Anda di halaman 1dari 10

PANDUAN MEMBACA DOA DALAM MAJLIS-MAJLIS RASMI DAN SEPARUH RASMI

PENDAHULUAN
Doa merupakan satu ibadat. Ia merupakan satu tanda kerendahan hamba terhadap Tuhannya. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu ibadah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, tertib dan penuh tawaduk. Dengan demikian ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa bukan boleh dilakukan sebagai satu acara kebudayaan atau adat yang kosong dari roh ibadat atau rasa tawaduk kepada Allah. Doa merupakan salah satu cara hidup orang Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Sebagai satu ibadat, doa hendaklah dilakukan di tempat yang betul, pada masa yang sesuai, pada suasana yang baik. Garis panduan doa dibawah adalah bagi bacaan doa secara berkumpulan yang harus dilakukan dalam mana-mana majlis atau upacara rasmi atau separuh rasmi di negara ini. Tujuan majlis yang akan menentukan sama ada doa itu harus dilakukan atau sebaliknya.

TAKRIF DOA
Doa ialah satu ucapan permohonan dari hamba kepada Allah dari hati yang ikhlas bagi mendapatkan rahmat, inayah dan pertolonganNya atau menolak bala dan bencana dengan cara dan adab yang tertentu.

TEMPAT BERDOA
Tempat berdoa yang diharuskan antaranya ialah di tempat-tempat perhimpunan yang bertujuan untuk kebaikan seperti perhimpunan di masjid-masjid, dewan, madrasah, rumah kediaman dan ruang terbuka (seperti padang). Tempat berdoa yang tidak diharuskan ialah tempat yang terdapat perkara-perkara yang boleh mencemarkan kesucian Islam. Di antara tampat-tempat tersebut ialah tugu, tempat yang terdapat patung-patung manusia, atau patung-patung haiwan, gambargambar atau lukisan-lukisan yang tidak sopan yang terkeluar dari akhlak Islam. Begitu juga tempat-tempat yang mengandungi acara-acara atau aktiviti-aktiviti yang ditegah atau bertentangan dengan Islam seperti majlis tari menari atau yang menghidang minuman keras dan sebagainya.

MASA BERDOA
Masa berdoa bagi majlis rasmi atau separuh rasmi sebaik-baiknya pada permulaan majlis berkenaan.

SUASANA KETIKA BERDOA


Suasana semasa berdoa hendaklah dalam keadaan majlis yang tenang dan khusyuk.

TUJUAN DAN CARA BERDOA


Setiap doa hendaklah mempunyai tujuan yang baik yang dibenarkan oleh syarak. Doa yang diucapkan hendaklah diadakan dalam keadaandan cara berikut:

a. Diketahui tujuan berdoa atau apa yang hendak dipohon dari Allah; b. Dibaca dengan betul mengikut adab-adab doa; c. Dibaca dengan suara yang sederhana; d. Dibaca dengan nada dan rasa yang khusyuk dan tawaduk kepada Allah S.W.T.; dan e. Dibaca dengan penuh yakin dan ikhlas agar ia dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

SYARAT-SYARAT PEMBACA DOA


(a) Ia seorang yang berkemampuan dalam bacaan doa (b) Ia mengetahui kesesuaian doa yang dibaca bagi sesuatu majlis yang diadakan.

PENUTUP
Adalah diharapkan garis panduan ini dapat digunapakai oleh Jabatan-jabatan Kerajaan, pihak swasta serta seluruh umat Islam di Negara ini demi menjamin semua amalan agama yang dilakukan mengikut kehendak syarak yang sebenar dan suci dari sebarang pencemaran dan seterusnya dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

NOTA
Panduan bacaan doa ini telah diluluskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 bersamaan 21 Syawal 1415 Hijrah.

CONTOH DOA
Dibawah adalah contoh doa yang boleh dibaca dalam majlis rasmi atau separuh rasmi. Contoh doa ini mengandungi: a. b. c. d. e. Pendahuluan Doa (P.D.) Permohonan Umum (P.U.) Permohonan Khusus (P.K.) Pra Penutup Doa (P.P.D.), dan Khitam Doa (K.D)

Pendahuluan Doa (P.D.) adalah wajar digunakan sebagai introduction dalam manamana doa. Manakala Permohonan Umum (P.U.) wajar digunakan dalam mana-mana doa. Permohonan Khusus (P.K.) pula adalah terserah kepada pembaca doa untuk menggunakannya sesuai dengan keadaan, masa dan tempat majlis diadakan. Pra Penutup Doa (P.P.D.) dan Khitam Doa (K.D.) adalah wajar digunakan dalam sebarang doa.

