Anda di halaman 1dari 14

ISI KANDUNGAN

BIL TAJUK MUKA SURAT


1 PENDAHULUAN 1

2 TAFSIRAN

ANCAMAN, ANCAMAN LUARAN, ANCAMAN

DALAMAN, KESELAMATAN 1

3 ANCAMAN LUARAN 2

4 ANCAMAN DALAMAN 2

5 BENTUK-BENTUK ANCAMAN DALAMAN 3-20

ANCAMAN KOMUNIS
ANCAMAN PENYALAHGUNAAN DADAH
ANCAMAN PENDATANG TANPA IZIN
ANCAMAN PUAK PELAMPAU
ANCAMAN AKIBAT KELEMAHAN MANUSIA
ANCAMAN PENGGODAM
ANCAMAN POLARISASI KAUM
ANCAMAN GEJALA-GEJALA SOSIAL
ANCAMAN BENCANA ALAM SEKITAR
ANCAMAN-ANCAMAN LAIN

6 KESIMPULAN 21-22

7 BIBLIOGRAFI 23

PENGHARGAAN
Salam sejahtera,

Saya ingin merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih di sini, kepada

barisan Urusetia Kursus Induksi SSM 2007, Kumpulan I / Ambilan II, anjuran Unit

Perkhidmatan Tadbiran, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang iaitu penasihat Kursus Induksi

Tuan Haji Ibrahim Bin Mohamed, PJK, penyelaras Encik Izmi Bin Ismail, setiausaha

Puan Hajah Nor’ain Bt Ibrahim serta urusetia Puan Kalsom Bt Noor Mohd. Desa, Encik

Sabdin Bin Osman dan Encik Osman Bin Mat kerana dengan penanjuran kursus induksi

ini telah memberikan peluang yang amat bernilai kepada saya untuk menyertai kursus ini

yang merupakan salah satu pra syarat untuk pengesahan jawatan.

Di samping itu, saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua

penceramah yang terlibat dalam Kursus Induksi ini, terutamanya penceramah, Tuan Haji

Mat Daud Bin Haji Ishak, yang membentangkan tentang Dasar Keselamatan. Oleh sebab

tugasan individu saya adalah berkenaan dengan Dasar Keselamatan serta atas ceramah

dan bimbingan beliau, tugasan saya dapat disiapkan dengan selamat, lancar dan jayanya.

Selain itu, saya juga dapat menghantar tugasan saya seperti pada tempoh yang ditetapkan.

Akhirnya, tidak juga dilupakan kepada rakan-rakan saya yang turut dan sudi

berkongsi idea, maklumat, buku rujukan serta nota yang berkaitan dengan topic tugasan

saya sehingga saya dapat berjaya menyiapkannya. Terima kasih diucapkan kepada

mereka.

Sekian, terima kasih.

1.0 PENDAHULUAN
Tanggungjawab utama sesebuah kerajaan untuk sesebuah negara yang telah
merdeka dan berdaulat adalah memberikan perlindungan serta menjamin keselamatan
rakyatnya dan negara di peringkat nasional. Bagi negara-negara maju seperti Amerika
Syarikat, keselamatan negara biasanya dikaitkan dengan isu ancaman luaran serta
kedaulatan negara supaya tidak dicerobohi oleh musuh luar manakala bagi negara-negara
menbangun seperti Malaysia, pertahanan dan keselamatan negara merupakan isu dalam
negara serta agenda yang paling penting disebabkan wujudnya anasir-anasir yang ingin
menjatuhkan kerajaan serta memporak-perandakan ekonomi negara. Hak keselamatan
negara juga lebih bersifat mengekalkan ketenteraman dalam negeri. Namun demikian,
apa yang pasti tiada terdapat sebarang penyelesaian yang mudah bagi menangani
ketidakpastian yang menyelubungi pemeliharaan serta pengekalan kestabilan,
keselamatan dan keamanan negara. Pendekatan, rangka kerja, tindakan dan mekanisme
yang sesuai serta berterusan therhadap situasi perlu sentiasa dikaji dari semasa ke semasa.
2.0 ANCAMAN - ANCAMAN LUARAN DAN ANCAMAN DALAMAN
TAFSIRAN
Mengikut Kamus Dewan dan Oxford, Ancaman bermaksud suatu tindakan,
perbuatan atau kegiatan yang mengecam dan mengugut sementara Ancaman Luaran
pula bermaksud mengecam dari segi perspektif luar disebabkan factor teknologi, politik
dan sebagainya manakala Ancaman Dalaman didefinisikan sebagai mengecam dari segi
dalaman tingkahlaku dan kelakuan. Keselamatan pula adalah kawalan atau perlindungan
kepada seseorang daripada jenayah dan serangan dari pihak lain.

