Anda di halaman 1dari 12

SIRI SUKAN PERMAINAN1 : KEMAHIRAN DALAM BOLA BALING

Bola baling (handball) adalah permainan yang memerlukan


pelbagai kemahiran untuk mencapai sasaran kemenangan dan
permainan yang cantik dan menarik. Berikut adalah beberapa
kemahiran dalam bola baling.

KEMAHIRAN ASAS PERMAINAN BOLA BALING

1. Berlari
2. Melompat
3. Hantaran bola
4. Menyambut bola
5. Mengelecek bola dengan tangan
6. Mengacah
7. Mengadang
8. Menjaring
9. Menjaga gol

KEMAHIRAN PERTAMA : HANTARAN BOLA

Kemahiran menghantar bola adalah asas utama dalam


permainan bola baling. Kemahiran permainan ini menyerupai cara-
cara yang digunakan dalam permainan bola keranjang dan bola
jaring. Jenis hantaran yang biasa digunakan adalah seperti berikut :
a) Hantaran aras dada
b) Hantaran bahu
c) Hantaran lantun
d) Hantaran lompat
e) Hantaran sisi

HANTARAN ARAS DADA


Berasal daripada kemahiran yang sama dalam permainan
bola keranjang. Sesuai untuk hantaran jarak dekat di aras dada.
Pergerakan bola itu adalah hasil tolakan dari jari-jari tangan. Tangan
hendaklah ikut lajak di akhir tolakan.
Hantaran aras dada

HANTARAN BAHU
Cara ini dilakukan semasa membuat hantaran jauh dan
serangan balas secara mengejut (counter-attack). Kelebihan cara ini
ialah persediaan hantaran ini boleh mengelirukan pihak lawan. Dari
keadaan bersedia, pemain boleh terus mengelecek, menjaring,
menukar hala hantaran atau memusingkan badannya.

Hantaran bahu

HANTARAN LANTUN
Dilakukan apabila membuat hantaran secara mengejut.
Dengan melatunkan bola. Kelemahannya adalah bola itu dapat
disekat oleh pihak lawan yang bertindak balas pantas. Hantaran ini
biasanya dilakukan dengan sebelah tangan.
Hantaran lantun

HANTARAN LOMPAT
Ini adalah satu lagi gerak keliru yang berasal dari permainan
bola keranjang. Biasanya apabila seorang penyerang melompat
untuk menjaring tidak berpeluang membuat demikian, ia akan
membuat hantaran terus kepada kawannya supaya bola tidak
terlepas kepada pihak lawan.

HANTARAN SISI
Cara hantaran sisi juga digunakan bila membuat hantaran
jarak dekat dan pantas. Pemain tidak perlu memusingkan badannya
untuk menghadap ke arah penerima hantarannya apabila hantaran
sisi dilakukan. Hantaran cara ini banyak melibatkan pergerakan
pergelangan tangan dan memang sesuai bagi pemain yang
mempunyai tapak tangan yang besar.
Hantaran sisi

KEMAHIRAN KEDUA : MENANGKAP BOLA

Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal,


mematikan kelajuan bola, memegangnya dengan baik dan terus
mengawalnya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan yang
berkedudukan relaks. Tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat
tanpa mengira kelajuan atau jenis hantaran yang dibuat oleh rakan.
Tangkapan yang tepat dan betul bermula daripada lontaran atau
hantaran yang tepat atau sempurna.

CARA MENANGKAP BOLA


1. Dengan kedua-dua belah tangan bola aras muka
Apabila hendak menangkap bola setinggi aras muka, pemain
seboleh-bolehnya hendaklah berada di belakang hala pergerakan
bola itu. Kedua-dua belah tangan dihulur secara lurus ke hadapan
untuk menangkap bola. Sebaik sahaja ditangkap bola hendaklah
dibawa dekat badan untuk kawalan yang lebih baik.

2. Dengan kedua-dua belah tangan bola rendah


Untuk menangkap bola rendah pemain perlu merendahkan
badannya dan kedua-dua belah tangan dihulur untuk menerima bola
yang menuju kepadanya. Jari-jari menghala ke bawah semasa
menangkap bola.

Tangkapan bola rendah

3. Menangkap bola dengan sebelah tangan


Cara ini hanya dapat dilakukan dalam situasi apabila penerima bola
tidak menghadapi tekanan atau gangguan daripada pihak lawan
semasa hantaran dibuat. Penerima hendaklah memerhatikan bola
sehingga dapat ditangkapnya. Untuk kawalan bola yang kemas,
keseluruhan tapak tangan yang menangkap bola hendaklah berada
di belakang bola.

4. Menangkap bola tinggi


Jika perlu pemain hendaklah melompat untuk menangkap bola
hantaran tinggi. Faktor yang sangat penting dalam situasi ini adalah
lompatan hendaklah dibuat pada masa yang tepat. Kedua-dua belah
tangan dihulur ke atas untuk menangkap bola. Sebaik sahaja
mendarat, bola hendaklah dibawa rapat ke badan supaya dapat
mengawalnya dengan lebih kemas.
Tangkapan bola tinggi

KEMAHIRAN KETIGA : MENJARING BOLA

Jaringan dari Atas Kepala


Jaringan dari atas kepala ialah jaringan yang biasa dan
mudah dilakukan, serta mudah pula untuk mendapatkan gol.
Jaringan ini juga paling disukai oleh pemain-pemain baru. Jaringan
ini boleh dilakukan oleh pemain dalam kedudukan statik dan
kedudukan bergerak atau berlari.
Teknik melakukan jaringan dari atas kepala ialah:
1. Pemain bergerak satu langkah ke depan.
2. Pemain meletakkan berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan
membengkok.
3. Tangan pemain yang memegang bola dibengkokkan sedikit dan
dibawa ke belakang kepala pada aras bahu.
4. Satu lonjakan dilakukan oleh pemain sambil tangan yang
memegang bola diluruskan ke atas kepala dan membalingnya kuat
ke arah sasaran.
5. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak selepas
membuat hantaran.

Jaringan dari Bawah Lengan


Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan
gol. Namun, ia boleh dilakukan apabila pemain lawan terdiri
daripada pemain yang berbadan tinggi. Kadang-kadang, pertahanan
tinggi kurang memberikan perhatian pada kawalan atau pertahanan
rendah. Bola selalunya diarahkan ke sudut bawah gol pihak lawan.
Teknik melakukan jaringan dari bawah lengan ini adalah seperti
berikut:
1. Pemain mengambil satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki
kanan dibengkokkan sambil bola dibawa ke belakang bawah aras
bahu.
2. Tangan pemain yang memegang bola diluruskan sambil kaki
kanannya melangkah ke depan dan seterusnya bola dilontar dengan
kuat ke sasaran.
3. Kaki kiri pemain dilajakkan ke belakang dan tangan kanan
dilepaskan.

Jaringan Lompat
Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan
dari atas kepala, tetapi perkara yang terpenting ialah dalam jaringan
lompat ialah pemain perlu bergerak tiga langkah ke depan sebelum
membuat jaringan. Hal ini terjadi kerana dalam kebanyakan
perlawanan, banyak gol diperoleh daripada jaringan ini khususya
selepas serangan pantas. Biasanya, jaringan daripada lompatan
dibuat apabila posisi bola berada di puncak lompatan.

Lompat dan menjaring

Teknik dalam jaringan lompat adalah seperti berikut:


1. Pemain bergerak sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol.
Ketika ini pemain memegang bola dengan kedua-dua belah tangan.
2. Di luar garisan gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol
sambil membuat jaringan dengan menggunakan sebelah tangan
seperti cara jaringan dari atas kepala. Arah yang dituju ialah satu
daripada empat penjuru gol pihak lawan.
3. Pemain akan mendarat dalam kawasan gol selepas bola
dilontarkan.
4. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak.
Kelebihan-kelebihan yang ada pada jaringan lompat adalah seperti
berikut:
1. Dari mula bergerak hingga membuat lompatan, penjaring yang
membuat lompatan sendiri boleh mengelirukan penjaga gol.
2. Penjaring atau penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan
pantas secara memusingkan bahu dan lengannya.
3. Pemain boleh melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan
bergolek ke dalam gol di celah-celah kaki penjaga gol.
4. Oleh sebab penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan
gol, maka mereka sudah tentu mempunyai kelebihan psikologi dan
peluang.

Jaringan pada Aras Paha


Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan gol. Namun, ia
memerlukan latihan yang lama. Pemain yang menerima bola,
memegangnya pada kedudukan aras paha, dan dengan serta-merta
terus membuat jaringan. Gerakan dalam jaringan ini amat pantas.
Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar ditentukan oleh
penjaga gol atau pemain pertahanan.

Cara jaringannya ialah pemain berlari pantas ke kawasan gol dan


membengkokkan lututnya sehingga bola berada di bawah lengan
lawan. Dengan pantas, pemain ini membuat jaringan yang ditujukan
ke sebarang bahagian di bawah palang pintu gol pihak lawan.

