Anda di halaman 1dari 7

‘ CIKGU OH CIKGU’

“Bermula ABC sampai Z,

Hitung 1 sampai 10……

Barulah ejaan dan kira-kira

Kami belajar dengan lancar…..

Begitulah bunyi lagu yang sering dinyanyikan oleh anak muridku di sekolah

setiap kali hari guru disambut pada 16 Mei iaitu tarikh keramat buat guru-guru

seluruh negara. Bangganya bila anak muridku menyebut senikata yang akhir

sekali “Terima Kasih Cikgu”….terasa mengalir air mata dan sayu di sudut kalbu

bila ungkapan ini disebut berulang kali….Apakah ianya adalah sekadar ucapan

yang tidak bernoktah. Namun aku percaya ungkapan keramat ini amat bermakna

bagi seorang guru seperti aku dan rakan-rakan yang lain, bila menjadikan

profesion guru sebagai profesion yang memberi ilmu dan memberi cahaya dalam

kehidupan seorang murid.

Dalam mengharungi dunia yang penuh cabaran ini, mahu rasanya kita

kosongkan fikiran dan tak perlu melayani kerenah anak murid, kerenah ibubapa

dan juga masyarakat sekeliling. Di sekolah ada saja perkara yang menyakitkan

hati, tak kurang juga perkara yang menyesakkan fikiran. Kerja-kerja makin

bertimbun, kadang-kadang peluh terpercik diubun dan mata pun dah naik rabun,

namun kami kaum guru tetap menempuhi ranjau-ranjau perjalanan yang kadang-

kala menusuk jantung hati…..siapa yang tahu, hanya kami dan kaum yang

sejenis dengannya.
Biar berat mata memandang, berat lagi bahu kami para guru. Semua

ibubapa menagih harapan. 5A sentiasa dalam impian, Namun tahukah para ibu

dan bapa , betapa besar harapan kamu, besar juga bebanan kami para guru..

Kadang-kala bersengkang mata, tak sempat nak melayan cahayamata, apatah

lagi nak bergurau-senda kerana pemikiran tak boleh leka, takut impian tak

terlaksana, maka terkuburlah harapan ibubapa, akhirnya guru juga yang

dicerca…kesiannya cikgu.

Bila keputusan telah diumumkan, maka makan dan minum tak dihiraukan

kerana asyik menunggu keputusan. Hidup bagai dalam khayalan. Impian

menjadi kenyataan atau hanya tinggal kenangan. Jika untung sabut timbul,

andaikata batu maka terkapai-kapailah dalam igauan. Begitulah nasib seorang

cikgu, yang menang dihargai dan bila kalah tak ada siapa yang ambil peduli.

Benarlah guru itu ibarat lilin. Ke hulu dihantar, ke hilir dimudiki, namun

masih tetap digagahi, walau berat hati hendak meninggalkan keluarga yang

dikasihi. Hidup sebatang kara di rantau orang. Janji mesti dikotakan. Murid

diutamakan, perasaan dan kasih sayang dipinggirkan. Itulah guru yang dedikasi.

Itulah guru yang punya harga diri. Tak hirau ranjau dan duri. Tak takut bukit dan

denai yang dilalui. Semuanya digagahi. Semuanya dijelajahi. Hanya mencari

intan baiduri untuk murid yang dikasihi.


Anak-anak didik yang dikasihi, masa kian berlalu. Selama enam tahun di

sekolah rendah, maka kutiplah ilmu yang diberi, himpunkan menjadi koleksi

peribadi untuk kamu gunakan di sekolah menengah nanti. Kami para guru selalu

mendoakan, agar kejayaan menunggu di masa hadapan, segulung ijazah

diharapkan, agar cerah kehidupan kalian. Itulah janji kami. Itulah tekad kami.

Semoga kehidupan tetap diteruskan, walau tersungkur di tengah jalan. Jangan

mengalah anak didikku kerana kejayaan boleh dicapai oleh insan biasa yang

berusaha secara luar biasa. Ingat pesan cikgu.

Saban tahun menghitung waktu yang berlalu, umur semakin menginjak

tua, namun pemikiran para guru tak pernah tua. Ada saja idea yang ingin

disampaikan.Ada saja pandangan yang ingin diutarakan. Maka itu jangan kita

lupa, seorang guru tua punya ilmu penuh di dada. Pengalamannya ibarat sebuah

kapal yang sarat dengan nakhodanya yang belayar di lautan bergelora. Menuju

pulau yang penuh harta. Harta itu adalah ilmu yang tidak dapat dibeli dengan

wang ringgit namun pernahkah kita fikirkan nasib seorang guru tua. Telah

bersara beberapa tahun, dikala usia semakin senja, tak ada siapa yang

bertanya, memberi penghargaan tak semena-mena. Kadang-kadang nama telah

tiada barulah jasa di hargai. Begitulah nasib seorang guru tua.

Wahai guru-guru muda, bangunlah kamu semua. Fikirkanlah untuk anak

bangsa tercinta. Hidup ini ibarat penglipurlara. Di dalamnya penuh dengan

sandiwara. Jangan semuanya hendak dicuba. Kelak hidup kita merana. Buatlah
sesuatu yang berharga agar anak bangsa menjadi mutiara. Kilauannya menyinar

jutaan mata, menjadi tatapan dunia, namanya dipuja di persada antarabangsa.

