Anda di halaman 1dari 8

KARANGAN DIMENSI KELUARGA

Assalamualaikum,
Sila baca karangan ini untuk persediaan peperiksaan Percubaan
J asa ibu bapa perlu dikenang. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka
yang berjaya dalam hidup sering mengabaikan jasa dan budi ibu bapa.
Nyatakan perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk membalas jasa mereka.
Tersebut kisah dalam cerita klasik Melayu, seorang anak muda yang bernama
Tenggang. Tenggang anak tunggal kepada seorang ibu tunggal. Hidup mereka dirundung
miskin. Pada suatu hari, Tenggang telah memohon keizinan daripada ibunya untuk keluar
merantau dengan harapan untuk mengubah kehidupan yang melarat itu. Nasib Tengggang
ternyata baik kerana dengan sikapnya yang ringan tulang dan amanah, dia telah diambil sebagai
anak angkat oleh seorang saudagar kaya. Akhirnya, Tenggang telah menjadi menantu kepada
saudagar tersebut. Masa berlalu, Tenggang kini bukan lagi anak hingusan tetapi seorang
saudagar ternama. Malangnya, dek diselimuti kemewahan dan limpahan kekayaan, ingatan
Tenggang kepada ibunya telah mula luput Tanpa diduga, dalam suatu pelayaran, kapal
Tenggang berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran kampungnya dahulu. Mendengar berita
tersebut, si ibu yang telah sekian lama merindui anak tersayang menerpa menuju ke bahtera
Tenggang. Alangkah hibanya hati ibu, anak yang selama ini menjadi buah hati pengarang
jantung telah mengusir dan menendang si ibu kononnya ibu tua yang tidak sedar akan diri mahu
mengambil kesempatan daripada kekayaannya. Namun, tuhan lebih mengetahui, sikap buruk
Tenggang dibalasi musibah, kapalnya tenggelam dipukul gelombang besar. Tenggang mati
ditelan laut dalam keadaan diri yang berpalut Lumpur dan dosa. Demikianlah secebis kisah
daripada ribuan perbuatan anak-anak keji yang tidak mengenang jasa ibu bapa apabila mereka
sudah benar-benar berjaya. Dengan trgedi malang itu, sudah sewajarnya kita mengambil iktibar
daripada peristiwa tersebut dan berusaha untuk menumpahkan kasih sayang kepada ibu bapa
yang telah bersabung nyawa untuk membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya.

Sebagai anak yang telah mengecapi nikmat hasil pengorbanan ibu bapa, maka kita
hendaklah menjadikan mereka sebagai orang pertama dalam apa jua urusan hidup
kita. Seandainya merekalah orang yang pertama kita cari dalam masa kesusahan maka tidak
sewajarnya mereka kita lupakan apabila kita mencapai sebarang kejayaan. Sikap ini perlu
kerana merekalah yang melahirkan dan membesarkan kita. Selain itu, mereka juga yang
mendidik dan memberi ilmu sehingga kita menjadi manusia yang berguna. Justeru, apabila kita
berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan atau berjaya dalam kerjaya
maka ibu bapalah orang pertama yang perlu kita nobatkan sebagai pencetus kepada semua
kejayaan tersebut. Pada waktu ini, ibu bapa akan berasa tiada nikmat yang paling besar di dunia
ini apabila anak-anak memulangkan segala kejayaan yang diraih adalah bertitik tolak daripada
pengorbanan mereka.

Bagi mengenangkan segala jasa dan pengorbanan mereka juga, apalah salahnya
jikalau kita cuba menyelami hati kecil mereka pada hari-hari tertentu yang istimewa dalam hidup
mereka. Hari tersebut seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari jadi dan hari-hari
perayaan. Pada hari yang amat bermakna itu, hulurkanlah hadiah istimewa untuk dijadikan
santapan rohani mereka. Walaupun hadiah tersebut sekadar bernilai beberapa rial tetapi
memadai untuk menjadi simbolik kepada nilai kasih sayang mereka kepada kita bak laut yang
tidak bertepi itu. Atau pun, pada hari-hari istimewa tersebut bawalah mereka untuk melancong
atau berziarah rakan kenalan. Kepada yang beragama Islam pula berilah hadiah menunaikan
Fardu Haji ke Mekah. Kita juga patut meniru teladan baik beberapa individu yang telah berjaya
yang membawa dan memperkenalkan ibu bapa dalam majlis-majlis besar yang mereka menjadi
tetamu istimewa. Bayangkanlah betapa linangan air mata ibu bapa pada waktu itu pasti menjadi
pembasuh api neraka. Ingatlah, doa restu dan kepuasan jiwa mereka akan menjadi titian
kejayaan kepada kita sama ada di dunia atau di akhirat.

