Anda di halaman 1dari 12

Pembangunan Sekolah Berkesan

Dalam Konteks
Sekolah Berwatak
Konsep Dan Komitmen

"Imagination is the beginning of creation. You imagine what you desire,


you will what you imagine; and at last you create what you will."
~George Bernard Shaw

Pendahuluan

Perubahan dan pembaharuan di dalam bidang pendidikan negara berlaku


begitu pesat sejak beberapa dekad yang lalu telah memberikan dampak
yang bukan sedikit terhadap keseluruhan perancangan, pembangunan, dan
presatasi melibatkan semua peringkat dan tahap pendidikan sama ada
pendidikan rendah, menengah atau pun pendidikan tinggi. Isu-isu pendidikan
tidak jemu-jemu dan tidak putus-putus diperkatakan dan dibahaskan oleh
semua lapisan masyarakat menggambarkan bahawa pendidikan adalah satu
aspek yang amat penting dalam pembinaan satu negara-bangsa yang
bersatu, bersetia, beretika dan beragama, berkeupayaan dan berketrampilan
memainkan peranan aktif dan produktif dalam masyarakat antarabangsa.

Semuanya ini bermula dari satu 'tempat' yang dinamakan sekolah. Inilah
tempatnya kalau kita mahu ianya diberi nama jolokan sebagai 'kilang
mendidik dan membangun insan'. Sekolah tidak sahaja dijangkakan
menghasilkan produk dalam bentuk insan yang berilmu pengetahuan dan
berkemahiran yang relevan dengan kehidupan dan zaman tetapi lebih dari
itu adakah insan-insan ini benar-benar terdidik dalam erti kata menjadi insan
yang berperikemanusiaan, berhati perut dan berperasaan, berbudi dan
berakal, berani menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran,
seorang yang soleh lagi muslih, dan tunduk dan patuh kepada khaliknya,
Tuhan seru sekalian alam.

Masanya Akan Tiba...

Harapan dan jangkaan ibu bapa dan penjaga khasnya serta masyarakat
amnya hari ini terhadap prestasi dan kecemerlangan sekolah tidak dapat
dipandang remeh lagi. Setiap ibu bapa mengharapkan segala yang terbaik
bagi pendidikan anak-anak mereka daripada pihak sekolah. Sekarang pun
sudah berlaku terdapatnya ibu bapa yang terlalu memilih sekolah. Mengapa
wujud kecenderungan ini? Sedarkah kita bahawa suatu masa nanti akan
berlaku fenomena ada sekolah-sekolah dikategorikan sebagai sekolah 'laris',
'sederhana laris' atau 'sekolah tak laku'?
Di negara maju sendiri berlaku dan meningkatnya ketidakpuasan hati
dengan keadaan sekolah-sekolah awam kini. Salah satu alternatif yang
popular sekarang ialah apa yang dipanggil 'home schooling'. Di
Saskatchewan, bilangan murid-muird yang mengikuti 'home schooling' telah
meningkat sehingga 30% setiap tahun sejak 1993. The Saskatchewan Home-
Based Educators menjangkakan bilangan murid-murid 'belajar di rumah'
akan mencapai 3,000 orang menjelang alaf baru. Tidak mungkinkah senario
seumpama ini akan wujud di negara kita satu masa nanti?

Rasa tidak puas hati dan rasa kecewa dengan sekolah-sekolah awam
bukannya omong kosong. Masyarakat mengejar keputusan; mereka hendak
melihat sekolah-sekolah yang baik dan berkesan. "In schools, treading water
is no longer an option. School people must either propel themselves in some
direction, be towed, or sink" (Barth, 1990). Dengan itu jelas sekali aliran
sebegini membuktikan betapa mendesaknya sekolah-sekolah menilai dan
mengambil langkah-langkah perlu dalam konteks menjadi sekolah-sekolah
yang lebih dan betul-betul berkesan.