Jaringan Sisi
Penjaring juga boleh membuat jaringan daripada sisi pemain yang
mengawal. Pemain tangan kanan berpura-pura membuat jaringan
pada arah kiri pemain lawan. Secara tiba-tiba , dia akan mengangkat
kaki kanannya, menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri pada
kaki kiri. Apabila mendarat di sisi, pemain berkenaan memusingkan
sedikit badan dan bahunya, membawa bola lebih rendah lalu
membuat jaringan di bawah lengan pemain lawan. Jaringan ini lebih
berkesan jika dilakukan secara mengejut.
Jaringan Junam dan Jaringan Jatuh
Walaupun dianggap berbahaya dan sukar dilakukan terutama oleh
pemain-pemain baru, jaringan junam jika dilakukan dengan baik,
hasilnya amat menarik, khasnya pada aksi dan gerakannya. Ia
selalunya dilakukan dalam kawasan balingan percuma. Jaringan dari
arah kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain membengkokkan
badan supaya dapat membesarkan lagi sudut jaringan.

Jaringan menjunam dan jatuh

Jaringan Penalti
Jaringan penalti dibuat dari garisan 7 meter. Jaringan ini terhad
mengikut undang-undang penting, iaitu kaki penjaring tidak boleh
terkena atau melepasi garisan balingan. Jaringan hendaklah
dilakukan dalam masa 3 saat selepas pengadil meniupkan wisel.
Teknik dalam melakukan jaringan penalti adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di tempat penalti bersama-sama dengan bola.
Pandangan hendaklah fokus pada penjaga gol untuk memerhatikan
kemungkinan pergerakan yang bakal dilakukan.
2. Pemain melakukan jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.
3. Jika penjaga gol ke depan, pemain menggunakan teknik membuat
jaringan melambung untuk menjaring.
4. Pemain melakukannya mengikut lajak.
Jaringan Lambung
Jaringan lambung (lob) digunakan untuk menewaskan penjaga gol
yang telah bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat 3 situasi
berlakunya keadaan begini, iaitu:
1. Apabila penjaga gol berada jauh di depan golnya dengan tujuan
mengecilkan sudut pemain lawan daripada lontaran penalti.
2. Apabila penjaga gol meluru ke depan untuk menandingi pemain
lawan yang memperoleh bola untuk membuat jaringan.
3. Apabila penjaga gol keluar untuk mengecilkan sudut terhadap
pemain lawan ketika terjadi serangan pantas.

Jaringan Voli
Jaringan Voli adalah sama dengan jaringan lompat.
Teknik melakukan jaringan Voli adalah seperti berikut:
1. Jaringan ini dimulakan dengan pemain melompat ke arah bola
hantaran.
2. Semasa melompat, pemain menangkap bola dengan kedua-dua
belah tangan.
3. Pemain membuat jaringan sebelum mendarat.

Jaringan voli

KESIMPULAN
Kemahiran asas yang terdapat dalam bola baling ialah berlari,
melompat, hantaran bola, menangkap bola, mengelecek bola
dengan tangan, mengadang, menjaring dan menjaga gol.
Setiap kemahiran asas ini mempunyai prinsip sains yang
diaplikasikan ke dalamnya.
Sebagai contoh, dalam kemahiran hantaran bola, prinsip sains
yang diaplikasikan ialah sistem tuas di mana bola sebagai beban,
lengan sebagai daya dan siku sebagai fulkrum. Dalam kemahiran
menangkap bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah Hukum
Newton Pertama iaitu Inersia. Cara penangkapan bola mestilah betul
untuk mengurangkan inersia bola bagi mengelakkan kecederaan
berlaku. Selain itu, prinsip sains yang diaplikasikan dalam kemahiran
menjaring ialah sistem tuas dan daya. Sistem tuas diaplikasikan
ketika bola dihayunkan oleh tangan manakala daya diaplikasikan
ketika kaki mengikut lajak yang diperlukan untuk memberikan daya
yang kuat.
Setiap kemahiran mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan
supaya kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan lagi dan bagi
mengelakkan kecederaan berlaku kepada pemain.

BIBLIOGRAFI
BUKU RUJUKAN
1. Lee Chin Choy (2006). Siri Sukan Popular Fajar Bakti: Bola Baling.
Shah Alam. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
2. Poh Liong Yong (2003). Fizik Tingkatan 4. Cheras. Pustaka Sistem
Pelajaran Sdn. Bhd.
3. Reita E. Clanton (1997). Team Handball Step To Success. United
States of America. Human Kinetics, Inc.
4. Teng Boon Tong (1993). Panduan Pengajaran Kemahiran Asas
Permainan. Petaling Jaya. Longman Malaysia Sdn. Bhd.
5. Wee Eng Hoe (2000). Pengajaran Pendidikan Jasmani dan
Kesihatan Edisi Kedua. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
LAMAN WEB
1. http://www.wikipedia.com
2. http://www.tutor.edu.com

Anda mungkin juga menyukai