pengajaran dan pembelajaran selain daripada buku teks seperti nota-nota
tambahan, bahan-bahan 'power points', CD, VD, dan bahan bantuan mengajar
bagi mempermudahkan murid memahami sesuatu tajuk. Guru sepatutnya
membuat pengukuran masa bagi sesuatu topik yang hendak diajar, ada topik
yang diselesaikan dalam satu masa dan ada yang perlu lebih dari satu masa.
Perancangan kemudahan pembelajaran murid, seperti keadaan kelas yang lebih
kondusif, kemudahan peralatan kegunaan pelajar. Jika tiada masalah kertas-
kertas, pelbagai jenis pen yang dakwatnya berbagai warna , yang boleh memberi
keseronokan kepada murid untuk belajar disediakan oleh guru, kemungkinan
peruntukan kewangan sekolah boleh digunakan untuk tujuan ini atas budibicara
pentadbir sekolah. Keadaannya menjadi lebih baik jika guru berusaha adakan
sebuah Bilik Khas Pendidikan Islam (jika ada bilik yang kosong),

Perancangan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun seharusnya


mengikut agihan yang telah ditentukan dan guru boleh mengambil daya anisiatif
supaya sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Guru boleh
menggunakan masa-masa baki untuk tujuan pengayaan, pengukuhan,
pemurnian, pemulihan, peningkatan kemahiran menjawab dan sebagainya
sebelum tiba masa peperiksaan yang sebenar.

Siapa Guru Di Hati Murid?

Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup
berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru
yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana
secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas
yang beliau ajar.

Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari
persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan
ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan
penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-
hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani,
berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara
disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk
menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya,
sentiasa mengharga masa, 'komited' dengan tugas, memiliki idea-idea yang
bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit
serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati
murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru
melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu
gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah
atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas
dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.

Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi
serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati
pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang
lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai
guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai
program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka.
Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa
mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-
tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit,
program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca
yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh
peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat
dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan


mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang
permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan
yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka
dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas


juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki
keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar,
serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam
mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang
berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang
memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya
meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan
keyakinan murid terhadap kemampuan guru.

Guru Dan Bilik Darjah

Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau


persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid
sudah tahu tentang latarbelakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini,
kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum
pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu
tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid
ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja.

Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu yang tidak boleh
diabaikan kerana pernilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan
diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid
bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid
juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan
yang tersangat lembut atau tidak serius.
Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan
hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu
amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata
bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid
yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi.
Beberapa peraturan yang mesti dipatuhi yang menampakkan ketegasan tetapi
berhemah serta memiliki sifat keterbukaan dalam menerima pandangan serta
bersedia melakukan perubahan.

Guru memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan


bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa
gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas
berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan
menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu. Mengenali
nama setiap murid di kelas tersebut adalah satu pendekatan yang baik. Murid
akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa
berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati
'nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan
mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk
diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua
nama mereka.

Guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada
murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan
pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari
masa semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau
lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Guru
sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru
yang dianggap berpura-pura itu. Saya pernah berjanji untuk membuat jamuan
makan kepada mereka, membawa mereka ke tempat rekriasi, memberi hadiah
tertentu, dan saya tunai setelah mereka tunjukkan peningkatan.

Pengajaran Dan Pembelajaran

Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai apabila murid mengetahui


dan memahami tajuk yang diajar, kemudian mampu menganalisa dan
membanding beza serta membuat penilaian serta mampu untuk mengaplikasi
dalam situasi yang tertentu. Guru perlu memahami modul pengajaran dan
pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut
aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-
prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Biasanya apabila
loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid –murid
datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap
kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta
membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya
bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam.

Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan


membaca doa dengan ikhlas dan khusyuk supaya mendapat keberkatan Allah
SWT. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja,
kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara
untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima
pelajaran.

Guru bertanyakan mereka, seperti 'apa khabar semua', 'ada yang sakit atau yang
tidak sihat','siapa yang ada apa-apa masalah,' 'ustaz nampak semuanya
seronok, ini yang menjadikan ustaz pun seronok hendak mengajar'. Pertanyaan-
pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok
dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, 'bagus' supaya
murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti
memberi satu teka-teki dan sebagainya.