TINJAUAN KAJIAN

Kritikan terhadap persekolahan semakin ketara sekitar tahun 60-an, sikap


masyarakat menjadi pesemistik kepada pemikiran yang mengatakan latar
belakang dan pengaruh sosial menentukan pencapaian murid-murid lebih
daripada pengajaran rasmi di sekolah (Madaus, Airasian & Kellaghan, 1980).
Kemudian sekitar tahun-tahun 70-an dan 80-an daripada kajian-kajian oleh
Edmonds (1979) dan Goodlad (1984) mendapati bahawa tanpa mengambil
kira latar belakang murid sesetengah sekolah lebih 'berkesan' atau
'memuaskan' daripada yang lain. Di Britain, Rutter, Maughan, Mortimore dan
Oustan (1979) telah mengenepikan mitos bahawa sekolah-sekolah
mempunyai pengaruh terhad ke atas pembentukan diri insan (murid).
Daripada kajian-kajian ini beberapa ciri sekolah berkesan telah dikenalpasti.

Semua ini berkait rapat dengan apa yang kita panggil 'profesionalisme'.
Inilah aspek yang patut ditekan dan diutamakan dalam seluruh ruang dan
masa setiap orang guru ketika bertugas di sekolah lebih-lebih lagi bagi Guru
Besar sebagai pemimpin institusi.

Abdul Rahman Arshad (1989) mengatakan, "Kalau kita hendak menebus


mutu pendidikan negara ini, yang paling penting bukan di sekolah
menengah. Apa sebabnya?" Bagi beliau beberapa keadaan di sekolah-
sekolah rendah memerlukan 'perubahan' dan 'pembangunan' yang amat
mendesak jika 'keberkesanan' sekolah sekaligus mutu pendidikan dan
pencapaian para pelajar hendak dipertingkatkan. Keadaan-keadaan yang
beliau sebutkan ialah:
• suasana di sekolah rendah ini dari segi persekitarannya tidak begitu
menggalakkan;
• oleh kerana tahap akademik juga rendah, maka profesionalismenya
juga rendah;
• sekolah-sekolah itu kecil; oleh itu kaitan dan perhubungan dari segi
membangunkan fikiran hampir tidak ada;
• terdapat guru-guru di sekolah rendah yang kurang mendapat latihan
dalam perkhidmatan. Majlis Guru Besar hendak dibangunkan secaras
lebih luas, jangan jadi satu badan yang "ceremony"; badan yang
bertemu hanya untuk melantik jawatankuasa, tetapi majlis ini
mempunyai orang yang perlu melihat dari segi kesesuaian buku teks,
sistem mengajar, kaedah-kaedah yang digunakan, perbincangan
mengenai pencapaian. Inilah keutamaan untuk meningkatkan
profesionalisme.

KONSEP PEMBANGUNAN SEKOLAH BERKESAN

Istilah sekolah berkesan bukan baru bagi kita di Malaysia kerana telah sering
diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan kita sama ada di dalam
persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat atau pun sesi
dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang dijalankan di
Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah (Creemers,
1992), Britain (Rutter, Maughan, Mortimore & Ouston, 1979; Mortimore,
Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan, Renihan &
Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sesebuah sekolah di mana
seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada
pembentukan dan pencapaian (Rutter et.al.1979).

Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya merupakan komposit


perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi antara murid-
murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan kakitangan
lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa dan
masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh
'keberkesanan pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.'

Aspek atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya
pembangunan berterusan adalah:

• kepemimpinan pengajaran yang berkesan


• tujuan yang jelas
• iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat
• jangkaan penguasaan minima semua murid
• ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah' program
• matlamat akademik yang jelas
• penglibatan ibu bapa dan penjaga
• wujudnya kesejawatanan (collegiality)

Kini perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan


keadaan-keadaan yang merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan.
Ini menjadi cabaran dan satu tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan
sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational school
leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif,
mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat
keputusan dan menyelesaikan masalah secara kolektif.

