Anda di halaman 1dari 5

Pendidikan seks di sekolah ,ke mana arah tujunya?

Oleh: Dr. Haslinda Abdullah


Ketua Biro Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Di Malaysia, pendidikan seks di sekolah bukanlah suatu isu baru. Ia telah


mula diperkatakan dan/malah didebatkan seawal dekad 80'an lagi. Mutakhir ini isu pendidikan
seks di sekolah mula diperkatakan kembali. Ia menarik perhatian umum apabila Menteri
Pelajaran Malaysia dalam kenyataannya mengumumkan mulai tahun 2006 Malaysia akan
memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Kenyataan ini dibuat pada Disember 2005
(New Straits Times, 21 Dis 2005).

Sebelum itu, iaitu pada April 2001 Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat
pada ketika itu mengeluarkan kenyataan bahawa kanak-kanak perlu didedahkan dengan
pendidikan seks seawal usia tujuh tahun (Utusan Malaysia, 21 April 2001). Kenyataan ini dibuat
ekoran meningkatnya masalah sosial dan jenayah yang berkaitan seksualiti berlaku dalam
masyarakat. Statistik mutakhir memperlihatkan peningkatan yang membimbangkan dan media
saban hari melaporkan insiden-insiden yang kadang kala tidak pernah terbayangkan oleh akal
waras.

Atas kebimbangan pelbagai pihak melihat peningkatan kes-kes seksualiti inilah maka pihak
berwajib semacam didesak atau terdesak mengemukakan cadangan dan pelan tindakan yang
dijangkakan boleh mengimbangi (kalau pun mungkin tidak berupaya menangani sepenuhnya)
masalah ini. Dari sinilah timbulnya saranan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Namun
begitu melihatkan rumitnya permasalahan ini, isu pendidikan seks yang dicadangkan untuk
diperkenalkan di sekolah-sekolah kelihatan masih kabur.

Sebagai orang awam, cadangan memperkenalkan pendidikan sedemikian masih menimbulkan


pelbagai tanda tanya. Apa asas yang digunakan bagi menyokon cadangan ini? Apa yang hendak
diajarkan? Aspek mana yang hendak diberi penekanan? Bagaimana ia hendak di sampaikan?
Siapa yang hendak menyampaikan? Apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya?
Apa objektif pengajarannya? Apakah aras taxonomi atau domain kognitif yang hendak capai
dalam pengajarannya?

Meskipun statistik mutakhir menunjukkan peningkatan dalam kes-kes melibatkan seksualiti,


pada hemat penulis, pencarian atau cadangan penyelesaian kepada masalah ini tidaklah boleh
dilakukan secara tergesa-gesa. Reaksi secara “knee-jerk” tidak banyak membantu.  Isu ini rumit
dan ia melibatkan pebagai faktor dalaman dan luaran. Pemahaman yang menyeluruh amat perlu
bagi membolehkan suatu perspektif yang holistik dikemukakan. Ianya perlu diselidiki puncanya
dengan mengambil kira segala faktor dan kemungkinan.

Isu ini perlu digarap dan diperhalusi dengan penuh cermat dan bijaksana sebelum apa-apa
tindakan diambil untuk menanganinya. Ia melibatkan semua pihak khususnya pelajar itu sendiri,
ibu bapa, tenaga pengajar, pihak berkuasa dan seterusnya masyarakat. Kita tidak boleh lupa
tujuan utama pendidikan seks digubal dan diperkenal bagi menjadi sebahagian dari kurikulum
pendidikan adalah ekoran dari gejala sosial yang semakin berleluasa dan seolah-olah tidak dapat
dibendung. Oleh itu, dalam merangka serta menterjemahkan pendidikan seks ini, pemahaman
yang mendalam, telus serta berlandaskan sistem nilai yang mutlak adalah perlu.

Sebagai paparan, penulis ingin berkongsi beberapa penemuan yang mungkin boleh memberi
gambaran tentang betapa seriusnya masalah ini.  Laporan kaji selidik global Durex 2005,
memaparkan bahawa tandas pusat hiburan dan bilik tidur ibu bapa merupakan tempat pilihan
belia Malaysia untuk mengadakan hubungan seksual bersama pasangan masing-masing.

