Anda di halaman 1dari 34

2006 Soalan 1 Islam menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sebelum campur tangan British.

Bincangkan Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Islam telah bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7 dan sepanjang abad ke-13 hingga abad ke-16 Islam tersebar secara meluas di Kepulauan Melayu. Sejak itu Islam menjadi agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu. Kedatangan Islam yang membawa peradaban yang tersendiri telah mengubah bukan sahaja anutan dan kepercayaan lama masyarakat di Tanah Melayu iaitu kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha tetapi juga turut mengubah pengaruh kedua-dua kepercayaan tersebut yang begitu dominan sebelumnya. Lantaran itulah selepas kedatangan Islam, kehidupan masyarakat di Tanah Melayu banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Namun campurtangan British pada tahun 1874 menyebabkan pengaruh Barat mula mewarnai kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Isi ( 20 Markah ) 1. Pengaruh Islam dari segi politik. - Islam membawa perubahan yang besar dalam politik di Tanah Melayu. Islam membawa perubahan ke arah corak keislaman dengan mengubah konsep dewaraja kepada doktrin kepimpinan Islam. - Institusi kesultanan yang diamalkan di empayar Islam diterima pakai oleh kerajaan di Negeri-negeri Melayu. Ini berbeza dengan pemerintahan beraja yang diamalkan sebelumnya. Konsep dewaraja dihapuskan dan diganti dengan konsep bahawa Sultan adalah khalifah di muka bumi. Sultan dianggap sebagai Amirul Mukminin, iaitu ketua kepada umat Islam. Ia secara langsung mengukuhkan taraf dan kedudukan raja-raja Melayu - Gelaran raja ditukar kepada sultan. Sultan bertindak sebagai ketua agama Islam yang bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelata. - Pengaruh Islam jelas dalam pemerintahan di Negeri-negeri Melayu apabila wujud kelompok pemimpin agama yang bertindak sebagai penasihat kepada sultan dalam halhal berkaitan hukum syarak atau yang berkaitan dengan agama Islam. Mereka terdiri daripada ahli sufi dan alim ulama yang diberi pelbagai gelaran oleh sultan seperti gelaran Imam Maharaja, Maharaja Kadi, Dato Mufti dan Seri Utama. Di Terengganu golongan agama dikenal sebagai Tokku dan keturunan mereka menggunakan gelaran Engku atau Tuan. Undang-undang - Sebelum campur tangan British undang-undang Islam telah diguna pakai di Negerinegeri Melayu walaupun ia dicampuradukkan dengan hukum adat. Para ulama memainkan peranan penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam menjadi tunjang undang-undang bertulis. Antara negeri Melayu yang menggunakan hukum syarak ialah negeri Perak, Johor, Terengganu dan Pahang. - Hukum syarak yang digunakan termasuklah undang-undang jenayah seperti hukum curi, samun, membunuh, berzina dan liwat, undang-undang muamalat seperti hukuman dan peraturan jual-beli, hutang piutang sewa tanah dan hukum berhuma, berladang, berternak, larangan melakukan kerja mungkar seperti minum arak dan tuak. Sebagai

2.

contoh Undang-undang Terengganu berdasarkan kepada Hukum Syarak (Undangundang Islam). Di Terengganu sekumpulan pegawai yang dipanggil Budak Raja, bertindak seperti polis hari ini bertanggungjawab menangkap orang yang didapati bersalah. Antara hukuman yang dijatuhkan pada abad ke-19 ialah kesalahan mencuri dikudungkan tangan, pesalah dipenjarakan, dan pembunuh dihukum bunuh serta kesalahan-kesalahan lain didenda. Undang-undang adat, iaitu Adat Temenggung yang diamalkan sebelum kedatangan Islam juga disesuaikan dengan Undang-undang Syariah (Islam). Adat Temenggung menggunakan hukum syarak yang dipetik daripada mazhab Shafie Tokoh yang memelihara undang-undang Islam ialah hakim atau kadi.

3. Adat - Islam membawa pengaruh dalam adat resam. Islam membawa nilai yang berbeza dengan sebelumnya. Penyesuaian unsur Hindu dengan Islam dilakukan untuk mengelakkan amalan ini bertentangan dengan Islam. Contohnya perkahwinan, pertabalan raja, adat turun tanah, melenggang perut, berkhatan dan sebagainya. Upacara berkhatam dilakukan bagi meraikan kanak-kanak yang telah tamat mengaji alQuran. - Adat bercukur dimulakan dengan berzanji dan marhaban, iaitu bacaan mengenai kisahkisah kelahiran dan kebesaran Nabi Muhamad SAW. Upacara ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai tanda kesyukuran. Ketika Maulidur Rasul pula akan dipersembahkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Nabi Muhammad SAW dengan diiringi paluan kompang dan permainan hadrah. - Perayaan-perayaan di istana raja juga membayangkan pengaruh Islam. Istiadat dan perayaan di istana dimulakan dan diakhiri dengan bacaan ayat-ayat al-Quran. Pegawai agama seperti imam memainkan peranan yang cukup penting dalam sebarang majlis di istana dan merekalah yang membaca doa. 4. Kepercayaan - Kedatangan Islam telah membawa kepada kepercayaan tentang keesaan Tuhan, iaitu Allah. Islam berjaya merubah falsafah hidup masyarakat dengan menolak kepercayaan kepada perkara tahyul,dongeng dan dewa-dewa. - Kedatangan Islam juga mengubah pandangan terhadap tokoh-tokoh agama Hindu, ahli sihir, dukun dan bomoh. Tempat mereka diganti dengan tokoh-tokoh Islam. 5. Ekonomi - Islam menekankan konsep dosa dan pahala dalam bidang perekonomiannya. Penganutnya dilarang melakukan pekerjaan atau perniagaan yang tidak dihalalkan oleh Islam. - Islam menekankan kepada keadilan dan membantu mereka yang miskin. Lantaran itu zakat diwajibkan dalam Islam. Zakat harta benda dan zakat fitrah diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan. Zakat dipungut oleh pemerintah. - Islam mengharamkan riba kerana riba adalah bersifat penindasan golongan kaya (pemodal) ke atas golongan miskin (peminjam) - Wujud institusi Baitulmal atau perbendaharaan negara yang berpunca daripada sumber zakat yang diwajibkan dan sedekah yang disunatkan serta daripada punca lain seperti jizyah, ghanimah, al-fai dan lain-lain.

6.

Pendidikan - Kedatangan Islam telah mewujudkan satu sistem pendidikan yang baru kepada masyarakat Melayu. - Islam telah melahirkan ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu. Islam membawa bersama ilmu pengetahuan seperti ilmu bahasa, kesusasteraan, sejarah, falsafah, akhlak, mantik dan pelbagai lagi. Kedatangan Islam juga telah melahirkan sekolah-sekolah pondok. Di sekolah-sekolah ini pelbagai mata pelajaran diajar seperti tauhid, tafsir, fekah, hadis dan lain-lain. Pengajian di sekolah pondok merupakan pendidikan tertinggi di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1850. Sekolah-sekolah pondok banyak terdapat di Kelantan, Kedah, Perak, Perlis dan Terengganu. Antara sekolah pondok yang terkenal ialah Pondok Tok Kenali di Kelantan dan Pondok Pokok Sena di Seberang Perai. - Sekolah pondok juga telah melahirkan penulis terkenal dan ulama terkemuka seperti Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi dan Haji Hasan bin Yunus di Johor Bahasa dan Kesusasteraan. - Kedatangan Islam telah memperkayakan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Dalam bidang bahasa kedatangan Islam telah memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa Melayu. Banyak perkataan dalam bahasa Melayu dipinjam dari bahasa Arab, antaranya ilmu, sultan, kitab, masjid, hisab, alam dan lain-lain. - Islam telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Bahasa kuno yang menggunakan huruf-huruf dari India ditukar kepada tulisan Arab iaitu huruf jawi. Dengan adanya tulisan jawi kemajuan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan Melayu berkembang dengan pesatnya. Pelbagai buku telah ditulis dalam tulisan jawi. Kesenian - Pengaruh Islam dapat dilihat dalam pelbagai bidang kesenian seperti senibina, epigrafi, kaligrafi, seni ukir, seni logam dan sebagainya. Ia dapat dilihat pada bangunan masjid, surau atau madrasah, istana, rumah, kota, kubah, mimbar, tempat wuduk,batu nisan dan sebagainya. - Dalam bidang seni lukis, bentuk manusia dilarang maka mereka menggunakan reka corak dan motif seperti bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan, sarang labah-labah, mihrab dan geometri. - Unsur Islam dapat dilihat pada kaligrafi atau seni khat Islam seperti khat kufi, thuluth, diwani, nasakh dan lain-lain. Seni khat ini dapat dilihat pada bangunan masjid, mata wang, pakaian, batu nisan dan sebagainya.

7.

8.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kesimpulannya, Islam mempunyai pengaruh yang besar ke atas kehidupan masyarakat Melayu. Islam telah menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, selepas campur tangan British yang memperkenalkan sistem pentadbiran, politik, undang-undang, ekonomi serta nilai-nilai Barat menyebabkan sistem Barat itu mula menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Selepas campur tangan British unsur Islam dan Barat telah menjadi unsur yang berpengaruh dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu.

Soalan 2 Galurkan tahap-tahap peluasan kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara pada penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Pendahuluan. ( 3/2 Markah ) Inggeris telah mempergiatkan usaha-usaha campur tangan di Negeri-negeri Melayu Utara (NNMU) kerana bimbang campur tangan kuasa-kuasa Barat ke atas NNMU. Beberapa perjanjian telah ditandatangani dengan Siam bagi mengukuhkan pengaruhnya di NNMU. Di antara perjanjian yang ditandatangani ialah Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909. Isi : 1. Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897. ( 5 Markah ) Perjanjian ini ditandatangani kerana Inggeris bimbang Perancis cuba meluaskan pengaruhnya sehingga ke Lembah Chao Phraya dan membina Terusan Kra. Kebimbangan Inggeris semakin bertambah apabila Jerman sedang berusaha membina sebuah pengkalan di Pulau Langkawi. Keadaan ini telah menyebabkan Inggeris terpaksa menandatangani Perjanjian Sulit dengan Siam. Menurut perjanjian ini , a ) Siam berjanji tidak akan menyerahkan sebarang kawasan ke selatan garis lintang 11U kepada kuasa lain tanpa izin daripada Inggeris. b ) Inggeris pula akan membantu Siam jika Siam diancam oleh kuasa-kuasa asing. * Menurut Tan Ding Eing dalam bukunya Sejarah Malaysia dan Singapura, perjanjian ini menandakan permulaan satu dasar Inggeris yang aktif terhadap Negeri-negeri Melayu Utara. Melalui perjanjian di atas, British telah mengakui secara tidak begitu jelas kekuasaan Siam ke atas Negeri-negeri Melayu Utara. 2. Perjanjian Sempadan Inggeris-Siam 1899 Melalui perjanjian ini, Inggeris mengiktiraf kedudukan Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan sebagai wilayah yang berada di bawah naungan Siam. Perjanjian ini bertujuan menyelesaikan masalah sempadan yang sudah lama wujud antara Perak di bawah British dengan Reman di bawah Siam. Perjanjian ini telah menetapkan sempadan di Kedah, Perak dan Pahang serta sempadan di utara Reman, Kelantan dan Terengganu. 3. Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902. ( 5 markah ) Sebab-sebab perisytiharan : a) Inggeris bimbang kuasa asing seperti Jerman di Langkawi, Rusia di Ujong Salang ( Pulau Phuket) dan Amerika di Terengganu.

