Anda di halaman 1dari 15

KONSEP PENDIDIKAN ANAK-ANAK DARI PERSPEKTIF ISLAM

1.0 MUQADDIMAH

Anak-anak yang dilahirkan merupakan satu ujian Allah SWT kepada kita. Sebagaimana
yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang berbunyi :

Maksudnya “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah
menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal : 28).
Allah SWT telah menjelaskan kepada kita dalam ayat ini bahawa harta benda dan anak-
anak yang kita sayangi ini merupakan satu ujian kepada kita. Jika harta benda yang kita
perolehi dengan secara yang halal dan menggunakan ke jalan yang halal maka beroleh
ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Dalam ayat ini juga Allah SWT telah
menyebut anak-anak juga merupakan ujian kepada orang yang beriman. Jika anak-anak
yang kita didik mengikut acuan Islam, maka kita akan beroleh ganjaran yang besar hasil
ketaatan mereka.

2.0 PENDORONG TABIAT MANUSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN BARAT

Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat
manusia seperti berikut:

1. Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia
pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa
agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival
perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara
membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil
yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak
pada masa hadapan.

2. Teori Analisis Transaksi. Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil
daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan
secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa
kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup
yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi
fikirannya dan pengaruh persekitaran.

3. Teori Behaviorisma. Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil
daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah
apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka
sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

4. Teori Pemusatan Klien. Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula
jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri.
Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila
keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang,
keselamatan dan seumpamanya.
5. Dari perspektif Islam. Terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat
manusia iaitu:
a) Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi
mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan
jahat. Apabila melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila
melakukan kebaikan, ia tidak gembira.
b) Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa
lampau dan ingin keluar untuk memulakan kehidupan positif.
c) Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa
keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
d) Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini
berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri
kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit
antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.

Pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari
pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan
merujuk kepada faktor persekitaran, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani tanpa
dibimbing oleh al-Quran serta kajian itu dibuat berdasarkan kehidupan masyarakat di
barat.

3.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK

Pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak
dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang
ada di persekitaran dan dengan ilmu/kemahiran yang diperolehi ia akan
mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya
di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang.
Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan
melatih rohani dan jasmani mereka dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Tujuannya adalah bagi melahirkan insan rabbani
yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan
yang buruk dan perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Barat dan Islam mempunyai
perspektif yang sama dalam hal ini, Apa yang membezakan ialah Islam menekankan
pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi
pemantapan akhlak perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh
dan jiwanya. Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu
hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlak,
akibatnya generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan
inteleknya tetapi dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya.

Jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, dibimbangi sejarah lama
akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa
kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca
dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris dan
kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan.
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini
telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan
pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat
dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan
keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan
aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka
adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan
sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah
dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.
Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilai
dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan
pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan
sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut. Manakala Jepun, negara yang suatu
ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom, dalam jangkamasa yang tak
sampai setengah abad mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia.
Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan
pemikiran masyarakat Jepun berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan
rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah
menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek
fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina
daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak
sejak dari peringkat awal perkembangan. Justeru itu boleh dikatakan di sini bawa
ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan
asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
4.0 TANGGUNGJAWAB MENDIDIK ANAK MENURUT ISLAM

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa. Sebagai ibu bapa,
seharusnya mereka mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan
mereka sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT. Falsafah pendidikan Islam
sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu
sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula
dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keislaman dalam
kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam.
Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan
rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan
budaya hidup Islam.

Satu hal yang amat penting dan wajar diberi perhatian kepada ibubapa hari ini ialah mesti
mengetahui cabaran yang menghalang anak-anak mereka taat kepada Allah SWT.
Didikan ibubapa di rumah masih tidak menjamin anaknya menjadi taat kepada Allah
SWT. Memang benar ibu bapa ada memberi didikan agama pada anak-anak mereka
tetapi adakah didikan itu mencukupi dan diberi secara menyeluruh?