Guru memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan


satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk
disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada
kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk
berkenaan, nota tambahan yang disedikan guru sebagai 'hand out', dan kertas
A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui
'slide' yang ditayang dengan bantuan 'LCD' atau menggunakan teknik-teknik
yang lain.

Guru berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari,
murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru
memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti
kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang
boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan
memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang
sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara
sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan
murid.Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi
penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, lojik, urutan, nombor, analisi
dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak,
maipulasi ruang, imiginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru
mempastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.

Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka


terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan
terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan
selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka.Pendekatan cara bermain
atau berintraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran
dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea
secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak
faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka
sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku,
guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek
tertentu dalam kandungan itu.

Murid-murid ternyata lebih gemar membuat peta minda setelah mereka dilatih
untuk membuatnya berkali-kali dan seolah-olah menjadi 'kegilaan' kepada
mereka. Kelebihan membuat peta minda ialah mereka dapat menguasai semua
isi yang terkandung dalam buku atau nota, dan mereka hanya menggunakan
bahasa dan ayat-ayat sendiri ketika menjawab soalan, tidak bergantung ayat-
ayat yang terdapat dalam buku. Oleh itu minda mereka akan lebih terbuka, di
samping melatih mereka berfikiran kreatif dan kritis. Kadang-kadang guru
berhadapan dengan murid yang lambat faham akan sesuatu tajuk atau isi
kandungan. Pendekatan yang digunakan antaranya menjadikan rakannya
sebagai 'guru' untuk menjelaskan perkara tersebut, menggalakkan pelajar
berkenaan segera bertanya rakannya yang berdekatan atau mereka akan
bangun bertanya rakan yang lebih meyakinkannya. Murid berkenaan tidak segan
silu untuk terus bertanya dengan guru. Guru mengulangi semula dengan
pendekatan yang lebih mudah atau membina soalan untuk dibincang dalam
kumpulan setelah mengenalpasti ada murid yang masih belum faham
kandungan tersebut.

Pendekatan-pendekatan yang lebih mudah, meringankan bebanan murid dan


meningkatkan minat untuk terus menyelesaikan tugasan bagi tajuk berkenaan.
Contohnya, murid yang sukar menghafaz ayat-ayat al-Quran bagi tingkatan
empat, guru memberi kebebasan kepada murid bertemu dengan guru untuk
menghafaz ayat-ayat itu di hadapan guru, guru boleh melantik murid-murid yang
cemerlang menjadi naqib untuk mendengar hafazan murid berkenaan, kadang-
kadang terdapat murid yang ingin menghafaz sedikit demi sedikit dan akhirnya
semua ayat tersebut telah berjaya di hafaz atau pun menggunakan pelbagai
pendekatan yang disukai oleh murid berkenaan dan guru sepatutnya melayan
kehendak mereka.

Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh


menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka
berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi
semangat, perangsang, serta mencerita kelebihan-kelebihan apabila boleh
membaca al-Quran. Guru meminta pandangan mereka tentang cara yang
kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka
boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru
memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika
mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi
mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik
darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi
guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi
galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang
terasa malu disebabkan kelemahan mereka. Oleh itu guru tidak perlu
menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti
menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di
bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca
secara beramai-ramai.

Jika mampu selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput
mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa
guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaaan al-Quran.
Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di
perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok belajar Pendidikan
Islam maka mereka akan berusaha untuk memahami tajuk yang sedang
dipelajari. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah
keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu
terhadap murid, menjadikan mereka terasa bersalah jika mereka tidak
mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.

Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan


pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau,
sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk
menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai
menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang
sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan
guru terus maafkan dan letakkan tangan dibelakang mereka atau memuji mereka
supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan
terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh
menjatuhkan maruah dan memalukannya sepatutnya dielakkan supaya murid
berkenaan tidak tertekan, akibatnya murid berkenaan mungkin membuat
tindakan negatif seperti tidak datang ke sekolah, merosakkan harta benda
sekolah dan sebagainya.

