Anda di halaman 1dari 7

Meniti Kaca

 
Soalan 1:Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut.
[ 10 markah ]Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Novel ini mengisahkan Nazar, seorang anak tunggal dan masih dalam usia remaja. Oleh
sebab ibunya nanar dan ayahnya selalu sakit, hidupnya tidak terurus. Begitu juga dengan
makan minumnya. Jiran tetangga banyak membantu Nazar sekeluarga. Setelah ibunya
meninggal dunia, Nazar terus gigih mengharungi hidup. Dia rajin belajar dengan rakan
sekampung dan setingkatan. Tidak lama kemudian, ayahnya pula meninggal dunia. Nazar
kehilangan kasih sayang ayah dan ibu. Dia bergantung harap kepada ibu saudaranya,
rakan-rakan dan jiran tetangga. Berkat kesungguhan, kesabaran, ketabahan, dan
keyakinan, akhirnya Nazar berjaya dalam menempuhi dugaan hidup. Dia bercita-cita
untuk menjadi seorang doktor.

Soalan 2:
Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung
dalam novel tersebut.
[ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Tema novel ini ialah kegigihan dan ketabahan seorang anak remaja mengharungi hidup.
Nazar, seorang remaja yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dan tabah
menghadapi dugaan.
Persoalan pertama ialah semangat perpaduan. Semangat ini tergambar pada keluarga Ah
Seong yang sentiasa memberi sokongan moral kepada Nazar agar tabah menghadapi
dugaan hidup.
Persoalan kedua ialah kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sikap gotong-royong dan
bekerjasama amat ketara pada masyarakat desa. Atas rasa simpati dan tanggungjawab
bersama, orang kampung sanggup bekerjasama mencari Mahyun yang hilang, sehingga
mayat Mahyun ditemui dan menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan secara
bekerjasama.
Persoalan ketiga ialah keluhuran budi dan baik hati. Selain Ah Seong, Kim Moi, dan Ah
Leong yang memiliki sifat belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, dan saling
memahami, Mak Miah, Pak Sehak, Pak Sahar, dan Zainab turut memiliki sifat
sedemikian. Mereka mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh Nazar dan
menunjukkan simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga Nazar.
Persoalan keempat ialah buruk sangka dan memfitnah. Buktinya, penduduk kampung
terutamanya Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan terhadap
Nazar dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab belajar bersama-sama Nazar dan
apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.
Soalan 3:
Huraikan Watak dan perwatakan bagi watak utama berdasarkan novel yang telah
anda kaji.
[ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Watak utama dalam novel ini ialah Nazar. Nazar seorang yang tabah. Buktinya, dia
menghadapi penyakit ibunya yang nanar dengan tabah.
Selain itu, Nazar digambarkan seorang remaja yang bijak dan pandai. Hal ini demikian
kerana dia mendapat lima unit dalam peperiksaan PMR. Hal ini menyebabkan dia
diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.
Tambahan pula, Nazar seorang yang penyayang. Dia amat menyayangi ibu bapanya. Dia
tidak sanggup berpisah dengan ibunya yang dimasukkan ke hospital. Dia juga berasa
cemas apabila ibunya hilang.
Namun demikian, Nazar juga digambarkan sebagai seorang yang berfikiran matang.
Pelbagai tohmahan dan fitnah yang melanda dirinya telah diterima dengan penuh
kesabaran. Dia menganggap semua yang berlaku itu ujian Tuhan. Demikianlah
perwatakan Nazar sebagai watak utama.