Sesungguhnya kepemimpinan adalah fungsi kunci di dalam keberkesanan


sekolah, budaya dan imej sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa
peranan Guru Besar wajar dibentuk semula daripada 'jaga' kepada
'pemimpin pengajaran'. Ciri-ciri yang terdapat di kalangan pemimpin-
pemimpin sekolah yang berkesan antaranya, pertama ada sikap berani
menghadapi risiko, tidak berpuas hati dengan status quo, tidak pula dihalang
oleh sekatan-sekatan organisasi. Selain itu pemimpin seperti ini menjadi
teladan kepada guru-gurunya dan berpegang kepada keyakinan bahawa
sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan pendekatan
'empowerment' yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin begini
berjaya mempengaruhi "the capacity to improve from within". Keduanya
pemimpin berkesan mempunyai satu komitmen yang amat kuat kepada
pengupayaan guru-guru melalui permuafakatan.

Sergiovanni (1992) menggariskan matlamat-matlamat seorang pemimpin


transformasional di dalam satu budaya sekolah seperti berikut:

1. komitmen kepada nilai-nilai teras (core values) yang dipersetujui dan


dilaksanakan oleh semua staf,
2. mengamalkan etika penyayang,
3. mewujudkan visi yang jelas dan hala tuju dengan staf,
4. menggalakkan lebih banyak membuat keputusan secara
permuafakatan.

BUDAYA SEKOLAH BERKESAN

Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai


"tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli
organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-for-
granted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri".
Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai
"konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-
ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka". Ringkasnya kedua-dua
definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan
digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal
kritikal...dan faktor-faktor peluang. peranan penting (antara peranan-
peranan lain) pemimpin dalam membangun budaya yang wajib disedari
ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas,
visi yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi
sekolah. Sekolah-sekolah yang menuntut 'mengongsi visi' digelar sebagai
'high consensus schools'.

Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah ini?

• Menghargai permuafakatan: di mana semua guru mesti mengambil


berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan
dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri
sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu
melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru
bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di
samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu
sesama staf.
• Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti
berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan
dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku
menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti
bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri
tegak di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang
apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa
pula yang tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca
dengan hal-hal yang tidak dijangka atau perkara-perkara bukan rutin,
tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada
memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya
guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di
mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.
• Ciri ketiga budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru. Guru-
gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih
bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan
melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada
keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi
lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan
dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi
kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan,
sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang
belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta
kepakaran.

MEMBANGUN SEKOLAH BERKESAN

Pembangunan tidak sahaja kepada sesuatu yang sudah runtuh dan musnah,
pembangunan kepada situasi dan keadaan yang sedia adalah juga termasuk
dalam pengertian pembangunan. Pembangunan perlukan perubahan
pemikiran dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat
dan instrumen serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh
mengadaptasi 'permintaan' dan 'konflik'. Perubahan yang paling
berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.

Peranan menangani perubahan bagi membangun budaya sekolah berkesan


yang harus dimainkan oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut:

• Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat pengaruh-


pengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam
melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara
menghalang.
• Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan jawapan-
jawapan.
• Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan
pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar
merancang atau mengarahkannya sahaja.
• Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The
first rule of leadership, everything is my fault."
• Pemimpin mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang
merupakan asas kepada kewujudan komuniti sesebuah sekolah.

Membangunkan suatu budaya sekoah yang sihat berkait rapat dengan


amalan-amalan kepemimpinan yang berkesan di pihak Guru Besar. Budaya
ialah nadi yang menggerak dan mengarahkan serta menggambarkan segala
komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi,
sekolah akan mempersembahkan suatu imej yang menggambarkan budaya
sekolah itu kepada seluruh warganya iaitu murid-murid, ibu bapa mereka
dan masyarakat umum.