Apabila ibu bapa sudah menjelang usia tua, sudah menjadi tanggungjawab mutlak
kepada kita untuk mengambil tahu keperluan hidup mereka seperti makan minum, kesihatan
ubat-ubatan dan tempat tinggal. Janganlah dek terlalu memburu kejayaan hidup di dunia, ibu
bapa dibiar terlantar di rumah-rumah orang tua. Elakkanlah hidup menjadi dedalu masyarakat,
ibarat kacang lupakan kulit. Pada usia tersebut , ibu bapa tidak pernah menuntut sesuatu yang
berlebih-lebihan sebaliknya mereka mengharapkan ihsan dan kasih sayang. Cara penyelesaian
terbaik adalah setiap anak perlulah membuat giliran untuk melihat kebajikan ibu bapa atau pun
jikalau keadaan terlalu mendesak ambillah orang gaji untuk menjaga mereka.

Setiap ibu bapa sentiasa menaruh harapan untuk melihat anak-anak mereka menjadi
manusia paling berguna kepada nusa, agama dan masyarakat. Sebagai pelajar, inilah masa
terbaik untuk kita membuktikan yang terbaik kepada mereka. Belajarlah dengan bersungguh-
sungguh untuk menjadi pelajar terbilang dan apabila berjaya dengan cemerlang dalam
peperiksaan maka itulah sebenarnya hadiah yang tidak ternilai untuk kita mengenang jasa
mereka. Pada masa itu kita dapat melihat lelehan air mata gembira mereka bagaikan tidak boleh
ditahan-tahan. Seterusnya, jagalah hati mereka dengan cara tidak menghampiri atau terlibat
dengan kerja-kerja yang tidak baik seperti menjadi samseng, bercakap keji, melepak, dadah dan
seribu satu macam gejala kutu masyarakat yang terlalu keji di sisi agama dan moral. Hati ibu
bapa pasti akan lebur apabila anak-anak tercampak ke dalam kancah kehinaan seperti ini.

Mafhum (maksud) daripada sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud apabila
mati seseorang anak Adam itu maka terputuslah segala amal baiknya kecuali tiga yang masih
kekal Ketiga-tiga yang tersebut itu ialah, sedekah dan derma untuk faedah umum, anak-anak
yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan ilmu yang bermanfaat yang
diajarkan untuk faedah manusia. Janganlah kita putuskan hubungan kasih sayang kepada ibu
bapa hatta mereka sudah meninggal dunia. Doakanlah kesejahteraan mereka siang dan malam
setelah mereka pergi meninggal kita.

Ibu engkaulah ratu hati
bilaku berduka
engkau hiburkan selalu
Kenangilah jasa ibu bapa selama hidup dan mati mereka. Nilai diri ibu bapa tidak akan
tertukar dengan harta dunia walaupun segunung emas. Ingatlah syurga di bawah telapak kaki ibu.










Orang Kelainan Upaya (OKU) harus diberi peluang untuk berjaya.

Bincangkan pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.

Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian
tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi
yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang
sedang lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif
mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario Orang
Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu
yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik,
ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang
sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang
penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang
menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.

Takrif OKU ialah insan yang kurang bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal
sama ada dalam bentuk kecacatan fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak,
cacat anggota, manakala cacat mental seperti sindrom down dan tergencat akal. Mereka
terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti golongan normal dek
kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah diri, tersisih daripada arus perdana
masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga
terdekat. Pada hari ini jumlah OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga
4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan golongan tersebut tidak boleh dibiarkan
meneruskan kehidupan dalam kedaifan. Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan
hidup atas kudrat yang ada pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.

Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU tidak mampu menguruskan kehidupan
mereka sendiri hendaklah dikikis daripada minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan
motivasi yang tinggi, golongan tersebut telah berjaya malah ada yang menjadi golongan
profesional. Kemampuan personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim menjadi
penasihat kepada beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma
membuktikan golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang baik. Walau
bagaimanapun, di sebalik beberapa individu yang sudah berjaya itu, masih banyak OKU yang
terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan untuk meneruskan hidup. Mereka bukan
sahaja tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat dan agensi tertentu yang ditugaskan,
malah mereka tersisih juga daripada keluarga dan saudara mara sendiri.
OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan mereka lebih berkemampuan mengatasi
orang-orang yang normal. Mereka berjaya menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh,
kulit, dan kemahiran tangan. Malang sekali semua usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah
atas kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian. Dalam usaha membela nasib
golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan sama ada oleh orang
perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya orang normal pun memerlukan latihan
yang intensif sebelum mereka boleh memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu
diberikan perhatian yang lebih serius lagi. Malahan OKU perlu menerima latihan dan bimbingan
yang lebih terancang memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan risiko hidup yang
lebih berat jikalau dibandingkan dengan golongan normal.