3.0 ANCAMAN LUARAN


Malaysia juga menghadapi ancaman daripada luaran. Punca-puncanya adalah
Malaysia terletak di sesuatu kawasan yang paling strategik di Asia Tenggara dan dunia,
yang sentiasa menjadi rebutan pengaruh luar kerana ia kaya dengan sumber alam, sebuah
negara yang unik dari segi geografinya, memiliki kawasan perairan yang luas dari
Semenanjung sehingga ke Sabah dan Sarawak, mendapat pelbagai kepentingan ekonomi
daripada Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) seperti bahan galian dan perikanan, sistem
pertahanan yang lengkap serta kawalan keselamatan yang canggih bagi mengawal
perairan yang luas. Selain itu, Malaysia juga terdedah kepada kuasa-kuasa Besar yang
ingin memperluaskan pengaruh dan kepentingan mereka serta campurtangan mereka di
kawasan serantau boleh mendatangkan kesan kepada kestabilan dan keselamatan negara.
Oleh itu, banyak program pertahanan dan keselamatan dirangka untuk mempertahankan
negara daripada ancaman luar dan juga mengekalkan keamanan.
4.0 ANCAMAN DALAMAN
ANCAMAN-ANCAMAN DALAMAN YANG BOLEH MENGUGAT
KESELAMATAN NEGARA
Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di lokasi yang paling strategik
di Asia Tenggara serta dunia dari segi politik, ekonomi dan sosial dan menjadi tumpuan
kuasa-kuasa besar. Pertahanan dan keselamatan Malaysia dapat dilihat dalam beberapa
aspek seperti ancaman serta cabaran terhadap sistem keselamatan dan pertahanan,
peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku, dasar kerajaan untuk pengendalian tugas-tugas
pertahanan serta keselamatan negara. Isu keselamatan daripada pihak luaran pula
berkaitan dengan dasar luar di mana soal pertahanan dan keselamatan negara dikaitkan
dengan dasar luar menerusi pertahanan rapat yang telah dirangka oleh Kementerian Luar
Negeri. Kedua-dua aspek yang berlainan ini dapat memisahkan hal-ehwal keselamatan
dalam negeri daripada hal-ehwal keselamatan luar negeri. Oleh itu, Malaysia, negara kita
menghadapi dua jenis ancaman iaitu ancaman dalaman serta luaran.
BENTUK-BENTUK ANCAMAN DALAMAN
Bentuk-bentuk ancaman dalaman yang boleh mengugat keselamatan negara
adalah seperti berikut :-
ANCAMAN KOMUNIS
Ancaman komunis merupakan salah satu daripada ancaman dalaman yang boleh
mengugat keselamatan negara. Hal ini disebabkan ideologi komunis merupakan ideology
yang bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya negara kita, Malaysia. Pergerakan
komunis mula aktif di negara kita sejak tahun 1948. Ia telah menjadi musuh utama yang
boleh mengancam keselamatan negara kita. Parti Komunis Malaya (PKM) telah
melakukan keganasan bersenjata yang telah mengakibatkan ramai anggota pasukan
keselamatan berkorban semasa bertugas mempertahankan negara kita dari tahun 1948
hingga 1960. Kegiatan-kegiatan komunis ini telah berterusan sehingga termeterainya
perjanjian antara Malaysia, Thailand dan PKM pada tahun 02 Disember 1989. Parti ini
telah bersetuju untuk meletakkan senjata dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Perjuangan pengganas komunis selama 41 tahun ini berakhir dengan 1,200 pengganas
komunis keluar dari hutan dan menyerah diri serta menghapuskan semua perangkap
samar. Dengan itu, maka tamatlah kegiatan bersenjata dan keganasan PKM. Usaha gigih
kerajaan dalam membanteras dan menamatkan keganasan bersenjata PKM adalah untuk
mempertahankan keselamatan negara dari segi ancaman dalaman yang boleh mengugat
keselamatan negara. Tanggungjawab tersebut selaras dengan matlamat negara untuk
menegakkan Perlembagaan Negara yang menjadi asas pentadbiran bercorak demokrasi,
beraja serta kea rah sebuah masyarakat yang bersatu padu harmonis dan bertoleransi.
ANCAMAN PENYALAHGUNAAN DADAH
Di samping ancaman komunis, negara kita turut didedahkan dengan ancaman
penyalahgunaan dadah. Kerajaan menganggap dadah sebagai musuh keselamatan yang
utama. Oleh itu, tumpuan yang amat serius diberikan ke atas penyalahgunaan dadah di
kalangan remaja yang merupakan tiang negara. Sekiranya ia semakin berleluasa dan tidak
dibanteras, ia akan merosakkan akhlak masyarakat, meruntuhkan sistem perpaduan serta
menjejaskan ketahanan rakyat dan negara. Malaysia yang terletak hamper dengan
kawasan “Segitiga Emas” iaitu tempat penanaman dan penghasilan bahan mentah dadah,
penagihan dadah di kalangan remaja disebabkan masalah keluarga, sosial, psikologi,
kurang didikan dan pengangguran serta bilangan pengedar yang semakin banyak yang
cuba mengambil peluang meraih kekayaan merupakan punca-punca ancaman
penyalahgunaan dadah di negara kita. Oleh itu, penguatkuasaan dan keutamaan yang
amat tegas dilaksanakan untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah. Sekiranya
ia tidak ditangani, dibanteras serta dibasmi, pelbagai masalah yang boleh mengugat dan
mengancam keselamatan negara wujud iaitu keruntuhan akhlak, institusi kekeluargaan,
penyakit berjangkit, jenayah, pengangguran yang bertambah, membebankan kerajaan dan
sebagainya. Oleh itu, kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk
penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas di mana hukuman mati
mandatory dan perampasan harta benda pengedar-pengedar dadah; kesihatan, penubuhan
pusat pemulihan atau serenti untuk membekalkan rawatan, pemulihan, khidmat nasihat,
paduan agama, program pembangunan keluarga sejahtera dan latihan kemahiran serta
juga program pendidikan yang menumpukan perkembangan dan pembangunan jasmani,
rohani, sosial serta kemahiran seperti Rakan Muda, kursus, seminar dan bengkel bagi
membendung masalah dadah ini.
ANCAMAN DARI PENDATANG TANPA IZIN/HARAM/ORANG PELARIAN
Pendatang tanpa izin/haram dan orang pelarian juga merupakan ancaman dalaman yang
lain yang boleh mengugat keselamatan negara kerana golongan ini boleh menyebabkan
pelbagai masalh wujud seperti masalh jenayah yang berleluasa, pengangguran penduduk
tempatan dan sebagainya. Negara kita yang mempunyai suasana politik yang stabil dan
keadaan aman, kedudukan ekonomi yang kukuh, sempadan maritime yang kurang
kawalan serta negara-negara asal pendatang tanpa izin/haram dan orang pelarian ini yang
menggalakkan mereka berhijrah adalah penyebab-penyebab kemasukan golongan
tersebut ke negara kita. Oleh itu, kemasukan golongan tanpa izin/haram dan pelarian ini
ke negara kita telah menimbulkan masalah yang serius seperti masalah sosial, psikologi,
pengurusan dan kewangan. Misalnya, orang pelarian Vietnam telah mencetuskan rusuhan
di kem dan peningkatan kadar jenayah dari pendatang tanpa izin/haram negara-negara
lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar dan Bangladesh. Demi menjamin
keselamatan negara, kerajaan telah mengambil tindakan tegas dalam membanteras
masalah ini disebabkan peningkatan kadar pendatang tanpa izin/haram dan orang pelarian
semakin bertambah dari tahun ke tahun yang boleh mengancam di samping menguigat
keselamatan negara kita.

