Anda di halaman 1dari 4

Sunday, February 7, 2010

Kepentingan Sains & Teknologi Dalam Pembangunan Ummah

Oleh: Web Sutera

Pelbagai bidang dalam sains dan teknologi, termasuk bioteknologi dan teknologi komunikasi
maklumat (ICT), merupakan satu wahana pemudah cara dalam menjalani semua ruang lingkup
kehidupan manusia. Diakui sejak dahulu, lebih-lebih lagi dalam sudut pandangan Islam, bahawa
sains dan teknologi (S & T) telah dan akan terus membawa natijah kebaikan dan keburukan.
Namun sebagai manusia bertamadun, setiap seorang dari kita dikurniakan akal fikiran untuk
memilih. Justru, S & T amat ditekankan oleh Islam dan mesti diterokai dan digunakan selagi
umat Islam sedar akan batas sempadan yang telah digariskan oleh Islam.

S & T mewakilkan pengetahuan dan pembelajaran. Usaha mendapatkan pengetahuan adalah


sebahagian dari seruan Islam, dengan dibuktikan oleh penemuan dan kemajuan ilmu yang telah
dirakamkan sejarah oleh para ahli sains Islam pada zaman awal Islam.

Melahirkan sebuah masyarakat madani atau masyarakat bertamadun bukanlah tugas yang mudah
dan singkat, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai teknologi yang enak-enak dan mulus.
Masyarakat bertamadun, terutamanya gagasan yang diutarakan oleh Malaysia, yang ingin
dibentuk adalah berasaskan sebuah komuniti harmonis yang menghasilkan dan menggunakan S
& T bagi kebaikan dan kesejahteraan sejagat.

Apa yang sangat penting dilihat sekarang ini ialah langkah dan usaha agresif kerajaan, kumpulan
tertentu, dan yang terpentingnya ialah ahli masyarakat dalam merapatkan jurang perbezaan celik
S & T, juga jurang digital yang dihasilkan oleh ICT. Usaha ini mesti diberi penumpuan kepada
sasaran terhadap semua peringkat masyarakat. Perkara ini penting bagi memastikan bahawa
rakyat memenuhi kriteria menjadikan diri dan persekitaran berilmu dan berpengetahuan, selari
dengan perkembangan S & T dan ICT.
Dalam era moden ini, telah banyak diperkatakan orang bahawa umat Islam ketinggalan dalam
banyak bidang S & T. Namun sedarkan kita bahawa para saintis barat yang menemui banyak
penemuan yang merubah pandangan dan cara kita menjalani kehidupan, sebenarnya
menggunakan dan mengasaskan kajian mereka dari penemuan para ilmuan Islam. Apa yang
mereka buat ialah belajar, mengkaji, meminjam dan seterusnya melengkapkan pengetahuan S &
T yang telah ditemui oleh saintis Islam tadi. Harus diingat, teknologi adalah milik semua dan
teknologi tanpa isi, kosong.

Menyelusuri sejarah Islam dan barat, telah terbukti bahawa kemajuan ekonomi sesebuah
masyarakat dan negara berkait secara terus dengan tahap pengetahuan serta kebolehan menyerap
ilmu. Dari era pra-sejarah lagi manusia telah menggunakan pelbagai kaedah dan peralatan dalam
memperolehi ilmu dan kemudian menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain dalam suatu
komuniti.

Sebagai misalan, bila orang-orang zaman lampau buat pertama kalinya mengikat batu tajam ke
batang kayu bagi menghasilkan tombak atau lembing untuk berburu, mereka tidak mencari
sasaran dan kemudian menggunakan formula matematik untuk tenaga atau trajektori. Tetapi
mereka mendapat kemahiran itu dengan kaedah cubaan dan kesilapan, seterusnya menjadi titik
tolak kepada kemajuan tamadun dengan berkembangnya otak atau minda merentasi zaman.
Inilah asas bidang pembangunan dan penyelidikan, hasil melalui cubaan dan kesilapan. Dan asas
inilah yang dikaji oleh saintis barat, melalui penemuan yang ditinggalkan oleh saintis Islam,
dalam mengkaji suatu penemuan baru. Namun harus selalu diingat, setiap proses cubaan itu
seharusnya dilaksanakan dalam tatacara yang tidak memudaratkan, terutama sekali dalam proses
perubatan dan bioteknologi yang berkait langsung dengan tubuh badan dan kehidupan.

