Anda di halaman 1dari 6

SKKB 2011

TAJUK : SAIDATINA KHADIJAH BINTI KHUWAILID

Yang dihormati tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, para guru, rakan-rakan peserta serta para hadirin yang dirahmati Allah sekalian . Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh ..

Pembuka bicara, salam sejahtera kepada semua, Saidatina Khadijah binti Khuwailid tajuk cerita, hikmah tauladan dan pengajaran hidupnya kita hayati bersama. Kenalkah rakan-rakan siapa Saidatina Khadijah binti Khuwailid itu? Mari kita dengar bersama-sama . Puisi : Tersebutlah kisah dizaman nabi, Seorang wanita berperibadi tinggi, Sungguh mulia, berketurunan yang dihormati, Sungguh istimewa bersemangat tinggi. Saidatina Khadijah adalah wanita pertama yang beriman kepada Allah S.W.T., beliau adalah isteri Rasulullah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Saidatina Khadijah digelar Ath-Thahirah iaitu wanita yang suci, kerana beliau seorang yang menjaga kehormatan dirinya serta keturunannya yang mulia dan ternama di Kota Mekah. Bapanya Khuwailid adalah daripada keturunan Qushai, manakala ibunya Fatimah binti Zaidah bin Al-Asham bin Harm bin Rawahah. Juga daripada keturunan yang mulia. Saidatina Khadijah telah berkahwin dengan Rasulullah iaitu seorang pemuda Quraisy yang paling mulia. Mempunyai keperibadian yang jujur, amanah dan berakhlak terpuji. Sehinggakan para pedagang dan seluruh masyarakat arab memuji-muji tentang keperibadian baginda.

Firman Allah, dalam Surah Al-Qalam, ayat : 4

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia

Pengajaran yang dapat kita ambil daripada keperibadian Saidatina Khadijah dan Rasulullah ialah bahawasanya manusia yang memiliki sifat dan keperibadian yang mulia serta menjaga kehormatan diri dan keluarganya akan di pandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat serta akan disayangi oleh Allah S.W.T.

Rasulullah yang bijaksana, Jujur, amanah, bersederhana, Sentiasa memelihara hak manusia, Dalam dagangan yang dipimpinnya. Perkahwinan Saidatina Khadijah dengan Rasulullah telah memajukan dan memperkembangkan lagi perdagangan miliknya. Walaupun Rasulullah masih muda tetapi kerana keluhuran dan keperibadian baginda yang tinggi dalam kehidupan dan perdagangan, telah memikat hati Saidatina Khadijah. Rasulullah terkenal sejak kecil memiliki sifat-sifat yang terpuji sehingga digelar Al-Amin. Bahkan, dalam perdagangan juga iaitu ketika baginda mengikuti bapa saudaranya berniaga diseluruh tanah Arab. Keperibadian yang mulia itu terkenal sehingga baginda meningkat dewasa.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah As-Syura ayat : 181-182

Maksudnya: Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Pengajaran yang dapat diambil daripada ayat tersebut ialah, kita hendaklah jujur didalam menguruskan perniagaan dari segi timbangan barangan serta memelihara hak pembeli dan manusi yang lain. Ini kerana, setiap manusia mempunyai hak keatas barangan yang dibelinya.

Saidatina Khadijah seorang yang setia, Sanggup berkorban harta dan nyawa, Bukan sekadar kecintaan kepada baginda, Keredhoan Allah dipohon jua. Saidatina Khadijah seorang isteri yang sentiasa menjadi perawat suka dan duka Rasulullah. Sepanjang kehidupannya bersama Rasullulah, Saidatina Khadijah begitu setia mengikuti dan menyertai setiap peristiwa dan perjuangan baginda. Samada sebelum baginda menjadi rasul atau selepasnya. Sepertimana, setiap kali Rasulullah ke Gua HIra untuk bermunajat, beliau akan menyiapkan bekalan dan keperluan Rasulullah disana. Beliau sentiasa bersabar menunggu kepulangan baginda dan apabila baginda berada di dalam kesusahan dan kegelisahan, beliau sedaya upaya akan mententeramkan dan menghiburkan baginda.