Hari ini, rangkaian televisyen, internet, bahan bacaan dan lain-lain sumber ilmu
pengetahuan kebanyakkannya tidak menjurus kepada ketaatan. Adakah ini punca terjadi
peningkatan perbuatan negatif oleh generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Orang
tua, guru atau pelajar itu sendiri? Persoalan ini telah menjadi isu kepada kita hari ini.
Ibubapa hari ini begitu gelisah dengan keadaan semasa anak-anak mereka. Anak-anak
mereka berpeleseran tanpa hala tujuan. Suka hiburan daripada buat kerja sekolah ataupun
menolong kedua-ibu bapa. Lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga sendiri.

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, seharusnya kita merenung dan mendalami punca
kerosakan dan kaedah penyelesaian melalui sistem pendidikan anak yang diajarkan dalam
Islam.

5.0 PUNCA KENAKALAN ANAK


1. Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada
dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial
adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam
sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar
maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri.
Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar dalam keadaan
terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan
keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.

2. Faktor Peribadi Yang Kotor


Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau
mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki,
pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini
berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional (nafsu
kehaiwanan), hasil daripada pengalaman yang diterima sejak kecil dan kemudian
diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain perkataan peribadi
fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
3. Faktor sekolah
Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak
selepas ibu bapa. Akhir-akhir ini ini dunia pendidikan kita pula tercabar melihat keadaan
pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mencerminkan
keperibadian yang baik. Dahulu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana
pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan.
Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak
kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh
pelajarnya, guru yang semestinya dicontohi kini diburu. Daripada hati kecil kita timbul
persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan pelajar kita hari ini?
Mengikut kajian, faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

4. Faktor Persekitaran
Dalam Islam, persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak
sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan
diduduki. Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu,
tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk
sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik. Persekitaran yang baik ini bermakna
bukan hanya baik dari segi keadaan fizikal tapi juga baik dari segi mental dan kehidupan
beragama.