Soalan 4 :
Huraikan watak dan perwatakan bagi empat watak sampingan berdasarkan novel
yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Watak sampingan pertama dalam novel ini ialah Pak Sahar. Pak Sahar merupakan bapa
kepada Nazar. Dia bekerja sebagai pegawai luar di Lumut. Beliau seorang ayah yang
penyayang. Buktinya, dia amat menyayangi dan mengambil berat akan pelajaran Nazar.
Dia juga amat menyayangi isterinya, Mahyun. Dia berikhtiar untuk menyembuhkan
penyakit isterinya. Oleh sebab sakit, dia meninggal dunia semasa Nazar berada dalam
tingkatan 4.
Mahyun merupakan salah seorang watak sampingan yang memainkan peranan penting
dalam novel ini. Dia ialah ibu kepada Nazar dan isteri kepada Pak Sahar. Dia berpenyakit
nanar sejak melahirkan anak keduanya. Dia seorang wanita yang berkulit langsat,
rambutnya mencecah bahu serta berlesung pipit. Mahyun suka bernyanyi. Oleh sebab
mempunyai suara yang merdu, Nazar pernah mendengar ibunya menyanyi dengan suara
yang merdu. Dia juga seorang yang suka merayau. Dia selalu bertandang ke rumah jiran
dan berleter di anak tangga. Dia meninggal dunia semasa cerita mencapai klimaksnya.
Watak sampingan seterusnya ialah Zainab. Zainab merupakan anak kepada Pak Sehak,
dia mempunyai seorang adik bernama Fauzi. Dia seorang gadis remaja sebaya Nazar dan
memiliki paras rupa yang cantik kerana mempunyai lesung pipit. Zainab seorang yang
rajin. Dia rajin menghantar makanan kepada Nazar dan rajin mengulang kaji pelajaran.
Zainab seorang yang mudah bersimpati dan penyayang. Dia menyayangi, bersimpati
dengan nasib malang yang dialami oleh Nazar.
Ah Seong juga merupakan salah satu watak sampingan. Dia merupakan jiran Nazar.
Ibunya bernama Kim Moi dan ayahnya, Ah Leong. Dia mempunyai dua orang adik iaitu
Ah Meng dan Ah Leng. Dia seorang yang baik hati terhadap rakan dan jiran. Dia
membantu rakan sebayanya, Nazar setelah Mahyun didapati hilang dari rumah. Dia
memberitahu Sidang Seman mengenai perkara itu. Dia juga seorang yang rajin. Dia
selalu belajar bersama-sama Nazar dan Zainab. Ah Seong seorang yang mudah
bersimpati. Dia amat bersimpati atas dugaan yang menimpa Nazar. Dia sentiasa
menasihati Nazar agar bersabar.

Soalan 5 :
Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot
berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Eksposisi ialah permulaan cerita. Dalam bahagian ini, biasanya pengarang
memperkenalkan watak. Buktinya, pengarang memperkenalkan watak Nazar yang pulang
dari sekolah dan mencari ibunya Mahyun yang tiada di rumah ketika itu. Mahyun
menghidap penyakit nanar dan sering merayau ke rumah orang.
Cerita berkembang dalam plot perkembangan apabila Pak Sahar mengambil tindakan
menghantar Mahyun ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan bagi mengubati penyakit
Mahyun. Penyakit Mahyun tidak juga sembuh dan dia dibawa pulang ke rumah. Suatu
hari, Mahyun didapati hilang dan akhirnya dia ditemui mati.
Perumitan ialah konflik yang berlaku dalam sesebuah karya. Dalam novel ini, pelbagai
masalah dihadapi oleh Nazar. Ketiadaan ibu dalam keadaan dia hampir menduduki
peperiksaan PMR, dia mendengar desas-desus ayahnya akan berkahwin lagi. Sementara
itu, hubungannya dengan Zainab telah disalah anggap oleh penduduk kampung sehingga
dia dilarang oleh ayahnya belajar bersama-sama dengan Zainab. Ayahnya pula sering
sakit dan penyakit ayahnya semakin teruk dari sehari ke sehari.
Puncak ialah klimaks sesebuah cerita. Pada bahagian yang paling penting ini, Nazar yang
sedang belajar di sekolah berasrama penuh telah dijemput oleh Pak Sehak dan beberapa
orang lagi yang memberitahu bahawa ayahnya dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun,
Pak Sahar meninggal dunia semasa Nazar dalam perjalanan ke hospital.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran novel ini, jenazah Pak Sahar selamat
dikebumikan. Nazar terus belajar di sekolah berasrama penuh dengan bercita-cita untuk
menjadi seorang doktor.