b) Kegiatan R.W. Duff di Kelantan telah menimbulkan bantahan daripada Siam. Duff pula telah meminta sokongan daripada Inggeris. Beliau mengancam jika Inggeris enggan membantunya beliau akan meminta bantuan Perancis atau Jerman. c) Rusuhan di Negeri-negeri Melayu Utara akibat dasar-dasar Siam. NNMU telah meminta bantuan daripada Inggeris. Jika Inggeris enggan memberi bantuan, mereka akan meminta bantuan daripada kuasa Barat lain. d) Peranan Frank Swettenham (Gabenor NNS) . Beliau menyokong kuat tuntutan Duff kerana ingin meluaskan pengaruh Inggeris di NNMU. Beliau menasihatkan kerajaan Inggeris supaya pegawai-pegawai Inggeris yang berkhidmat di Bangkok dilantik sebagai penasihat untuk menguruskan hal-ehwal NNMU. Antara isi-isi perisytiharan : a) Penasihat-penasihat berbangsa Inggeris akan dilantik oleh Siam untuk menasihati sultan Kelantan dan Terengganu. b) Bagi Kedah pula Inggeris ingin memulihkan kedudukan kewangan Kedah. Sebagai balasan seorang penasihat Inggeris akan dilantik di Kedah iaitu J.F.Williamson. c) Kelantan dan Terengganu tidak boleh memberi konsesi-konsesi kepada orang asing tanpa persetujuan Siam. Kepentingan perisytiharan : a) Siam mengakui kewujudan kepentingan khas British di Kelantan dan Terengganu. b) Perisytiharan ini merupakan langkah yang penting dalam proses perluasan pengaruh British ke atas Negeri-negeri Melayu Utara. c) British mengakui secara jelas ketuanan Siam ke atas Kelantan dan Terengganu. d) Sultan Kelantan bersetuju menerima perlantikan Penasihat British (W.A Graham) pada tahun 1903, tetapi sultan Terengganu tidak bersetuju berbuat demikian sebaliknya baginda menolak pengisytiharan 1902. e) Pada tahun 1905, Penasihat-penasihat British dilantik di Kedah dan Perlis. 3. Perjanjian Bangkok 1909 ( 10 Markah ) a) Pakatan Inggeris-Perancis 1904 telah menamatkan persaingan mereka dan ancaman dasar perluasan kuasa Perancis di Siam dan NNMU. b) Kebimbangan campur tangan di NNMU oleh kuasa-kuasa Barat. Perancis, Rusia dan Jerman berminat membina terusan di Segenting Kra. Jerman cuba mendapat persetujuan untuk membina jalan kereta api di NNMU. c) Pembatalan hak wilayah asingan. Siam tidak berpuas hati dengan pemberian hakhak istimewa kepada Inggeris. Siam mahu menghapuskan hak-hak istimewa tersebut dan sebagai balasan akan menyerahkan NNMU yang tidak menguntungkan kepada Inggeris. d) Negeri-negeri Melayu Utara tidak menguntungkan Siam. Masalah kewangan Negeri-negeri Melayu Utara telah membebankan Siam. Contohnya Siam terpaksa memberi pinjaman sebanyak Sp $2 juta kepada Kedah. Isi-isi perjanjian : a) Siam menyerahkan NNMU kepada Inggeris. b) Inggeris menyerahkan hak wilayah asingan kepada Siam.

c) Inggeris memberi pinjaman sebanyak 4 juta pound sterling kepada Siam untuk membina landasan keretapi di NNMU. d) Perjanjian Sulit 1897 dibatalkan. Kepentingan perjanjian ini : Perjanjian Inggeris-Siam1909 termasuk penerimaan penasihat British oleh Johor pada tahun 1914 menamatkan proses perluasan kuasa British di Tanah Melayu. Perjanjian ini juga merupakan peristiwa sejarah yang penting memandangkan ia telah menentukan sempadan antara Tanah Melayu dengan Siam. Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kesimpulannya akibat beberapa perjanjian yang ditandatangani di antara British dengan Siam akhirnya Negeri-negeri Melayu Utara telah diletakkan di bawah pengaruh British. Negerinegeri Melayu Utara terpaksa menerima seorang penasihat British. Di bawah pentadbiran British Negeri-negeri Melayu Utara telah banyak menerima perubahan dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Soalan 3 Bincangkan sebab-sebab kejatuhan harga getah dan langkah-langkah mengatasinya sehingga pertengahan abad ke-20. Pendahuluan ( 3/2Markah ) Penanaman getah bermula di Semenanjung Tanah Melayu akibat kejatuhan harga kopi pada tahun 1809. Permintaan terhadap getah amat tinggi apabila penciptaan tayar vulkanis tahun 1885 dan tayar berangin tahun 1889 membolehkan pengeluaran basikal dan motorsikal dihasilkan secara besar-besaran. Galakan H.N Ridley, selaku Pengarah Taman Bunga Singapura membolehkan tanaman getah di Semenanjung Tanah Melayu berkembang sehingga menjadi 1 juta ekar menjelang tahun 1911. Namun demikian, harga getah mengalami kejatuhan mendadak pada tahun 1920 akibat kemelesetan ekonomi dunia . Pada tahun 1930-an harga getah turun lagi dengan mendadak kesan kemelesetan ekonomi dan kesan Perang Dunia Pertama. A. Faktor-faktor kejatuhan harga getah 1920an ( 5 Markah ) 1. Permintaan getah dari Amerika Syarikat berkurangan. Perusahaan getah mengalami kesukaran kerana permintaan ke atas komoditi ini berkait rapat dengan perusahaan membuat motokar dan kemerosotan ekonomi negara yang menghasilkan jentera berkenaan. Amerika Syarikat yang menggunakan kira-kira 77% pengeluaran getah dunia mula mengurangkan permintaan getah. Ini disebabkan Amerika Syarikat masih menumpukan perhatian terhadap pengeluaran alat-alat kelengkapan perang . Walaupun Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah tamat, tetapi kelengkapan perang masih diperlukan kerana keadaan dunia masih belum aman.

2. Kos pengeluaran meningkat Pengeluaran getah di Malaysia tidak berhenti walaupun permintaan semakin berkurangan. Perkara ini disebabkan pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mula mengeluarkan hasil. Apabila peperangan tamat pengeluaran getah menjadi terlalu banyak. Harga getah menjunam jatuh dari paras $ 5.50 sepaun kepada 80 sen sepaun kerana penawaran yang terlalu banyak, sedangkan kos pengeluarannya tetap tinggi antara 40 sen hingga 50 sen sepaun.

B. Faktor-faktor kejatuhan harga getah tahun 1930an ( 5 Markah ) 1. Kemelesetan ekonomi dunia Zaman kemelesetan ekonomi dunia berlaku lagi pada tahun 1930an. Pasaran lembab , pesanan berkurangan dan kejatuhan harga berlaku terhadap perusahaan getah.Ia berlaku kesan daripada Perang Dunia Pertama.

Kemelesetan ini telah menyebabkan negara-negara pengguna telah mengurangkan permintaan. Pengeluaran getah terus bertambah dan simpanan menjadi bertimbun. Akibatnya harga getah merudum jatuh kepada 7 sen sepaun pada tahun 1932.Nilai terendah yang pernah dicatat ialah 5 sen sepaun.

2. Kurangnya permintaan Amerika Syarikat Amerika Syarikat mengeluarkan 90% daripada jumlah pengeluaran kereta dunia pada tahun 1930-an serta menggunakan 75% hingga 80% daripada pengeluaran getah dunia. Pengeluaran keretanya telah merosot daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit akibat kemelesetan ekonomi yang menyebabkan permintaan kereta turut merosot. Oleh itu, permintaan tayar turut menurun kepada 4 juta unit dalam tahun 1932 berbanding 77 juta unit pada tahun 1928.Keadaan ini amat membimbangkan negara-negara pengeluar khususnya kerajaan British di Tanah Melayu . Negara-negara pengeluar seperti Tanah Melayu, Thailand, Myanmar, Indonesia, IndoChina, Sri Lanka dan India yang mengeluarkan 98.7% keluaran getah dunia pada tahun 1934 telah berusaha mengatasi masalah ini.

C. Langkah-langkah mengatasinya tahun 1920-an hingga tahun 1930-an ( 10 Markah ) 1. Rancangan Sekatan Stevenson 1922 hingga 1928 ( 5 Markah) Pada tahun 1921 Jawatankuasa Stevenson telah ditubuhkan untuk mengkaji langkahlangkah bagi mengatasi kemerosotan harga getah, Hasilnya, Rancangan Sekatan Stevenson ditubuhkan. Antara rancangannya ialah mengawal harga getah dan mengehadkan pengeluarannya. Kerajaan Tanah Melayu bersetuju mengurangkan pengeluaran getah daripada 50% kepada 35%. Langkah ini berjaya meningkatkan sedikit harga getah kepada $ 2.00 sepaun pada tahun 1922. Sabah dan Sarawak juga menyertai rancangan ini atas kehendak sendiri. Mereka diberi kuota tertentu untuk mengeluarkan getah. Sabah misalnya diberi kuota pengeluaran sebanyak 60% berdasarkan pengeluaran tahun 1920. Kemudian dinaikkan kepada 75% apabila terdapat bantahan. Rancangan ini tidak begitu berjaya kerana Belanda di Indonesia enggan menyertainya. Mereka mengambil kesempatan dengan menambah pengeluarannya pada masa ini dari 25% pada tahun 1922 kepada 40% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1928. Pada tahun 1928 harga getah jatuh lagi kerana lambakan bekalan di pasaran antarabangsa. Harganya jatuh semula kepada 35 sen hingga 40 sen sepaun pada tahun 1928.

2. Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa tahun 1934-1943 ( 5 Markah ) Tujuan utama rancangan ini ialah mengurangkan pengeluaran dan mengawal harga getah. Antara langkah-langkah yang diambil ialah dengan menetapkan kuota eksport bagi setiap negara anggota. Tanah Melayu tidak terkecuali apabila kerajaan British telah mengenakan kuota penanaman kepada pengusaha ladang supaya mengeluarkan 60% sementara pekebun kecil mengeluarkan 40%.

Sabah dan Sarawak pula menyertai rancangan ini secara sukarela. Kuota pengeluaran getah oleh Sarawak ditetapkan kepada 24 000 tan pada tahun 1934 dan bertambah pada tahun 1938 kepada 32 000 tan. Selain kuota pengeluaran ditentukan, bilangan hari yang dibenarkan untuk menoreh getah juga dihadkan. Sistem kupon diperkenalkan bagi mengehadkan jumlah getah yang boleh dijual oleh pekebun kecil.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kemelesetan harga getah telah menimbulkan kesan-kesan sosial dan ekonomi di Tanah Melayu. Pengangguran berleluasa kerana ladang-ladang besar ditutup atau mengurangkan bilangan pekerja daripada 258 000 pada tahun 1929 menjadi 145 000 pada tahun 1942. Ramai pekerja dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Namun demikian, pihak Inggeris memperkenalkan tanaman lain bagi menggantikan tanaman getah seperti kelapa sawit. Terdapat 64 000 ekar kelapa sawit ditanam pada tahun 1933.

Soalan 4 Penyerahan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946 telah menimbulkan tentangan daripada penduduk tempatan. Jelaskan. Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Pejabat Tanah Jajahan di London telah berminat campur tangan di Sarawak sejak tahun 1870-an. Vyner Brooke tidak memberi peluang kepada kerajaan Inggeris campur tangan. Pada tahun 1940 Pejabat Tanah Jajahan di London berjaya mewujudkan jawatan Penasihat Am akibat pertelingkahan yang berlaku antara Anthony Brooke dengan pegawai kanan kerajaan negeri. Selepas tamat Perang Dunia Kedua Vyner Brooke telah bersetuju berunding dengan Pejabat Tanah Jajahan bagi masa depan Sarawak. Beliau telah menubuhkan Suruhanjaya Kerajaan Sarawak bagi merundingkan rancangan penyerahan Sarawak. Pada bulan Disember 1945, Vyner Brooke telah memutuskan untuk menyerahkan Sarawak kepada Bristish tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Bartram Brooke sebagai Tuan Muda. Bagi mengesahkan keputusan penyerahan ini, Vyner Brooke memutuskan untuk mendapatkan persetujuan daripada Majlis Tertinggi Sarawak. MacBryan dilantik sebagai wakil khas Raja Brooke menjalankan tugas tersebut. MacBryan berjaya mendapat persetujuan daripada ketua-ketua Bumiputera iaitu Datu Bandar, Datu Pahlawan, dan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah. Pada 8 Februari 1946, Raja Vyner Brooke secara rasmi telah mengumumkan di London bahawa Sarawak diserahkan kepada Bristish. Isi : ( 20 Markah ) Pengumuman penyerahan Sarawak telah mengejutkan banyak pihak. Akibatnya muncul Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak yang dipimpin oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Pergerakan Pemuda Melayu (PPM), dan Barisan Pemuda Sarawak (BPS). Pemimpin PKMS Datu Patinggi Abang Haji Abdillah mula menyedari bahawa beliau telah ditipu oleh MacBryan. Beliau telah menjelaskan kedudukan sebenarnya kepada ahli-ahli PKMS. Penyerahan Sarawak kepada Britain menimbulkan bantahan terutamanya orang Melayu dan Dayak. Mereka membantah hasrat penyerahan ini yang bertentangan dengan Perlembagaan 1941. Perlembagaan 1941 menjanjikan pemberian taraf berkerajaan sendiri kepada Sarawak. Vyner Brooke juga tidak berunding terlebih dahulu dengan pemimpin tempatan. PKMS telah menghantar dua kawat bantahan kepada Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan di London dan diikuti oleh Persatuan Dayak Sarawak (PDS) Pejabat Tanah Jajahan telah meminta supaya Vyner Brooke mendapat persetujuan melalui perundingan dan demokrasi. Vyner Brooke telah merujuk kepada Council Negara yang telah bersidang selama 3 hari. Council telah meluluskan Rang Undang-undang Penyerahan di mana 18 orang ahli menyokong dan 16 ahli menentang. 18 ahli menyokong terdiri daripada wakil Eropah dan Cina serta 2 orang wakil Melayu, Iban dan 2 wakil Eropah.