5.0 TARBIAH (PENDIDIKAN) ANAK BERMULA DALAM KANDUNGAN

Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya bersabda, maksudnya:"Didiklah anak kamu 100
tahun sebelum dia dilahirkan." Hadis ini amat singkat tetapi memiliki makna falsafah
yang dalam sebab ungkapan 'seratus tahun sebelum lahir' ini bermakna jauh sebelum
anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini. Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat
bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat serta perilaku anak-anak yang akan
dilahirkan. Ini bermakna pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas
sebenarnya sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak dalam hadis Rasul itu
adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan
melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan
sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak
mereka. Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya akan mewariskan harta kepada
anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.
Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam salah satu syair: "Kaifama takun yakun
abna'aka" yang bermakna “bagaimana kamu hari ini, begitu pulalah anak-anakmu pada
masa hadapan”. Berdasarkan hal di atas, maka wajarlah Rasulullah s.a.w. mengingatkan
setiap orang yang akan bernikah supaya jangan salah memilih pasangan. Dan Rasulullah
memberikan empat alternatif bagi setiap muslim dalam memilih jodoh berdasarkan
sabdanya;
"Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih
menguntungkan kamu (lebih utama)."(HR Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Sebelum kelahiran anak itu lagi, ibu bapa perlu menyediakan tempat sesuai untuk
mengasuh dan membesarkan anak sebaik-baiknya. Ia memberi makna bahawa dunia
pertama bagi seorang kanak-kanak adalah rumah ibu bapanya sendiri. Bagi memastikan
kesempurnaan dalam pendidikan anak, ibu bapa perlu membentuk suasana yang harmoni
dan bercirikan keislaman dalam kehidupan berumahtangga. Ia boleh dilakukan sejak di
awal perkahwinan lagi.
Secara umumnya, proses pendidikan bermula ketika bayi berada dalam kandungan
ibunya. Tarbiah pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian iaitu:-
i. Bagi ibu yang sedang mengandung amat digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan
al-Quran terutama surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At-Taubah. Ini kerana, surah itu
mengandungi pelbagai kelebihan dan maksud tersirat mempunyai makna yang besar
dalam pentarbiahan anak.
ii. Ibu turut disarankan sentiasa memperbanyakkan doa kepada Allah anak bakal
dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, berakhlak mulia dan taat
kepada kedua ibu bapanya. Ini penting untuk memastikan keluarga dibentuk sentiasa
mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.
Kita sepatutnya mengambil contoh daripada doa Nabi Ibrahim AS. Ketika banginda
berdoa dengan doa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya;
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang
soleh!” [As-Shafaat :100]. Dengan berkat kesungguhan Nabi Ibrahim AS dan
keyakinannya, maka Allah SWT mengurniakan kepadanya anak yang penyabar iaitu
Nabi Ismail AS dengan firmanNya yang maksudnya;“Lalu Kami berikan kepadanya
berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar”
[As-Shafaat : 101]
Banyak lagi khazanah doa para nabi dan para waliyullah yang terkandung dalam al-
Quran yang merupakan rahsia utama kepada kunci berolehnya anak-anak yang soleh.
Kepada ibu bapa dan bakal bergelar ibu bapa doa amat memainkan peranan utama jika
bekehendakkan anak yang soleh dan solehah. Jadi sentiasalah amalkan doa sewaktu
memilih pasangan hidup, ketika bersama dengan isteri ataupun suami dan dalam semua
pekerjaan.
iii. Ibu bapa juga mesti memastikan rezeki yang mereka peroleh datang daripada sumber
yang halal dan bersih. Ini amat mustahak kepada pembentukan dan pertumbuhan anak
yang bakal dilahirkan supaya ianya datang dari darah daging yang halal lagi berkat. Ia
juga memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak apabila besar kelak.
iv. Ibu hamil juga perlu memakan makanan berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh
badannya. Kebersihan diri perlu diutamakan demi menjamin kesihatan anak dalam
kandungan. Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam kepada ibu berada dalam
keadaan sedemikian yang sudah tentunya menghadapi pelbagai kesukaran dan
kepayahan. Ini terbukti dengan kelonggaran yang diberikan Islam untuk ibu mengandung
untuk berbuka puasa (pada Ramadan) sekiranya berasakan puasa itu menjejaskan
kesihatan diri dan anaknya.
v. Ketika tempoh masa mengandung juga, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan
berlaku ke atas dirinya. Pada waktu sebegini juga sememangnya keadaan ibu agak
berbeza daripada waktu biasa. Antaranya mungkin kehilangan selera makan dan mudah
sensitif. Pada ketika ini suami hendaklah memahami keadaan isteri dengan sentiasa
berada di sisi dan memberi dorongan kuat kepadanya.
6.0 PENDIDIKAN SELEPAS KELAHIRAN

6.1 AMALAN-AMALAN SUNAT


Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa
untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan
tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat
seperti berikut:
i. AZAN DAN IQAMAT
Selepas anak selamat dilahirkan, ia hendaklah segera diazankan ditelinga kanan dan
diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa
yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga
kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara
syaitan” (HR Abu Ya’la). Dalam satu riwayat oleh Abu Rafi yang bermaksud: "Aku
melihat sendiri Rasulullah mengazankan Hasan bin Ali di telinganya ketika dia baru
dilahirkan oleh Fatimah”. (HR Bukhari dan Muslim)
Inilah kunci pertama untuk memastikan pendengaran anaknya mendengar kebesaran
Allah SWT apabila pertama kali keluar sebagai khalifah di bumi ini.
ii. MEMBELAH MULUT (TAHNIK)
Tahnik mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi
SAW.
iii. PENYUSUAN
Susu ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga
makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak,
mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap
titisan air susu ibu.
iv. MEMBERI NAMA
Tanggungjawab ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik
sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tugas dan tanggungjawab bapa
terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” [Hadis
Riwayat al-Baihaqi]
v. BERCUKUR
Menggunting rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika
bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang
kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang
digunting tersebut.
vi. AQIQAH
Hukum Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW
mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih
untuknya pada hari ke 7, dicukur rambutnya dan diberi nama.”[Hadis Riwayat Ahmad]
vii. BERKHATAN
Berkhatan termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang
bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum
wanita.” [Hadis Riwayat At- Tabrani]
6.2 PERINGKAT PENDIDIKAN KANAK-KANAK MENURUT RASULULLAH SAW

Rasulullah s.a.w. membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat
tingkatan, iaitu:
1. UMUR 1-7 TAHUN.