ANCAMAN DARI PUAK PELAMPAU


Ancaman puak pelampau merupakan sesuatu tindakan atau perbuatan oleh seseorang
individu atau kumpulan sekiranya tindakan itu adalah melebihi sesuatu nilai biasa atau
bertentangan dengan undang-undang negara serta boleh menimbulkan masalah kepada
keselamatan atau gangguan ke atas kestabilan ketenteraman awam atau keselamatan
negara. Negara kita juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah yang timbul akibat
daripada kegiatan puak-puak pelampau. Golongan ini wujud disebabkan oleh beberapa
isu sosial, agama, ekonomi dan politik. Puak pelampau ini biasanya berasa tidak puas hati
ke atas dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Isu-isu yang boleh mengancam dan
mengugat ketenteraman awam dan keselamatan negara sengaja digunakan oleh golongan
ini sebagai luahan rasa tidak puas hati mereka therhadap dasar-dasar yang telh
dilaksanakan oleh kerajaan. Oleh yang demikian, kerajaan terpaksa mengambil langkah
yang tegas dalam mengatasi masalah ini dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan
Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA. Akta ini tidak akan membenarkan
sebarang keadaan timbul yang boleh menjejaskan atau mengugat keselamatan negara
serta keutuhan undang-undang. Sesiapa yang disyaki untuk cuba mengancam
keselamatan negara boleh dipenjarakan tanpa soalsiasat untuk sesuatu tempoh waktu
yang tertentu.
ANCAMAN AKIBAT KELEMAHAN MANUSIA
Perbuatan yang boleh mengakibatkan pelanggaran kepada keselamatan dan
mengakibatkan sesuatu perkara rasmi itu diketahui oleh pihak yang tidak berhak atau
dibenarkan merupakan salah satu bentuk ancaman yang diakibatkan oleh kelemahan
manusia. Kelemahan-kelemahan manusia yang mementingkan diri sendiri, suka
menunjuk-nunjuk dan bangga diri; kecuaian mematuhi arahan-arahan keselamatan yang
ditetapkan; tidak cermat atau cuai semasa bercakap melalui telefon atau di tempat-tempat
awam mengenai perkara terperingkat iaitu perkara yang tergolong dalam kumpulan rahsia
besar, rahsia, sulit dan terhad; tersasul kata ketika ketagihan minuman keras dan dadah;
pemerasan atau desakan akibat hutang yang besar, rasuah, kelakuan atau latarbelakang
keluarga yang miskin atau tidak sempurna dan lain-lain serta sebagainya merupakan
jenis-jenis kelemahan manusia. Kecuaian manusia dan kelalaian keselamatan akan
mendedahkan perkara terperingkat kepada orang yang tidak dibenarkan akibat
meninggalkan perkara terperingkat di pejabat yang tidak berkunci, menyimpannya dalam
laci atau gagal mengunci peti keselamatan, gagal menggunakan prinsip ‘Perlu
Mengetahui’, memusnahkan buangan terperingkat dengan cara yang tidak dibenarkan
atau cuai mengendalikannya serta kecuaian pengawal keselamatan. Kelemahan-
kelemahan ini boleh menyebabkan manusia melakukan sesuatu yang salah dari segi
undang-undang dan nilai-nilai murni seperti pendedahan rahsia kerajaan, penyewelengan,
penipuan, pembunuhan dan lain-lain yang akhirnya boleh menjadi suatu ancaman yang
boleh mengugat keselamatan negara dan bangsa.
ANCAMAN PENCEROBOHAN SISTEM KOMPUTER/PENGGODAM/VIRUS
Pencerobohan ke dalam sistem maklumat komputer atau penggodaman merupakan suatu
tindakan menceroboh ke dalam sistem maklumat komputer ataupun penggodaman.
Industri komputer yang juga tidak terlepas daripada ancaman memberikan kesan dalam
peningkatan kejadian jenayah membabitkan sistem komputer. Serangan virus yang
berbahaya dan pencerobohan ke tapak-tapak web telah menjadi semakin serius sehingga
menyebabkan syarikat, agensi kerajaan dan pengguna komputer seluruh dunia bimbang
kerana terpaksa melindungi komputer dan data mereka dari serangan-serangan yang tidak
diundangi. Peperangan siber bukan sahaja setakat serangan virus dan penggodam yang
banyak disasarkan untuk melumpuhkan komputer atau sesuatu rangkaian, tetapi ia juga
boleh dilakukan untuk tujuan pengintipan atau mencuri data terperingkat atau penting
yang mampu menjejaskan sesebuah syarikat dan negara. Ruangan Megabait ingin
mengulas secara lebih lanjut mengenai aktiviti tersebut dengan mendapatkan pandangan
pakar-pakar dari industri berkaitan seperti Pusat Keselamatan Dan Tindakbalas
Kecemasan ICT Kebangsaan (NISER) yang membicarakan mengenai ancaman
keselamatan komputer secara umum dan peperangan maklumat dan e-Cop.Net, syarikat
yang membekalkan perkhidmatan perlindungan komputer 24 jam di Internet. Aktiviti
serangan siber seperti ancaman virus dan penggodam atau pencerobohan komputer
sememangnya telah lama bertapak dalam industri pengkomputeran dunia tetapi
kegiatannya tidak serius seperti dahulu yang menyebabkan kerosakan teruk kepada
mangsa-mangsa serangan. Tidak terlepas juga Malaysia, aktiviti pencerobohan ke atas
tapak-tapak web agensi kerajaan, penyebaran virus cecacing CodeRed, Nimda, Sircam,
Gone dan sebagainya telah menyebabkan banyak komputer-komputer di negara ini
terjejas teruk. Bagaimanapun, serangan-serangan tersebut hanyalah sebahagian daripada
kejadian serangan siber kerana peperangan siber yang merupakan sebahagian daripada
peperangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh memberi kesan yang lebih
