Anda di halaman 1dari 7

Sinopsis Novel Azfa Hanani (Bab 1- 19)

Takut:
Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa
Hanani diburu rasa takut sekiranya namanya dipanggil pengetua kerana mencuri
buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya
hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak mampu untuk
membeli buku rujukan tersebut. Dia takut dibuang sekolah kerana perbuatannya
mencuri, sekali gus namanya akan tercemar. Semua terjadi disebabkan kemiskinan
keluarga pak long yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya
meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua
mahu menemuinya.

Siapa Mereka?:
Di bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran,
Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka memberitahu dirinya kembar seiras Tengku
Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan
lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah
Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya dalam album. Gambarnya
seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi anak emas
keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras,
umpama kembar.
Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah
meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni.
Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan
Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk
menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemewahan. Namun
begitu, dia akan mencuba jika diizinkan oleh pak long dan mak longnya.

Kerana Terdesak:
Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji
Arshad tiba di rumah pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak
Haji Arshad menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran
menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku
Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanya ialah
Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti
program pertukaran pelajar di Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak
mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long
dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan,
sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan
anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani
berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang
sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak
longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah
memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini boleh disembuhkan, akhirnya dia
menerima tawaran Tengku Mazran.

Seawal Kehadiran:
Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara
bertutur, makan dan bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang
dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni ketika hayatnya dahulu. Tengku
Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar Tengku Muzaffar yang
mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian berehat di
dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke
sini, bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya yang mencari
beberapa orang pelajar lelaki. Apabila Datin Maziah sudah terjaga daripada tidur,
Azfa Hanani dibawa bertemu. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku
Mazran dan Syafinaz.

Sebagai Murid Baharu:


Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia
berkenalan dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga
berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran,
selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil
Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga kini kad
pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.

Imbalan Budi:
Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia
makan bersama-sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan
menggunakan sudu dan garpu. Azfa Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku
Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz menyatakan mungkin dompet itu
telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar. Kak Finaz
meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni.
Di dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni dan dibaca diari itu
untuk mengetahui peribadi Tengku Murni.
Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan
membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar
sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan
wang ringgit. Namun dia terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di
kampung.

Kerenah Laili:
Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi
membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria,
kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah
berjaya mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan
mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan slot. Dia tidak
berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih.
Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat.
Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat
melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut
dan seharusnya soal ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.

Tertanya-tanya:
Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran.
Lidahnya menjadi kelu kala berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya
mengapa Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan
gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan, Fauziana dan
Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih
kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar
Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia menganggap tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani
menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu
membuatkan mereka begitu marah.

Ekran:
Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua
Franca. Dia pergi ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya dia
cuma beralasan untuk keluar rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran.
Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan
menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali lelaki itu. Azfa
Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran
menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan.

Meluah Rasa:
Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia
bukan Tengku Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba
kekurangan. Dia bukan anak manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa
Hanani hanya menyamar sebagai Tengku Murni untuk memenuhi janjinya kepada
Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran mereka kerana tidak
mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan
mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala
kos rawatan Zuraini yang lumpuh.
Bukan Dirancang:
Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina
mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman
Sari akan mengadakan sesi perbincangan dan latihan. Datin Maziah memberikan
persetujuan akan hasrat Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa
Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah
mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya
memperoleh keputusan cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar
menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di
rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta
Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja,
sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari
Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan
kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa
Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.

Melulu:
Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal
berlangsung sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan

menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar
orang menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk mendapatkan penjelasan
daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia bertemu dengan Laili yang tidak
berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat
Sumbangsih. Kata-kata menghina yang diucapkan Laili telah menggetarkan
perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.

Hadiah Bererti:
Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah
berjaya menjadi johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum
Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi
pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang
tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil peranan
sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang
begitu meriah. Ekran datang lewat dan hanya menyerahkan hadiah melalui pintu
pagar rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long
sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan
membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang
Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat
menghubungi kawan-kawannya di kampung.

Misteri Yang Tersimpan:


Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang
Mazran untuk menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau
perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz
memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian
telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan Azfa Hanani telefon
bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran. Azfa
Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku
Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai
kertas catatan.

Kunjungan Mengejut:
Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut
kepulangan pak long dan Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak
Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti
semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut
Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah
Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak
long dan Zuraini. Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah
mengenali keluarga mereka sebelum ini.

Hari Sumbangsih:
Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari.
Sambutan Hari Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi
pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima sibuk mengendalikan program sempena
Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam Bakat
Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani
mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa
Hanani mendesak Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri
daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran
mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan
itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir
sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan
dompet tersebut.

Terusir:
Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan
Tengku Murni. Azfa Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca
hubungan Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan teknik yang
tertentu, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari
Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar untuk
mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang
yang merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran.
Tengku Muzaffar memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku
Murni dengan Ekran kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran
daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada
keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku Muzaffar
melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran
antara mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah
apabila mendapati Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa
Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar dari rumah itu.
Hakikat:
Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar meletakkan
Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di
rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih
belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah
Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk
Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah
membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila
keluarga Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya
terbongkar rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang
telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga
mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak sampai hati
apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu
menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki
Azfa Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang
kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya,
Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.

Segala-galanya Berakhir:
Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali
ini dia mahu dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi.
Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari
Sumbangsih telah berjaya mengumpul sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan
Fauzana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang oleh
Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh.
Manakala Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di
wad ICU.
Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan
Azfa Hanani telah diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari,
Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat
Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai. Akhirnya Azfa
Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku Muzaffarlah
yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada
keluarga yang susah. Ayah dan ibuny bekerja sebagai pensyarah Universiti
Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor
falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut serta manakala adik
lelakinya menuntut di sebuah sekolah asrama penuh. Dia selesa tinggal dengan
datuk dan neneknya.

Anda mungkin juga menyukai