Pada masa ini, Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi
anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak
pada masa ini bermandikan kasih sayang.

2. UMUR 7-14 TAHUN.

Kanak-kanak lazimnya akan belajar/mengikut berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang


dilakukan oleh individu di sekelilingnya terutama dari ibu bapanya. Pada masa ini
Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak
dengan mengajar dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila
umurnya sudah 10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan
mengerjakan solat. Rasulullah SAW telah bersabda;
“Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang apabila berumur 7 tahun, dan pukullah
mereka (jika mereka enggan) apabila berumur 10 tahun, dan asingkan tempat tidur
mereka”. (HR Ahmad & Ab Daud)

Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak, pada umur 7-14 tahun ini adalah masa
terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Seperti yang
dikatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan
suci. Maka, ayah dan ibunyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.
Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran) kerana
pada peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar.
Diriwayatkan dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnya; “Apa yang
dipelajari oleh kanak-kanak ialah seperti mengukir sesuatu pada batu”.

Oleh itu ibu bapa hendaklah:-


a) Menanamkan asas-asas keimanan
b) Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan,
tempat tinggal dan sebagainya.
c) Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.
d) Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.
e) Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih
dan sayang.
f) Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
g) Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.
h) Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami
oleh anak-anak.
i) Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik.
j) Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar
mereka ke sekolah-sekolah.
k) Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-
anak berpuasa.
l) Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan
ilmu Islamnya.
3. UMUR 14-21 TAHUN.

Pada masa ini, orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras
kepada cara rasional. Orang tua perlu mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat
dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan
diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar
anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga perlu mengambil
berat hal-hal dalam keluarga.
Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah
dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini
supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-
perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-
hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang
menyeleweng, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.

Ibu bapa pada masa kini dilihat seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan
membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlalu begitu sahaja tanpa mengambil
tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka dengan alasan sibuk dengan tugasan di
pejabat. Sebagai ibu bapa, mereka perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa
peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini, anak-
anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa. Peralihan zaman
alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja
kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau
suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya

4. UMUR LEBIH 21 TAHUN.

Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh
hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta
peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita selaku
Muslim, kadang-kadang pendidikan yang diajarkan oleh Rasul itu tidak benar-benar
diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali. Ada orang tua yang
terlalu memanjakan anak sampai berumur 14 tahun dan baru mula
mengajar/menyuruhnya solat pada umur 15 tahun sehingga mereka bukan saja enggan
melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang. Apabila
seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat, maka
perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Pada hal hakikat solat mampu
mencegah seseorang. untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Dapat disimpulkan bahawa perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di
sekolah mereka, sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak
berperanannya hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik
yang salah. Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak
secara membuta-tuli tanpa melihat umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga
anak berasa dizalimi oleh orang tuanya dari segi hak-hak tertentu. Natijah dari sikap
seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh dari orang tua dan menganggap rumah
sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan di luar rumah.
6.3 KURIKULUM INTEGRATIF UNTUK KANAK-KANAK

Kurikulum integratif mempunyai makna yang subjektif. Integratif di sini boleh memberi
maksud kesepaduan iaitu menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan
bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta
kepatuhan kepada tuhan.

Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di


peringkat awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang
dididedahkan kepada kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak, secara
langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang proses
mereka membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya merangkumi segala
aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh orang dewasa, segala aktiviti
yang ditentu dan difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri, termasuklah juga bahasa/teknik
berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa dan kanak2 menggunakannya
dikalangan rakan sebaya atau orang lain malah segala apa yang mereka boleh lihat dan
dengar dari persekitaran mereka.