IMEJ SEKOLAH : SEKOLAH BERWATAK

Renihan dan Renihan (1998) mendefinisikan imej sekolah seabagai


"keseluruhan pandangan-pandangan yang subjektif mengenai kualiti
pembelajaran dan persekitaran sosial..'perasaan' kolektif yang terbina oleh
masyarakat sebagai hasil daripada pemerhatian dan pengalaman terhadap
sesebuah sekolah itu."

Membaiki dan membangunkan imej sekolah mesti ada keazaman yang kuat
kepada keberkesanan imej yang sedia ada. Renihan dan Renihan
membahagikan imej sekolah kepada lima jenis, masing-masing jenis itu pula
diperjelaskan dengan dua dimensi yakni: cakna pastoral (memupuk
perhubungan berkesana, hormat-menghormati, keterbukaan) dan cakna
kosmetik (mempromosikan kejayaan sekolah dalam masyarakat, beri
perhatian kepada penampilan). Jenis-jenis imej sekolah yang dimaksudkan
itu seperti berikut:

1. sekolah synergistik - tinggi kedua-dua pastoral dan kosmetik


2. sekolah 'candy store' - tinggi penampilan, rendah perhubungan
3. sekolah 'disaffected' - rendah kedua-dua aspek pastoral dan aspek
kosmetik
4. sekolah monastik - rendah penampilan, tinggi aspek
perhubungan
5. sekolah 'survivor' - sederhana dalam kedua-dua dimensi.

Jadi tugas dan peranan Guru Besar ialah memantau dan membuat
pengukuran secara berterusan terhadap imej sekolahnya, secara formal dan
tidak formal, menerusi 'stakeholders'. Soalan-soalan yang harus dijawab
seperti apa imej yang dikehendaki? Adakah unsur-unsur tertentu terdapat di
sekolah? Bagaimanan unsur-unsur ini dapat bersepadu dengan visi dan
kepercayaan sekolah? Patutkah dilakukan perubahan? Bagaimana perubahan
hendak dipantau?

Dengan demikian seseorang Guru Besar sebagai pemimpin


transformasional mestilah berkeupayaan dan mampu menangani
perubahan, walaupun ianya tidak popular tetapi amat kritikal dan genting
dalam konteks meningkatkan imej dan seterusnya 'keberkesanan sekolah'
secara menyeluruh dalam semua aspek iklim dan budaya sekolah. Pemimpin
sekolah mestilah mengenalpasti apakah 'penyakt-penyakit' yang sedang
menular di kalangan staf atau kakitangan terutamanya yang perlu
dibanteras dan diperbetulkan 'kiblat' dan 'arahnya' supaya semua orang
tidak tersasar daripada tugas hakiki dan bagi mendapatkan sepenuh
komitmen merealisasikan sekolah berwatak dan berkesan ini. Menangani
perubahan dan mendapatkan komitmen padu seluruh ahli organisasi adalah
salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi dan di atasi jika kita mahu
melihat kejayaan dan keberkesanan program pembangunan yang dilakukan.
Segala-galanya hendaklah diurus dan ditangani dengan bijak dan penuh
hikmah.

KOMITMEN

Kajian-kajian yang dijalankan mendapati secara konsisten telah


membuktikan bahawa terdapatnya perkaitan yang amat rapat antara iklim
sekolah yang positif dengan lain-lain ciri pengukuran terhadap kejayaan dan
keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik, disiplin
yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan.