Beberapa dapatan lain dari laporan berkenaan seperti umur minimum rakyat Malaysia
mengadakan hubungan seks untuk kali pertama merupakan umur terendah berbanding negara-
negara Asia lain seperti Indonesia, Vietnam dan India juga merupakan satu fenomena yang wajar
mendapat perhatian yang serius.

Sementara itu, hasil penyelidikan pada tahun 2006 yang dijalankan oleh Pensyarah Universiti
Teknologi Mara, Mazlin Mohamad Mokhtar menunjukkan 50 peratus daripada 727 orang pelajar
institusi pengajian tinggi yang dijadikan sampel kajian pernah terlibat dalam kegiatan seks.
Daripada pelajar yang pernah terlibat dalam aktiviti seks itu, 80 peratus daripada mereka tidak
menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga. Sampel pelajar terdiri daripada pelajar-
pelajar dari dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan dua Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA).

Dalam laporan itu juga, 34 peratus daripada mereka berpendapat yang penggunaan kondom tidak
boleh mencegah jangkitan HIV, manakala 25 peratus pula berpendapat yang HIV boleh
dijangkiti dari gigitan nyamuk dan kutu. Antara sebab mengapa remaja kita terlibat di dalam
keadaan seumpama ini adalah kerana mereka amat kurang pengetahuan mengenai seks, jangkitan
penyakit daripada seks luar nikah dan kaedah perancang.

Realiti ini sangat mengejutkan kerana dari konteks masalah sosial dan seks di kalangan belia,
seolah-olah tiada bezanya antara sebuah negara sekular seperti Britain dan sebuah negara umat
Islam seperti Malaysia. Kedua-duanya menunjukkan statistik yang membimbangkan. Dapatan
yang menunjukkan bilik tidur ibu-bapa merupakan antara tempat yang digemari melakukan
aktiviti terlarang ini juga menarik perhatian. Kenapa bilik tidur ibu bapa?  Ini memperlihatkan
kelakuan dan minat yang aneh! Mereka bukan sahaja tidak mempunyai ilmu yang jelas tentang
apa yang mereka lakukan, tetapi yang lebih mengejutkan mereka juga tidak lagi mempunyai rasa
hormat ataupun takut terhadap ibu-bapa mereka.

Perlakuan ini boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertamanya ibu-bapa tidak lagi berperanan
seperti yang sewajarnya dilakukan. Kebanyakan tanggungjawab sosial anak-anak tidak diambil
endah dan anak-anak diberi kebebasan tanpa batasan dalam menentukan aktiviti sosial mereka.
Jika adapun sekadar bertanya secara luaran tanpa menyelidik dengan lebih teliti akan jawapan
yang diberikan oleh anak-anak mereka. Keduanya, pendidikan moral dan agama yang diajar di
sekolah-sekolah tidak memberikan impak seperti yang diharap-harapkan.
Senario ini mungkin terjadi kerana pelajar-pelajar serta tenaga pengajar tidak memandang serius
akan subjek yang boleh dianggap sebagai subjek sampingan ini. Sekiranya ini berterusan maka
cerdik pandai yang bakal dilahirkan oleh negara Malaysia bukanlah mereka yang mempunyai
kualiti tinggi tetapi mereka yang mudah terjebak dengan skandal-skandal yang mampu
mencemarkan nama baik negara dewasa ini. Ketiganya pendedahan aktiviti lucah melampau
dikaca TV dan media semakin tidak terkawal turut menyumbang kepada kecenderungan untuk
remaja ini berkelakuan serupa.

Seperti yang dilaporkan oleh Kaiser family foundation, 3,800 siaran yang berunsurkan seksual
terdapat di lebih dari 1,100 rancangan TV dan ini merupakan peningkatan sebanyak 1,900 siaran
berbanding 1998. Laporan ini menunjukkan  bahawa secara purata sebanyak lima siaran seks
dalam masa sejam ditayangkan.

Kajian ini juga melaporkan bahawa kanak-kanak yang mendapat pendedahan kepada siaran-
siaran yang sebegini akan terlibat secara aktif dengan aktiviti-aktiviti seksual dalam usia yang
muda lagi. Walaupun angka ini merupakan kajian yang dilakukan di Barat tetapi pada jangkaan
penulis tiada bezanya dengan apa yang berlaku di negara kita Malaysia.