besar seperti menjejaskan perniagaan syarikat dan keadaan ekonomi serta politik
sesebuah negara. Bayangkanlah jika maklumat-maklumat rahsia syarikat atau kerajaan
yang tersimpan dalam pangkalan data atau cakera keras komputer boleh diperoleh dengan
mudah oleh musuh-musuh kita seperti musuh-musuh dalaman atau luaran negara,
syarikat saingan atau penjenayah yang mempunyai misi merosakkan sesebuah negara.
Hal ini sememangnya akan mengancam dan mengugat keselamatan negara. Menurut
Pengarah NISER, Mejar Husin Jazri,
pelbagai usaha telah dijalankan termasuklah mengadakan undang-undang siber,
menubuhkan NISER, penguatkuasaan oleh pihak polis, dan sebagainya demi
menghadapi ancaman tersebut. Katanya, cabaran sebenar kepada sesebuah negara
ialah pembangunan pakar, membina keupayaan pakar yang berkualiti, bilangan yang
mencukupi dan penggemblengan usaha di peringkat nasional untuk menangani ancaman
secara bersepadu.
Isu ancaman ICT boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ancaman dalaman dan
ancaman luaran. Kadar ancaman dari sumber dalaman merangkumi hampir 80 peratus
dari kesemua serangan yang berlaku terhadap sistem pengkomputeran. Memetik
kenyataan Jeff Moss, Pengarah Kumpulan Secure Computing Risk Assessment yang
berkata,
masalah utama dalam keselamatan komputer ialah mereka yang menggunakan sesuatu
sistem tidak mengetahui dengan mendalam mengenai sistem rangkaian mereka sendiri.'
Apabila seseorang individu yang terlibat dalam reka bentuk rangkaian dalam sesebuah
syarikat meninggalkan organisasi tersebut, pengganti mereka tidak mempunyai
pengetahuan mendalam mengenai sistem rangkaian syarikat itu.
Pendapat Moss itu membawa pengertian bahawa ancaman terhadap maklumat dan data
syarikat bukan merupakan isu produk atau perkakasan semata-mata tetapi lebih kepada
isu pengetahuan. Umpamanya, apabila sesebuah syarikat membina `firewall' pada sistem
rangkaiannya, ia tidak bermakna yang sistem mereka telah selamat dari penggodam
kerana masalah itu akan terus kekal sehingga keseluruhan tenaga kerja dan proses tata
cara kerja ditetapkan mengikut prosedur terbaik. Tujuh jenis risiko yang boleh berlaku
dalam sistem ICT iaitu kecuaian mengisi data, penipuan dan kecurian, sabotaj dalaman,
gangguan terhadap prasarana, penggodaman, kod berniat jahat dan pengintipan industri
atau badan kerajaan yang kesemuanya mampu memberi kesan yang besar kepada syarikat
atau kerajaan. Ancaman penggodam komputer sememangnya berbahaya, oleh itu, ia tidak
boleh diambil ringan dan perlu dibendung dengan segera. Strategi mempertingkatkan
keselamatan maklumat secara kolektif dan berperingkat itu umpama lapisan bawang yang
mana usaha individu, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, penguat kuasa undang-
undang dan pakar keselamatan akan menjadikan keselamatan maklumat negara ini
berlapis-lapis dan sukar ditembusi. Konsep ini dikenali sebagai defence in depth. Di
Malaysia, perbincangan mengenai implikasi penggunaan teknologi kriptografi belum
begitu meluas berbanding dengan negara maju. Kesimpulannya, isu keselamatan
komputer sememangnya bukan satu isu kecil kerana kini ia boleh membabitkan
kedaulatan sesebuah syarikat, kerajaan dan negara jika tiada langkah proaktif telah
diambil untuk melindunginya.
ANCAMAN POLARISASI/PERPADUAN KAUM
Negara kita, Malysia, bukan sahaja adalah sebuah negara yang terletak di lokasi yang
paling strategik di Asia Tenggara dan dunia, malahan merupakan sebuah negara yang
didiami oleh penduduk yang berbilang bangsa, agama dan budaya di mana setiapnya
memiliki ciri-ciri yang unik dan berbeza antara satu sama lain. Masyarakat yang
berbilang bangsa ini merupakan suatu aset bagi kerajaan. Oleh yang demikian,
tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk memastikan penduduk pelbagai bangsa dan
berbilang kaum ini bersatu padu serta hidup harmoni. Tunggak utama negara adalah
untuk mewujudkan perpaduan yang berterusan dan berkekalan. Di samping itu, kerajaan
juga telah berusaha gigih untuk mewujudkan satu identiti nasional yang dapat dijadikan
teras kepada perpaduan negara yang dapat menjamin keselamatan negara. Oleh itu,
Malaysia yang memiliki latar belakang keselamatannya yang tersendiri mengamalkan
sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, mempunyai raja dan perlembagaan,
mengamalkan prinsip perpaduan serta mementingkan dan mengekalkan semangat
integrasi nasional. Masyarakat yang berbilang kaum ini bias mengugat keselamatan
negara jika keharmoniannya tidak dititikberatkan serta jika perpaduan tidak
dipertahankan maka negara akan menjadi huru hara serta kucar kacir. Oleh itu, kerajaan
menganggap bahawa sesiapa yang cuba menggugat perpaduan rakyat dan mengancam
keselamatan orang ramai akan dianggap sebagai musuh negara. Keselamatan negara
Malaysia terletak kepada kemampuannya untuk mempertahankan dan mengekalkan
perpaduan negara kerana sekiranya negara tidak akan stabil dan aman jika wujud gejala-
gejala atau mush yang mengancam keselamatan rakyat. Demi untuk mengukuhkan
perpaduan rakyat dan daya ketahanannya bagi menghadapi sebarang ancaman maka