Eugene Howard (1987) menggariskan sebelas faktor (lapan ciri khusus dan
tiga lagi ciri umum) yang menyumbang kepada pembangunan iklim sekolah
yang positif.
Faktor khusus:

1. Pertumbuhan akademik dan sosial yang berterusan.


2. Hormat: murid dan staf punyai 'harga-diri' dan saling bertimbang rasa.
3. Kebolehpercayaan: rasa percaya yang tinggi kepada orang lain.
4. Morale yang tinggi: murid dan staf berasa selesa dan baik berada di
situ.
5. Kejelekitan: adanya rasa kepunyaan dan kekitaan.
6. Peluang kepada input: mampu dan boleh menyumbang idea dan
mengambil bahagian.
7. Pembaharuan: adanya keterbukaan kepada perubahan dan
penambahbaikan.
8. Penyayang: murid dan staf merasakan orang lain mengambil berat
tentang mereka.

Faktor umum:

1. Program-program kurikulum, aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi.


2. Proses mengajar dan stail pembelajaran, penyelesaian masalah dan
komunikasi.
3. Sumber-sumber bahan dan kemudahan-kemudahan di sekolah.

Apa pun faktor dan keadaan atau ciri-ciri yang telah kita kenal pasti, atau
yang sedia kita ketahui dan alami sebelum ini tidak akan memberi apa-apa
erti dan makna jika kita sebagai pemimpin di peringkat sekolah tidak
berupaya memberikan komitmen yang bulat dan padu dalam membentuk,
membangun dan seterusnya melahirkan sekolah berkesan apatah lagi
sekolah berwatak yang dapat dikenali daripada sesuatau ciri atau aspek
yang menonjol, tersendiri dan unik. Pemimpin transformasional yang
berkesan mesti menyedari dan menghayati ungkapan watak General Hopper
dalam filem animasi In A Bug's Life: " The first rule of leadership,
everything is your fault." Dengan kata-kata lain kemunduran, kegagalan,
ketidakberkesanan, kelewatan, kelederan dan ketidakcaknaan adalah salah
diri kita, berpunca daripada diri kita selaku pemimpin yang tidak berkesan,
pemimpin yang tidak berwawasan; ringkasnya peminpin yang lemah.

Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam


mempengaruhi secara positif kepada kualiti imej sekolah secara keseluruhan,
dan biasanya Guru Besarlah orangnya yang diletakkan segala harapan bagi
menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang
dari masa ke semasa. Omar Hashim (1993) dalam Pendidikan: Persoalan,
Penyelesaian dan Harapan menyebut; " Bahawa bagaimana guru besar,
begitulah sekolahnya! Kenyataan ini sedikit sebanyak memberikan
gambaran kepada kita betapa besarnya tanggungjawab seseorang guru
besar dalam urusan untuk melahirkan "corak" sekolahnya itu, sama ada
untuk kebaikan atau pun sebaliknya."

Di sekolah guru-guru bergantung kepada kepemimpinan seorang pemimpin


dalam aspek berikut:

• Visi;
• Komitmen kepada nilai dan norma;
• Bersikap asertif, menghargai usaha guru-guru; dan
• Pemupukan unsur kesejawatanan yang berkesan.