Soalan 6:Teknik Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya.
Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Dalam novel ini, terdapat beberapa teknik penceritaan yang penting. Teknik penceritaan
pertama ialah dialog. Pengarang banyak menyelitkan perbualan antara Nazar dengan
ayahnya, Pak Sahar.
Teknik plot kedua ialah monolog. Monolog ialah teknik bercakap sendirian. Buktinya,
Nazar membisikkan kepada dirinya bahawa emak tidak mengalami sakit jiwa seperti
yang dianggap oleh kawan-kawannya.
Teknik ketiga ialah teknik monolog dalaman. Monolog dalaman ialah kata-kata yang
hanya terbit dalam hati seseorang watak. Buktinya, hati Nazar berbisik apabila mendapati
ibunya tiada di rumah dan hatinya tertanya-tanya ke mana emaknya pergi.
Teknik keempat ialah imbas kembali. Imbas kembali bermaksud pengarang memasukkan
unsur ingat semula kejadian atau peristiwa yang pernah berlaku. Contohnya, apabila
berjauhan daripada ibunya, Nazar teringat akan ibunya yang pandai menyanyi.
Teknik seterusnya ialah teknik imbas muka. Teknik ini juga dikenali sebagai ramalan
pengarang dalam sesebuah penceritaan. Biasanya pengarang memasukkan perkataan
seperti “akan” dalam petikan cerita. Buktinya, Nazar memberitahu ayahnya bahawa dia
akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR. Dia mungkin akan
mendapat sepuluh atau lima belas unit.

Soalan 7:
Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa
yang berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Latar tempat pertama ialah Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Buktinya, Mahyun
dirawat di situ.
Latar tempat kedua ialah rumah Nazar yang terletak di Kampung Kota. Buktinya, Nazar
yang baru pulang ke rumah mendapati bahawa ibunya telah hilang entah merayau ke
mana. Selepas itu, dia pergi ke rumah Kim Moi untuk bertanya tentang tempat yang
ditujui oleh ibunya sejak pagi tadi.
Latar tempat ketiga ialah di sungai. Ibunya meninggal dunia di kawasan sungai kerana
tersepit di celah-celah pokok kelapa. Tempat ini telah meninggalkan sejarah hitam dalam
hidup Nazar.
Latar tempat keempat ialah rumah Mak Miah. Rumah Mak Miah berdekatan dengan
rumah Nazar. Biasanya Zainab menghantar makanan dari rumahnya ke rumah Nazar
dengan berjalan kaki sahaja.
Latar tempat kelima ialah Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Di sinilah
Nazar meneruskan persekolahannya dalam peringkat menengah tinggi. Sekolah ini ialah
sebuah sekolah yang berasrama penuh dan Nazar tinggal di asrama.

Soalan 8 :
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa
yang berlaku pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Jarak masa novel ini berlangsung adalah lebih kurang dua tahun. Cerita bermula semasa
Nazar berada dalam tingkatan dua dan berakhir ketika Nazar memasuki tingkatan 4 di
Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.
Latar masa siang banyak digunakan oleh pengarang. Buktinya, Zainab menghadiahi
Nazar sebuah kotak muzik sebelum Nazar bertolak ke sekolah berasrama penuh di Ipoh.
Latar waktu senja juga digunakan oleh pengarang. Buktinya, selepas gagal mencari
Mahyun seharian, Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bergerak mencari
Mahyun yang hilang.
Latar masa malam juga berlaku dalam perjalanan cerita novel ini. Buktinya, pada waktu
malam, Mak Miah dan Pak Sehak mengunjungi rumah Pak Sahar dan mencadangkan
agar Pak Sahar berkahwin lagi selepas kematian Mahyun.

Soalan 9:
Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang
dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Latar masyarakat pertama ialah masyarakat kampung. Masyarakat ini diwakili oleh
penduduk Kampung Kota yang terdiri daripada Mahyun, Nazar, Pak Sehak, Mak Miah
dan banyak lagi. Penduduk kampung ini tinggal dalam keadaan damai dan sejahtera.
Mereka diketuai oleh Sidang Seman.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat Cina. Masyarakat ini diwakili oleh Kim Moi
dan Ah Leong yang mempunyai anak-anak yang bernama Ah Seong, Ah Meng, dan Ah
Leng.
Latar masyarakat ketiga ialah masyarakat yang bekerjasama. Buktinya, selepas gagal
mencari Mahyun seharian, Sidang Seman mengarahkan anak-anak buahnya bekerjasama
mencari Mahyun yang hilang.
Latar masyarakat keempat ialah masyarakat pelajar. Buktinya, Nazar, Zainab, dan Ah
Seong merupakan golongan pelajar yang rajin berusaha dan sering mengulang kaji
pelajaran bersama-sama untuk menghadapi peperiksaan PMR.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat yang suka memfitnah. Buktinya, penduduk
kampung terutamanya Sidang Seman sentiasa bersangka buruk dan membuat tohmahan
terhadap Nazar dan Zainab apabila mereka ternampak Zainab belajar bersama-sama
Nazar dan apabila mereka terserempak dengan Zainab dan Nazar di tepi sungai.