kerajaan pusat sentiasa mengadakan hubungan kerjasama yang erat dengan kerajaan-
kerajaan negeri dalam bidang pembangunan ekonomi serta sosial. Dengan adanya
kerjasama maka integrasi nasional dapat diperkukuhkan lagi supaya pengagihan sumber
ekonomi dapat dinikmati secara adil oleh semua. Sekiranya sesebuah negara yang berada
dalam keadaan tidak stabil, huru hara serta keselamatan nasional terancam maka
rakyatnya akan hidup dalam kesengsaraan serta keruntuhan dari segi ekonomi dan sosial
seperti yang berlaku di Indo China, Filipina, Sri Lanka dan sebagainya.
ANCAMAN GEJALA-GEJALA SOSIAL
 Rasuah
Rasuah juga merupakan salah satu ancaman dalaman yang boleh menggugat
keselamatan negara sekiranya ia berlaku dengan berleluasa tanpa kawalan. Rasuah
berlaku kerana sikap tamak wang oleh manusia akibat belanja lebihan, penyeliaan dan
peraturan kerja yang longgar, usahanya yang diinginkan gagal, kelemahan manusia akibat
kurang panduan agama dan adanya peluang yang timbul. Contohnya,
Pesuruhjaya Perbandaran Melaka mengunakan jawatan awamnya meluluskan pelan
projek perumahan Almac, yang mana ia sendiri merupakan pemegang
saham, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Almac Sdn Bhd; dan
Pengarah Bomba mengunakan jawatan awamnya dan mencadangkan pembelian
kepada Simon Enterprise kepunyaan abang iparnya dengan 2 spare cylinder
oxygen berharga RM 3,800.00
Sekiranya rasuah berlaku, ia akan mengakibatkan imej negara serta keselamatan negara
tergugat dan terjejas. Ia akan menyebabkan tumpuan pembangunan dan pelaburan tidak
seimbang sebab keputusan lebih dipengaruhi oleh keuntungan peribadi pihak-pihak atau
individu tertentu daripada kepentingan dan keperluan masyarakat, membesarkan jurang
perbezaan golongan miskin dan kaya, mereka yang miskin dan tidak berpengaruh akan
ditindas, pengaliran wang keluar negara kerana wang yang diperolehi selalunya disimpan
dibank luar negara bagi mengelakkan dikesan/dirampas/tidak selamat. Ini menyebabkan
banyak wang mengalir keluar/kehilangan modal, mengalakkan jenayah dan melindungi
penjenayah, menjejaskan kecekapan dan kelicinan pentadbiran, menyebabkan kenaikan
harga barangan, kehilangan nyawa, maruah terjual dan menyenangkan musuh negara
mencerobohi dan menjatuhkan kerajaan serta memporak-perandakan ekonomi serta sosial
negara. Oleh itu, jenayah rasuah haruslah diperangi habis-habisan kerana rasuah adalah
kotor dan jijik serta akan membawa kecelakaan kepada bangsa, agama dan negara yang
boleh menggugat keselamatan negara.
 Wabak Penyakit Berjangkit – AIDS, SARS, selesema burung (BIRD FLU),
Deman Denggi
Ancaman gejala sosial seperti wabak penyakit berjangkit juga merupakan satu
ancaman dalaman yang boleh menggugat keselamatan negara. Rakyat yang sihat
merupakan benteng negara yang boleh menjamin ketahanan dan keselamatan negara.
Sekiranya sesebuah negara sentiasa diselubungi oleh wabak penyakit-penyakit berjangkit
seperti SARS, AIDS, selesema burung (bird flu), malaria, taun dan sebagainya maka
ketahanan, keamanan, kestabilan dan keselamatan dari segi ekonomi, politik dan sosial
akan terancam, tergugat dan dicerobohi. Oleh itu, pelbagai usaha, pendidikan, kawalan
dan tindakan tegas harus dilaksanakan dan diambil demi menjamin kesihatan rakyat yang
berterusan. Di Malaysia, pelbagai program pemulihan dan pendidikan dilaksanakan
seperti pembinaan pusat pemulihan dan kempen, penguatkuasaan undang-undang seperti
pelancaran operasi ke atas tempat-tempat pelacuran dan penagihan dadah untuk
menangani masalah AIDS yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah serta hubungan
seksual secara rambang, sentiasa mengadakan pemeriksaan rapi ke atas ladang-ladang
ternakan seperti ayam dan itik untuk mengelakkan jangkitan berbahaya seperti SARS dan
selesema burung (bird flu) yang berlaku di negara jiran. Pada tahun 2003, SARS yang
melanda negara kita pada tahun 2003 telah menyebabkan kerugian yang besar terhadap
penternak ayam :-
ALOR STAR: Lebih 120 penternak ayam di negeri ini dan Perlis kerugian lebih
RM50,000 dalam tempoh sehari sejak beberapa hari lalu berikutan ancaman
penyakit berjangkit Sindrom Kesukaran Pernafasan Teruk (SARS).
Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Kedah/Perlis, Jafri Ahmad, berkata berikutan
ancaman SARS, harga pasaran ayam ladang jatuh ke paras RM2.30 sekilogram.
Beliau berkata, kejatuhan harga itu disebabkan industri perhotelan dan restoran
mengurangkan bekalan ekoran sikap orang ramai yang jarang makan di tempat
awam bagi mengelak jangkitan wabak SARS.
Deman denggi boleh membawa maut sekiranya terkena gigitan nyamuk Aedes. Ramai
kanak-kanak dan remaja mati akibat deman denggi. Kerajaan tempatan sering
menyemburkan asap, menjalankan pemeriksaan ke rumah dan kempen untuk
membanteras pembiakan nyamuk Aedes dan deman denggi berada pada tahap terkawal.
 Jenayah
Tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah untuk memberi perlindungan dan
menjamin keselamatan rakyatnya. Sekiranya rakyat sentiasa diselubungi dan dibimbangi
dengan ancaman jenayah yang berlaku dengan berleluasa serta tanpa kawalan maka
rakyat akan hilang keyakinan terhadap kewibawaan pertahanan dan kedaulatan kerajaan.
