Anda di halaman 1dari 3

Banjir kilat ialah banjir yang berlaku dengan serta-merta atau dengan tidak disangka-sangka.

Banjir kilat adalah antara bencana alam yang kerap berlaku di negara kita dan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan yang berterusan. Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air. Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermoden. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan. Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir kilat kerana apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung, maka lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku. Hakisan sungai yang kerap berlaku juga boleh mendatangkan banjir kilat. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai tersebut tidak dapat megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku. Hutan yang berperanan menyerap air hujan juga semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan air hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Apabila sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak, maka berlakulah banjir kilat. Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar pula adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang sempurna. Parit yang dibina terlalu kecil dan cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat parit tersebut tidak dapat menampung sejumlah air yang banyak, maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku. Hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secara semula jadi dan membawa rahmat kepada manusia, tetapi jika kita tidak mengambil lankgah-langkah untuk memelihara kelangsungan alam serta tidak melakukan aktiviti pembangunan dengan terancang, maka masalah banjir kilat akan betrerusan.

Punca-punca pencemaran air


Air merupakan keperluan asas manusia. Namun begitu, air semakin hari semakin tercemar. Pencemaran ini dikaitkan dengan pembebasan pelbagai jenis larutan bahan kimia toksik yang dan bahan buangan ke dalam sungai dan laut. Punca utama pencemaran air ialah bahan buangan domestik. Bahan-bahan buangan domestik yang terdiri daripada sampah sarap dan bahan kumbahan dibuang sewenang-wenangnya ke dalam sungai. Pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil jalan mudah dengan menyalirkan bahan kumbahan ke dalam parit dan sungai. Apabila sampah organik domestik ini mereput dan diuraikan oleh bakteria dengan oksigen yang terlarut di dalam air maka, wujud keadaan kekurangan oksigen dalam air yang menggugat kehidupan akuatik. Pembangunan industri perkilangan juga menjadi punca pencemaran air yang utama. Kebanyakan kilang dibina di tebingan sungai untuk memudahkan bahan-bahan buangan disalirkan ke dalam sungai-sungai berkenaan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat terlebih dahulu dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Sektor pertanian juga dikenal pasti sebagai punca pencemaran air. Pengilangan hasil-hasil pertanian menghasilkan banyak bahan kimia cecair yang disalirkan ke dalam sungai-sungai. Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan dibuang ke dalam sungai lalu menyebabkan air sungai teremar. Selain itu, penggunaan baja, pestisid dan insektisid untuk membunuh haiwan perosak juga mencemarkan sumber air sebab bahan-bahan tersebut menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan air dan hidupan akuatik. Selain itu, industri perlombongan juga antara punca pencemaran air. Cari gali petroleum di dasar laut dan pertumpahan minyak adalah antara bukti nyata. Penggerudian perigi-perigi minyak dan letupan tangki minyak menambah lagi masalah pencemaran ini. Bahan-bahan buangan radioaktif dan ujian-ujian bom dan nuklear di laut-laut juga menyumbang kepada pencemaran air. Banyak bahan buangan radioaktif yang terhasil dari makmal-makmal dan buangan hospital yang mengandungi sisa-sisa toksik larut dalam air serta mencemarkan air sungai dan laut. Stesen-stesen nuklear juga menyalirkan bahan buangan ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Ujian-ujian bom di laut juga antara faktor penyebab pencemaran air laut. Intihanya, pencemaran air boleh ditangani jika semua pihak berkerjasama untuk menanganinya. Kita harus memastikan bahawa persekitaran kita bersih dan selamat untuk didiami. Tindakan perundangan semata-mata tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu memperkasakan pendidikan alam sekitar untuk membendung masalah ini.

Anda mungkin juga menyukai