10

Keputusan Council Negara adalah muktamad dan orang Melayu dan Dayak menentang keputusan ini. Rang Undang-undang Penyerahan diluluskan dan Sarawak diserahkan kepada British pada 1 Julai 1946. Sebelum ini, PKMS dan PDS berjaya memaksa Vyner Brooke membatalkan perisytiharan penyerahan Sarawak yang diumumkan di London 8 Feb. 1946. Menjelang tahun 1947, PKMS menjadi semakin lemah kerana ramai ahlinya meletak jawatan dan menyertai persatuan lain. Barisan Pemuda Sarawak (BPS) ditubuhkan di Kuching oleh sekumpulan Pemuda Melayu yang terpelajar. Mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan PKMS yang bersifat konservatif dan pasif. BPS dipimpin oleh Suut Haji Tahir sebagai Presiden dan Abang Kassim menjadi setiausaha. Di Sibu Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) ditubuhkan tahun 1946. Diketuai oleh Sirat Haji Yaman (Presiden), Awang Rambli Mohd Deli sebagai setiausaha dan Mohamad Abet sebagai Bendahari. Orang Sarawak yang berada di Singapura juga terlibat dengan gerakan Anti-Penyerahan. Mereka telah menubuhkan United Sarawak National Association (USNA) dan berpusat di Geylang, Singapura. Ia diketuai oleh Sirat Mohammad (Presiden), Awang Kipli (pengerusi), Anuar Ahmad (Setiausaha). USNA sebagai pertubuhan bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan di Sarawak. Antara pertubuhan-pertubuhan lain Anti-Penyerahan di Sarawak ialah Angkatan Semangat Anak Sarawak (ASAS), Persatuan Bumiputra Sarawak (PBS), Kaum ibu PKMS, Persatuan Melayu Miri dan sebagainya. Matlamat gerakan Anti-Penyerahan ialah menuntut Vyner Brooke dan Kerajaaan British menarik balik Rang Undang-undang Penyerahan yang telah diluluskan. Kaum ibu PKMS yang diketuai oleh Lily Eberwaine telah masuk ke kawasan pendalaman untuk mendapat sokongan kaum ibu. Begitu juga dengan PPM cuba mendapat sokongan daripada kaum Iban. Mereka telah mendapat sokongan daripada 52 orang penghulu Iban termasuk pembesarnya iaitu Temenggung Koh dan Penghulu Jugah. Pada peringkat awal gerakan Anti-Penyerahan menjalankan kegiatan mereka dengan menghantar surat dan kawat bantahan kepada kerajaan British tetapi tidak berkesan. Golongan muda dalam PKMS telah menganjurkan satu tunjuk perasaan mendesak British berundur dari serawak. Tunjuk perasaan diadakan semasa upacara pelantikan Gabenor Sarawak yang pertama iaitu Sir Charles Clarke di Istana Kuching pada 28 Okt. 1941.. Pemimpin Melayu seperti Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah memulau upacara itu. Tunjuk perasaan telah dirancangkan akan diadakan pada setiap tahun yang akan disertai oleh PKMS dan PDS. Gerakan ini semakin merebak dan mendapat sokongan seluruh negeri. Terdapat ahli pertubuhan ini terdiri daripada kakitangan kerajaan terutama dalam kalangan guru. Kerajaan British telah memberi amaran kepada kakitangan kerajaan melalui surat Pekeliling No.9 pada bulan Disember 1946. Surat pekeliling ini mengingatkan kakitangan awam supaya memberi kesetiaan kepada kerajaan dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan gerakan Anti-Penyerahan. Surat Pekeliling No.9 gagal menakutkan kakitangan kerajaan dan seramai 338 kakitangan kerajaan telah meletakkan jawatan yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Pelajaran, Pos dan Telegraf, Kastam, Cetak, Ukur Tanah dan Bomba. Golongan terbesar yang meletakkan jawatan adalah guru-guru Melayu. Akibatnya, 22 buah sekolah Melayu terpaksa ditutup. Pihak British telah mengadakan kempen memburukkan para perjuang gerakan AntiPenyerahan dan menuduh perjuangan mereka semata-mata untuk mengekalkan hak keistimewaan orang-orang Melayu yang bertujuan mencetuskan perselisihan faham antara

11

orang Melayu dengan orang Dayak. Ini menyebabkan gerakan Anti-Penyerahan menjadi semakin lemah. Pada 20 Ogos 1948, golongan muda PPM Sibu telah berkumpul secara sulit yang dikenali sebagai Rukun Tiga Belas. Kumpulan ini diketuai oleh Awang Rambli Mohd Deli. Kumpulan Rukun Tiga Belas merancang membunuh Gabenor dan beberapa pegawai Eropah dan pemimpin Melayu yang bersubahat dengan British. Di Sibu, Rukun Tiga Belas merancang membunuh Sir Charles Arden Clarke Gabenor British yang pertama di Sarawak tetapi tidak sempat kerana beliau telah berpindah ke Nigeria dan digantikan oleh Sir Duncan Stewart. Roslie Dhobie dan Morshidi Sidek ditugaskan membunuh gabenor. Pada 3 Dis. 1949, Sir Duncan Stewart telah mengadakan lawatan ke Sibu. Sebaik sahaja sampai di Sibu, Roslie Dhobie menerkam dan menikam Gabenor Stewart dengan sebilah pisau menyebabkan beliau mati. Roslie Dhobie dan Morshidi telah ditangkap dan dihukum bunuh. Pihak British telah mengambil kesempatan daripada peristiwa dengan menghapuskan semua bentuk gerakan Anti-Penyerahan. Ahli Rukun Tiga Belas telah dijatuhi hukuman mati atau dipenjarakan. Awang Rambli dan Bujang Suntong telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 23 Mac 1950. Abang Han dipenjara 15 tahun, Ahmad Hj. Abu Bakar dipenjara 7 tahun dan Awang Osman Mohammad dan Wan Zain Abdullah dijatuhi hukuman penjara 5 tahun. Anthony Brooke juga merayu kepada orang Melayu supaya menghentikan penentangan. Beliau telah menghantar surat kepada PKMS. Semua tindakan British ini telah berjaya melumpuhkan gerakan Anti-Penyerahan.

Kesimpulan. ( 2/3 Markah ) Gerakan Anti-Penyerahan gagal kerana tidak menerima sokongan yang meluas daripada penduduk Sarawak. Mereka juga tidak mempunyai kesatuan yang kuat dan tidak mengatur strategi dengan berkesan. Mereka juga tidak mempunyai pemimpin yang berkebolehan. Akibatnya dengan mudah British menghapuskan gerakan Anti-Penyerahan ini. British tetap kekal berkuasa di Sarawak sehingga tahun 1963.

12

Soalan 5 Huraikan kesan-kesan Darurat di Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga 1960 Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Peristiwa perisytiharan darurat di Tanah Melayu pada 1948 adalah berikutan keganasan pihak komunis (PKM).Keganasan ini berpunca daripada cita-cita PKM untuk meneruskan misi membentuk Republik Komunis di Tanah Melayu. Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948, berikutan pembunuhan tiga orang peladang Eropah.. Berikutan dengan ini maka bermulalah secara rasminya peperangan menentang pengganas komunis di Tanah Melayu. Isi ( Kesan-kesan darurat ) Kesan Politik ( 8 Markah ) 1. Mempercepatkan proses kemerdekaan Tanah Melayu. Pada peringkat awal, darurat menjadi alasan kepada British melambatkan proses politik dan perlembagaan di Tanah Melayu kerana British terpaksa memberi tumpuan untuk membanteras kegiatan komunis. Namun setelah pihak British sedar bahawa mereka perlu menarik sokongan rakyat untuk menghadapi masalah komunis maka British telah mempercepatkan proses persediaan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu. Kerajaan British bimbang Tanah Melayu akan diperintah oleh pihak komunis jika mereka lambat memberi kemerdekaan . Pihak komunis tiada alasan lagi untuk meneruskan perjuangan mereka.

2. Parti-parti politik berhaluan kiri diharamkan Ini termasuklah PKM dan dan parti-parti yang dilihat bersimpati dengan perjuangan PKM. Antara parti-parti yang dibubarkan ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dan beberapa badan lain seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang kemudiannya bergabung menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). British hanya membenarkan parti politik berhaluan sederhana seperti UMNO, MCA dan MIC. Ramai pemimpin berhaluan kiri diberkas dan dipenjarakan seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad.

3. Menjelang 1950-an, kegiatan berpolitik mula dilonggarkan

13

Lahir beberapa buah parti politik seperti Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Para pemimpin politik berhaluan kiri juga membuat persiapan untuk bergerak semula dalam kegikatan politik dengan menubuhkan Parti Buruh dan Parti Rakyat. Kejayaan pakatan kerjasama UMNO, MCA, MIC melalui Perikatan dalam pilihanraya Persekutuan pada Julai 1955, membawa kepada bermulanya rundingan kemerdekaan.

Kesan Ekonomi ( 6 Markah ) 1. Beban kewangan yang besar terpaksa ditanggung oleh kerajaan Membelanjakan sebanyak $ 250 000 - $ 300 000 sehari bagi tujuan keselamatan untuk membanteras pemberontakan bersenjata PKM. Kewangan juga banyak digunakan untuk membangunkan kampung-kampung baru. Ini menimbulkan beban kewangan yang teruk untuk kerajaan menjalankan rancangan pembangunan. Sehingga 1953, Tanah Melayu mengalami defisit belanjawan sebanyak $ 1.46 juta.

2. Kesan kegiatan sabotaj pihak komunis Ladang getah dan lombong bijih timah menjadi sasaran bagi tujuan melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Serangan ke atas landasan keretapi dan kenderaan awam memberi kesan kepada sistem perhubungan dan menjejaskan kegiatan perdagangan.

3. Perintah Berkurung Perintah berkurung telah mengehadkan masa penduduk Tanah Melayu untuk keluar bekerja. Ia juga telah mengganggu kelicinan perdagangan. Pihak komunis juga telah menakut-nakutkan penduduk supaya tidak keluar bekerja memberi kesan buruk kepada ekonomi Tanah Melayu.

4. Penubuhan penempatan semula kampung-kampung baru Banyak kerja dan hasil pertanian di pinggir-pinggir hutan terbiar, apabila penduduknya dipindahkan ke kawasan lain. Ini telah menyebabkan berlaku masalah kekurangan makanan dan catuan makanan terpaksa dilakukan.

Kesan Sosial ( 6 Markah ) 1. Rakyat hidup dalam penderitaan. - Kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan bergerak. - Terpaksa bergantung kepada semua sumber makanan yang ada temasuk ubi kayu dan keledek, seperti yang dialami semasa zaman Jepun 2. Undang-undang darurat menyebabkan ada individu yang teraniaya.

14

Kerajaan berkuasa menangkap tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki dan dianggap mengancam keselamatan Negara. Ini menyebabkan terdapat mereka yang tidak bersalah juga menjadi mangsa ekoran dari tertubuhnya undang-undang darurat ini. Kerajaan British juga telah mengambil kesempatan ke atas undang-undang ini untuk menyekat dan melemahkan gerakan kebangsaan yang bersifat anti penjajah walaupun bukan berfahaman komunis. Contohnya pada tahun 1948, kerajaan telah menangkap sebilangan besar pemimpin Hizbul Muslimin yang berpusat di Gunung Semanggol dengan menggunakan peruntukan di bawah Undang-undang Darurat. 1948.