PENDAHULUAN DOA DAN TERJEMAHANNYA

Terjemahannya:

Segala pujian hanya tertentu bagi Allah pemilik sekalian alam, pujian yang penyempurna segala nikmat serta menjamin penambahannya. Wahai Tuhan kami, bagi Engkau segala pujian yang sewajarnya bagi kebesaran zat-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu. Ya Allah berilah kerahmatan pada penghulu kami Nabi Muhammad sebagai rahmat yang menyelamatkan kami daripada segala kesengsaraan dan kemusnahan hidup dan dapat menunaikan segala hajat kami dan dapat membersihkan kami daripada segala keburukan dan mengangkat setinggi-tinggi darjat kami di sisi Mu dan menyampaikan segala tujuan kebaikan kami semasa hidup dan selepas mati dan kerahmatan ke atas seluruh keluarga dan sahabatnya.

PERMOHONAN UMUM DAN TERJEMAHANNYA

Terjemahan:

Ya Allah sesungguhnya, kami memohon kepada-Mu segala kebaikan masa sekarang dan akan datang samada kami ketahui ataupun kami tidak ketahui dan kami memohon perlindungan-Mu dari segala keburukan sekarang dan akan datang sama ada perkara yang kami ketahui atau kami tidak ketahui. Kami memohon kepada-Mu syurga dan segala perkara yang boleh mendekat kepadamu sama ada melalui perkataan, amalan, niat dan itiqad. Engkau jadikanlah kesudahan segala apa yang telah Engkau tetapkan daripada Qada Qadar-Mu sebagai petunjuk.

Terjemahan:

Wahai Tuhan kami terimalah segala taubat kami dan ampunkanlah segala dosa dan kesalahan kami, tetapkanlah segala hujjah kami dan berilah hidayah kepada hati kami,

perkuatkanlah lidah kami dan hapuskan segala dendam kesumat yang bersarang di hati kami dan pimpinlah kami kepada akhlak yang baik.

Terjemahan:

Ya Allah jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang dirahmati dan perpisahan selepas ini sebagai perpisahan yang terpelihara.

PERMOHONAN KHUSUS DAN TERJEMAHANNYA

Terjemahan:

Ya Allah sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun dan bersatu untuk mengasihi-Mu dan bersumpah setia untuk menegakkan syariat-Mu. Ya

Allah kukuhkanlah perhubungan dan ikatan hati-hati kami dan kekalkan perasaan kasih sayang yang berpanjangan. Dorongkanlah hati kami untuk melaksanakannya. Sinarilah hati-hati kami dengan cahaya yang tak kunjung padam. Ya Allah lapangkanlah dada kami dengan limpahan iman dan kesungguhan tawakkal kepada-Mu. Hidupkanlah hati kami dengan mengenali-Mu dan matikanlah hati kami dalam kalimah syahadah didalam agama-Mu. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung dan penolong.

Terjemahan:

Ya Allah jadilah di akhir hayat kami dengan ucapan:

Dan matikanlah kami dalam keadaan Engkau redha dan tidak murka serta jadikanlah kami ketika berhimpun di Padang Mahsyar dalam keadaan aman bersama dengan golongan hamba-Mu yang tidak takut dan tidak berdukacita.

Terjemahan:

Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa orang-orang mukmin dan mukminat, muslimin dan muslimat, eratkanlah hubungan silaturahim dan jalinan mesra antara hati-hati mereka. Bantulah mereka memerangi musuh-Mu dan musuh mereka dan berilah petunjuk kepada jalan-jalan yang selamat dan sejahtera. Keluarkanlah mereka daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya keimanan. Hindarilah mereka daripada perkaraperkara keji sama ada yang nyata dan tersembunyi. Jadikanlah mereka itu golongan yang sentiasa bersyukur dan memuji-muji di atas nikmat-Mu, sempurnakanlah rahmat ke atas mereka wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

PRA PENUTUP DOA DAN TERJEMAHANNYA

Terjemahan:

Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami dan sekiranya Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami nescaya kami termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi. Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami beriman dengan apa yang Engkau telah turunkan dan kami tunduk dan patuh kepada Rasul, maka senaraikanlah kami bersama orang yang mati syahid. Wahai Tuhan kami, kami sentiasa mendengar dan taat serta mengharap keampunan-Mu, Engkaulah Tuhan tempat kami semua kembali.

KHITAM DOA DAN TERJEMAHANNYA

Terjemahan:

Wahai Tuhan kami anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunai dan kebaikan di akhirat dan periharalah kami daripada azab sengsara api neraka.

Anda mungkin juga menyukai