1. VISI: Visi adalah 'gambaran mental' atau bersifat imaginatif di mana


sseseorang pemimpin itu 'melihat ke depan' tentang rupa bentuk,
iklim, budaya dan imej sekolahnya yang hendak dibentuk, dibangun
dan dicapai menerusi pelan tindakan yang terancang, dan tersusun
menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang rasional dan
praktikal.
2. KOMITMEN kepada nilai dan norma; visi tanpa komitmen samalah
dengan 'bermimpi di siang hari'. Komitmen adalah satu sikap diri yang
ditunjukkan dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang
dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Komitmen yang
tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan kebajikan murid
umpamanya dapat dilihat daripada perilaku guru-gurunya yang datang
awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada
kerja dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan
kepentingan organisasi mengatasi kepentingan peribadi. Orang-orang
yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa dapat mematuhi dan
menepati norma-norma organisasi atau masyarakat sama ada norma-
norma yang tersurat atau pun yang tersirat. Ringkasnya komitmen
adalah manifestasi kepada 'second creation' di mana visi adalah
'first creation'nya.
3. BERSIKAP ASERTIF, menghargai usaha guru-guru; merupakan satu lagi
aspek penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin
transformasional, iaitu imbangan di antara ketegasan dan desakan.
Seorang yang asertif bijak dalam 'mendesak dan menggesa' daripada
orang-orang bawahnya supaya sesuatu perancangan dan tindakan
dapat dipenuhi dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Oleh
kerana 'pemimpin' tidak wujud tanpa 'pengikut', seorang pemimpin
yang berkesan sentiasa menyedari bahawa kerjasama apatah lagi
komitmen yang padu tidak mungkin diperolehi tanpa 'kesetiaan' dan
'kesediaan' pengikut-pengikut untuk bekerja bersama-samanya bagi
mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan; maka pemimpin
berkesan sentiasa menunjukkan penghargaan kepada sumbangan
guru-gurunya dalam pelbagai bentuk dan cara.
4. PEMUPUKAN unsur kesejawatanan yang berkesan; di dalam sesebuah
organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan
peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain membantunya
atau terlibat sama. Kesejawatanan atau "collegiality" bermaksud satu
budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama,
bantu-membantu, hormat-menghormati, nasihat-menasihati atau
tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar
profesionalisme. Jadi pemimpin yang berkesan mestilah berkeupayaan
mewujudkan suasana kesejawatanan ini di kalanngan guru-gurunya,
mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang masa di
samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme,
nepotisme, favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-
domba, fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam
interaksinya dengan staf dan kakitangan lain di sekolah.

KESIMPULAN

Menjadi seorang pemimpin di peringkat sekolah, sama ada sebagai Guru


Besar, Penolong Kanan atau pun Guru Kanan Mata Pelajaran, tidak semudah
yang disangka. Sifat-sifat terpuji diri peribadi berserta beberapa ciri
kepemimpinan perlulah ada dan dikuasai pada tahap yang cemerlang dan
tinggi supaya matlamat, misi dan visi sekolah, masyarakat dan negara dapat
dicapai. Merealisasikan sebuah sekolah yang berkesan dan berwatak,
dengan iklim yang positif dan budaya yang tersohor tidak mungkin dicapai
dengan berangan-angan sahaja. Semua warga sekolah mestilah memahami
konsep berhubung keberkesanan dan kecemerlangan in secara menyeluruh
di samping menumpahkan segala komitmen dengan semangat
kesejawatanan yang tinggi dalam menggarap dan mewujudkan sekolah
berkesan dan berwatak.

Adalah menjadi tugas utama seorang pemimpin trasnformasional


pendidikan berupaya dan berkebolehan menjadi role-model yang dapat
memberi inspirasi dan motivasi kendiri kepada anak didik dan guru-gurunya
di sekolah dan kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid. Pemimpin
berkesan mesti boleh menunjukkan 'keikhlasan' dalam melaksanakan
tugas, di samping dapat mengenalpasti mana-mana guru yang bekerja
dengan tidak ikhlas; yakni melakukan sesuatu dengan mengharapkan
'balasan' atau imbalan. Orang-orang hipokrit amat merbahaya kepada
organisasi. Perbuatan tidak ikhlas ini akan mendatangkan bibit-bibit tidak
puas hati, sakit hati dan iri hati di kalangan staf-staf yang lain pula.
Bagaimana kesejawatanan dan keberkesanan sekolah hendak diwujudkan
jika keadaan ini berlaku dan mencengkam hati dan perasaan mereke yang
melihatnya sebagai satu 'ketidakadilan' di pihak kepemimpinan sekolah?
Pemimpin yang berkesan mestilah memiliki ciri-ciri akauntabiliti dan
kredibiliti dalam semua tindak-tanduknya di sekolah. Edmund R. Murrow
menyatakan: " To be persuasive, we must be believable; to be
believable, we must be credible; to be credible, we must be
truthful." Orang yang tidak berkata benar, tanda hatinya tidak ikhlas; juga
tandanya seorang yang tidak dapat dipercayai dan tidak ada kredibiliti dan
akuntabilti. Bagaimana jika orang macam ini jadi pemimpin organisasi?