3. Syarat kerakyatan yang longgar untuk orang bukan Melayu 1952. Untuk menarik minat orang bukan Melayu memberi kerja sama dalam memerangi komunis, kerajaan telah melonggarkan syarat kerakyatan. Ini membolehkan seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 000 orang India diterima menjadi warga negara Tanah Melayu. Jawatan dalam Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang sebelum ini dikhaskan untuk orang British dan Melayu sahaja dibuka kepada orang bukan Melayu yang menjadi warga negara, dengan sistem kuota 4:1. Mereka juga diberi hak untuk memiliki tanah dan menikmati kemudahan pelajaran dan kesihatan di kawasan kampung-kampung baru.

4. Masalah perkauman Ini muncul kerana sebilangan besar pengganas komunis adalah orang Cina dan ramai orang Melayu yang berkhidmat dengan pasukan keselamatan Oleh itu , tindakan memerangi komunis seolah-olah dilihat sebagai peperangan antara orang Cina dengan orang Melayu.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Pada tahun 1955, ketua Menteri Tunku Abdul Rahman telah menawarkan rundingan dengan PKM. Rundingan telah diadakan di Baling, Kedah tetapi gagal. PKM meneruskan perang gerila di Tanah Melayu bagi membentuk sebuah republik komunis. Namun pada masa yang sama, kerajaan terus meningkatkan usaha membanteras pemberontakan komunis. Oleh itu, kegiatan komunis mulai merosot. Pada tahun 1960, kerajaan telah mengisytiharkan tamatnya darurat di seluruh Negara.

15

Soalan 6 Mengapakah dasar luar Malaysia dari tahun 1957 hingga tahun 1963 bersifat pro-Barat dan anti-Komunis Pendahuluan. ( 3/2 Markah ) Sejak mencapai kemerdekaan Malaysia memainkan peranan yang aktif dalam hubungan antarabangsa. Dasar luar yang aktif dilaksanakan bagi memastikan keamanan, kedaulatan dan kebebasan negara terpelihara. Hubungan luar yang baik juga akan menjamin kemakmuran ekonomi negara terpelihara. Biar apa pun dasar luar Malaysia di antara tahun-tahun 1957 hingga tahun 1963 atau era kepimpinan Tunku Abdul Rahman adalah bersifat pro-Barat dan antiKomunis. Isi 1. Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan mengharapkan bantuan, kerjasama dan hubungan yang erat dengan Bitish. ( 3 Markah ) Malaysia menjalinkan hubungan yang rapat dengan negara-negara bekas tanah jajahan British (Komanwel) Menganggap British sebagai Bapa yang harus dihormati dan disegani Merasakan kemerdekaan dicapai kerana kemurahan hati dan restu kerajaan British.

2. Soal Keselamatan Negara. ( 4 Markah ) Tanah Melayu meletakkan tanggungjawab pertahanan kepada pihak British melalui perjanjian pertahanan yang ditandatangani dengan Britain pada tahun 1957 (AMDA). AMDA (Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya) melalui perjanjian ini Britain memberi jaminan akan membantu mempertahankan Tanah Melayu daripada ancaman dan pencerobohan luar. AMDA sangat bermakna kepada Tanah Melayu terutamanya ketika pencerobohan tentera Indonesia (Konfrontasi Indonesia). Pada ketika itu tentera British dan negara Komanwel banyak membantu Tanah Melayu. AMDA sangat bermakna kepada Tanah Melayu kerana ketika itu pertahanan Tanah Melayu tidak kuat. Tanah Melayu hanya mempunyai satu pasukan Regimen Melayu Diraja dan tidak mempunyai tentera laut dan darat. Keadaan ini sudah tentu Tanah Melayu tidak mampu untuk menghadapi sebarang pencerobohan asing.

3. Ideologi dan sistem pemerintahan barat sealiran dengan Tanah Melayu ( 4 Markah ) Tunku Abdul Rahman seorang yang bersikap anti-komunis. Beliau enggan menjalinkan hubungan dengan negara komunis seperti Russia dan China.

16

Tunku mengisytiharkan sikap tidak berkecuali dalam soal perang dingin dengan menyokong negara demokrasi barat (Britian dan Amerika Syarikat) dan menentang negara komunis (Russia dan China). Tunku menyokong negara Vietnam Selatan yang sedang berperang dengan negara Vietnam Utara yang dikuasai oleh komunis. Tunku menjemput pemimpin Vietnam Selatan melawat Tanah Melayu sebagai tanda persahabatan dan sokongannya terhadap Vietnam Selatan. Tunku menentang konsep dua China dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tunku tidak mengiktiraf Republik Rakyat China sebaliknya mengiktiraf China Taipeh (Taiwan) Tunku juga mengutuk penaklukan China ke atas Tibet dan permusuhan China dengan India. Tunku mewujudkan Tabung Menyelamat Demokrasi bagi mengutip bantuan kewangan untuk membantu India mempertahankan diri daripada serangan China.

4. Pengalaman menghadapi ancaman komunis di Tanah Melayu. ( 3 Markah ) PKM telah bertindak ganas untuk mengulingkan kerajaan yang dipimpin oleh Tunku melalui cara kekerasan. PKM enggan mengiktiraf kerajaan Tanah Melayu yang dipimpin oleh Tunku. PKM telah menghasut rakyat untuk mengadakan mogok yang menimbulkan kesukaran ekonomi kepada Tanah Melayu. Keganasan yang dianjurkan oleh komunis bukan sahaja memusnahkan ekonomi tetapi menggangu keamanan dan kehidupan rakyat. Kerajaan Tanah Melayu terpaksa mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 bagi mengawal keganasan komunis. Tunku telah menolak tuntutan PKM supaya ia diiktiraf sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah dalam Rundingan Baling. Ini menjadikan faktor kegagalan Rundingan Baling.

5. Kepentingan Ekonomi Tanah Melayu ( 3 Markah ) Tanah Melayu mewarisi sistem ekonomi yang berasaskan bijih timah dan getah. Sistem ekonomi Tanah Melayu adalah sistem ekonomi warisan British. Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tetapi British masih menguasai agensiagensi dan syarikat perdagangan utama di Tanah Melayu. Ekonomi Tanah Melayu bergantung kepada barat, ini kerana bijih timah dan getah dari Tanah Melayu di eksport ke Britain dan Amerika Syarikat. Tanah Melayu terpaksa berhati-hati dalam hubungan dagang dengan kedua-dua kuasa besar itu kerana bimbang mereka akan melepaskan stok penimbal getah dan bijih timah di pasaran antarabangsa. Jika ini berlaku ia akan mengakibatkan kejatuhan harga barangan tersebut dan sudah tentu menjejaskan ekonomi Tanah Melayu. Ini memandangkan 85% hasil ekspot negara datangnya daripada bijih timah dan getah. Selain itu 69% rakyat negara ini pada ketika itu terlibat dalam sektor ini.

6. Keperibadian Tunku Abdul Rahman ( 3 Markah ) Tunku dibesarkan dalam suasana kebaratan dan mendapat pendidikan di Britian. Latar belakang beliau yang sedemikian sudah tentu akan mempengaruhi dasar luar Tanah Melayu yang bersifat kebaratan. Tunku pernah menyatakan bahawa Tanah Melayu akan timbul dan tenggelam dengan barat

Kesimpulan ( 2/3 Markah )

17

Jelaslah bahawa dasar luar Tanah Melayu di antara tahun-tahun 1957 hingga 1963 bersifat pro-barat dan anti-komunis. Walau bagaimanapun selepas era kepimpinan Tunku dasar luar negara kita telah berubah. Tun Abdul Razak yang mengambil alih kepimpinan negara telah mengubah dasar luar negara daripada bersifat terlalu pro-barat kepada dasar berbaik-baik dengan semua negara dan berpegang kepada konsep berkecuali dalam menghadapi pertelagahan kuasa besar. Dasar ini bertujuan untuk mengelak negara daripada terlibat dalam kancah persengketaan kuasa-kuasa besar. Soalan 7 Huraikan struktur masyarakat feudal di Vietnam dan Thailand sebelum perluasan pengaruh Barat.

Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Sebelum perluasan pengaruh barat, bentuk masyarakat di Vietnam dan Thailand adalah bersifat feudal. Sistem feudal merupakan satu bentuk masyarakat yang bersusun lapis mengikut hierarki. Dalam hierarki itu wujud dua kumpulan ialah golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan yang memerintah terdiri daripada raja, anak-anak raja/kerabat diraja, pembesar atau bangsawan manakala golongan yang diperintah pula terdiri daripada rakyat jelata. Hubungan dua kumpulan ini adalah bersifat timbal balik (patron-clien atau penaung-pelanggan), iaitu golongan memerintah memberi perlindungan kepada golongan yang diperintah manakala golongan yang diperintah pula memberi perkhidmatan kepada golongan yang memerintah. Golongan yang diperintah juga harus memberi taat setianya kepada golongan diperintah dan sentiasa akur dengan kehendak golongan berkenaan. Isi ( 20 Markah) A. Vietnam ( 8 Markah ) Dalam struktur feudal di Vietnam Maharaja menduduki hierarki tertinggi,ia kemudian diikuti oleh golongan cendekiawan-pentadbir dan di bawah rakyat jelata atau petani. i. Maharaja

Maharaja berada di puncak kekuasaan. Sistem Maharaja Vietnam menerima pengaruh China dengan mengamalkan konsep mandat dari syurga. Melalui konsep mandat dari syurga maharaja harus dihormati kecuali maharaja kehilangan mandat dari syurga. Seseorang Maharaja harus mempastikan kesejahteraan negara dan rakyatnya dengan memberi contoh yang baik terhadap rakyatnya. Ini bertepatan dengan falsafah Confucius, seseorang pemerintah samalah seperti angin dan sifat rakyatnya pula seperti rumput, rumput akan tunduk mengikut arahan angin bertiup.. Walaupun pada prinsipnya Maharaja mempunyai kuasa mutlak tetapi Quan/Mandarin telah dilantik untuk membantu tugas-tugas pentadbiran Maharaja. Tugas maharaja tertumpu kepada upacara adat resam tradisional sahaja. Mengabaikan upacara-upacara tersebut menyebabkan negara mengalami kecelakaan Maharaja yang bertindak tidak adil akan kehilangan mandat dari syurga dan ketika itu penentangan daripada rakyat adalah wajar Setiap Maharaja Vietnam ditabalkan oleh wakil maharaja China sebelum dianggap sebagai maharaja yang sah dan berwibawa

18

ii. Quan atau Mandarin Golongan cendekiawan-pentadbir menduduki hierarki kedua selepas maharaja. golongan ini digelar Quan atau Mandarin. Golongan ini terdiri daripada mereka yang berpendidikan. Kedudukan mereka penting kerana masyarakat Vietnam menekankan taraf pendidikan dan ijazah dalam perlantikan ke perkhidmatan awam. Tahap pendidikan yang menentukan seseorang itu menjadi pegawai atau pekerja bawahan. Seseorang hanya boleh dilantik menjadi pegawai kerajaan setelah lulus peperiksaan Confucius Quan mempunyai bidang kuasa yang besar dan berpengaruh. Mereka akan menentukan beberapa aspek kehidupan rakyat termasuk keluasan rumah, bentuk dan warna pakaian yang mesti dipakai serta upacara kagamaan yang berkaitan dengan pengkebumian. Kelompok Quan bukanlah bersifat warisan. Ia bersifat terbuka kepada sesiapa sahaja dengan syarat memiliki tahap pendidikan yang berasaskan pendidikan Confucius. Walaupun Quan bersifat terbuka tetapi sebilangan kecil sahaja rakyat biasa yang berpeluang menjadi Quan. Ini kerana pencapaian akademik di peringkat daerah atau pusat hanya terbatas kepada rakyat yang mempunyai harta dan masa untuk belajar. Quan bertindak sebagai pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas-tugas maharaja. mereka bertanggungjawab kepada maharaja yang melantik dan boleh memecat mereka. Golongan Quan mendapat sokongan dan sanjungan daripada rakyat serta sangat dihormati Dalam masyarakat Vietnam tidak ada golongan bangsawan, ini kerana maharaja Gia Long telah menghapuskan keistimewaan yang dipegang oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja. Mereka tidak dibenarkan memiliki ladang yang besar dan memungut cukai. Menurut Buttinger, masyarakat Vietnam tidak mempunyai bangsawan yang menjadi tuan-tuan tanah serta kapitalis perusahaan. Golongan Mandarin yang benar-benar memegang kuasa.

ii. -

Rakyat jelata-petani

Mereka menjalankan kegiatan ekonomi saradiri seperti menanam padi sawah. Setiap unit kampung mampu mengeluarkan segala yang dikehendaki Tiap-tiap kampung terlibat dalam pengkhususan sesuatu perusahaan kampung seperti menenun atau membuat pertukangan tangan. Sumbangan petani sangat penting dalam menyediakan makanan kepada rakyat memandangkan Vietnam mengamalkan dasar tutup pintu.