Soalan 10:
Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10
markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah. Nilai
pertama ialah kegigihan. Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam
hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya
meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Nilai kedua ialah bekerjasama. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari
Mahyun yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya mencari Mahyun.
Nilai ketiga ialah keyakinan. Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia
berkeyakinan akan mendapat sepuluh atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Nilai keempat ialah kasih sayang. Buktinya, Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia
keberatan untuk berpisah dengan ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan
memberi nasihat agar Nazar belajar rajin-rajin.
Nilai seterusnya ialah hormat-menghormati. Dalam novel ini, Nazar menghormati
bapanya. Zainab menghormati ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya.
Selain itu, perasaan hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini
dapat dilihat daripada hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak
Sehak.

Soalan 11:
Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Pengajaran pertama ialah kita mesti gigih berusaha untuk menghadapi pelbagai rintangan
dalam kehidupan. Buktinya, Nazar gigih menempuh cabaran demi cabaran dalam
hidupnya. Apabila ibunya sakit, dia terpaksa berpisah dengan ibunya. Apabila ibunya
meninggal dunia, dia juga gigih menghadapi dugaan tersebut.
Pengajaran kedua ialah kita harus mengamalkan sikap bekerjasama terutama apabila
menghadapi sesuatu masalah. Buktinya, penduduk kampung bekerjasama mencari
Mahyun yang hilang. Akhirnya, mereka berjaya mencari Mahyun.
Pengajaran ketiga ialah kita patut mempunyai keyakinan dalam semua hal yang kita buat.
Buktinya, Nazar yakin bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan PMR. Apabila ditanya oleh Pak Sahar, dia berkeyakinan akan mendapat
sepuluh atau lima belas unit dalam peperiksaan tersebut.
Pengajaran keempat ialah kita harus saling menyayangi antara satu sama yang lain.
Buktinya, Nazar amat menyayangi ibunya kerana dia keberatan untuk berpisah dengan
ibunya. Pak Sahar pula menyayangi Nazar dengan memberi nasihat agar Nazar belajar
rajin-rajin.
Pengajaran seterusnya ialah kita mesti hormat-menghormati terutama dalam masyarakat
yang berbilang kaum di Malaysia. Dalam novel ini, Nazar menghormati bapanya. Zainab
menghormati ibu bapanya dan Ah Seong menghormati ibu bapanya. Selain itu, perasaan
hormat-menghormati wujud dalam masyarakat kampung. Hal ini dapat dilihat daripada
hubungan yang terjalin antara keluarga Pak Sahar dengan Pak Sehak.

Soalan 12:Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Meniti Kaca, karya Raja Sabarudin Raja Abdullah.
Gaya bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa
pertama ialah simile. Antara contoh simile yang terdapat dalam novel ini ialah Lama-
kelamaan wajah-wajah itu hilang bagaikan ketulan air batu yang mencair. Contoh kedua
ialah Istana sepi bagaikan gua.
Gaya bahasa kedua ialah metafora. Buktinya Api kemarahan rupanya masih lagi
membara di lubuk hati Pak Sehak. Api ialah unsur konkrit manakala kemarahan ialah
unsur abstrak.
Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:
Apakah ayah akan berkahwin lagi?
Apakah ayah sudah tidak sayangkan ibu lagi?
Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Perasaan
cemas mula bergayut di wajah Kim Moi dan angin bulan Oktober yang lembap itu terasa
menampar-nampar muka Ah Seong. Dalam contoh tersebut, angin mempunyai sifat
manusia yang boleh menampar.
Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel
ini ialah “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” dan “tepuk air di dulang,
sedikit sebanyak terpercik juga ke muka sendiri”.
 

Anda mungkin juga menyukai