Anda di halaman 1dari 5

Ekonomi Malaysia dijangka kekalkan momentum pertumbahan 2015

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan


pada 2015, dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pengukuhan sektor luar.

Menurut Kementerian Kewangan KDNK dijangka terus berkembang kukuh pada kadar
antara lima peratus ke enam peratus pada 2015 memandangkan prospek ekonomi global yang
bertambah baik dan dimantapkan lagi dengan langkah Bajet 2015.

Bagaimanapun, masih terdapat risiko luaran, termasuk pertumbuhan perlahan dan tidak
seimbang di kawasan Euro, peningkatan tekanan deflasi dalam ekonomi maju, pertumbuhan
lebih perlahan dalam pasaran negara membangun dan ketegangan geopolitik, demikian
menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2014/2015.

Laporan itu dikeluarkan hari ini sempena pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan. Menurut laporan itu, daripada sudut
permintaan, pertumbuhan akan dipacu sektor swasta berikutan kejayaan pelbagai inisiatif
yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan dalam menyediakan
persekitaran kondusif untuk pengembangan aktiviti ekonomi swasta.

Pelaburan swasta akan kekal cergas dan dijangka mencatat pertumbuhan kukuh, disokong
oleh pelaksanaan sedia ada Rancangan Malaysia ke-10, ETP dan GTP.

ETP menjana pelaburan ketara sejak dilancarkan pada 2010 dengan jumlah komitment
pelaburan bernilai RM219.3 bilion, membabitkan 196 projek.

Projek ini dijangka menyumbang RM144 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan
mewujudkan 437,816 peluang pekerjaan.

Dari sudut penawaran, semua sektor dijangka terus berkembang, dengan sektor pembuatan
dan perkhidmatan kekal sebagai enjin pertumbuhan yang dipacu oleh aktiviti ekonomi
domestik yang mampan dan aktiviti pembuatan berorientasikan eksport serta perkhidmatan
berkaitan perdagangan yang lebih tinggi.
Kedudukan luaran Malaysia juga dijangka kekal kukuh selaras dengan prospek yang
bertambah baik bagi pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan, manakala akaun semasa
dijangka kekal mencatatkan lebihan pada 2015.

Menurut Kementerian Kewangan dasar fiskal pada 2015 akan terus bertumpu kepada usaha
untuk memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan, di samping menyokong pertumbuhan
ekonomi dan inisiatif pembaharuan.

Defisit pada 2015 dijangka terus berkurangkan kepada tiga peratus daripada KDNK, dengan
pertumbuhan hasil yang melebihi perbelanjaan.

Jumlah perbelanjaan kerajaan pula akan terus stabil pada RM271.9 bilion manakala
pendapatan dianggarkan lebih tinggi pada RM235.2 bilion.

Kerajaan terus komited untuk meneruskan dasar fiskal yang kukuh dan telah mengambil
pendekatan pelbagai serampang ke arah mencapai bajet berimbang pada 2020.

Inisiatif ini termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), perakaunan
akruan dan Belanjawan Berasaskan Hasil serta pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api
yang lebih bersasar.

Sementara itu, kerajaan akan mengehadkan hutang di bawah 55 peratus daripada KDNK di
samping memastikan hasil yang lebih tinggi untuk menampung perbelanjaan operasi.

Kerjasama erat antara agensi akan terus diperkukuh dalam pelaksanaan program untuk
mengelakkan pembaziran dan pertindihan serta mengoptimumkan penggunaan aset awam.

Inflasi pula dijangka kekal terkawal walaupun menunjukkan peningkatan arah aliran melebihi
purata jangka panjang, sebahagiannya disebabkan oleh pelaksanaan CBP dan kesan daripada
rasionalisasi subsidi minyak pada awal Oktober 2014.

Bagaimanapun, berdasarkan harga luaran yang dijangka perlahan, kesan CBP ke atas inflasi
akan bersifat sementara dan pertumbuhan dianggar kembali normal pada 2016 setelah faktor
kos domestik menurun.
Laporan itu turut menyentuh tentang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan
dibentangkan pada 2015 bagi mempercepat transformasi ke arah status negara maju.

Rancangan ini dijangka memberi tumpuan kepada mengukuhkan pertumbuhan, terutama


sektor dalam perkhidmatan dan pembuatan, memanfaatkan modal insan, menggalakkan
keusahawanan, memantapkan pengurusan alam sekitar, meningkatkan kesejahteraan rakyat
dan memastikan pembangunan secara inklusif.

RMK-11 juga akan menggalakkan sektor swasta menjadi lebih dinamik, terutama perusahaan
kecil dan sederhana dalam meningkatkan sumbangan kepada ekonomi, demikian menurut
Kementerian Kewangan.
Ekonomi Malaysia akan meningkat 5-6 peratus tahun 2015

KUALA LUMPUR: Momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2015 dijangka kekal
berdaya tahan dan mencatat pertumbuhan antara 5.0 dan 6.0 peratus, kata Kementerian
Kewangan (MOF).

Pertumbuhan akan diterajui swasta selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan
peranan sektor swasta dalam ekonomi dan juga didorong oleh peningkatan permintaan luar
serta aktiviti ekonomi dalam negeri yang berdaya tahan.

"Dari sudut penawaran, semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif tahun
depan dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada
ekonomi," kata kementerian itu dalam Laporan Ekonomi 2014-2015.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2015 di Parlimen hari ini oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Menurut laporan itu kadar inflasi dijangka meningkat sementara kepada empat hingga lima
peratus tahun depan, terutama disebabkan oleh pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan
(CBP) serta kesan limpahan pengurangan subsidi bahan api berkuat kuasa Oktober 2014.

"Bagaimanapun, kesan inflasi yang lebih tinggi pada penggunaan dijangka bersifat sementara
dan akan berkurangan selepas beberapa bulan pelaksanaan cukai itu.

"Tambahan pula pendapatan eksport yang lebih tinggi dijangka meningkatkan perolehan
perniagaan serta pendapatan isi rumah dan seterusnya mengurangkan kesan inflasi kepada
permintaan domestik," menurut kementerian itu.

Sehubungan itu, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita nominal dijangka meningkat 8.1
peratus kepada RM37,486 manakala pendapatan per kapita dari segi pariti kuasa beli (PPP)
dijangka meningkat 2.4 peratus kepada US$23,512.

Kedudukan sektor luar Malaysia dijangka kekal kukuh tahun depan sejajar dengan prospek
yang lebih baik bagi pertumbuhan global dan perdagangan.
Bagaimanapun, lebihan dagangan dijangka mengecil kepada RM74.1 bilion daripada RM85.6
bilion pada 2014 dengan pertumbuhan import melebihi eksport.

Menurut MOF, Malaysia kini dalam kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat
daripada pemulihan ekonomi global yang berperingkat, dengan pertumbuhan lebih
menyeluruh kerana asas makroekonomi kukuh seperti ekonomi yang pelbagai, rizab
antarabangsa yang kukuh dan sistem kewangan yang sihat untuk menyokong aktiviti
ekonomi.

Bagi tahun 2014, PNK nominal dijangka berkembang 10.2 peratus kepada RM1.049 trilion,
melepasi paras RM1 trilion pada julung kalinya manakala pendapatan per kapita dijangka
meningkat 8.9 peratus kepada RM34,682.

"Dari segi PPP, pendapatan per kapita dijangka meningkat 2.2 peratus kepada AS$22,958,"
katanya.

Anda mungkin juga menyukai