B. Thailand ( 12 Markah ) Negara Thai seperti juga negara-negara lain di Asia struktur masyarakatnya bersusun lapis di bawah sistem feudal. Terdapat empat susun lapis dalam masyarakat feudal di Thai iaitu terdiri daripada raja diikuti nai, phrai dan that. Masyarakat Thai menerima kedudukan mereka dalam struktur sosial di Thai kerana mereka berpegang kepada konsep bun (pahala) dan bab (dosa).

19

Melalui konsep bun dan bab mereka menerima bahawa kedudukan serta keadaan hidup seseorang itu telahpun ditetapkan oleh segala tindak-tanduk mereka semasa mereka hidup.

i. Raja Raja menduduki hierarki tertinggi dalam struktur sosial di Thai dan dianggap mampu memberi perlindungan kepada rakyatnya Raja berkuasa mutlak ke atas semua yang ada di muka bumi Thai termasuklah menentukan hidup atau mati seseorang rakyat. Raja dianggap sebagai devaraja yang bermaksud raja Tuhan dan memerintah mengikut dharmaraja. Oleh itu rakyat harus tunduk kepada raja. Raja memiliki alat kebesaran dan gajah putih yang dianggap mempunyai kuasa ghaib, lantaran itu rakyat tidak dibenarkan memiliki binatang tersebut. Oleh kerana gajah putih dianggap mempunyai kuasa ghaib maka rakyat diminta mencari gajah putih dan sesiapa yang berjaya menangkap gajah putih maka mereka akan diberi pelbagai hadiah seperti emas, sebidang tanah yang luas dan bebas membayar cukai kepala seumur hidup. Oleh kerana dianggap lambang kosmos (ketuhanan) maka istana raja dianggap sebagai Gunung Meru, yang menjadi pusat kawalan cakerawala yang dianggotai oleh manusia dan dewa-dewa yang pelbagai peringkat

ii. -

Nai Nai merupakan golongan kedua penting selepas raja Mereka terdiri daripada Khunnang (pembesar/bangsawan) dan berperanan sebagai pemimpin masyarakat. Mereka juga berkuasa mentadbir daerah sebagai wakil raja. Mereka juga harus memberi perlindungan kepada golongan phrai dan pharai pula harus memberi perkhidmatan kepada nai seperti mengusahakan tanah dan memberi perkhidmatan tentera semasa peperangan. Nai harus bertanggungjawab ke atas kehidupan phrai termasuk keluarganya. Nai yang gagal menjaga kebajikan phrai boleh dikenakan denda berdasarkan sakdinanya Hubungan nai-phrai lebih kepada hubungan patron-clien(penaung-pelanggan) Seseorang nai boleh mendaftar seberapa banyak phrai berdasarkan sakdinanya (markah darjat), contohnya raja muda (uparat) mempunyai 100,000 sakdina. Sakdina juga menentukan keluasan tanah yang boleh dimiliki. Semakin tinggi sakdina seseorang nai maka semakin banyaklah phrai yang boleh didaftar di bawahnya.

iii. -

Phrai Phrai ialah golongan lelaki rakyat bebas dan mereka dikehendaki mendaftar dengan seseorang nai. Phrai yang gagal mendaftar dengan nai dianggap oleh undang-undang Thai sebagai penjenayah atau orang buangan masyarakat yang tidak mempunyai hak atau harta.

20

Mereka tidak mendapat perlindungan undang-undang dan selalunya dibunuh sewenangwenengnya. Phrai terbahagi kepada tiga iaitu phrai luang, phrai som dan phrai suai. Phrai luang merupakan phrai yang tertinggi kerana mereka phrai di bawah raja atau dengan kata lain rajalah yang menjadi nainya. Raja harus memiliki pharai luang yang ramai kerana bilangan phrai yang ramai akan dapat mengukuhkan kedudukannya Kadang-kadang phrai luang diserahkan oleh raja kepada Khunnang (nai) untuk untuk menjaga kebajikan mereka. Phrai som merupakan phrai yang kedua selepas phrai luang. Mereka harus mendaftar kepada khunnang secara rasmi. Mereka juga boleh dipanggil untuk memberi perkhidmatan kepada raja. Bilangan phrai som juga akan menentukan kekuasaan Khunnang. Oleh itu Khunnang akan menambah bilangan phrai som untuk mengukuhkan kedudukannya. Phrai yang ketiga ialah phrai suai. Ia didaftarkan di willayah yang jauh dari ibu kota. Tugasnya mencari bahan-bahan mentah dan hasil pungutan di hutan untuk dijual di ibu kota. Bahan-bahan ini dipanggil suai bagi menggantikan perkhidmatan lain

iv. That Golongan yang terakhir dalam struktur sosial di Thai ialah that. That adalah hamba kepada golongan nai dan phrai yang kaya. Mereka adalah golongan yang tidak bebas tetapi berhak memiliki tanah dan harta. Tuan punya that tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas kehidupan that kerana undangundang melindungi mereka daripada tindakan kejam tuannya. That terbahagi kepada dua iaitu that belenggu hutang dan that tawanan perang. Selalunya that di Thai tidak mahu membebaskan diri walaupun mereka mampu membebaskan diri. Ini kerana mereka lebih suka mengekalkan kedudukan mereka sebagai that keranan kehidupan seseorang that lebih senang daripada seorang phrai biasa. Di Thai terdapat satu lagi golongan yang dikecualikan daripada sistem ini iaitu Sangha. Sangha mempunyai kedudukan yang tinggi kerana mereka dipandang sebagai insan yang mulia kerana ketinggian ilmu keagamaan mereka. Sangha berperanan sebagai pengajar yang memberi tunjuk ajar kepada masyarakat dalam soal agama.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Perluasan pengaruh barat telah menyebabkan Sistem Feudal telah dihapuskan. Di Vietnam Perancis telah menghapuskan Sistem Feudal, peranan golongan memerintah yang selama ini dikuasai oleh Maharaja dan Quan telah diganti dengan pegawai-pegawai Perancis. Peranan Maharaja dalam pemerintahan dan perlantikan pegawai berasaskan kelulusan peperiksaan Confucius telah dihapuskan sebaliknya pegawai-pegawai yang dilantik adalah berasaskan pendidikan barat. Di Thailand pula, untuk menghadapi pengaruh kuasa barat dan mengekalkan kemerdekaannya menyebabkan Raja Mongkut memodenkan negaranya dengan mengubah sistem sedia ada kepada sistem barat.

21

Soalan 8 Bincangkan dasar isolasi yang diamalkan di China dan Jepun sehingga pertengahan abad ke-19. Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Dasar isolasi disebut juga sebagai dasar pintu tertutup atau pemencilan diri. Dasar ini merujuk kepada pendirian sesebuah negara yang tidak membenarkan campur tangan dan kemasukan pengaruh luar khususnya negara-negara Barat ke negara mereka. Tujuan dasar ini diamalkan adalah untuk mengelakkan campur tangan kuasa asing dalam sistem politik, ekonomi dan sosial. Antara contoh yang paling jelas dalam memperlihatkan kewujudan dasar isolasi ialah dasar yang diamalkan oleh China dan Jepun sehingga pertengahan abad ke-19. Isi ( 20 Markah ) Dasar isolasi di China ( 10 Markah ) - Sejak pertengahan abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-19 apabila Mancu mengambil alih pemerintahan China, mereka mengamalkan dasar isolasi. Walau bagaimanapun, perdagangan terhad dijalankan dan diawasi rapi oleh kerajaan China - Sebab-sebab China mengamalkan dasar isolasi : a. Negara China beranggapan bahawa kuasa Barat adalah tidak setanding dengan mereka yang dikenali sebagai Middle Kingdom.China yang sangat dipengaruhi oleh ajaran Confucius menganggap negaranya sebagai Chung Kuo atau pusat tamadun yang termasyhur dan termaju di dunia. Negara-negara lain dianggap pembawa ufti yang rendah martabatnya. b. Kerajaan China enggan menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar persamaan taraf dengan kuasa-kuasa Barat yang dianggap sebagai orang gasar atau barbarian iaitu tidak mempunyai tamadun dan sebagai hantu asing. Mereka mesti menerima kedaulatan, kekuasaan, dan ketuanan negara China yang lebih unggul melalui adat sujud atau kowtow dan pembayaran ufti. c. Kerajaan China mengamalkan sistem sara diri yang merasakan bahawa hubungan dengan luar tidak diperlukan sebab segala keperluan mereka dapat diperoleh dari dalam negara mereka sendiri. Mereka tidak memerlukan barangan dari luar sebab sumber barangan sama ada makanan atau keperluan seharian dapat diperoleh dengan mudah. d. Malahan masyarakat China menganggap kegiatan perdagangan merupakan satu pekerjaan yang sangat menghinakan. Justeru, perdagangan tidak digalakkan terutamanya dengan kuasa-kuasa Barat. Sebarang urusan perdagangan sekiranya ada akan diawasi dengan ketat oleh kerajaan China.

22

e. Kerajaan China bimbang dengan kemasukan pihak luar terutama kuasa Barat akan campur tangan dalam politik tempatan. Mereka juga bimbang budaya dan agama tempatan akan terjejas apabila pihak Barat campur tangan. Agama Kristian yang dibawa oleh Barat akan menyebabkan agama tradisi menerima ancaman. f. Sistem perundangan China bertentangan dengan sistem perundangan Barat. Dalam sistem perundangan China berdasarkan prinsip-prinsip bahawa seseorang yang didapati melakukan kesalahan dianggap bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah dan menitikberatkan tanggungjawab kumpulan. Semua ini jauh berbeza dengan sistem perundangan Barat yang menegaskan tanggungjawab individu dan segala kesalahan mesti dibuktikan. Pada pertengahan abad ke-18 Maharaja Chien Lung telah mengeluarkan satu dekri untuk mengehadkan perdagangan orang-orang Barat di China. Kerajaan China telah mengeluarkan Lapan Peraturan yang telah ditetapkan dan mesti dipatuhi oleh pedagang asing iaitu : a. Orang-orang Barat hanya dibenarkan berdagang di pelabuhan Canton sahaja. Pelabuhan-pelabuhan lain tidak dibenarkan. b. Orang-orang Barat dikehendaki berdagang melalui Cohong yang merupakan wakil perdagangan yang dilantik oleh kerajaan China untuk mengendalikan perdagangan dengan orang asing. c. Cohong bertanggungjawab memonopoli perdagangan, mengenakan tarif perdagangan serta menguruskan pengedaran barang dagangan. d. Saudagar-saudagar Barat dilarang mengahwini wanita tempatan. e. Saudagar-saudagar Barat tidak dibenarkan membawa masuk isteri dan senjata api ke China. f. Saudagar-saudagar Barat dikehendaki pulang ke Macau setelah tamat musim perniagaan. g. Orang-orang asing juga tidak dibenarkan mempelajari Bahasa Cina. h. Orang-orang asing tidak dibenarkan menggunakan sungai dengan bebas. Mereka hanya dibenarkan melawat Flozver Garden sahaja. Peraturan-peraturan perdagangan yang ketat ini menyukarkan pihak Barat untuk berdagang di China.Tindakan ini jelas membuktikan bahawa China sememangnya tidak memerlukan barangan Barat. Sebaliknya, orang-orang Barat sangat memerlukan barang-barang dari China terutamanya teh, sutera dan tembikar. Justeru, hubungan dengan China perlu diteruskan. Pelbagai usaha dilakukan untuk mewujudkan hubungan perdagangan yang baik antara China dan pihak Barat khususnya Inggeris. Namun, semua usaha yang dilakukan ternyata gagal untuk mendapat kerjasama dari negara China Inggeris terpaksa menggunakan kekerasan untuk mengubah dasar luar negara China. Kedegilan China dan tindak balas Inggeris menyebabkan tercetusnya Perang Candu Pertama pada tahun 1839 dan berakhir melalui Perjanjian Nanking pada tahun 1842. Perjanjian ini membuktikan kelemahan negara China yang terpaksa akur dengan tuntutan Inggeris. Secara tidak langsung Inggeris telah berjaya menamatkan dasar isolasi negara China yang telah diamalkan berkurun lamanya. Dasar Isolasi di Jepun ( 10 Markah ) Jepun telah menjalankan dasar isolasi yang relatif dari dunia luar selama kira-kira 250 tahun. Soghun Tokogawa telah mengamalkan dasar isolasi sejak tahun 1638. Menurut dasar

23

ini, orang Jepun dilarang menjalinkan hubungan perdagangan dengan kuasa-kuasa asing khasnya kuasa-kuasa Barat. Pedagang-pedagang luar juga tidak boleh berdagang di Jepun. Boleh dikatakan bahawa sehingga tahun 1850-an tidak terdapat pedagang asing di Jepun kerana pada waktu itu Jepun lebih menekankan perkembangan ekonomi dalaman sahaja. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Jepun mengamalkan dasar isolasi iaitu : a. Wujudnya perasaan syak wasangka terhadap kejujuran pihak Barat. Jepun bimbang kemungkinan besar kuasa-kuasa Barat akan menggunakan kesempatan untuk melibatkan diri dalam politik tempatan. b. Perkembangan agama Kristian akan dijadikan landasan oleh orang Barat untuk menjatuhkan dan melemahkan kerajaan Jepun dan masyarakat tempatan. c. Jepun berasa bahawa mereka tidak perlu bergantung kepada orang Barat kerana mereka tidak memerlukan barangan dari luar. Sistem ekonomi sara diri yang dilaksanakan oleh mereka lebih daripada mencukupi untuk keperluan masyarakat Jepun. d. Orang-orang asing juga dikatakan kerap kali mencetuskan masalah dan huru-hara di Jepun yang dianggap boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara. e. Kerajaan Jepun juga bimbang pembesar-pembesar seperti Daimyo Tozama dan Ronin yang tidak berpuas hati akan meminta bantuan senjata dan askar dari luar untuk menentang kerajaan.