Penggunaan alatan bantuan mengajar, model-model tertentu, atau kepelbagaian


kaedah yang lebih kepada berpusatkan murid. Pendekatan, modul atau kaedah
seperti Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kerjasama, Kontruktivisma,
Pembelajaran Kontektual, adalah di antara kaedah yang boleh digunakan
mengikut kesesuaian tajuk, kemampuan murid, dan kebijaksanaan guru
mengaplikasikannya supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang
memberangsang minda mereka. Kesannya, murid mudah faham dan minat
mereka untuk meneruskan pembelajaran dan mereka tidak menunjukkan
perlakuan yang bermaksud bosan dengan cara guru menyampaikan pengajaran.

Contohnya, tajuk cara menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Model-model


berbentuk replika seperti model kaabah, jamrah, tempat saei, tempat wukuf,
Mina dan Muzdalifah serta Miqat Makani. Guru menggunakan beberapa murid
untuk menunjuk cara, simulasi, main peranan dan sebagainya. Penggunaan
pendekatan ini, murid akan lebih mudah faham dalam masa yang singkat.

Bagi meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan dan tulisan jawi, maka
tindakan yang boleh difikirkan ialah langkah pertama, mengadakan penilaian
mudah untuk mengetahui tahap sebenar pencapaian murid berkenaan, bagi
murid yang terlalu lemah, diperkenalkan huruf hijaiyah yang dipadankan dengan
huruf rumi, kemudian ditingkatkan ke tahap mengenal suku kata hingga
seterusnya murid boleh membaca kalimah mudah dan kalimah yang lebih dari
dua sukukata hinggalah ke tahap boleh membaca ayat-ayat dan esei.
Pendekatan mendekati murid adalah seperti yang telah dijelaskan perlu untuk
menarik minat mereka menyintai jawi.

Memasang lagu-lagu nasyid atau zikir yang boleh menjadi halwa telinga mereka
tetapi diperlahankan suaranya, supaya murid rasa terhibur dan kadang-kadang
kandungan lagu itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka, juga
dapat membantu meningkatkan keseronokan dan minat murid untuk meneruskan
pembelajaran.

Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang


terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh
membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak
suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya
menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai
guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan
seharus mencari pendekatan yang boleh meningkatkan motivasi dan
kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.

Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang


boleh menambahkan kebencian mereka terhadap mata pelajaran yang diajar
atau terhadap guru sendiri. Leteran yang berterusan, menyebut perkara-perkara
negatif yang ada pada mereka seperti mengecap mereka sebagai pemalas,
pengotor, kaki tidur dan sebagainya akan menghilangkan minat mereka untuk
berada bersama guru itu. Pendekatan yang berkesan, murid-murid diberikan
perhatian, dan pujian jika mereka melakukan sedikit perubahan ke arah
kebaikan. Mulakan pelajaran dengan perkara yang cukup mudah, banyak
memberi contoh-contoh, dekat dengan mereka ketika mengajar. Jika mereka
tidak faham, cuba ulang bahagian itu melalui kaedah yang berbeza seperti
memberi lambaran kerja, bimbing mereka untuk mendapatkan jawapan,
gembirakan hati mereka, berjenaka, dan memberi tindak balas positif terhadap
perlakuan dan pertuturan mereka.

Apabila mereka sudah menampakkan kecenderungan untuk belajar, teruskan


memberi galakan, motivasi dan pengharapan yang baik, seperti kata-kata,'saya
yakin murid kelas ini boleh lulus pelajaran ini dalam peperiksaan nanti, kerana
ustaz sudah nampak ada peningkatan, ustaz seronok jika murid kelas ini
berjaya'. InsyaAllah perubahan akan berlaku, sekurang-kurang guru dapat
menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan di kelas berkenaan, tetapi
amalan ini hendaklah dilakukan berterusan bukan secara sekali sekala. Yang
lebih penting guru menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap mereka.

Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran

Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan dan menjawab


peperiksaan ialah keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan
kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di
tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula
jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar
supaya guru boleh membuat penambahbaikan, tidak malu untuk menyatakan
kelemahan, sedia mendapatkan pertolongan rakan bagi meningkatkan
kemahiran dan kefahaman. Akhirnya murid-murid dapat mendengar nasihat guru
dan melaksanakan tugasan dengan baik.

Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan


di minit-minit terakhir dan menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah
sebagai kerja rumah. Guru menggalakkan murid menjawab latihan mengikut
teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul.
Caranya, murid diminta berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin
dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya
mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan
bahawa murid yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai
kejayaan dan keberkatan.

Menjawab soalan-soalan yang diberi oleh guru melalui perbincangan kumpulan


juga satu teknik yang boleh membantu murid yang lemah. Setelah mendapat
jawapan, masing-masing murid menulis jawapan tersebut. Kemudian ketua
kumpulan akan menyemak semula jawapan setiap ahli kumpulan. Guru
menunjukkan teknik dan kaedah menjawab soalan yang berkesan diperingkat
awal lagi. Guru melatih sehingga mereka faham, kemudian latihan demi latihan
mengikut teknik peperiksaan sebenar. Semua guru sepatutnya memahami teknik
menjawab soalan peperiksaan awam (PMR dan SPM) supaya murid-murid
dilatih sejak di tingkatan satu bagi PMR dan di tingkatan empat bagi SPM.

Setiap latihan murid direkod dalam buku rekod dengan memberi markah mudah
iaitu A,A-,A+,B,B-,B+,C,C-,C+,D,dan E, rekod-rekod dipamerkan kepada mereka
melalui 'LCD', supaya mereka dapat membezakan percapaian mereka dan
membandingkan dengan pencapaian rakan-rakan mereka. Guru akan memberi
nasihat dan bimbingan kepada pencapaian yang lemah, pencapaian yang masih
tidak berubah atau yang menurun.

Bagi kelas yang lemah, guru perlu memperbanyakkan soalan-soalan pencapaian


rendah dan cuba memberi satu jawapan contoh supaya mereka berminat untuk
terus menjawab soalan-soalan itu sehingga selesai. Galakan dan pujian harus
diberikan terutama murid yang lemah jika ada sedikit pencapaian, guru perlu
membuat pembetulan perkara-perkara yang salah dan berikan sedikit markah
bagi jawapan tersebut, supaya murid berkenaan merasakan ada peningkatan
dalam diri mereka.

Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan

Bagi memastikan pencapaian murid terus meningkatkan prestasi maka perlu


diadakan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh
dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru perlu
mengenal pasti murid yang masih tidak menguasai topik berkenaan kemudian
diberi pemulihan segera, jika tiada kesempatan, program itu perlu dilanjutkan di
luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan.

Program pengukuhan dan pengayaan boleh dilaksanakan dari masa ke semasa


melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada
murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Penekanan secara
lebih intensif dilaksanakan sebulan sebelum peperiksaan percubaan. Selepas
peperiksaan percubaan guru membuat analisa keputusan untuk melihat
kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi
membantu meningkatkan kemahiran.

Penutup

Kejayaan seseorang guru dalam usaha untuk meningkatkan prestasi murid


tidaklah semata-mata bergantung kepada kemahiran menggunakan teknik dan
kaedah pengajaran yang pelbagai sahaja. Keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah juga berkait rapat dengan kefahaman guru
tentang peranan mereka yang sebenar, personaliti, keperibadian, kewibaan dan
kesungguhan yang ditonjolkan, kebijaksanaan menawan hati budi murid, sifat
pengorbanan dan keikhlasan, di samping perancangan yang teliti dan
menyeluruh.

Pemantauan dan penyeliaan yang berterusan serta melakukan refleksi bagi


tujuan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan merupakan usaha-usaha
dilakukan semasa dan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam
konsep hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Kajian tindakan atau soal selidik boleh dilakukan oleh guru sebagai asas untuk
tindakan yang lebih berkesan ke arah peningkatan prestasi murid. Perkongsian
bijak dengan rakan-rakan panitia juga salah satu langkah ke arah
memeperkasakan pengajaran dan dan pembelajaran. Bagi melaksanakan tugas
yang mencabar ini, guru tidak perlu mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-
usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan
mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti
dan innovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah
apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan
harapan, usaha yang disertaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan
mendapat keberkatanNya jua.

Anda mungkin juga menyukai