Anda di halaman 1dari 3

Inspirasi DSAI: Perjuangan Kepeloporan Pendidikan Ummatik

Oleh: R.M. Imaduddin RAH

Pada penghujung September 2015, di Kg Kebun Baru Batu 10, Telok Panglima Garang,
usrah ABIM Kuala Langat turut dihadiri beberapa mantan pimpinan ABIM Selangor yang
mempelopori institusi Darul Ummah. Institusi ini ialah suatu institusi rakyat yang di dalamnya,
divisikan akan ditempatkan lima lagi institusi ummatik, iaitu Rumah perlindungan wanita,
Rumah anak yatim, Pondok warga emas, Pusat kegiatan belia dan dakwah, serta Sekolah
tahfiz-sains. Pada malam itu, kami diberi mandat untuk memulakan inisiatif mendirikan
sekolah tahfiz-sains untuk sesi 2016. Hasrat penubuhan sekolah ini telah dimulakan seawal
2012 lagi apabila kami mengadakan lawatan penandaarasan di beberapa buah madrasah &
pondok di tanah seberang.
Banyak model persekolahan yang kami temui dan telaah kan. Akhirnya, pada
15 Januari 2016, model awal sekolah ini memulakan hari pertama persekolahan dengan model
pendidikan penyepaduan komponen akademik, tahfiz dan penyerapan nilai & kemahiran
insaniah dalam satu sesi. Kami namakan institusi ini Darul Ummah : Akademi & Tahfiz
(DU:AT) dengan enrolmen pertama sebanyak 17 orang dan 2 orang guru. Alhamdulillah, pada
tahun ini, pada sesi persekolahan 2018, kami bertahan dan terus berkembang dengan enrolmen
sebanyak 95 orang murid dan 11 orang guru, dengan model pengalaman pendidikan yang serba
baharu.
Jika disoroti sejarah perjalanan perjuangan pendidikan ABIM, memberikan
pembuktian bahawa ABIM selamanya, sedari penubuhannya bukan sahaja memperjuangkan
pendidikan alternatif arus perdana, tetapi juga gerakan kepeloporan pendidikan. ABIM bukan
‘orang luar’ yang tidak faham dan asing dalam dunia pendidikan, malah ABIM lah organisasi
ummatik yang pertama dan utama di negara ini yang mengetengahkan idea pendidikan
bersepadu, mempelopori falsafah pendidikan kebangsaan, mengangkat martabat Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan, menggarap, mempelopori dan
merealisasikan idea pendidikan pra-sekolah yang Islamik (dan dikembangkan pula oleh lain-
lain pihak), mendasari falsafah pendidikan al-hikmah, dan yang terbaharu, bersama-sama
mencetuskan gelombang Sekolah Masa Hadapan. Kesemua usaha lebih 40 tahun ini bukan
secara kebetulan atau bermusim-musiman, melainkan atas rasa kesungguhan yang mendalam
(deepest conviction) atas soal pendidikan yang menjadi jati diri suatu perubahan umat.
Kisah DSAI dan teman-temannya dalam ABIM sewaktu tamat pengajian di Universiti
Malaya, ketika menyedari kelemahan anak melayu untuk melanjutkan pelajaran ke pengajian
tinggi yang sangat terhad, mereka bersama-sama mempelopori sebuah institusi pendidikan
swasta untuk pelajar menengah atas sehingga ke tingkatan 6, dinamakan Yayasan Anda
Akademik (YAA). Menceburi bidang pendidikan swasta dengan segala modal yang ada di
tangan, serta tidak menjanjikan pulangan pendapatan yang lumayan, mereka teruskan dengan
iltizam untuk membantu umat. Lokasi sekolah ini juga menjadi lokasi pejabat ABIM ketika
itu. Visi sekolah pula ialah “Insan Akademis yang bertakwa”. Visi ini tidak jauh dengan visi
DU:AT, iaitu ‘ke arah melahirkan daie sejuta ummah’ yang mana kita perincikan salah satu
sifat Daie, sebagai sama ada ‘seorang ulamak yang profesional’ atau ‘profesional yang alim’;
suatu bukti tarbiyah dalaman ABIM mengupayakan kesatuan fikrah kepada aktivisnya sedari
dulu.
DSAI, pada masa itu, dipanggil Cikgu Anwar ialah orang pertama yang hadir ke
sekolah (YAA). Rutin hariannya ialah periksa tandas. Kemudian, beliau akan buat rondaan
kelas-ke-kelas untuk memantau perjalanan seharian di sekolah. Jika tiada guru di kelas,
beliaulah orang yang akan masuk ke kelas dan mengambil ruang dan peluang untuk bersemuka
dengan murid, bertanyakan soal kebajikan murid, dan berbincang isu-isu islamik, tetapi tidak
secara klise seperti ustaz-ustaz lepasan pengajian Islam. Menarik sekali perbincangan dalam