Berpunca daripada faktor-faktor tersebut, akhirnya Jepun mula menyekat kemasukan orang-orang Barat ke Jepun. Malah mubaligh-mubaligh Kristian yang ketika itu berada di Jepun telah diusir keluar. Rakyat tempatan turut dilarang melawat ke negara-negara luar terutamanya negara-negara Barat. Tindakan ini jelas membuktikan amalan dasar isolasi Jepun Pada tahun 1825, Soghun telah mengeluarkan satu perintah bahawa jika kapal-kapal asing menghampiri mana-mana bahagian Jepun pada bila-bila masa, penduduk Jepun akan mengusir mereka keluar. Sekiranya mereka mendarat, mereka akan ditawan, dibunuh dan kapal mereka akan dimusnahkan. Walau bagaimanapun, dasar isolasi ini juga tidak dapat bertahan lama. Terdapat beberapa percubaan oleh kuasa-kuasa Barat bagi mengubah dasar luar Jepun. Sebagai contoh Amerika Syarikat telah cuba menjalinkan hubungan persahabatan dengan Jepun pada pertengahan abad ke-19. Pada tahun 1853, Amerika Syarikat telah menghantar perutusan yang besar di bawah Komoder Matthew Perry. Utusan Perry menekankan aspek persahabatan dan perdamaian tetapi menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan menggunakan kekerasan sekiranya Jepun masih menganggap Amerika Syarikat sebagai musuhnya. Walaupun Maharaja, pembesar istana dan daimyo menentang permintaan Amerika Syarikat, tetapi mereka sedar sekiranya permintaan-permintaan Amerika Syarikat tidak dipenuhi, Jepun akan senasib dengan China. Akhirnya Perjanjian Kanagawa telah ditandatangani pada 31 Mac 1854 antara Jepun dan Amerika Syarikat. Perjanjian ini sekaligus telah menamatkan dasar isolasi yang diamalkan oleh Jepun.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kekalahan China dalam Perang Candu Pertama telah menamatkan dasar isolasi yang telah diamalkan sejak pertengahan abad ke-18. Kekalahan ini bukan sahaja merugikan China malah telah menjatuhkan maruah negara China sebagai Middle Kingdom.Selepas Perjanjian Nanking, China telah menandatangani beberapa perjanjian dengan kuasa Barat yang lain seperti

24

Perjanjian Wang Hsia dengan Amerika Syarikat dan Perjanjian Whampoa dengan Perancis. Bagi Jepun pula, Perjanjian Kanagawa telah membuka jalan kepada beberapa perjanjian dengan kuasakuasa Barat yang lain seperti Britain, Rusia dan Belanda. Akhirnya, China dan Jepun terpaksa mengamalkan dasar pintu terbuka melalui hubungan perdagangan dan diplomatik dengan kuasakuasa Barat selepas pertengahan abad ke-19.

Soalan 9. Bincangkan kesan-kesan penghijrahan orang Cina ke Thailand dan orang India ke Myanmar sehingga Perang Dunia Kedua. Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Migrasi orang Cina ke Thailand bermula sejak penghujung abad ke-18 dan memuncak pada abad ke-19. Kedatangan orang Cina telah berjaya menguasai sektor perdagangan,industri, perlombongan, pertanian dan perikanan. Migrasi orang Cina ke Thailand juga telah melahirkan masyarakat campuran orang Cina dengan masyarakat pribumi. Manakala kemasukan orang India ke Myanmar sebenarnya telah berlaku sebelum kehadiran British lagi dan semakin besar pada abad ke-19 pada zaman pentadbiran British. Migrasi pada zaman pentadbiran British menjadi mudah kerana Myanmar telah diletakkan di bawah pentadbiran British di India. Orang India diperlukan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan, pertanian, perusahaan dan perburuhan.

Isi : ( 20 Markah ) Thailand. ( 10 Markah ) Penghijrahan orang-orang Cina ke Thailand telah mengwujudkan masyarakat majmuk di Thailand. Pada tahun 1920 an jumlah orang-orang Cina di Thailand hanya 1 % dan telah meningkat kepada 10 % pada tahun pada tahun 1940-an. Orang-orang Cina telah menguasai bidang ekonomi di Thailand. Mereka menguasai 70 % dalam sektor perdagangan, 16 % dalam sektor industri, 6 % dalam sektor perlombongan dan 8 % dalam sektor pertanian dan perikanan. Orang-orang Cina juga terlibat dalam kegiatan pertanian seperti penanaman padi dan tebu serta kegiatan perlombongan bijih timah.Orang-orang Cina juga menguasai perusahaan beras. Orang-orang Cina tertumpu di kawasan bandar-bandar utama di Thailand seperti Bangkok, Cheingmai, Korat, Sukhothai dan Uttradit. Suku kaum yang banyak berhijrah ke Thailand ialah Hokkien, Hakka, Toechew dan Kantonis. Orang Teochew terlibat dalam bidang perdagangan terutama dalam perdagangan beras dan pengilangan padi. Kesan penghijrahan orang-orang Cina juga telah melahirkan satu masyarakat campuran Cina dan masyarakat tempatan yang dipanggil lukchin hasil daripada perkahwinan campur. Jumlah nmereka lebih kurang 80,000 orang pada sekitar tahun 1820 an. Mereka telah mengekalkan ciri-ciri kecinaan. Perkahwinan campur berlaku dengan mudah kerana mereka mengamalkan agama yang sama iaitu Buddha di samping mempunyai bentuk fizikal yang sama. Penghijrahan orang-orang Cina telah menyebabkan sekolah-sekolah Cina telah didirikan. Sekolah-sekolah ini dibiayai oleh saudagar-saudagar kaya Cina. Sekolah-sekolah Cina telah

25

menggunakan kurikulum daripada negeri China. Sekolah Cina yang terawal sekali ialah Amerika Presbyterian Mission ( 1852 ).

Myanmar ( 10 Markah ) Penghijrahan orang India ke Myanmar telah mewujudkan masyarakat majmuk. Jumlah orangorang India yang berhijrah ke Myanmar meningkat daripada 14,200 orang pada tahun 1871 kepada 234,000 orang menjelang tahun 1930 an. Orang-orang India telah menyediakan tenaga buruh kepada Myanmar kerana jumlah penduduk Myanmar pada abad ke 19 seramai 4 juta orang sahaja. Kehadiran orang-orang India ke Myanmar telah membantu British dalam membangunankan ekonomi Myanmar. Tenaga buruh dari India adalah murah. Oleh itu Inggeris telah menyediakan pelbagai subsidi bagi menggalakkan orang-orang India berhijrah ke Myanmar. Di antara subsidi yang disediakan ialah tambang perjalanan dari India ke Myanmar. Orang-orang India telah membantu British dalam perkhidmatan pentadbiran. Ini disebabkan mereka lebih faham sistem pentadbiran Inggeris. Di samping itu juga mereka berkebolehan menguasai bahasa Inggeris berbanding dengan orang Myanmar. Orang-orang India terlatih dalam sektor perkhidmatan, pendidikan dan perubatan. Keadaan ini telah menyekat orangorang tempatan daripada terlibat dalam bidang ini. Kemasukan orang-orang India telah meruntuhkan struktur dan kegiatan ekonomi masyarakat Myanmar. Kegiatan penanaman padi telah dijalankan secara komersial. Keluasan penanaman padi telah bertambah pada abad ke 20 iaitu daripada 6 juta ekar kepada kepada 8 juta ekar. Orang-orang India telah menguasai bidang pertanian, perindustrian dan perkhidmatan. Ini menyebabkan kehidupan penduduk tempatan semakin sukar dan telah menimbulkan ketegangan antara kaum. Orang-orang India juga sanggup menerima gaji yang rendah dan tidak memilih kerja. Tanah-tanah petani Myanmar banyak yang tergadai akibat aktiviti peminjaman wang yang dilakukan oleh golongan Chettiar. Petani-petani yang gagal menjelaskan hutang mereka tanah-tanah mereka akan dirampas. Tanah-tanah yang dirampas oleh orang Chettiar ini akan diusahakan oleh orang-orang India. Keadaan ini menimbulkan kemarahan masyarakat tempatan kerana mereka kehilangan pekerjaan. Ini menimbulkan masalah pengangguran yang sangat besar di kalangan penduduk tempatan

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kesimpulannya kemasukan orang Cina ke Thailand dan orang India ke Myanmar telah melahirkan masyarakat majmuk di kedua-dua buah negara. Orang Cina dan India telah berjaya menguasai bidang-bidang ekonomi yang penting di kedua-dua buah negara berkenaan. Penguasaan ekonomi oleh orang Cina di Thailand telah menyebabkan penduduk tempatan kehilangan punca-punca pendapatan utama. Manakala di Myanmar pula, penduduk tempatan bukan sahaja kehilangan punca pendapatan malah mereka kehilangan tanah-tanah pertanian akibat kegiatan golongan Chettiar. Keadaan ini telah menyumbang kepada kebangkitan semangat kebangsaan dikedua-dua negara berkenaan.

26

Soalan 10 Huraikan kegiatan ekonomi komersial di Vietnam dan India selepas kedatangan Barat pada abad ke-19 Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Sebelum kedatangan Perancis di Vietnam pada pertengahan abad ke-19, kegiatan ekonominya lebih bertumpu kepada ekonomi tradisional, iaitu bidang pertanian. Tanaman utama mereka ialah menanam padi di Delta Song Koi dan Delta Mekong. Mereka juga menanam jagung, ubi keledek, kacang dan buah-buahan. Perusahaan ringan dilakukan oleh petani seperti membuat tembikar, menganyam, bertukang, dan sebagainya. Kegiatan perdagangan hanya melibatkan sebahagian kecil penduduk yang berurusan dengan tongkang-tongkang China di pelabuhan Vietnam. Penjajahan Perancis, bermula pada 1852, telah memberi kesan kepada perubahan ekonomi di sini. Di India pula, hubungan dengan kuasa British telah bermula sejak dahulu kala lagi. Melalui dasar pengilhakan yang dilakukan pada pertengahan abad ke-19 sebahagian besar India jatuh ke tangan British. Penjajahan ini juga mengakibatkan perubahan kepada kegiatan ekonomi India yang sebelum ini mengamalkan kegiatan sara diri yang bersifat komunal/bersama yang dijalankan oleh ahli keluarga. Kehadiran kuasa-kuasa Barat di ke duadua negeri ini telah mengubah senario ini. Isi ( 20 Markah ) 1. Kegiatan ekonomi komersial di Vietnam ( 10 Markah ) Pada tahun 1887 Vietnam yang diperintah oleh Perancis telah dibahagikan kepada 3 kawasan utama iaitu Cochin-China, Annam dan Tongking serta kemboja -Laos. Ia dikenali sebagai kesatuan Indo-China yang diketuai oleh Gabenor General.Bermula dari sini Perancis mula mewujudkan sistem ekonomi moden di Vietnam. Bagi melaksanakan sistem ekonomi moden ini sebuah bank ditubuhkan yang dinamakan sebagai Banque de I Indo-Chine (Bank of Indo-China) pada tahun 1885 sebagai pinjaman modal kepada sektor perdagangan dan pertanian. Vietnam memasuki dunia perdagangan antarabangsa pada zaman Gabenor Jeneral Paul Daumer (1897-1902). Beliau mengusahakan pembinaan jalanraya dan landasan kereta api menghubungkan Saigon dengan Hanoi dan Haiphong dengan Kunming di China.Pelabuhan Haiphong,Tourane dan Saigon diperbaiki. Dengan itu, Vietnam menerima kemasukan pemodal-pemodal asing dengan banyaknya. Perusahaan getah diperkenalkan di Indo-China pada 1905, dengan bantuan bank. Getah juga ditanam di An Khe di Annam yang diusahakan oleh pemodal Eropah dan Perancis. Pada tahun 1921 terdapat 20 000 ekar getah ditanam di Cochin-China.Pada tahun 1941 Vietnam adalah pengeluar ke-3 terbesar di dunia.