Rakyat akan sentiasa hidup dalam keadaan bimbang dan tidak selamat. Ancaman jenayah
yang dianggap sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara ini merupakan suatu
tanggungjawab yang berat bagi Malaysia demi untuk membekalkan serta menjamin
keselamatan rakyatnya. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang serta tindakan yang
tegas sentiasa diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan untuk manangani serta
mambanteras jenayah-jenayah yang wujud, tidak kira bahaya, besar atau kecil.
Perompakan, pengedaran dadah, perogolan, pembunuhan dan penderaan merupakan
jenayah-jenayah yang semakin meningkat di Malaysia. Saban hari, kita dapat membaca
di suratkhabar mengenai kes-kes tersebut. Oleh itu, kerajaan Malaysia telah mengambil
langkah yang bijak, berani dan tegas untuk membanteras serta menangani masalah ini
iaitu mengenakan hukuman mati ke atas pengedar dadah dan pembunuh, hukuman berat
seperti hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan dikenakan ke atas perogol,
pendidikan dititikberatkan, kawalan dan rondaan oleh pihak polis dan sebagainya telah
dilaksanakan demi menjamin keselamatan rakyat, nasional dan negara.
ANCAMAN BENCANA ALAM SEKITAR
 Kesan-kesan Cuaca Akibat Pemanasan Global
Ancaman cuaca adalah merupakan ancaman alam semulajadi yang dihadapi pada hari ini
yang merupakan ancaman dalaman yang paling menakutkan yang boleh mengugat
keselamatan negara. Kajian rasmi yang terbesar berkenaan dengan perubahan cuaca yang
dilaksanakan di Britain, diterbitkan pada bulan Jun 2000, mengatakan bahawa
“Perubahan cuaca akibat kegiatan manusia di dalam sesebuah negara sedang mengancam
serta boleh mengakibatkan peralihan-peralihan besar dalam suhu, jumlah hujan,
pelampauan cuaca dan ketinggian paras laut. Misalnya, negara kita sering mengalami
masalah banjir besar di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan
lain-lain, adakala keadaan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau panjang yang
pernah dialami oleh Malaysia yang hampir menyebabkan ketandusan air di empangan
sehingga pencatuan air terpaksa dilaksanakan seperti yang berlaku di Selangor, cuaca
negara kita yang semakin panas akibat aktiviti pembalakan yang semakin banyak – tidak
kira secara haram atau halal; kekurangan pokok-pokok akibat pembangunan pesat,
pertambahan kenderaan yang mengeluarkan asap monosida, penyakit berjangkit akibat
banjir dam perubanhan cuaca yang tidak menentu seperti Aedes, malaria, taun dan
sebagainya. Kesan-kesan sosial ini mempunyai potensi untuk membinasakan sesebuah
negara yang berhadapan dengan cabaran radikal yang berterusan dan baru ini. Tindakan
yang cepat, kuat dan mantap perlu diambil bermula secara terus-menerus. Ketidakpastian
perubahan cuaca ini menjadikan ancamannya lebih menakutkan lagi. Kesatuan Ahli-ahli
Sains menyimpulkan gambaran bahawa :-
Terdapatnya risiko serius bahawa cuaca akan berubah dalam cara yang akan
mengganggu kehidupan kita dengan serius.Di antara kesan-kesan yang paling teruk
adalah peningkatan dalam tahap ketinggian laut, lebih banyak musim panas dan
kemarau, peristiwa-peristiwa cuaca yang lebih teruk yang boleh menyebabkan banjir
dan kemusnahan harta-benda dan penyakit tropika yang boleh merebak ke kawasan-
kawasan di mana ianya tidak pernah kelihatan sebelum ini. Jika kita tidak mengambil
tindakan, pemanasan global akan mengancam kesihatan kita, bandar-bandar kita,
ladang-ladang kita, dan hutan-hutan, kawasan payah dan habitat-habitat kita.
Banjir yang sering berlaku akan membinasakan bangunan, harta benda dan bandar,
penduduk-penduduk terutamanya golongan muda yang merupakan tiang negara akan
dibinasakan oleh peralihan penyakit yang membawa wabak-wabak dan virus. Jelasnya,
perubahan iklim yang tidak dapat diubahkan lagi kerana sudah berlaku dan seterusnya
tindakan untuk menangani masalah ini harus diambil. Ekonomi-ekonomi utama
berdasarkan pembakaran hutan, bahan api fosil dan barangan yang bergantung kepada
bahan-bahan api, industri kenderaan dan sebagainya sedang menyumbang serta
mengancam untuk menjadikan cuaca dunia tidak stabil dengan kesan-kesan yang
mungkin membinasakan sesebuah negara. Mengapakah keadaan ini telah timbul dan
apakah yang dapat dilakukan mengenainya? Oleh itu, kerajaan Malaysia sentiasa
mengambil tindakan tegas seperti penguatkuasaan undang-undang, penyusunan sistem
perparitan, pendidikan, kitar semula, penanaman semula pokok-pokok dan lain-lain demi
mengurangkan berlakunya banjir dan wabak penyakit. Pergolakan ekonomi seperti
gangguan dalam sektor pertanian mungkin menwujudkan kebuluran dan mengakibatkan
kesengsaraan manusia, kemarau, banjir besar yang merosakkan harta benda, penyakit
berjangkit, tekanan dalaman dan masalah sosial lain yang mungkin timbul akan
mencetuskan ancaman peperangan yang berskala besar lagi membinasakan demi untuk
soal penerusan hidup serta pengekalan tamadun sesama manusia dalam negara. Akhirnya,
ancaman peperangan yang berlaku akan mengancam keselamatan negara.
 Jerebu
Pembalakan dan kebakaran hutan yang tidak terkawal samada ada berpunca dalam atau