Kadang-kala kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi, yang tidak
dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai contohnya masa
atau perhatian yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu
aktiviti mungkin menyebabkan kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih
berfaedah dari yang lain walaupun hakikatnya tidak begitu. Inilah konsep utama yang
perlu difahami.

Masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para penyelidik yang membuat kajian,
pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan kanak-kanak Islam hari ini.
Mengapa ketrampilan, pemikiran, kewibaan, daya intelek kanak-kanak Islam selalu
dikatakan agak ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di
negara-negara barat umpamanya? Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai dengan
benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala sosial yang memalukan? Adakah
sesuatu yang tidak kena dengan kurikulum pendidikan Islam atau mungkin kekeliruan
berlaku dari segi aplikasi? Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita
memerlukan perubahan? Mungkinkah pendidikan kanak-kanak di peringkat awal
berasaskan binaan kurikulum integratif boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?
Justeru itu, amat wajar untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di
peringkat awal usia ini jika generasi yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh,
berketrampilan, berwawasan , tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya.
Tiga Aspek kurikulum yang integratif
1. Integratif dari segi kesepaduan maklumat yang disampaikan kepada kanak-kanak.
Ilmu pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-
kanak di peringkat awal usianya perlulah suatu yang komprehensif dan bersepadu
bukannya terpecah-pecah mengikut subjek kerana ini akan menjadikan kanak-kanak
menjadi keliru dan seolah-olah ada ‘batasan’ dalam mendalami sesuatu ilmu atau
pengetahuan yang didedahkan kepada mereka. Sebaliknya, jika pendedahan pengalaman
pembelajaran adalah berasaskan kepada penggarapan aspek perkembangan dan
bersesuaian dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak, kanak-kanak akan lebih kreatif,
memiliki daya kemahiran berfikir yang tinggi serta memperolehi kemahiran
meyelesaikan masalah yang dapat membentuk semangat jati diri dan keyakinan yang
tinggi. Pendidik kanak-kanak sepatutnya menggarap potensi kanak-kanak berasaskan apa
yang ia tahu kerana ini menjadikan kanak-kanak lebih berminat untuk mendalami sesuatu
perkara. “Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar kemampuan akalnya” Begitulah
pesanan Rasul s.a.w. kepada umatnya.

2. Integratif dari segi kesepaduan aspek-aspek perkembangan dan potensi yang digarap di
peringkat awal.
Sememangnya pengalaman pembelajaran seseorang kanak-kanak di peringkat awal usia
mampu memberikan kesan yang positif atau negatif kepada perkembangannya di masa
hadapan samada dari segi kognitif, emosi, sosial dan aspek-aspek perkembangan yang
lain bergantung kepada cara bagaimana kanak-kanak mendapat pendedahan. Kalau dari
awal perkembangan kerohanian dan sosio-emosi mereka dititikberatkan, hasilnya akan
lahirlah anak-anak yang berwibawa, taqwa, cekal hati, tinggi nilai harga diri,
berketrampilan dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan. Tetapi sebaliknya jika
pendedahan awal yang mereka dapat hanya menumpu kepada perkembangan akademik
atau satu aspek perkembangan semata-mata, maka akan pincanglah aspek perkembangan
yang lain malah boleh memberi kesan negatif pula kepada perkembangan personaliti
seseorang kanak-kanak. Andai ia digarap dari segi intelek tetapi emosinya tidak terdidik,
maka perkembangan sosialnya juga tidak mantap dan sudah pastinya ia tidak mampu
menjadi pemimpin ummah yang baik pada masa yang akan datang.