Begitulah hendaknya harapan kami, agar semua para guru muda tunjukkanlah

bukti, tekadkanlah hati. Segala janji hendaklah dikotakan. Tegakkanlah panji-

panji di bawah payung pendidikan yang berpaksikan kebenaran.

Wahai para ibu dan bapa. Berilah kami ruang dan masa. Andaikata kami

tersilap jangka, janganlah berburuk sangka. Hidup bersatu membawa berkat. Ke

bukit kita daki, ke lurah sama di redahi, bersusah-susah dahulu, bersenang-

senang kemudian. Kelak nanti tidaklah yang dikejar tak dapat, yang dikendong

berciciran. Jadilah kita seperti Pak Kadok dan Lebai Malang , sama-sama rugi

yang tak berkesudahan.

Kalau hari ini kita berbangga menjadi seorang menteri, tidakkah ianya

bermula dari seorang guru. Kalau hari ini kita menjadi seorang jutawan tidakkah

ianya bermula dari seorang guru. Seorang guru yang tidak kaya harta, tetapi

kaya budi bahasa. Seorang guru yang tidak punya mahligai yang indah tetapi

mempunyai jiwa yang bermadah. Seorang guru yang tidak punya wang berjuta,

tetapi hidupnya tidak meminta-minta. Andai ada yang terlupa kata, jauhilah

segala sengketa. Biar kita buruk rupa, namun jangan kita buruk budi dan bahasa.

Itulah perpatah orang tua-tua, jangan kita lupa-lupakan.


Wahai para menteri, jenguk-jenguklah kami di sini. Tanya-tanyalah

masalah kami. Jangan nanti dah terantuk baru tergadah. Para guru selalu

bermadah, jika kita selalu memberi alasan, kelak orang akan bosan. Jika kita

tiada masa, kelak kita dikejar dosa. Cubalah fikir-fikirkan. Hidup ini tidaklah lama,

entah esok, entahkan lusa, kita akan meninggalkan dunia. Maka itu janganlah

leka, berbaktilah ketika ada usia, bila kita telah tiada, nama juga disebut orang

seperti kata perpatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati

meninggalkan nama.

Pat, pat siku lipat, siapa cepat dia dapat. Begitulah rentak dunia, siapa yang

dahulu, didahulukan, siapa yang lambat jangan pandai-pandai nak ke depan.

Bila berbaris ikut barisan. Jangan kita merasa segan. Kalau tak tahu jalan,

jangan pandai-pandai tunjuk jalan. Maka sesatlah jawabnya. Anak didikku

sekalian, jika kita tak faham janganlah angguk-anggukkan kepala, nanti kelirulah

jawabnya. Maka itu fikir-fikirkanlah cakap cikgu, biar lambat asalkan faham,

berusaha dahulu pendapatan, berusaha kemudian menyesallah jawabnya.

Ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Begitulah para guru, walau diuji

sebanyak mana ujian, tidak rela ia menyerah kalah. Biar berputih tulang jangan

kita berputih mata. Ibarat masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke

kandang kerbau menguak. Ke mana-mana cikgu pergi, jagalah tingkahlaku.

Jangan asyik nak merapu. Kadang-kala fikiran jadi tak menentu, anak murid jadi
buntu, melihat cikgu senyum tersipu-sipu. Rupa-rupanya dah beli kereta baru,

maklumlah gred DG41.

Cikgu, cikgu….banyaknya kerja sekolah. Begitulah lumrah, anak murid

yang mempunyai helah. Tak pernah nak mengaku kalah. Bila ditegur, namun

tetap tak endah. Kerja sekolah tak pernah sudah. Apa nak jadi tak tahulah.

Jangan bila besar nanti mulalah hisap dadah. Hidup pun tak tentu arah.

Bermulalah agenda yang tak sudah…sudah….Pegawai Pendidikan pun mulalah

turun ke bawah. Rupa-rupanya ramai pelajar yang kena buang sekolah.

Genggam bara api biar sampai jadi arang. Menyeluk pekasam biar sampai

ke pangkal lengan. Begitulah jika kita berusaha tanpa mengenal jemu, maka

kejayaan menanti di muka pintu. Ibu tersenyum ayah terharu. Apa tidaknya,

anak dapat nombor satu. Itulah yang dikatakan anak bertuah. Menghormati ibu

bapa dan tak pernah membantah. Semua teguran tak diambil mudah. Jadi

pedoman di rumah dan di sekolah.

Betapa besar pun pengorbanan kami, namun besar lagi harapan anak

didik kami. Dimarahi, diherdik, disakiti hatinya, namun mereka tetap diam,

membisu seribu bahasa, tidak menjawab, tidak meronta. Begitulah hormatnya

mereka pada kami. Terasa hiba di hati, bila melihat kedaifan kehidupan,

kemewahan budi pekerti, mahu rasanya kami ungkapkan marilah anak didikku,

belajar mengenal diri, belajar dikasihi, belajar dihormati dan belajar


mengucapkan “Terima Kasih Cikgu”…Bangga rasa dihati, terpalit rasa dihargai

kerana hanya anak murid yang mengenal cikgunya dan hanya jauhari mengenal

manikam..”Terima Kasih Cikgu”.

Anda mungkin juga menyukai