Pada asasnya, OKU telah dikurniakan dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha
berkuasa mentakdirkan mereka demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka
memiliki sesuatu yang cukup istimewa. Bayangkanlah betapa kuatnya daya ingatan orang-orang
buta yang mampu menghafal berjuzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula betapa mahirnya
golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis, pertukangan tangan,
dan melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk
mereka maju dalam semua perkara. Sebaliknya kecacatan tersebut memberi dorongan kepada
mereka untuk menumpukan dalam aspek-aspek yang tertentu pula.

Sikap memandang lekeh masyarakat terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti
itulah yang menjadi penghalang kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan
kemudahan prasarana kepada OKU. Sehingga ke hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-
benar memiliki kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun sekadar menumpang
kemudahan sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan
profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU. Bagi
golongan pekak pula tiada suatu pun IPT dan institusi kemahiran yang menyediakan perantara
khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik Johor Baharu telah dipilih sebagai
institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam kategori pekak, namun hingga ke hari ini IPT
tersebut belum memiliki penterjemah bahasa isyarat yang profesional.

Bagi membolehkan golongan tersebut tidak terus bergantung kepada orang lain untuk
meneruskan kehidupan, usaha bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka.
Pihak berwajib terutama Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat
hendaklah mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke kabinet sebagai
usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah tiba masanya,
golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang menyediakan pelbagai latihan
kemahiran dan profesional untuk mereka. Dengan wujudnya institusi seumpamanya baharulah
golongan tersebut tidak perlu bersusah payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.

Sesungguhnya, tiada seorang insan pun yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu
hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh
menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu
golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti
menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita.

SILA DAPATKAN SAMPEL-SAMPEL KARANGAN BERTARAF 6 BINTANG DENGAN
MELANGGANI MODUL SAYA. HUBUNGI 019 4789803

Terima kasih


Soalan 2

Amalan pengambilan makanan segera dan makanan ringan kurang sesuai untuk kesihatan
anak-anak yang sedang membesar. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis sebuah
rencana yang bertajuk Peranan ibu bapa dalam mengawal pengambilan makanan segara
dan makanan ringan dalam kalangan anak-anak

Tulis rencana itu selengkapnya.


PERANAN IBU BAPA DALAM MENGAWAL PENGAMBILAN MAKANAN SEGARA
DAN MAKANAN RINGAN DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

Oleh : Hawa Atiqah Binti Mohamad Azmin

Dalam sepotong ayat Al Quran ada menyatakan, Makanlah dan minumlah daripada
yang halal dan yang baik, dan janganlah kamu berlebih-lebihan kerana perkara tersebut
amalan syaitan.Petikan ayat tersebut adalah untuk mendidik manusia agar menitikberatkan hal
pemakanan dengan memilih makanan yang baik-baik lagi halal supaya pertumbuhan fizikal dan
minda terhasil daripada sumber yang baik-baik juga. Kini, sejajar dengan pertumbuhan industri
makanan pelbagai produk makanan segera telah dihasilkan. Makanan-makanan ringan seperti
Mc Donald, Kentucky Fried Chicken, Burger dan banyak lagi seakan-seakan sinonim dengan
gaya hidup moden masa kini. Walau bagimanapun, menurut kajian dietatik pelbagai produk
makanan ringan dan makanan segera amatlah tidak mesra kepada kesihatan. Pelbagai komplikasi
seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis amat mudah menghinggapi peminat tegar
makanan-makanan tersebut. Memandangkan kesan jangka panjang yang tidak mesra kesihatan
khususnya kanak-kanak, justeru ibu bapa haruslah mengambil berat mengawal pengambilanya
dalam kalangan kanak-kanak lebih awal kerana, amalan mencegah adalah lebih baik daripada
mengubat.