Sebagai pemimpin transformasional pendidikan, kita sangat wajar


mengenalpasti hati dan budi guru-guru kita dalam melaksanakan tugas
mengajar dan mendidik, adakah guru-guru kita bekerja kerana 'takut' atau
kerana 'cinta'? Orang yang bekerja kerana takut walau nampak taat dan rajin
namun jauh di lubuk hatinya masih bersarang perassn ria' halus, dan akan
melahirkan emosinya apabila tidak mendapat anugerah 'menegak' atau pun
'melintang'. Rabi'ah al-Adawiyah diriwayatkan menjawab pertanyaan Sufian
al-Thauri apabila dipersoalkan hakikat iman, sebagai berkata; "Aku
menyembah-Nya bukan takut kepada neraka-Nya dan bukan
cintakan kepada syurga-Nya. Kalau itulah tujuannya samalah
seperti buruh yang tidak baik, jika dia takut dia bekerja, bahkan aku
menyembah-Nya kerana cinta dan rinduku kepada-Nya."

Hanya apabila 'cinta' kepada tugas dan cinta kepada organisasi di mana
seseorang itu berkhidmat, tanpa berselindung dan berpura-pura, barulah
wujud komitmen sejati yang akan melahirkan warga pendidik yang menepati
ciri seorang yang soleh lagi muslih. Omar Hashim (1993) menyebut;
"Kalaulah kita mahukan pendidikan kita pada hari ini berperanan serta
bertujuan untuk mengangkat martabat kemanusiaan anak-anak kita masa
depan supaya menjadi individu-individu yang soleh dan berbudi, maka kita
sebagai pendidik "wajib" membentuk diri kita terlebih dahulu sebagai
manusia yang soleh dan berbudi. Bagaimanakah kita hendak mendidik anak-
anak kita supaya bermoral sedangkan kita sendiri tidak bermoral?
Bagaimana kita hendak mendidik supaya anak-anak kita gemar membaca,
sedangkan kita sendiri tidak mempunyai minat membaca? Bagaimana kita
hendak mendidik anak-anak kita supaya berperikemanusiaan, sedangkan
kita sendiri bersikap kasar dan tidak bertimbang rasa?"

Kerja memimpin dan membimbing adalah suatu kerja yang tidak ada
penghujungnya perlu dijadikan keutamaan dalam senarai tugas
kepemimpinan pendidikan di sekolah. Mengenali ciri dan memahami konsep
serta mewujudkan komitmen dalam membangun diri (dan organisasi) agar
dapat menjadi guru sebenar guru, ke sekolah tidak jemu, mengajar tidak
lesu; patut menjadi agenda utama dalam merealisasikan sekolah berkesan
dan sekolah berwatak.‫ٱ‬

Rujukan
Abu al-Wafa' al-Ghanimi al-Taftazani (Dr.) (1996). Perkembangan Tasawwuf Islam. Terjemahan
Prof. Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan Dr. Mudasir Rosder. Bahagian Hal Ehwal Agama Islam,
Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Howard, Eugene (1987). The Importance of Positive School Climate, in Handbook for
Conducting School Climate Improvement Projects. Phi Delta Kappa Educational Foundation,
1987.

Bolender, Mary (1997). A Study of The Evolving Image of A New School Within the Context of
School Effectiveness. SSTA Research Centre.

Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan Bahasa
Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ramaiah, AL. (Dr.) (1992). Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. IBS Sdn. Bhd. Petaling
Jaya, Selangor Darul Ehsan.

_____________________ Suara Pendidik Keluaran Khas 1988/1989; Sempena Ulang Tahun ke-
20. Persatuan Pendidikan Malaysia, Institut Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Anda mungkin juga menyukai