luar negara akan mengancam tumbuh-tumbuhan dan binatang yang jarang dijumpai atau
hampir pupus, serta mengakibatkan pelepasan asap beracun yang menyelimuti negara.
Bandar-bandar dan penduduk sentiasa dicekik oleh asap dan racun dari trafik yang
semakin meningkat. Pencemaran udara akibat kehuru-haraan sistem pengangkutan telah
mengakibatkan epidemik penyakit lelah yang berleluasa. Berdasarkan data pengawasan
kualiti udara daripada stesen pengawasan automatik di Kemaman, keadaan jerebu masih
pada tahap yang terkawal. Walau bagaimanapun, persediaan awal serta berjaga-jaga perlu
dilakukan bagi menghadapi situasi atau keadaan jerebu yang berlaku secara tidak
menentu atau sekiranya keadaan jerebu meningkat ke tahap yang membimbangkan.
Jabatan Alam Sekitar sentiasa menjalankan pengawasan dan penguatkuasaan yang lebih
kerap ke atas industri-industri, punca-punca bergerak (kenderaan bermotor), hutan-hutan
dan perumahan untuk melaporkan kepada Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar setiap hari
tentang perkembangan, pengawasan dan penguatkuasaan untuk menangani masalah
jerebu. Laporan IPU yang dibekalkan oleh Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar, Kuala
Lumpur juga dilaporkan dari masa ke semasa kepada RTM, Media Massa dan orang
ramai. Aktiviti-aktiviti dalam sektor ekonomi, sosial dan politik akan tergugat dengan
masalah jerebu yang akan mengancam keselamatan negara kerana perhubungan
antarabangsa tergendala, pertanian terjejas akibat udara tercemar, penyakit sakit kepala
dan lelah berleluasa dan lain-lain. Oleh itu, kerajaan Malaysia sentiasa mengambil
tindakan tegas seperti melarang semua bentuk pembakaran terbuka dengan mengenakan
hukuman seberat mungkin kepada pesalah, kerjasama daripada polis, tentera dan bomba
untuk menangani masalah pembakaran terbuka dengan segera sebaik sahaja menerima
laporan, meminta kerjasama semua pihak termasuk orang ramai dan peniaga serta sektor
pembinaan supaya melembabkan kawasan persekitaran bagi mengurangkan jumlah debu
di ruang udara, pendidikan, penanaman semula pokok-pokok dan menandatangani
memorandum serta kerjasama dengan negara-negara jiran demi menangani masalah
jerebu. Kerjasama dan bantuan amat diperlukan dari semua pihak agar bencana jerebu ini
dapat dibendung/dikurangkan secara berterusan dan mencari formula ke arah
penyelesaian jangka panjang. Sehubungan dengan itu, setiap
jabatan/Agensi/Persekutuan/Negeri perlu memainkan peranan/fungsi masing-masing bagi
menyumbang ke arah penyelesaian masalah jerebu ini.
ANCAMAN-ANCAMAN LAIN
 SUBVERSIF iaitu kegiatan oleh pertubuhan atau perseorangan di dalam atau di
luar Malaysia yang tidak sampai kepada peperangan yang bermaksud menghancurkan
ketenteraman yang ada dengan cara yang salah di sisi undang-undang.
 ESPIONAJ ialah kegiatan untuk memperolehi perkara terperingkat dengan cara
tersembunyi atau salah di sisi undang-undang untuk memudaratkan keselamatan atau
kepentingan Malaysia. Kecuaian dan kelalaian keselamatan akan mendedahkan perkara
terperingkat kepada orang yang tidak dibenarkan akibat meninggalkan perkara
terperingkat di pejabat yang tidak berkunci, menyimpannya dalam laci atau gagal
mengunci peti keselamatan, gagal menggunakan prinsip ‘Perlu Mengetahui’,
memusnahkan buangan terperingkat dengan cara yang tidak dibenarkan atau cuai
mengendalikannya serta kecuaian pengawal keselamatan. Espionaj juga boleh dilakukan
oleh pengintipan atau perisik dengan menyamar sebagai penjawat awam atau memecah
masuk, memintas, mencuri, menyalin dokumen terperingkat, memeras atau mendesak
orang yang dibenarkan akses serta mencuri perbualan melalui telefon atau rakaman.
 SABOTAJ merupakan perbuatan menyebabkan kerosakan fizikal untuk
kepentingan sesebuah kuasa asing atau tujuan politik yang subversif. Ia boleh dilakukan
semasa aman atau perang. Suatu kempen yang teratur kepada permulaan rancangan yang
lebih besar untuk melumpuhkan pertahanan dan keselamatan negara.
 ANCAMAN PENYELUDUPAN HARAM seperti penyeludupan senjata api,
kanak-kanak dan gadis serta barang-barang tiruan dan cetakan rompak juga merupakan
satu ancaman dalaman yang boleh menggugat keselamatan negara. Penyeludupan ini
akan membawa anasir-anasir jahat ke dalam negara kita yang boleh mengancam
keamanan orang awam. Kanak-kanak dan gadis diculik, senjata api yang dibawa masuk
akan mendorong lebih banyak pembunuhan dan perompakan serta masalah cetak rompak
atau barangan tiruan. Oleh itu, kerajaan telah mengambil tindakan yang amat tegas dalam
membanteras masalah ini seperti penguatkuasaan undang-undang yang ketat, rondaan
daripada pihak polis serta marin, kerjasama semua pihak dan sebagainya. Dengan ini,
keselamatan sejagat akan terjamin.
 ANCAMAN KEPUPUSAN ALAM SEMULAJADI di mana pembalakan dan
pembakaran hutan secara haram yang berleluasa akan mengakibatkan kepupusan
tumbuhan, haiwan liar, habitat flora dan fauna serta sumber pelancongan. Sesetengah
tumbuhan seperti akar dan dedaun boleh dijadikan sebagai ubatan tradisional dan moden
untuk merawat sesetengah penyakit pupus dan musnah akibatnya kehilangan nyawa