Banyak rujukan boleh kita dapati dalam kitab suci Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W dari sudut
betapa pentingnya Islam menempatkan usaha mencari pengetahuan, dan dalam memahami alam
semula jadi dan cakerawala. Islam menggalakkan kaedah pertanyaan secara saintifik atau lebih
tepat lagi kaedah kajian dan penelitian. Sesungguhnya kemajuan sains Islam telah diketahui
umum. Dari tahun 750 Masihi hingga 1050 Masihi telah menyaksikan penemuan sains Islam
dalam bidang geografi, kosmologi, fizik, matematik, astronomi dan perubatan. Kebanyakan
pengetahuan tersebut adalah dalam kategori sains gunaan. Justru itu perkembangan sains pada
era tersebut berkait langsung dengan teknologi, dan ianya benar sehingga kini.

S & T Islam telah membangkitkan era Pembaharuan Eropah yang mana sebelum itu kalangan
Kristian melalui pegangan golongan agama gereja menganggap bahawa sains adalah suatu aliran
sihir yang berunsur syaitan. Sejarah merakamkan bahawa ada ahli sains pada waktu itu dibunuh
kerana mempunyai pendapat berbeza dengan pegangan gereja, walaupun itu adalah penemuan
sains oleh cerdik pandai mereka.
Malangnya, bemulanya era Pembaharuan Eropah juga bermulanya zaman kemunduran sains
Islam. Ini kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dengan saintis, sama seperti pertentangan
yang ada di kalangan Kristian sebelum era pembaharuan. Dan lebih malang lagi wujudnya
pendapat bahawa pengkajian saintifik adalah unsur-unsur barat yang harus ditentang. Pegangan
ini masih lagi melingkari segelintir masyarakai Islam sehingga kini.

Kegagalan melihat S & T sebagai unsur pemangkin untuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan
ummah melembabkan negara-negara umat Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan
penemuan sains. Satu isu lagi yang sering diperkatakan ialah banyak penemuan S & T yang
termasuk bidang ICT sekian lama dipelopori oleh negara barat, justru negara Islam hanya
sebagai pengguna. Walaupun mutakhir ini sudah ada aplikasi ICT dan elektronik yang dihasilkan
oleh negara umat Islam, namun ianya masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Satu usaha harus digembling segera terutamanya di kalangan negara OIC supaya dapat
disediakan dana dan kepakaran manusia bagi merancakkan aktiviti R & D dalam bidang S & T
dan ICT supaya ummah tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi dan sistem yang
dihasilkan oleh pengusaha barat.

Negara umat Islam tidak kekurangan pakar-pakar dalam bidang fizik, kimia, nuklear, ICT dan
seumpanya, cumanya ia tidak dikumpul dan diguna pakai bagi tujuan memajukan S & T seperti
pada era kegemilangan Islam dahulu. Apa yang sering dipaparkan di dada akhbar ialah orang
Islam pakar dalam bidang tertentu, tetapi dengan tujuan lain, kegiatan keganasan misalnya
(walaupun ini mungkin kita boleh pertikaikan kerana itu adalah dilabel oleh pihak barat yang
diterajui Amerika Syarikat).

Satu pendekatan yang saya kira elok dimulakan ialah melahirkan saintis Islam yang berjiwa
Islam, bukan sekadar pakar dalam suatu bidang sains, malah juga sedikit sebanyak
berpengetahuan dalam soal syariat. Dengan dada yang dipenuhi ilmu agama, atau dengan kata
lain dada yang ada Quran, maka saintis yang dilahirkan dengan cara ini akan mengembalikan
kajian dan penemuan mereka kepada Allah, Tuhan Pencipta Alam. Dengan itu tidak timbul soal
saintis Islam yang berjiwa barat. Inilah saintis yang dihasilkan oleh Islam pada era kegemilangan
Islam dahulu, iaitu saintis yang berjiwa ulamak.

Bila perkara ini dapat direalisasikan, maka ummah di seluruh dunia dapat manfaat dari
penemuan ilmu tersebut. Baharulah pihak barat tidak akan menuding jari bahawa saintis Islam
hanya pandai mereka bom atau senjata merbahaya hanya untuk tujuan keganasan. Pandangan ini
harus segera diubah supaya era kegemilangan S & T Islam dapat dikembalikan dan akan menjadi
tunjang bukan sahaja kepada tamadun umat Islam, malah tunjang kepada tamadun dunia
keseluruhannya. Janganlah umat Islam yang berjumlah lebih satu bilion nyawa sekarang ini
hanyalah umpama buih di lautan; ramai tetapi tidak membawa manfaat kepada umat dan dunia.
Kita pernah gemilang, dan insyaAllah, Islam boleh kembali gemilang dan cemerlang dengan
syarat kita berusaha dan sama-sama mengembling tenaga ke arah satu matlamat murni;
melahirkan generasi saintis Islam yang berjiwa Quran.

*Rencana ini pernah diterbitkan dalam Dewan Agama & Falsafah, Dewan Bahasa &
Pustaka.

Sumber

Posted by abu uthman at 11:33:00 PM


Labels: Sains dan Teknologi

Anda mungkin juga menyukai