27

Padi diusahakan secara besar-besaran di Delta Sungai Mekong di Selatan dan delta Sungai Koi (sungai Merah) di Utara . Sehingga 1931 Vietnam adalah pengeluar ke-3 terbesar beras dunia. Jagung ditanam di Lembah Tongking. Tanaman lain ialah kopi dan teh yang diperkenalkan oleh mubaligh Kristian pada tahun 1880-an. Ia ditanam di Dataran Tinggi Moi, Tongking dan Annam Utara.Kilang-kilang teh milik pengusaha Perancis dibina di Quang nam, Tongking dan Dataran Tinggi Moi pada tahun 1824 dan mula dieksport pada tahun 1893. Vietnam juga mengeksport kayu balak yang digunakan untuk membina kapal, dari jenis kayu keras dan kayu lembut untuk membuat mancis. Perancis juga menggalakkan aktiviti penyulingan air tapai untuk dijadikan arak, sebagai perusahaan besar-besaran. Syarikat-syarikat Perancis memonopoli seperti syarikat Societa Francaise des Distilberies I Indochina. Ia juga mengeluarkan alkohol, cuka, kanji, glukos dan lain-lain. Perancis juga memajukan kegiatan perlombongan seperti arang anterasit di timur Tongking. Bijih timah galian ke dua penting dilombong di Tongking iaitu, ke utara Banjaran Pin Quee dan di Thin Teu. Selain itu, Zink menduduki tempat ketiga, yang dilombong di Nguyen Tuyen Quang, Cho Dien di daerah Bac Ken.Wolfrum di Pia Quac, antimoni di Mun Kay dan Hon Gay Vietnam juga merupakan pengeksport terbesar simen di rantau Asia Tenggara yang dihantar ke China, Siam ,Tanah Melayu, Britain dan Hindia Timur Belanda.

2. Kegiatan ekonomi komersial di India ( 10 Markah ) Selepas India dilanda Dahagi pada tahun 1857, keperluan untuk membiayai peperangan membuatkan pihak British mengubah dasar ekonomi tempatan kepada doktrin laissezfaire atau ekonomi bebas. India dijadikan pembekal bahan mentah yang penting kepada British. British memperkenalkan tanaman jualan selepas melakukan reformasi tanah seperti di Benggal dalam bentuk Permenent Settlement. Selain itu, taman-taman botani (Botanical Gardens) diwujudkan di India untuk mengkaji tanaman komersial. Padi ditanam di lembah sungai Ganges dan Indus terutama di Benggal dan digunakan untuk makanan tempatan dan dan di eksport. India menghasilkan teh malah mampu menyaingi China dari aspek pengeluaran. Ia di tanam menggunakan sistem perladangan di Darjeling, Assam dan Sri Lanka. Pada tahun 1890 an teh menjadi eksport penting India. Tanaman lain yang diusahakan secara besar-besaran ialah kopi, nila, getah dan candu. Begitu juga dengan rempah ratus, tembakau, manganese dan lain-lain. Pada abad ke-19 terdapat satu juta ekar ditanam dengan kapas terutama di Madras yang menghasilkan 5 juta paun. Industri kain kapas berkembang di India. Ia diusahakan oleh syarikat Eropah seperti di Ahmadabad, Kaipur, Culcutta dan Bombay. Kain sutera juga diusahakan di bandar Patna, Midnapore, Ragpur dan Surat. Ia kemudian di eksport ke Eropah, Asia Barat, Asia Tenggara. Antara kain yang dikeluarkan ialah jenis Calico, Muslin, Dhoti dan Chintz. Tanaman jut diusahakan untuk menghasilkan kain guni, tali, beg dan tempat menyimpan beras. Pelaburan modal daripada Eropah mencurah masuk selepas tahun 1850 an dengan membuka kilang jut di Serampore, Dacca dan Mymensingh. Jut juga dieksport ke Amerika Syarikat, Australia dan Mesir. Perlombongan arang batu diusahakan oleh British di Ranigarj dalam wilayah Benggal. Ia diusahakan oleh Syarikat Arang Batu Benggal ( Benggal Coal Company). Penghujung abad ke-19 lombong arang batu di buka di Jhoroa dan Chota Nagpur.

28

Perusahaan besi dijalankan dengan menumpukan kepada pembuatan peralatan senjata untuk kelengkapan perang seperti pedang dan meriam. Tumpuan kawasan ialah di Delhi.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kehadiran Perancis di Vietnam dan Inggeris di India membawa perubahan besar kepada corak ekonomi di kedua-dua negara berkenaan. Dalam jangka masa yang singkat Vietnam dan India telah bertukar menjadi negara pengeluar. Ekonomi dual yang diperkenalkan hanya menguntungkan syarikat-syarikat yang berkepentingan dengan penjajah. Namun, penduduk tempatan masih berada pada tahap yang sama semasa mengamalkan ekonomi bercorak sara diri.

Soalan 11 Bandingkan peranan Jose Rizal di Filipina (1872-1896) dan Sukarno di Indonesia (19271945) dalam gerakan nasionalisme di negara masing-masing. Pendahuluan ( 3/2 Markah ) Jose Rizal dan Sukarno adalah dua tokoh yang boleh dianggap wira dalam perjuangan nasionalisme di Negara masing-masing. Jose Rizal dilahirkan di Calamba, Luzon pada tahun 1861 dari keturunan Sepanyol-Cina. Sangat berminat dalam bidang bahasa dan kesusasteraan dan telah berusaha menuntut kemerdekaan bagi Filipina melalui idea penulisan. Sukarno pula dilahirkan pada 6 Januari 1901 di Belitar, Jawa Timur. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Belanda, Surabaya. Melanjutkan pelajaran ke Maktab Teknik Bandung dalam bidang kejuruteraan antara tahun 1921-1925. Seorang tokoh yang mempunyai kebolehan berpidato. Sangat dikagumi kerana merupakan bapa kemerdekaan Indonesia. Meninggal dunia pada bulan Jun 1970. Kedua-dua tokoh ini mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu masing-masing berusaha untuk menuntut kemerdekaan bagi negara masing-masing, cuma taktik perjuangan mereka jelas nampak perbezaannya.

Isi ( 20 Markah ) Peranan Jose Rizal ( 10 Markah ) 1. Perjuangan melalui penulisan Jose Rizal yang meminati bidang penulisan telah menggunakan kesempatan ini dengan mengungkapkan idea nasionalisnya melalui novel Noli Me Tangere yang dihasilkan di Berlin pada tahun 1887. Karya itu bermaksud Jangan Sentuh Daku atau Barah Masyarakat telah mendedahkan kepincangan hidup masyarakat Filipina yang dibelenggu ketidakadilan pemerintah Sepanyol. Novel El Filibusterismo atau Pemerintah Yang Tamak untuk mengkritik undangundang dan golongan agama Filipina. Beliau bersama Marcelo Del Pilar dan Graciano Lopez telah menerbitkan akhbar La Solidaridad di Barcelona pada 1889 untuk mendedakan keburukan pemerintah Sepanyol, keadaan petani yang ditindas dan penyalahgunaan kuasa paderi Sepanyol di Filipina.

2. Gerakan berpersatuan

29

Menubuhkan Liga Filipina di Hong Kong pada tahun 1891 yang menekankan pembangunan masyarakat. Menubuhkan cawangan Liga Filipina di Manila dengan tujuan : a. Mendapatkan pembaharuan sosial, ekonomi dan politik bagi negara dengan aman. b. Melindungi penduduk Filipina daripada kekejaman dan ketidakadilan Sepanyol. c. Mengkritik golongan gereja yang menjadi penghalang kemerdekaan Filipina. Akibatnya, beliau dibuang negeri ke Dapitan di Pulau Mindanao pada 7 Julai 1892. Idea kesedaran ini telah memberi idea kepada Andres Bonifacio untuk menubuhkan Katipunan (Kesatuan Putera-putera Republik ) pada tahun 1892 yang menyebarkan idea revolusi sebagai salah satu cara dalam menggulingkan kerajaan Sepanyol. Idea ini tidak disokong oleh Jose Rizal dan beliau menasihati pemimpinnya agar tidak mengadakan revolusi. Beliau disyaki terlibat dan menyokong golongan pemberontak dan dihukum tembak pada 30 Disember 1896.

Peranan Sukarno ( 10 Markah ) 1. Sebelum perang dunia kedua Mulai aktif dalam politik ketika menjadi ahli Kelab Perbincangan Bandung yang ditubuhkan oleh pelajar-pelajar Indonesia yang belajar di Holland untuk menentang Belanda. Beliau juga berminat dalam organisasi pelajar dan Perhimpunan Indonesia yang ditubuhkan di Belanda pada tahun 1922,

2. Parti Nasional Indonesia (PNI) Telah menubuhkan Parti Nasional Indonesia (PNI) dengan bantuan Dr. R.M. Sartono dan Dr.Tjipto Mangun Kusomo pada 4 Julai 1927, selepas menarik diri dari menjadi anggota Sarekat Islam. Matlamat penubuhannya PNI : a. Menyatukan semua parti nasionalis agar menuntut kemerdekaan penuh. b. Menjadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi. c. Menentang fahaman imperialis dan kapitalis. PNI mengalami perkembangan pesat di bawah kepimpinan beliau. Berjaya mengumpul sejumlah 10 000 orang ahli dan pengaruhnya meluas dari Pulau Jawa ke wilayah-wilayah Sumatera Timur. Pada 1928, Sukarno telah berusaha menyatukan semua pertubuhan politik di Indonesia untuk mewujudkan perpaduan nasional. Hasilnya Permuafakatan Parti-parti Politik Indonesia (PPPKI) ditubuhkan dengan disertai oleh Sarekat Islam, Budi Utomo, Pasondon Ikatan Sumatera dan Kelab Pelajar Surabaya.Tindakan beliau ini telah mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan kedudukan Belanda. Sehubungan dengan itu, beliau ditangkap dan dipenjarakan pada Disember 1929, menyebabkan PNI berpecah Pada 1931, beliau dibebaskan semula dan berusaha menyatukan ahli-ahli PNI tetapi gagal. Pada 1933, menyertai Parti Indonesia (PARTINDO) kerana mempunyai ciri-ciri perjuangan yang sama dengan PNI. Sukarno telah berjaya mengembangkan idea-idea nasionalisnya melalui pidato ke seluruh Pulau Jawa. Sekali lagi Sukarno telah ditangkap dan dibuang ke Flores di Indonesia Timur sehingga dibebaskan oleh Jepun pada 1942.