3. Integratif di sini bererti kita menyepadukan antara pendekatan barat dan Islam dalam
mendidik anak-anak.
Kita ambil apa yang baik dari barat apa yang boleh dilihat dengan mata kasar tentang
amalan-amalan dan pendekatan-pendekatan mereka mendidik kanak-kanak dan kita
sepadukan dengan pendekatan Islam yang kaya dengan teori dan khazanah ilmu yang
berbagai. Sesuatu program pendidikan awal kanak-kanak ini perlu dibentuk berdasarkan
pandangan dan pendekatan integratif dan bersepadu gabungan Islam , Barat dan Timur.

Falsafah pendiddikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif


tersebut jika diteliti secara mendalam adalah didasarkan kepada konsep-konsep berikut
yang disepadukan antara dua pandangan:
i. Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah
ii. Bermain adalah tugas utama kanak-kanak
iii. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
iv. Rangsangan neurologi & deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.
v. Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang
mereka mahu dan mampu lakukan.
vi. Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran
fizikal kanak-kanak.
vii. Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat
viii. Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan
bersih.
ix. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata
6.4 MENERAPKAN NILAI MURNI DALAM DIRI ANAK

Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang
mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari
melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah.

Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat
mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Kita sebagai
ibubapa perlu bersabar dan tanpa jemu berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni
dalam diri anak-anak seperti berikut:-

i. Mendidik anak supaya taat dan menghormati kedua ibu bapanya dengan menimbulkan
kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibu bapa terhadapnya amat besar dan
mereka perlu memahami dan menghormati kedua-duanya.
ii. Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang lebih tua daripadanya.
Mereka perlu disedarkan bahawa guru adalah orang bertanggungjawab mendidik dan
menyampaikan ilmu, manakala orang lebih tua adalah orang lebih berpengalaman
daripadanya.
iii. Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik iaitu dengan melatih mereka
supaya bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan kata yang baik. Ini kerana,
kanak-kanak begitu sensitif dan mudah terikut-ikut terhadap apa yang didengarnya.
iv. Mendidik anak adab bergaul dengan rakan. Mereka harus diingatkan supaya tidak
meninggi diri dan jangan menyakiti atau mengambil hak orang lain.
v. Mengajar anak akan adab makan dan minum yang baik dan mengelakkan sikap tidak
sopan sebaliknya mereka perlu dilatih dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk
dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan.
vi. Mengajar mereka dengan adab berpakaian yang bertujuan menutup aurat dan bukan
untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
vii. Mengajar adab tidur dan bangun dari tidur iaitu sebaik-baiknya mengadap kiblat,
membersihkan diri sebelum tidur dan membaca doa sebelum/selepas bangun tidur.
viii. Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas iaitu cara membuang air dan cara
masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, membelakangkan kiblat dan sebagainya.

7.0 SUMBANGAN PARA ILMUAN ISLAM

Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan ilmu-ilmu berkaitan
perkembangan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan dan pendekatan moden mendidik
anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh barat & tidak releven dengan Islam.
Hakikatnya pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya
dipelopori oleh para ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Kita sering menyebut tentang Jean Piaget dan teori Perkembangan kognitif tetapi kita
melupakan Ibnu Sina yang membicarakan hal yang sama berkurun-kurun lamanya
sebelumnya. Dewasa ini kita sibuk membicarakan tentang Emotional Intelligent yang
dipelopori oleh Howard Gadgner tanpa kita sedari Ibnu Khaldun telah berabad lamanya
mengupas isu tersebut di dalam kitabnya almuqaddimah. Kita mula menyuarakan tentang
kepentingan memahami perbezaan perkembangan individu di kalangan kanak-kanak
tanpa merujuk penulisan Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam
membicarakan isu-isu perkembangan sosio-emosi kanak-kanak. Ibnu Sina misalnya telah
membincangkan kepentingan hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini
adalah asas kepada pembentukan fizikal yang sihat. Kemampuan kanak-kanak
mendapatkan pengalaman adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain
telah diketengahkan oleh seorang lagi ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun. Manakala
Ibn Jamaah pula mengupas tanggungjawab pendidik dari segi memahami tingkahlaku
kanak-kanak dan menanganinya melalui kaedah pengukuhan.

Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk memperkatakan mengenai kepentingan


bermain melalui belajar sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian
dengan kanak-kanak kerana ia merujuk kepada ciri-ciri semulajadi kanak-kanak yang
sememangnya suka bermain. Nama Froebel, Susan Isaacs, Mc Millan dan pelbagai lagi
teori mengenai permainan dari perspektif barat disebut-sebut dan dijulang. Sebenarnya,
banyak hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan
kanak-kanak yang menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan
pembelajaran kanak-kanak. Namun, hadis-hadis sebegini seperti tidak diberikan perhatian
dan jarang dikupas. Lalu apabila umat Islam berbicara mengenai perkembangan kanak-
kanak sudah pastinya penulisan sarjana barat menjadi rujukan tanpa menyedari atau
mungkin alpa, telah ada usaha sebegini dibukukan dan dihurai oleh ulamak terdahulu
sebagai contohnya Ibn Qayyim Al-Jauziah dalam kitabnya “tuhfatul maudud fi ahkam
almaulud”.

Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi pendidikan pada hari ini sudah pastinya arif
tentang teori-teori yang dikemukakan oleh Behaviourisme, Social Learning Theory dan
sebagainya yang menekankan kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan mudah
meniru apa saja perlakuan. Untuk mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh
seseorang kanak-kanak, maka perlulah mereka selalu diberi pengukuhan. Tokoh ilmuan
Islam Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu terperinci persoalan sebegini
dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama dalam
pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (Role
model), Mulahazah wa mutaba’ah (Observation and imitation), i’tiyad
(kelaziman/kebiasaan),isu Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment) dan nasihat
(advice) sebagai penyelesaian. Beliau begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan
pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku
yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang
kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru
perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan seperti yang ditegaskan oleh Imam
Al Ghazali, kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi
kebiasaan atau I’tiyad dan sukarlah untuk dibentuk. Dalam menangani masalah ini
ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik atau
hukuman. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya
adalah “mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal.” Seperti yang tertera dalam kitab
karangannya “ayyuhaal-walad”.

Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah segala teorinya namun dari segi
aplikasi, selalunya sarjana barat akan cuba melaksanakan dengan mencubanya melalui
kajian-kajian ilmiah dan melakukan eksperimen yang lebih mendalam lalu setelah yakin
dengan kesannya yang efektif lalu mereka mendabik dada mengatakan inilah teori baru.
Realitinya, inilah punca kemunduran umat Islam dalam dunia globalisasi. Tidak ada yang
kurang dan tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi sikap umatnya yang perlu diubah.
Sungguh benarlah firman Allah;“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya...”

8.0 KESIMPULAN

Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-tifl (‫لطفل‬١) yang berasal
dari perkataan tafula (‫ )طفل‬yang membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak
dan sensitif. Di sebalik maksud tersebut ia memberi pengertian bahawa seseorang kanak-
kanak itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna
memandangkan sifat semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran
bukan sahaja dibimbangi kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah
aspek-aspek yang lain juga amat perlu diberikan perhatian. Oleh itu ibu bapa amat perlu
memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin
bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari
Rebungnya” agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan
sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup
mereka.

Imam Al-Ghazali pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”.


Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami
bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan
pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras
dan peribadi yang kasar dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal.
Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat
yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya
kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi
bila yang di hadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa
sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari contoh
yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.

Ini juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak.
Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendikiawan Islam
dalam membentuk dan mendidik generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia
yang berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu dilaksanakan. Di
dalam kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui
seruannya:
“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada
orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Barangsiapa yang ditarbiah dengan
cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah
anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan
jahat…”
9.0 PENUTUP

Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua manusia mengharapkan anak mereka ke
arah pembinaan syakhsiah mulia dan berkeperibadian tinggi serta berhemah dalam
menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar.

Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata
sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu
menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula
peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat
membahagiakan hidup mereka. Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa
daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun
kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua
amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak
soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (HR al-Bukhari)

Wallahua’lam

Anda mungkin juga menyukai