Ini kerana siaran satelit yang boleh diperoleh dengan mudah dan murah menyebabkan rancangan
yang sama boleh ditonton di mana-mana sahaja. Bagi kita di Malaysia, ledakan globalisasi
khususnya dalam konteks penyebaran maklumat ini harus ditangani secara teratur dan
terancang.  Pendedahan yang melampau melalui internet, bahan bacaan serta vcd-vcd lucah yang
mudah didapati menjadikan masyarakat lebih terdedah kepada pengaruh negatif. Ini menjadi
cabaran besar dalam memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Pendekatannya memerlukan kebijaksanaan dan kandungannya perlu diperhalusi. Masyarakat


keseluruhannya perlu terlibat secara kolektif dan proaktif sebelum fenomena yang boleh
menjejaskan masa depan bangsa menjadi sesuatu yang tidak terkawal. Kajian-kajian mengenai
salah laku seks menunjukkan bahawa pendidikan seks di sekolah-sekolah boleh membantu
meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai perkembangan seks tetapi tidak merubah tingkah laku
seks mereka. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa kawalan mutu serta maklumat mengenai
pendidikan seks yang hendak disampaikan di sekolah-sekolah perlu dilakukan dengan berhemah
bagi menjamin kesan yang positif. Maklumat yang tidak jelas, bercelaru serta tidak mempunyai
paksi yang kukuh hanya akan mengeruhkan persekitaran pembelajaran.

Dalam rumusan laporan Durex, 52 peratus responden mencadangkan agar kerajaan


memperkenalkan pendidikan seks seawal usia 12 tahun Pada hemat penulis, yang harus
dipersoalkan bukanlah usia kerana jika usia yang menjadi asasnya, kerajaan Britain telah lebih
dahulu mula mengajar pendidikan seks di sekolah-sekolah rendah dan seawal 7-8 tahun. Apakah
mereka dapat menangani masalah ini? Kesannya masih mengecewakan. Dalam hal ini penulis
melihat yang lebih mustahak ialah kandungan dan pendekatannya. Kita harus jelas apa yang
perlu diajar, apa kaedah yang sesuai, dan tidak kurang penting, siapa yang ditugaskan
mengajarnya.

Dalam konteks pendidikan seks, kita harus jelas akan matlamat pendidikan seks itu sendiri? Jika
matlamatnya hanya sekadar memberikan panduan “safe sex” dan mengelakkan penyebaran
penyakit berjangkit seperti HIV, sifilis dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seks
rambang, maka kita akan melahirkan generasi yang tahu mengelak dari dijangkiti penyakit.

Bagaimana pula dari segi moralitinya? Sudah tentu acuan kita tidak sama dengan acuan sekular
Barat kerana sistem nilai kita yang berbeza. Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita,
khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi
kandungan, kaedah pengajaran dan matalamat pendidikan itu. Yang pasti teknik pengajaran serta
intipati pembelajaran untuk memberi panduan “safe sex” adalah berbeza dengan matlamat untuk
melahirkan insan yang soleh dan seimbang.

Dalam Islam segala hal berkaitan dengan seks terangkum dalam perbahasan yang lebih luas
mengenai aturan peraturan dan hukum hakam serta perkara-perkara yang berkaitan dengan
hubungan lelaki dan wanita yang kesemuanya terangkum dalam perbincangan “munakahat”. Di
sesetengah tempat pendidikan mengenai munakahat ini telah pun ada diajarkan kepada pelajar
peringkat rendah.

Sebagai contoh kerajaan negeri Johor telah pun memperkenalkan ilmu munakahat kepada murid-
murid darjah empat sekolah agama Johor. Antara syllabus yang terdapat dalam mata pelajaran ini
selain mengenai hubungan seksual suami isteri ialah mengenai kebersihan (toharah) dan juga
kesihatan. Maklumat kesihatan dan kebersihan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah
sosial yang berkaitan dengan seks rambang seperti jangkitan HIV dan AIDS.