30

3. Semasa pemerintahan Jepun di Indonesia Jepun telah memberi layanan baik kepada rakyat Indonesia dan bertindak membebaskan nasionalis Indonesia yang ditangkap oleh Belanda. Antaranya ialah Sukarno, Mohamad Hatta dan Sutan Sjahrir. Jepun menggalakkan belia-belia menyertai PETA (Pembela Tanah Air). Tujuannya ialah untuk melatih belia Indonesia menentang Belanda bagi pihak Jepun. Pada bulan Mac 1943, PUTERA ( Pusat Tenaga Rakyat ) ditubuhkan atas sokongan Jepun. Sukarno telah dijadikan sebagai pengerusi PUTERA yang terdiri daripada semua kumpulan nasionalis di Pulau Jawa. PUTERA menjadi lebih bersifat nasionalis daripada bersifat pro-Jepun. Akhirnya 1943, Jepun telah membubarkan PUTERA. Pada pertengahan tahun 1944, kerajaan Tojo di Jepun telah runtuh. Perdana Menteri Jepun telah berjanji akan memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. Pada 8 Ogos 1945, Ketua Pemerintah Tentera Jepun iaitu Marshal Terauchi telah menemui Sukarno, Hatta dan Dr. Radjiman Wedio-diningrat di Saigon, Indocina. Jepun telah bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Indonesia pada 24 Ogos 1945. Akan tetapi, Jepun telah menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Justeru itu, Sukarno telah mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

4. Selepas kekalahan Jepun Apabila perang Pasifik tamat, Belanda telah kembali ke Indonesia dan mengadakan rundingan dengan nasionalis Indonesia. Pada Oktober 1946, Perjanjian-Linggajati telah ditandatangani. Hasilnya, satu persetujuan telah dicapai pada 15 November 1946 di mana Belanda telah bersetuju untuk mengiktiraf Republik Indonesia (Jawa, Sumatera dan Madura) Perjanjian Linggajati tidak berjaya kerana rakyat tidak berpuas hati dan kekacauan telah berlaku. Belanda telah mengambil tindakan Polis untuk memulihkan keamanan. Tindakan Belanda ini telah menerima kecaman hebat daripada banyak negara di dunia. Keadaan ini memaksa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu campur tangan. satu persidangan Meja Bulat telah diadakan di Hague pada 23 Ogos 1949. Belanda telah bersetuju mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada 27 November 1949. Negara itu mengandungi sebuah republik persekutuan enam belas buah negeri. Sukarno telah dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia yang pertama.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Kesimpulannya, Jose Rizal dan Sukarno adalah dua tokoh penting dalam perjuangan nasionalisme Negara masing-masing untuk mencapai kemerdekaan. Namun begitu, nasib lebih menyebelahi Sukarno kerana perjuangannya telah berjaya membawa hasil kemerdekaan Indonesia dan beliau sendiri telah dilantik menjadi Presiden Indonesia yang pertama. Manakala Jose Rizal tidak sempat menyaksikan kemerdekaan Filipina kerana telah dihukum tembak oleh kerajaan Sepanyol.

31

Soalan 12 Jelaskan langkah-langkah pembaharuan sosioekonomi di Jepun dan Filipina selepas Perang Dunia Kedua hingga tahun 1963.

Pengenalan ( 3/2 Markah ) Secara tradisinya Jepun dan Filipina mengamalkan sistem ekonomi sara diri sebelum berlakunya imperialisme kuasa-kuasa Barat. Kedatangan kuasa Barat telah mengubah corak ekonomi tradisional di negara-negara tersebut. Selepas tamat Perang Dunia Kedua kebanyakan negara-negara di Asia mengalami pembaharuan sosioekonomi yang pesat termasuklah di Jepun dan Filipina. Kemajuan pesat yang dicapai dalam dalam sektor ekonomi dibantu oleh kemudahan prasarana yang berkaitan dengan infrusruktur dan teknologi moden seperti jentera, sistem pengairan, kaedah penanaman moden dan saintifik. Dari tahun 1945 hingga 1963 Jepun dan Filipina telah mengalami perubahan sosioekonomi yang amat menggalakkan melalui usaha-usaha pembaharuan yang dijalankan oleh kerajaan kedua-dua buah negara. Isi ( 20 Markah ) Pembaharuan sosioekonomi di Jepun ( 10 Markah ) Kerajaan telah memansuhkan sistem ekonomi bercorak Zaibatsu. Arahan telah dikeluarkan pada 6 November 1945 bagi menubuhkan satu suruhanjaya pembubaran syarikat induk yang akan mengambil alih Zaibatsu sementara menunggu ia dijual semula kepada penanam modal dalam syarikat. Bagi mengelakkan berlakunya penggabungan semula di kalangan saudagar-saudagar dan golongan peniaga, satu undang-undang bersifat anti-monopoli diluluskan. Akibatnya sebanyak 83 buah Zaibatsu telah terlibat dalam pembubaran tersebut. Sistem pengeluaran barangan di Jepun menjadi beberapa unit pengeluaran bebas. Pertubuhan buruh juga digalakkan dan corak pertubuhan buruh tersebut adalah mengikut corak pertubuhan buruh di Amerika Syarikat. Misalnya Gabungan Buruh Jepun (Japanese Federation of Labour) dan Kongres Kesatuan Perusahaan (Congress of Industrial Unions). Menentang kemasukan dan perkembangan pengaruh komunis dengan bantuan Amerika Syarikat. Sehubungan dengan itu, Majlis Tertinggi Kuasa Berikat (SCAP) menarik balik pengharaman dan sekatan yang dikenakan ke atas Jepun pada tahun 1948. Diharapkan Jepun akan dapat berdikari dari segi ekonomi dan ketenteraan bagi menghadapi ancaman komunis Rusia dan China. Mewujudkan semula perdagangan luar negari dengan cara menggalakkan penyertaan pengusaha-pengusaha persendirian atau perusahaan tempatan. Rancangan pemulihan tanah telah dilakukan yang mana 46% daripada keluasan tanah yang ditanami di Jepun diusahakan oleh penyewa-penyewa yang membayar sehingga 75% sewaan mereka dalam bentuk hasil tanaman.

32

Pada tahun 1945 Akta Kesatuan Sekerja telah diluluskan. Melalui akta ini membolehkan pekerja-pekerja Jepun melancarkan mogok dan membuat tuntutan secara berkelompok. Selain itu, Jepun juga telah menerima bantuan kewangan dari Amerika Syarikat sebanyak $2 bilion untuk menggalakkan kemajuan ekonomi negaranya Pada tahun 1946 Akta Pembaharuan Tanah telah diluluskan. Hasilnya kira-kira 5 juta ekar tanah telah diambil alih oleh kaum petani daripada tuan tanah. Pada keseluruhannya, kadar perkembangan ekonomi tahunan Jepun adalah 9.1% antara tahun-tahun 1950-1955, 10% antara tahun-tahun 1956-1962 dan memuncak sehingga mencapai 12.1% pada tahun 1963. Dalam bidang pengangkutan, banyak kenderaan telah digunakan untuk menghubungkan antara satu kawasan dengan kawasan lain. Dalam bidang pendidikan, penyusunan semula sistem pendidikan dilakukan dengan berasaskan model pendidikan Amerika Syarikat. Pendidikan wajib dilanjutkan dari enam tahun kepada sembilan tahun. Ramai guru Jepun dilatih di Amerika Syarikat dan guru Amerika Syarikat berkhidmat di Jepun. Buku-buku teks ditulis semula dan kaedah-kaedah pengajian baru diperkenalkan. Pentadbiran pendidikan diletakkan di bawah kuasa kerajaan tempatan. Ajaran dan kepercayaan Shinto dihapuskan. Begitu juga ajaran-ajaran berunsur nasionalisme ekstrim dan fanatik turut dihapuskan.

Pembaharuan sosioekonomi di Filipina ( 10 Markah ) Filipina telah mengalami perubahan sosioekonomi yang menggalakkan sejak tahun 1945 hingga 1963. Perubahan ini dilihat dari segi jumlah penduduk iaitu pada tahun 1960 penduduk Filipina telah bertambah kepada 22,455,799 orang. Dari segi ekonomi, penduduk Filipina bergantung kepada hasil pertanian yang amat diperlukan sebagai makanan penduduk tempatan dan juga sebagai hasil eksport. Lebih 2/3 daripada tanah pertanian tertumpu kepada keluaran kelapa kering, tebu, abaka dan tembakau. Filipina terkenal sebagai pengeluar utama dunia bagi kelapa kering dan abaka. Hasil kelapa telah menyumbangkan sebanyak 70% daripada sumber pendapatan. Antara tahun 1956 hingga 1960, Filipina telah menghasilkan 1.4 juta tan metrik kelapa kering dan 11.6 juta tan metrik gula. Gula merupakan bahan eksport yang penting ke Amerika Syarikat dan Australia. Ekonomi Filipina juga amat bergantung kepada perdagangan luar. Sektor ini kebanyakannya dikuasai oleh etnik Cina yang tertumpu di pelabuhan dan bandar-bandar utama Filipina seperti Manila, Quezon City, Cebu, Davao dan Zamboanga. Antara tahun 1950-an dan 1960an etnik Cina telah menguasai 23% daripada jumlah pelaburan perdagangan Filipina. Sektor perindustrian turut menyumbangkan pendapatan kepada negara Filipina yang telah diusahakan sejak tahun 1950-an. Pada tahun 1958, sektor perindustrian di Filipina telah menyumbangkan sebanyak 36% kepada hasil pendapatan negaranya. Perindustrian giat dijalankan di kawasan Manila dengan tumpuan utama dalam bidang industri ringan, pembungkusan, pemasangan dan pemprosesan. Industri besi keluli telah diusahakan di Ilagan City, Kepulauan Mindanao. Pada tahun 1957, industri ini telah menyumbangkan jumlah keluaran sebanyak 58,000 tan metrik. Bagi meningkatkan kemajuan sektor perindustrian kerajaan telah mengenakan larangan ke atas beberapa barangan import untuk menggalakkan industri berasaskan barangan eksport. Dalam bidang perdagangan, kerajaan telah memperkenalkan Akta Perdagangan Filipina 1946. Melalui akta ini kerajaan telah menyediakan masa selama 28 tahun untuk berdagang dengan bebas. Dalam tempoh tersebut, barang-barang dagangan Filipina tidak akan dikenakan cukai tetapi akan mengikut kuota. Keuntungan dalam perdagangan bebas menguntungkan Filipina selagi ekonominya berasaskan kepada eksport.

33

Sektor pertanian juga memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi Filipina. Di samping memajukan perikanan laut dalam dan pinggir pantai, kerajaan juga berusaha gigih memajukan akuakultur. Seterusnya, kerajaan Filipina juga turut mengusahakan kegiatan perlombongan. Kuprum merupakan bahan eksport galian utama di Filipina. Di samping itu, minyak juga di lombong terutamanya di pinggir laut Kepulauan Visayan. Kerajaan Filipina telah membuat pembaharuan tentang bentuk cukai. Kerajaan telah memperkenalkan cukai sebanyak 17% terhadap pertukaran wang asing dan mengadakan undang-undang bagi menetapkan upah minimum untuk pekerja-pekerja pertanian. Kerajaan Filipina juga telah melancarkan Akta Intensif Eksport pada tahun 1960-an. Anatara langkah yang diambil ialah mengasingkan industri-industri gula dan kelapa melalui penubuhan Lembaga Kelapa Filipina manakala Suruhanjaya Gula Filipina digerakkan semula untuk meningkatkan persaingan eksport gula Filipina di pasaran dunia. Dalam sistem perhubungan, jalan raya yang moden telah dibina dan diperbaiki. Jawatankuasa Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak US$200 juta untuk membangunkan infrustruktur di bandar General Santos yang bertempat di wilayah autonomi Mindanao. Pembangunan ini merangkumi pembinaan lebuh raya utama, lapangan terbang antarabangsa dan kemudahan-kemudahan pelabuhan. Secara tidak langsung usaha pembangunan ini akan melemahkan aktiviti pemberontak di Mindanao. Dari segi pendidikan, berlaku peningkatan bilangan sekolah dengan kadar 60% pada tahun 1950-an dan 1960-an berbanding hanya 20% pada tahun 1900. Ibu bapa menentukan sekurang-kurangnya seorang daripada anak mereka mendapat pendidikan tinggi peringkat universiti.

Kesimpulan ( 2/3 Markah ) Jelaslah menunjukkan bahawa antara tahun 1945 hingga 1963 Jepun dan Filipina telah mengalami perubahan sosioekonomi yang amat menggalakkan sama ada dalam bidang pertanian, perindustrian, perikanan, perlombongan dan sebagainya. Di Jepun pembangunan sosioekonomi lebih jelas dilihat dalam sektor perindustrian sehingga Jepun menjadi salah sebuah negara industri yang penting di rantau Asia pada tahun-tahun 1960-an. Sebaliknya , di Filipina pembangunan ekonominya lebih tertumpu dalam kegiatan pertanian dan perdagangan di samping perlombongan dan perikanan.

34

Anda mungkin juga menyukai