Prakarsa yang paling prima, ibu bapa hendaklah memiliki pengetahuan dan maklumat
yang jelas tentang produk makanan segera. Hal yang demikian amatlah penting kerana sebelum
mengawal, ibu bapa sewajarnya tahu akan kandungan serta implikasi negatif makanan tersebut.
Pengetahuan asas yang diperoleh ibu bapa boleh membantu mereka menjelaskan kepada anak-
anak akan mudarat dan kesan jangka panjang apabila makanan segera diambil dengan banyak.
Sebagai contoh ibu bapa harus tahu tentang cara untuk memujuk anak-anak agar tidak terlalu
kemaruk dengan minuman bergas kerana impaknya terlalu bahaya kepada buah pinggang dan
komplikasi kencing manis. Tekniknya adalah mudah, tunjukkan kepada anak-anak gambar-
gambar yang menakutkan implikasi daripada penyakit seumpama itu. Malahan, langkah yang
lebih proaktif rajin-rajinlah bersama-sama anak-anak melayari internet untuk memperoleh
maklumat tentang penyakit kronik atau bawalah anak-anak mengunjungi pameran kesihatan.
Dengan cara yang tersebut anak-anak akan mudah serik dan mula membina pemahaman yang
mendalam dalam jiwa tentang bahaya makanan segera.

SAMPEL KARANGAN CEMERLANG SPM 2013 - SOALAN 1
Assalamualaikum,

Saya kongsikan karangan ini sebagai panduan rakan-rakan dan calon-calon SPM 2012 buat
panduan. Tiga sampel jawapan lagi anda boleh dapati dalam modul saya edisi 2014. SILA
DAPATKAN MODUL MAHIR MENGARANG EDISI 2014 dengan menghubungi terus kepada
saya.
Akhlak yang terpuji amat penting dalam kehidupan.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk membentuk akhlak yang terpuji dalam
diri seseorang.
Akhlak ialah istilah daripada bahasa Arab dengan perkataan asalnya al khuluqu yang bermaksud
perihal pembawaan pekerti yang baik. Perkataan ini akhirnya bergandingan dengan beberapa perkataan
lain seperti budi pekerti, tatatertib dan moral seseorang insan yang tingkah lakunya sangat menyenangkan
hati insan-insan di sekelilingnya. Daripada sudut pandangan agama Islam, akhlak sering digabungkan
dengan kemantapan iman, agama dan akal budi. Seandainya ketiga-tiga unsur ini dapat disepadukan
nescaya lahirlah seorang insan yang amat elok zahir peribadinya dan amat mulia rohaninya.
Memandangkan pembentukan akhlak memerlukan suatu pakej bersepadu antara rohani dan jasmani,
justeru banyak faktor yang perlu diambil kira untuk menzahirkan akhlak yang terpuji dan cemerlang.

Unsur prima dan yang terpenting hendaklah lahir dari dalam diri individu itu sendiri. Hal
tersebut amatlah penting kerana diri sendiri menjadi cerucuk yang paling kukuh sebelum terdirinya
monumen peribadi yang mulia. Insan yang terbaik adalah yang mempunyai upaya untuk berkolaboratif
dengan Khaliqnya (Tuhan). Mengenali Tuhan bermaksud faham akan segala baik dan buruk dan sentiasa
patuh dengan arahan dan larangan-Nya. Golongan ini sentiasa bercakap benar, berintegriti, mendirikan
solat, berpuasa dan tidak melakukan perkara-perkara yang keji. Inilah insan yang sentiasa menyerahkan
seluruh pengabdiannya kepada Tuhan, demi melahirkan peribadi yang unggul, syumul dan tawadhuk.
Sifat tersebut amatlah sesuai dengan tuntutan agama seperti yang termaktub dalam ayat suci al Quran,
surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud,Kamu ialah umat yang terbaik dalam kalangan manusia
yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar.

Watak kedua terpenting dalam membentuk akhlak mulia seseorang insan ialah ibu bapa.
Benarlah akan kata-kata peribahasa lulus jarum luluslah kelindan yang bermaksud jikalau tunjuk pandu
yang dibawa oleh ibu bapa elok nescaya eloklah anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi suri teladan terbaik
kerana rumah merupakan madrasah paling awal dalam menentukan hala tuju anak-anak. Apa-apa tingkah
laku ibu bapa maka bermulalah gerak hati anak-anak kerana getah batang akan mengalir juga ke
perdu. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menunjukkan tauladan yang baik seperti bercakap secara lemah
lembut, memberi kasih sayang dan ada ketegasan dalam perkara-perkara yang boleh membawa mudarat.
Seberapa yang mungkin, ibu bapa janganlah hilang punca sehingga terkeluar kata-kata kesat serta maki
hamun di hadapan anak-anak. Berwaspadalah dengan pesan Rasulullah dalam Hadithnya yang
bermaksud, Setiap anak dilahirkan fitrah (suci), bergantunglah kepada ibu bapa yang
mencorakkannya.