Oleh yang demikian, bagi tujuan pendidikan seks, adalah lebih baik dan munasabah sekiranya
pendidikan munakahat itu di perkemaskan dengan memasukkan elemen-elemen baru yang
berkait dengan masalah yang berlaku hari ini. Kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh
mengenai pelbagai aspek tentang munakahat untuk disesuaikan dalam pendidikan seks di
sekolah-sekolah mungkin dapat membantu pihak yang berkenaan dalam merangka strategi dan
hala tuju yang lebih jelas dalam membentuk pendidikan seks yang benar-benar bermutu.

Selain itu pendidikan seks yang diperkenalkan mestilah berteraskan konsep moraliti dan akhlak
serta sistem nilai kerana tanpa landasan ini tidak mungkin masalah yang lebih besar itu dapat
ditangani.  Selain itu, usaha merangka pendidikan seks yang benar-benar berkualiti perlu
disokong oleh beberapa faktor antaranya ialah iklim persekolahan yang positif serta pendidik
yang benar-benar berteraskan konsep 'mendidik'. Iklim persekolahan yang negatif harus dipantau
supaya murid-murid dapat menerima pembelajaran mengenai pendidikan seks dengan perspektif
yang betul dan positif.

Amalan berpasang-pasangan yang semakin berleluasa di sekolah-sekolah menengah dan telah


pun menular ke sekolah-sekolah rendah merupakan persekitaran yang merangsang kepada
suasana yang mengganggu ke arah pembentukan disiplin pelajar. Suasana ini hanya akan
memberi ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar untuk melihat pendidikan seks sebagai ilmu
untuk memenuhi tuntutan nafsu semata-mata. Perlu diingatkan bahawa memenuhi tuntutan nafsu
seperti nafsu makan dan nafsu seks merupakan fitrah manusia, walau bagaimanapun fitrah
tersebut haruslah dipandu dan dikawal supaya ianya tidak menjurus ke arah kemusnahan
manusia itu sendiri.
Pendidik yang benar-benar 'mendidik' juga merupakan faktor yang mendorong kepada
keharmonian konsep pendidikan seks itu sendiri. Ini kerana mereka yang benar-benar ingin
mendidik akan berusaha dengan sedaya-upaya agar apa yang disampaikan selari dengan apa
yang diamalkan. Keikhlasan pendidik akan dapat diterjemahkan dalam pembelajaran dan
dihayati oleh pelajar keseluruhannya. Tidak dinafikan kemungkinan terdapat sebilangan kecil
pelajar yang masih terlibat dengan masalah sosial seperti salah laku seksual tetapi ianya sudah
pasti berkurangan dari yang sedia ada sekiranya faktor-faktor yang disebutkan di atas di awasi
dengan baik.

Saranan yang diutarakan oleh beberapa pengkaji, ibu-bapa yang prihatin serta penulis lain
berkenaan isu pendidikan seks di sekolah harus diambil tindakan yang serius oleh pihak yang
berwajib. Ini kerana tamadun sesuatu bangsa akan runtuh sekiranya generasi muda mereka terdiri
dari mereka yang rapuh pegangan sistem nilainya.

Sebagai kesimpulan, pendidikan seks di sekolah harus di santuni dengan penuh hikmah dan
mesti mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas. Kesilapan dalam pembuatan dasar serta
menentukan matlamat yang hendak dicapai sudah tentu akan mengganggu usaha-usaha untuk
mencapai matlamat tersebut. Bagi memastikan ianya berjaya dilaksanakan, penglibatan semua
pihak amat diperlukan. Hala tuju dan falsafah yang melandasinya juga perlu jelas.

Tidak dapat tidak, sumbangan dari ibu-bapa, pelajar dan orang ramai harus diambil kira oleh
pihak yang berkenaan. Penulis yakin pendidikan seks yang berteraskan sistem nilai yang
berorientasikan akhlak yang murni akan membawa kepada pembentukan generasi muda yang
terpelajar, terdidik dan berakhlak mulia, seterusnya melahirkan tamadun bangsa yang terbilang.
Dalam hal ini apakah kita masih mencari arah?

http://www.abim.org.my/component/content/article/28-artikel-pilihan/654-pendidikan-seks-di-
malaysia-ke-mana-hala-tujunya.html

Anda mungkin juga menyukai