Anda di halaman 1dari 4

KITAB FARIDATUL FARAID

KITAB FARIDATUL FARAID


(Petikan Tulisan Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah)

Berdasarkan penyelidikan, dapat diambil kesimpulan bahawa kitab "Faridatul


Faraid" disusun adalah mengikuti jejak ulama' dunia Melayu yang terkenal seperti
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, dan lain-
lain. Rujukan adalah berdasarkan kitab-kitab turas 'aqidah Ahlus Sunnah wal
Jama'ah yang dapat dipegangi, sama ada dari ulama' muktabar dunia Melayu atau
pun ulama' muktabar bangsa Arab sendiri. Kitab-kitab yang dirujuk termasuk
karangan Syeikh Abu Hasan al-Asy'ari, dan ulama'-ulama' sesudahnya. Maka diproses
oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, diringkaskannya, lalu terkumpul dalam kitab
"Faridatul Faraid". Jadi secara global/garis besar perkara i'tiqad Ahlus Sunnah wal
Jama'ah lengkap dalam "Faridatul Faraid" ini.

Dalam Natijah Al-Ahmadiah, Singapura bagi tahun 1345 H bersamaan 1926 1927
M, termaktub, "Faridatul Faraid" cap yang keenam kali huruf ats-tsani al-Islambuli
yang elok bentuknya. Bicara 'Ilmu Ushulid Din yang suci daripada campuran bicara
yang lain dan bersih daripada ibarat yang lebih-lebih supaya mudah mengerti orang
yang mengajinya dan muthala'ahnya. Karangan al-Fadhil Syeikh Ahmad bin
Muhammad Zain bun Mustafa bin Muhammad al-Fathani"

Kitab "Faridatul Faraid" mempunyai riwayat tersendiri, saya kurang mengerti apa
sebab kitab tipis itu sangat diperbesar-besarkan oleh ulama'-ulama' Patani,
Kelantan, Kedah dan lain-lain. Sewaktu saya ke Bangkok pada tahun 1971, ramai
kalangan ulama' dan pelajar Islam di sana menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani
dengan "Tuan Faridah", sebagaimana di Jawa hingga tahun 1960an para ulama'nya
mengenal Syeikh Ahmad al-Fathani dengan sebutan "Tuan Ngawamil". Demikian
besar pengaruh kitab "Faridatul Faraid", sehingga sangat ramai yang pernah belajar
kitab ini, manakala mereka mendapat anak perempuan lalu diberi nama dengan
Faridah.

Sewaktu saya ke Makkah pada tahun 1979, salah seorang alim berasal dari Patani
mengatakan bahawa kitab Faridah jika diajar oleh orang yang lebih alim lebih
sedap; lebih luas dan lebih mengasyikkan. Salah seorang Tuan Guru Pondok di
Patani mengatakan bahawa kitab "Faridatul Faraid" tetap akan diajarkan di pondok-
pondok dalam wilayah Patani. Menurut Tuan Guru Pondok tersebut hingga ke hari
ini tidak ada satu kitab Tauhid dalam bahasa Melayu yang menyamai kemasyhuran
kitab "Faridatul Faraid". Mereka menyebut bahawa dalam kitab itu mempunyai erti
yang tersirat baik ditinjau dari segi susunan nahu dan sharaf mahupun penafsiran
secara batin atau rahsia. Kepercayaan seperti itu saya cuba membantah, bahawa
saya tidak melihat Faridatul Faraid itu lebih istimewa dari kitab-kitab Tauhid
bahasa Melayu lainnya.

Saya tidak melihat bahawa ia mempunyai ilmiah yang tinggi. Dengan demikian
banyak Tuan Guru marah dan bermasam muka kepada saya. Namun setelah
dijelaskan bahawa saya menyimpan beberapa tulisan tangan Syeikh Ahmad al-
Fathani yang meliputi banyak pemikiran untuk Islam dan Alam Melayu, yang tulisan
ilmiah itu di antaranya saya huraikan dalam buku Syeikh Ahmad a-Fathani Ahli
Fikir Terbesar Alam Malayu, kemarahan mereka terubat dengan penjelasan saya
itu.

Dalam tahun 1992, salah seorang ustaz yang pernah sebagai pensyarah di Nilam
Puri Kelantan bercerita, "Saya mengajar di banyak masjid dalam Kota Bharu
Kelantan, di antara kitab yang saya ajar ialah Faridatul Faraid oleh Tok Guru Wan
Ahmad al-Fathani. Cukup besar amal jariyah Tok Guru Wan Ahmad, kerana di salah
satu masjid saya mengajar tidak kurang yang hadir sekitar lima ratus orang. Yang
mengajar Faridah bukan saya sahaja, tetapi ramai ustaz lainnya. Coba bayangkan
dari dulu hingga sekarang Faridah masih tetap diajarkan, itulah sebabnya saya
katakan cukup banyak amal jariyah yang diterima oleh Tok Guru Wan Ahmad, tuan
punya kitab Faridah itu".

Faridatul Faraid pernah diringkaskan dan pernah disyarahkan. Yang diringkaskan


di namakan Pati Faridatul Faraid yang di usahakan oleh Tuan Guru Haji Nik
Abdullah al-Jambu Fathani. Syarahnya diberi judul Umdah Thalibil Mujtahid bi
Syarhi Faridah al-Faraid diselesaikan tahun 1380 H/1960 M yang diusahakan oleh
salah seorang ulama Patani iaitu Tuan Guru Haji Abdullah bin Hj. Ibrahim bin Abdul
Karim al-Fathani al-Jabi.

