Anda di halaman 1dari 2

ARAS KARANGAN UNTUK MARKAH CEMERLANG A+

Sebagai mukadimah dalam pertemuan kita pada minggu ini, saya ingin mengundangi anda meneliti
sebuah sampel karangan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan cemerlang. Karangan tersebut
dengan wajaran markah melebihi 90%.

Aspek kekuatan yang ada pada karangan tersebut adalah dalam perkara penguasaan bahasa,
kematangan fikiran, ketepatan fakta dan hujah, dan pengolahan yang menarik. Seyogia, pelajar diseru
meniru gaya mengarang seperti itu agar anda mampu meraih markah yang terbaik dalam peperiksaan
SPM nanti. Karangan yang saya maksudkan ialah sampel jawapan daripada soalan SPM 2010. Sila
telitikan karangan yang saya lampirkan di bawah ini.

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga
seorang ibu.

Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat .

Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

Memetik kata-kata daripada peribahasa Arab yang bermaksud , “Syurga itu dibawah telapak kaki ibu”
membuktikan keredaan hidup seseorang anak adalah dengan reda ibunya. Maksud yang sama juga
dapat dipetik daripada maksud Hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Reda Allah hendaklah dengan reda
daripada ibu bapa”. Oleh hal yang demikian, hasrat seseorang anak yang mahu memperoleh keredaan
Tuhan sama ada di dunia mahupun di akhirat hendaklah terlebih dahulu memperoleh keredaan
daripada ibu mereka. Namun demikian, situasi masa kini memaparkan keadaan di sebaliknya apabila
ramai warga emas yang terbiar terlantar dengan jelas menunjukkan sikap lepas tangan dan tidak
bertanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka semakin menjadi-jadi. Inilah tempelakan
seperti kacang melupakan kulit yang menunjukkan rasa tanggungjawab dan sikap membalas budi
anak-anak terhadap ibu bapa yang sudah tua semakin memupus. Sewajarnya hal yang sedemikian
tidak berlaku, malahan anak-anak dituntut melaksanakan tanggungjawab yang sebaik mungkin
terhadap ibu dan bapa mereka.

Dipetik daripada sebuah rencana dalam akhbar Utusan Melayu pada 26 Mei 2009 bertajuk
“Di mana Nilainya Warga Emas?”, memaparkan suatu keadaan yang sangat menyedihkan apabila 100
000 warga emas yang hidup terpinggir dengan 95 000 daripadanya hidup secara bersendirian. Inilah
fenomena menjelang abad milenium apabila induk semakin terpisah daripada generasinya. Implikasi
buruk yang bakal berlaku ialah terpampang di hadapan mata kita anak-anak yang tidak tahu membalas
budi, sombong dan masyarakat yang porak peranda. Inilah ironi kononnya rakyat Malaysia yang sangat
kaya dengan budi bahasa dan sopan santun tetapi induk darah daging sendiri terbiar.

Sebagai anak yang tahu harga diri, kita wajar menjaga maruah diri dan maruah ibu bapa.
Jangankan ibu bapa sudah sampai pada usia warga emas, namun dalam setiap keadaan maruah
mereka perlu dijaga. Sebaliknya pada hari ini terdapat begitu ramai anak-anak yang menjadi samseng
jalanan, penagih dadah, dan gila seks sedang menular di tengah-tengah masyarakat. Anak-anak
sewajarnya kembali ke pangkal jalan. Pilihlah jalan hidup yang diredai dengan berpegang kepada
pedoman agama, adat budaya dan pantang larang. Akibat meminggirkan gaya hidup yang berteraskan
nilai-nilai sejati insani akhirnya disiplin, akhlak dan budi bahasa tidak dipedulikan. Hancurlah hati ibu
bapa yang melahirkan dan membesarkan. Oleh itu, sebagai anak yang tahu akan nilai keinsanan
tunjukkanlah sifat berbudi bahasa yang mudah disenangi mata yang memandang dan menjadi halwa
telinga kepada ibu bapa kerana mengenal getah batang lihatlah kepada daunnya.
Selagi ada hayat mereka di dunia penuhilah hasrat mereka yang ingin melihat anak-anak
berjaya di dunia dan memperoleh reda Allah di akhirat. Jalan yang terbaik ialah setiap anak hendaklah
menyimpan azam untuk berjaya dalam pelajaran, halus budi pekertinya dan menyerlah dalam
kerjayanya. Setelah meninggal dunia, ibu bapa sangat mengharapkan anak-anak seumpama ini yang
mendoakan kesejahteraan mereka. Jadilah anak-anak yang baik sesuai dengan maksud Hadith
Rasulullah, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah segala amalnya di dunia ini
melainkan tiga perkara. Ketiga-tiganya ialah sedekah yang dijariahi, ilmu bermanfaat yang
disampaikan, dan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.

Kasih sayang boleh diibaratkan seperti tali yang sentiasa bersambung dan tidak pernah putus.
Oleh itu, sebagai anak yang memiliki pekerti mulia, jangan sama sekali diputuskan silaturahim sesama
adik beradik, kaum keluarga serta handai dan taulan yang telah dijalinkan oleh ibu bapa. Sama ada ibu
bapa masih hidup atau sudah tiada, anak-anak amat dituntut untuk memperluas rangkaian
silaturahim. Amalan tersebut bukan sahaja untuk memperkukuh jalinan keluarga malah dapat
membentuk sebuah masyarakat yang damai dan harmonis. Sekiranya ada jemputan seperti ke majlis
kenduri kendara, menjenguk kesakitan dan menziarahi kematian, eloklah anak-anak turut bersama-
sama ibu bapa atau pun menjadi wakil kepada ibu bapa sekiranya mereka sudah uzur. Sesungguhnya,
amalan seperti ini menepati falsafah hidup sandar-menyandar ibarat aur dengan tebing.

Saat yang paling kritikal kepada ibu bapa apabila mereka sudah mencecah usia emas dan
mula dirundung sakit atau uzur. Ramai anak-anak yang memberi alasan sibuk, keengganan ibu bapa
tinggal bersama-sama, dan pelbagai lagi dengan seribu satu alasan. Semuanya bertujuan untuk
mengalih perhatian agar dapat mengelak daripada menjaga ibu bapa. Pada kala ini tepat sangatlah
dengan ungkapan di atas iaitu, “Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang
anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu”. Sebaliknya sebagai anak yang tahu harga budi dan diri,
inilah peluang terbaik untuk mereka membalas jasa ibu bapa. Bertepatan dengan nasihat Nabi SAW
kepada seorang sahabatnya yang telah mengendung ibunya kerana bertawaf di sekeliling Kaabah,
bahawa jikalau sahabat tersebut memberikan nyawanya sekalipun dia belum boleh menggantikan
pengorbanan si ibu kepadanya. Walau seberapa ramai sekalipun adik beradik, seseorang itu
hendaklah berasa dialah yang paling bertuah sekiranya berpeluang menjaga ibu bapa terutama sekali
pada saat-saat nazak untuk menyahut panggilan Tuhan. Insya-Allah segala pengorbanan anak pada
waktu itu akan diganjari Allah pahala yang amat besar dan segala dosanya terhadap kedua-dua ibu
bapa akan diampunkan.

Demikianlah maksud ungkapan, kasih ibu sepanjang hayat, kasih bapa berkorban jiwa, dan
kasih saudara sewaktu berada. Kasih sayang ibu bapa tiada tukar ganti walaupun nilainya segunung
emas dan permata. Oleh itu, berbuatlah baiklah kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup dan
kirimilah doa setelah mereka pergi buat selama-lamanya.

Anda mungkin juga menyukai