kelas persis sebuah usrah yang menganalisis, menghurai dan membangkit semangat Islam
dalam konteks yang segar, keMalaysiaan, yang nampak sebati adunannya dan keintiman antara
murid dan pengajar.
Subjek istimewa dalam YAA ialah ‘Pengajian Prinsip Islam’, suatu subjek untuk
membincangkan dan merungkai isu-isu di luar kotak pemikiran pelajar seperti isu alam sekitar,
isu kemanusiaan, isu keruntuhan sosial, sama ada isu tempatan sehinggalah isu antarabangsa
dan sejagat. Isu berkenaan dikupas dalam konteks peranan Islam sebagai penyelesai masalah
umat; Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam atau Islam sebagai cara hidup (deen).
Kesemua ini sangat asing kepada dunia pendidikan arus perdana, dan tidak pernah diterokai
secara serius sehingga hari ini. Malah, pada awal 70-an, ABIM merupakan satu-satunya
organisasi Islam yang sangat agresif mengadvokasikan moto Islam sebagai cara hidup. DSAI
dan ABIM pada waktu itu, secara terang-terangan mengubah persepsi amalan Islami, dari
sekadar terhad kepada amalan seperti solat, puasa, zakat dan haji semata-mata, beranjak kepada
amalan seharian seperti soal pemakaian, cara berekonomi, cara berpendidikan, dan sebagainya.
Pada awal 1970-an, iaitu sebelum Revolusi Iran lagi, masyarakat melayu Islam, ialah
masyarakat yang mula memakai tudung apabila ahli gerakan dakwah di Malaysia termasuk
ABIM, Islamic Representative Council (IRC), Suara Islam, dan Darul Arqam yang mula-mula
memakai tudung atau niqab, lama sebelum orang Arab di Al-Azhar memakai tudung. Pada era
70-an, hatta mereka yang belajar di kuliah pengajian Islam di Universiti Al-Azhar sekalipun
tidak memakai sebarang hijab. Malah, ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya, pelajar
Malaysia dan Indonesia yang memulakan amalan penutupan aurat pada akhir 70-an dan awal
1980-an di Mesir.
Antara implikasi besar ialah pihak Al-Azhar telah mengeluarkan pekeliling yang
mewajibkan pelajar memakai pakaian menutup aurat pada tahun 1984. Seorang pensyarah
memberitahu, pekeliling itu membuatkan pelajar wanita Arab sangat marah kepada pelajar
Nusantara kerana membawa tudung ke negara mereka. Daripada peristiwa ini, jelasnya orang
melayu yang lebih dahulu berubah dan membawa amalan berhijab ke Al-Azhar untuk orang
arab, yang pada waktu itu sangat ke‘inggeris’an; Bukan yang sebaliknya. suatu penghargaan
jasa besar DSAI atas inisiatif ummatik ini. DSAI jelasnya, mengubah pandangan sarwa dan
memberikan inspirasi berterusan sehingga ke hari ini. Jika tidak, berkemungkinan besar, kita
masih lagi dibudayakan dengan cara hidup bawaan penjajah inggeris seperti majlis tari menari,
hidangan arak, pemakaian yang tidak menutup aurat, budaya memberi salam, judi lumba kuda,
dan sebagainya.
DSAI, sejak usia muda lagi sangat menginspirasikan kami sebagai aktivis pendidikan.
Era ketika beliau memimpin ABIM dengan fokus kepada melaksanakan idea-idea ummatik
serta memberikan penyelesaian kepada masalah umat, sekali gus memberikan makna kepada
hidup sebagai orang muda. Kami, bukan sekadar perlu meneruskan tradisi gerakan
kepeloporan, tetapi juga tradisi keilmuan yang mementingkan dan mendahulukan umat. Kami
amat berterima kasih atas inspirasi ini kerana menjadikan gerakan ini gerakan masyarakat
dengan erti kata yang sebenarnya; Bukan gerakan ikut-ikutan, bukan gerakan berbatik
berkompang ala VIP, dan pastinya bukan gerakan mengumpul markah star points!
Jika pada mudanya lagi, seluruh kehidupannya diserahkan kepada umat, tidak hairanlah
perjuangan dan prinsip kehidupan sebegini diteruskan sehingga akhir hayat beliau. Semangat
negarawan itulah yang kami akan bawa untuk anak-anak murid kami di DU:AT dan seluruh
institusi pendidikan ABIM, kerana itulah, sering kali kami tegaskan dalam pertemuan kami
dengan ibubapa dan guru, “Sekolah ABIM ialah sekolah perjuangan; Sekolah ummatik;
sekolah melahirkan negarawan umat”; Sekolah ABIM ialah Sekolah Masa Hadapan.

Anda mungkin juga menyukai