Kitab yang diringkaskan dan disyarahkan itu sudah sukar mendapatkannya di kedai-
kedai kitab, kerana hampir-hampir tidak berada di pasaran kitab lagi. Sebaliknya
kitab "Faridatul Faraid" yang asli masih mudah mendapatkannya di hampir semua
kedai kitab di Asia Tenggara. Yang berupa ringkasan itu adalah merupakan kitab
Melayu/Jawi yang pertama sekali diringkaskan. Adapun kitab syarah itu adalah
merupakan kitab Melayu yang kedua disyarahkan, kerana kitab Melayu pertama
disyarah ialah Sullamul Mubtadi karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang
diusahakan oleh Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani, iaitu
kitab yang meliputi tentang Tauhid, Fiqh dan Tasawuf.

Terakhir sekali sebagai bukti kitab "Faridatul Faraid" merupakan kitab Tauhid yang
paling banyak diajarkan di dunia Melayu sejak dulu hingga sekarang, di bawah ini,
saya perkenalkan semua edisi cetakan yang telah diketemukan. Cetakan terawal
adalah diusahakan pada masa pengarangnya masih hidup atas usaha beliau sendiri.
Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah ak-Kainah, Makkah, 1313 H. Cetakan-
cetakan di percetakan ini yang telah ditemui ialah cetakan yang ketiga,
pertengahan bulan Zulqa'idah 1317 H. Dicetak lagi pada pertengahan bulan Rabi'ul
awwal 1325 H.

Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Dar al-Kutub al-'Arabiyah al-Kubra, Mesir,
atas perbelanjaan Ismail Fathani, anak pengarangnya, didapati cetakan yang
ketiga, Jumadil Akhir 1328 H. Terdapat lagi edisi cetakan oleh Matba'ah Mustafa al-
Baby al-Halaby, Mesir, Jumadil Akhir 1351 H, yang dinyatakan sebagai edisi cetakan
yang keenam. Dicetak lagi oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M,
dinyatakan sebagai cetakan ketujuh. Terdapat lagi edisi cetakan oleh Matba'ah Al-
Ahmadiyah, nombor 50 Minto Road, Singapura, 1344 H bersamaan 1926 M,
dinyatakan sebagai edisi cetakan kelima, atas perbelanjaan Qadhi Haji Wan Ismail
bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Kemudian dicetak lagi oleh percetakan yang sama,
yang dinyatakan sebagai cetakan keenam 1345 H/1926-1927 M.

Terdapat lagi edisi cetakan oleh Persama Press, 83 dan 85 Achen Street (Masjid
Melayu) Pulau Pinang, 1360 H/1941 M, dinyatakan sebagai cetakan ketiga.
Terdapat lagi edisi cetakan oleh Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif, 173-C,
Sungai Pinang Road, Pulau Pinang.

Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Dar at-Thiba'ah al-Islamiyah, nombor 1/10,
Jalan Jering, Patani. Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Sulaiman Mar'i,
Singapura. Dan edisi-edisi cetakan lain, di antaranya oleh Al-Ahliyah, Kota Bharu
(Kelantan), Nahdi (Bangkok), Bungkul Indah (Surabaya) dan banyak lagi yang tidak
dapat dibicarakan semuanya.

Dalam penelitian yang telah saya buat, ternyata kitab "Faridatul Faraid" adalah
merupakan kitab Melayu/Jawi yang paling banyak kali dicetak. Juga paling banyak
nama percetakan yang pernah menanganinya. Dari segi jumlah naskhah cetakan
juga merupakan yang terbanyak kerana cetakan-cetakan yang dilakukan di Timur
Tengah setiap kali cetak dalam jumlah sepuluh ribu exemplar/naskhah. Dari
cetakan pertama (1313 H/1895 M) hingga kini, entah berapa juta naskhah yang
telah dicetak tidak dapat diketahui secara pasti. Hanya disimpulkan saja bahawa
ummat Islam Melayu yang memahami 'aqidah Ahlus Sunnah wal jama'ah melalui
kitab "Faridatul Faraid", dari dulu hingga sekarang sekian jutanya hanya diketahui
oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala saja.

Para ulama' yang pernah selaku pentashih cetakan-cetakan "Faridatul Faraid"


sangat ramai, di antaranya yang dapat dikenalpasti ialah, cetakan terawal ditashih
oleh pengarangnya sendiri, dilanjutkan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-
Fathani. Cetakan Matba'ah Dar al-Kutub al-'Arabiyah al-Kubra ditashih oleh Syeikh
'Abdur Razaq bin Muhammad Lampung (Ketua orang Lampung) dan Syeikh Ahmad
Thahir Khatib Kerue al-Jawi, kedua-duanya adalah murid pengarang kitab, Syeikh
Ahmad al-Fathani. Cetakan Persama Press ditashih oleh Syeikh Abdullah al-Makki.
Cetakan Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif ditashih oleh 'Utsman Shalih al-
Azhari.

Wassalam.
Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah

Anda mungkin juga menyukai