Sekolah ialah agen terpenting dalam membentuk watak seseorang insan sebaik sahaja anak-
anak mula bergerak keluar daripada lingkungan ibu bapa. Dalam sistem pendidikan moden sekarang
anak-anak akan mula ke sekolah sebaik mencapai usia enam atau tujuh tahun. Pada usia darah
baru setampuk pinang ini, anak-anak akan mula mengenali sosialisasi baru, berjumpa dengan rakan-
rakan baru dan hidup dalam atmosfera yang baru. Tanpa didikan dan asuhan dengan segala sifat dedikasi
dan penuh hemah, individu akan mudah terpengaruh dengan elemen baru yang mereka pelajari. Oleh itu,
pihak sekolah hendaklah lebih cakna terhadap segala pengaruh persekitaran yang boleh membentuk
perwatakan pelajar. Penerapan nilai-nilai murni yang merentas kurikulum hendaklah diperkasakan
terutama dalam subjek Sivik, Pendidikan Agama Islam dan Moral dan juga Sejarah yang perlu diajarkan
secara penuh disiplin. Sebenarnya, inilah harapan agar negara dapat melahirkan modal insan yang
seimbang antara fizikal, mental dan rohani dengan ciri-ciri modal insan berkelas pertama.

Selain itu, rakan sebaya dan kelompok khalayak turut membentuk personaliti seseorang insan.
Rakan yang baik boleh dijadikan sahabat dan rela bersusah payah, ibarat peribahasa berlapik
seketiduran, sebantal sekalang hulu. Sahabat juga dikatakan menjadi imej peribadi seseorang. Oleh itu,
pilihlah seorang sahabat yang baik, boleh dipercayai dan mempunyai karisme untuk diikuti. Ciri-ciri
sahabat yang baik antaranya patuh akan agama, cenderung terhadap ilmu dan memiliki sahsiah yang
terpuji. Seandainya, pakej tersebut yang menjadi keutamaan, insya-Allah rakan juga boleh dijadikan
tempat bergantung sama ada dalam keadaan susah dan senang. Memetik kata-kata Al Hakim,
Sahabat yang sejati ialah seseorang yang dapat berkata benar kepadamu, sebaliknya bukan orang
yang membenarkan kata-katamu. Dengan hal demikian, sahabat sangat penting dalam menentukan
hala taju dan memastikan siapakah diri kita dalam khalayak? Ingatlah akan pesanan, berkawan biar
seribu, bersahabat biar satu.

Kelompok yang paling besar turut memberi impak kepada transformasi akhlak ialah masyarakat
dan negara. Imam Qurtubi pernah menyatakan, Untuk mengenali peribadi seseorang itu, kenalilah
dulu masyarakatnya. Demikianlah betapa besar pengaruh masyarakat dalam kehidupan seseorang.
Seandainya masyarakat tersebut yang berkiblatkan hiburan yang melalaikan maka pilihan individu juga
kepada berhibur. Sebab itulah, ikon-ikon dan selebriti dalam masyarakat sama ada pemimpin, artis dan
ahli sukan sentiasa menjadi rujukan individu tanpa mempedulikan imej akhlak yang dibawa oleh
golongan tersebut. Oleh sebab itu, pihak kerajaan hendaklah menentukan dasar dan hala tuju transformasi
sosial negara agar perubahan tersebut tidak mempengaruhi akhlak rakyat. Keutamaan kepada agenda-
agenda hiburan seperti konsert, program realiti dan pesta-pestaan hendaklah dipantau kerana kesannya
sangat anarki terhadap akhlak seseorang. Berwaspadalah dengan pesanan, ingat sementara belum kena,
jimat sementara belum habis.

Kesimpulannya, akhlak adalah menjadi pilihan mutlak seseorang sama ada untuk jadi positif atau
sebaliknya. Namun demikian, ketahanan minda dan emosi seseorang boleh berubah dengan pelbagai
pengaruh yang datang menghimpit. Sepatutnya, dalam melahirkan insan seimbang dan harmonis dalam
aspek mental, emosi dan jasmani seyogia, gemblengan semua pihak sangatlah ditagih agar matlamat
ditentukan oleh cara yang betul. Seandainya negara berjaya membentuk modal insan yang tinggi
akhlaknya, bukan mustahil Malaysia mampu duduk sebaris dengan negara-negara seperti Jepun dan
Eropah yang rakyatnya sangat menghayati nilai moral.

Anda mungkin juga menyukai