berlaku, haiwan liar yang kehilangan tempat perlindungan ‘berhijrah’ ke kawasan
perumahan seperti yang pernah terjadi di Malaysia di mana seekor harimau memasuki
sebuah rumah, hutan yang menjadi tempat penyelidikan serta hutan semulajadi yang
menjadi tumpuan pelancong akan musnah. Pendapatan masyarakat yang bergantung
kepada pelancongan turut tergugat dan ramai yang akan menganggur, keselamatan
tergugat dengan ‘penghijrahan’ haiwan liar ke kawasan perumahan dan sebagainya.
Masalah ini juga turut merupakan ancaman dalaman yang boleh menggugat keselamatan
negara.
 ANCAMAN PERTUBUHAN AJARAN SESAT – AL-MA’UNAH DAN AL-
ARQAM merupakan suatu ancaman kepada keselamatan kerajaan dan negara.
Kewujudan Al-Ma’unah, suatu kumpulan tentera yang bertujuan untuk menggulingkan
kerajaan telah muncul secara tiba-tiba mengejutkan semua pihak. Ia telah menyerbu kem
tentera serta menrampas banyak senjata, bahan letupan dan alat komunikasi tentera yang
lain serta menculik empat tebusan orang awam yang mengorbankan tiga orang. Akhirnya
mereka telah menyerah diri dan diberkas mengikut Seksyen 121 dan ISA. Begitu juga
dengan Al-Arqam yang merupakan pertubuhan agama yang bertujuan membentuk
Daulah Islam telah menwujudkan perkampungan Al-Arqam. Namun demikian, kerajaan
telah mengharamkannya berdasarkan fatwa yang memutuskan ajaran dan fahaman aneh
serta sesat Al-Arqam bertentangan dengan akidah serta syariah Islam. Oleh itu, kerajaan
sentiasa mengambil tindakn tegas terhadap sesuatu pertubuhan yang wujud yang
bertujuan mengancam keselamatan negara.
5.0 KESIMPULAN
Keamanan dan keselamatan dalam negera ini amat penting dikekalkan bagi
membolehkan sesebuah negara itu maju dan makmur. Program-program pertahanan dan
keselamatan dalam negara haruslah dirangka dengan tujuan untuk mempertahankan
negara daripada ancaman dalaman serta juga mengekalkan keamanan. Kerajaan Malaysia
telah melaksanakan program-program keselamatan yang melibatkan pasukan polis,
pertubuhan anti-dadah, pertahanan awam, pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia
(RELA) dan Sektor Rukun Tetangga yang memainkan peranan penting ke arah usaha
mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.Pelbagai kemudahan yang canggih dan
moden juga disediakan. Keupayaan menjalankan rondaan oleh pihak berkuasa telah
dipertingkatkan dengan tujuan membanteras kemasukan pendatang tanpa izin dan
pengedaran dadah. Selain itu, langkah-langkah telah diambil untuk memupuk hubungan
rapat antara polis dan orang awam supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras dengan lebih
berkesan. Struktur politik yang kuat dan stabil juga dilaksanakan untuk menjamin
keselamatan negara yang bergantung kepada kekuatan jentera pentadbiran, sumber
ekonominya dan perpaduan rakyatnya. Akta Keselamatan Dlam Negeri juga telah
dikuatkuasakan. Kewujudan ancaman penggodaman ini boleh diatasi sekiranya semua
pihak bekerjasama, mempertingkatkan ilmu dan sanggup mendisiplinkan diri,
menguruskan sistem komputer mereka dengan baik, iaitu melaksanakan sistem yang
terkini, mempunyai prasarana yang sesuai dan selamat dan mempunyai pentadbir sistem
yang mahir dan mengetahui jenis-jenis ancaman yang boleh berlaku. Pengguna pula
dididik supaya dapat menggunakan teknologi Internet secara selamat. Secara amnya,
transaksi Internet boleh dijadikan transaksi yang selamat jika segala tindakan perlu
dirancang dan dilaksanakan secara baik. Malah ianya mampu untuk menjadi lebih
selamat dari transaksi tradisi. Kawalan keselamatan juga penting supaya rahsia kerajaan
tidak jatuh ke tangan musuh negara atau orang yang ingi cari faedah kewangan seperti
beri perlindungan keselamatan yang secukupnya kepada perkara terperingkat dan
dimaklumkan kepada orang yang benar-benar ‘Perlu Mengetahui’. Pendidikan dan
kempen harus juga dijalankan untuk menyedarkan orang awam betapa pentingnya alam
sekitar kepada semua. Ia harus dipupuk sejak kecil lagi. Pertahanan dan keselamatan
yang terjamin dan terbaik bagi sesebuah negara adalah perpaduan yang kukuh dan daya
ketahanannya. Rakyat Malaysia haruslah berbangga dan bersyukur kerana Malaysia
merupakan sebuah negara yang aman damai dari semua segi politik, ekonomi dan sosial
yang dicemburui oleh kebanyakan negara-negara lain. Oleh itu, Malaysia akan menjadi
sebuah negara dan rakyatnya yang CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG!
BIBLIOGRAFI
1. Malaysia Kita, International Law Book Services, Kuala Lumpur, 2003
2. Nota Ceramah Dasar Keselamatan
3. Kamus Dewan, Fajar Bakti Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1990
4. Kamus DwibahasaOxford, Fajar Bakti Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1991
5. http://www.google.com/searc?Ie=utf-8oe=utf-ancaman+kepupusan+semulajadi
6. http://www.google.com/searc?Ie=utf-8oe=utf-ancaman+cuaca
7. http://www.google.com/searc?Ie=utf-8oe=utf-ancaman+jerebu
8. http://www.google.com/searc?Ie=utf-8oe=utf-ancaman+komputer
9. http://www.google.com/searc?Ie=utf-8oe=utf-ancaman+penyakit+SARS
10. http://en.wikipedia.org/wiki/al-Arqam
11. http://en.wikipedia.org/wiki/al-Ma’unah

Anda mungkin juga menyukai