Malahan dalam peribadatan Rasulullah, Saidatina Khadijah pasti bersama untuk membantu baginda. Sebagaimana yang telah berlaku keatas baginda ketika baginda berada di dalam Gua Hira , apabila Jibril A.S datang dan memeluk baginda untuk menyampaikan wahyu pertama, iaitu Surah Al-Alaq ayat : 1- 5, Firman Allah:

Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku, dan Tuhanmu yang maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya

Ketika JIbril memeluk baginda, gementarlah seluruh tubuh dan baginda berasa amat takut. Namun Saidatina Khadijah telah menjadi penenang kepada baginda, sehingga baginda dapat menerimanya dengan mudah dan tenang. Pengajaran daripada cabaran dan kesetiaan Saidatina Khadijah itu adalah, pengorbanan dan ketaatan seorang isteri itu amat penting, malah menjadi kekuatan didalam kehidupan seorang suami. Samada, menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dan keperluankeperluan suami dengan sebaiknya.

Saidatina Khadijah pendorong utama, Sanggup berkorban jiwa dan raga, Perginya tinggal kesedihan yang ketara, Kepada pesuruh Allah yang mulia.

Saidatina Khadijah adalah pendorong dan tulang belakang didalam membantu Rasulullah berdakwah. Kegigihan dan perjuangan beliau telah tercatat di dalam sirah nabi dan sejarah Islam bahawa beliau adalah wanita pilihan, sehingga namanya disebut-sebut oleh penduduk bumi dan langit. Oleh kerana itu pemergiannya pada usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum hijrah telah ditangisi dan menjadi hari yang paling sedih dalam kehidupan Rasullah. Selain itu, tahun ke-10 kerasulan itu juga adalah tahun kesedihan bagi Rasulullah, kerana bapa saudara baginda, Abu Talib yang sentiasa melindungi dan membantu dalam perjuangan Islam juga pergi meninggalkan baginda. Allah S.W.T itu Maha pengasih dan penyayang, sebagaiman yang kita selalu lafazkan didalam kehidupan seharian, Firman Allah dalam Surah Al-Fatehah ayat : 1

Maksudnya : Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha mengasihani

Allah S.W.T tidak meninggalkan kekasihnya terus diselubungi kesedihan dan duka yang berpanjangan dengan kehilangan orang-oarang yang dikasihi baginda. Maka Allah mengembirakan hati baginda dengan berlakunya peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam. Firman Allah di dalam Al-Quran, Surah Israk ayat : 1

Maksudnya : Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa ( di palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungghnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

Peristiwa Israk dan Mikraj itu berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. Ia adalah satu perjalanan pada malam hari iaitu dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Di dalam perjalan itu, pelbagai peristiwa yang telah dirakamkan oleh Allah untuk di lihat oleh kekasihnya. Namun peristiwa yang paling penting adalah ketetapan waktu solat Fardhu Ain kepada umat Islam. Pengajaran yang dapat kita hayati dalam peristiwa kematian Saidina Khadijah dan bapa saudara baginda ialah, hidup dan mati seseorang manusia itu adalah takdir daripada Allah yang wajib diimani oleh setiap manusia, kita tidak dapat melarikan diri dan melewatkan waktu kematian kita walau sesaat. Bertaqarrublah kita kepada Allah kerana hanya kepadanya tempat kita meminta dan memohon pertolongan. Bagaimana rakan-rakan, cerita Saidatina Khadijah ini? Kesimpulan yang dapat kita ambil adalah Sesungguhnya nama Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid tercatat didalam sirah sebagai Ummul Mukminin yang sentiasa berkorban untuk agama Islam. Kesan kesetiaan beliau bukan sekadar mendorong kekuatan dan kegigihan perjuangan Rasulullah, malah membawa barakah besar kepada rumah tangga mereka dan umat Islam. Bahkan, ketaatan beliau melaksanakan perintah Allah dapat memperkembangkan lagi penyebaran Agama Islam. Sekian dahulu cerita saya pada kali ini, saya akhiri dengan serangkap pantun.. Dari Batu Pahat ke Sungai Kluang, Singgah sebentar di Pekan Senggarang, Jika ada umur yang panjang, berjumpa semula di tahun hadapan.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualikum warahmatullahi Wabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai